Saturday, August 30, 2008

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke - 51

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke - 51.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Belanjawan 2009 - Ulasan Ringkas

C-bOk berpendapat Belanjawan 2009 (Sebol - gua guna belanjawan sekarang ni) sememangnya memberikan kelebihan kepada rakyat. Kalau tidak kerana kita baru sahaja mengadakan Pilihanraya (PRU 12) pada 8 Mac 2008 yang lalu, pasti kita merasakan satu pilihanraya akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Ringkasnya, belanjawan 2009 ini memberikan banyak keistimewaan dan juga kelebihan kepada rakyat untuk meningkatkan aliran tunai masing-masing. Boleh dikatakan semuanya turun kecuali cukai rokok sahaja yang naik. Antaranya kadar cukai individu maksimum diturunkan kepada 27% berbanding 28% sebelum ini. Kadar cukai kereta berenjin diesel juga diturunkan dan diseragamkan dengan kereta berenjin petrol (C-bOk guna kereta berenjin diesel). Duti import barangan pengguna diturunkan. Bayaran balik pinjaman rumah dipanjangkan ke 30 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini.

Selain daripada itu, pengguna elektrik yang bilnya kurang RM20 sebulan tidak perlu membayar lagi (elektrik percuma...., macam Selangor beri air percuma 20 liter..., tiru ke ni...?) Dan lain-lain lagi.

Namun dalam masa yang sama, C-bOk juga melihat ada merit di atas komen yang dibangkitkan oleh beberapa orang penganalisa termasuk ahli parlimen pembangkang yang tidak melihat satu cadangan kongkrit Kerajaan di dalam Belanjawan 2009 untuk menggalakkan pelaburan asing (FDI) ke dalam negara. Tanpa satu rancangan yang lengkap dan terancang, kita mungkin akan menghadapi masalah untuk membawa masuk FDI, lebih-lebih lagi negara jiran kita semakin agresif memberikan pelbagai insentif kepada pelabur-pelabur luar.

Walaubagaimanapun, C-bOk berharap rakyat mengambil kesempatan daripada strategi-strategi yang dicadangkan di dalam belanjawan 2009 ini untuk meningkatkan simpanan dan bukannya membelanjakan kesemua lebihan tunai yang ada hasil daripada penjimatan yang dicadangkan.

Friday, August 29, 2008

Bajet 2009

Bajet 2009 dibentangkan hari ini. Ringkasan pembentangan bajet oleh Perdana Menteri adalah seperti di Link berikut (The Star).

Wednesday, August 27, 2008

Tahniah Anwar Ibrahim

Tahniah di ucapkan kepada Anwar Ibrahim di atas kejayaan beliau di Permatang pauh di sebalik tentangan hebat Barisan Nasional yang menghantar keseluruhan kepimpinan parti (termasuk dari Sabah) dan juga menggunakan kemudahan jentera Kerajaan.

Kemenangan ini membawa maksud yang sungguh jelas. Kemenangan itu adalah kerana kebencian yang begitu ketara terhadap seseorang. Cuma..... masihkah kita hendak menafikannya?

Tuesday, August 19, 2008

Ramalan Terkini

Walaupun Pak Lah kata, harga baru minyak akan diumumkan pada 1 September 2008, harga jualan runcit minyak dijangka akan turun sebelum pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 ini.

Walaubagaimanapun, perkembangan ini akan dinafikan ada kaitan dengan pilihanraya kecil berkenaan dan juga cadangan calun PKR untuk menurunkan harga minyak selepas mengambil alih Kerajaan pada 16 September 2008. Apa-apa pun ini perkembangan yang baik untuk rakyat negara ini. Lagi lama mereka bertelagah lagi bagus. Apabila minyak dipolitikkan rakyat yang mendapat manfaatnya.

Ada siapa-siapa nak bet dengan saya?

Semakin Keliru dan Celaru

Sebenarnya "tindakan itu" bukannya semakin memudahkan.

Kita sebenarnya semakin keliru dan celaru. Ulama-ulama besar pun boleh bertelagah. Ada yang kata ok. Ada yang kata tak ok. Ada yang kata ikut peraturan. Ada yang kata tidak ikut peraturan. Ada yang kata tak perlu pegang Al-Quran. Ada yang kata tak perlu dalam masjid dan sebagainya. Jadi mana satu yang betul?

Yang buat kenyataan itu semuanya bertaraf ulama dan mufti. Ada yang menjadi ulama Kerajaan (dilantik) dan ada yang menjadi ulama politik.

Selepas itu di tambah pula oleh orang-orang politik. Ada orang politik kanan dan ada orang politik kiri. Mereka ini pun sama juga. Ada yang kata ok. Ada yang kata tak ok.

Kalau ulama, mufti dan pemimpin politik sendiri pun berbalah tentang boleh atau tidak bersumpah, cara yang betul untuk bersumpah dan sebagainya lagi, bayangkan bagaimana rakyat hendak memberi reaksi? Rakyat sebenarnya semakin keliru. Nak dengar cakap siapa? Nak dengar cakap budak hingusan itu atau nak dengar cakap ulama/mufti? Masalahnya ulama/mufti pun tidak sepakat dan berbalah?!?

Kepada pemimpin (ulama, mufti, pegawai Kerajaan dan ahli politik), ingatlah dunia ini bukan selama-lamanya. Masih ada akhirat untuk semua. Dan bersepakatlah dalam hal-hal yang memberi kesan kepada semua. Janganlah menimbul kekeliruan dan kecelaruan di dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Soalnya sekarang cakap ulama yang mana yang hendak ikut?

Sunday, August 17, 2008

HTC Shift Baru Untuk Di Jual

HTC Shift X9500 untuk dijual. Harga di pasaran RM5K ++. Sesiapa yang berminat boleh cuba membeli dengan harga yang murah di laman web lelong.com di sini.

Harga lelong bermula pada RM2,500 sahaja. Anda boleh membuat tawaran dengan gandaan RM10 sahaja sekali bid. Tawaran lelong ini akan ditutup pada 21 Ogos 2008. Kepada sesiapa yang memberi tawaran terbaik akan memiliki komputer mini canggih ini.

Komputer mini ini masih baru. Lengkap dengan semua aksesori dan kotaknya.

Friday, August 15, 2008

Lee Chong Wei ke Final (Olimpik 2008 - Beijing)

Satu pingat sudah dalam genggaman.

Cuma kita tidak tahu emas ke perak? yang pastinya ini adalah berita paling gembira hari ini dan mungkin juga tahun ini. Lee Chong Wei menempah tempat ke final perseorangan badminton di Olimpik 2008, Beijing, China selepas mengalahkan Lee Hyun II dari Korea.

Marilah kita sama-sama memberikan sokongan semangat kepada Lee Chong Wei di dalam perlawanan akhir nanti. Kalau kita sanggup bersengkang mata melihat perlawanan siaran langsung Euro 2008 tempoh hari, pasti lebih berbaloi kita menyokong Lee Chong Wei di dalam perlawanan akhir itu.

Tahniah Lee Chong Wei.

Apabila Mulut Lebih Dahulu Daripada Otak

Apabila mulut kita mendahulu otak, maka situasi yang dihadapi oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor akan berlaku. Seperti kata Naib Cancelor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrajim Abu Shah, orang seperti ini cetek pemikiran. [Jadi pemimpin politik tidak semestinya pandai semuanya. Pandai lawyer buruk mungkin...] Contohnya adalah seperti berikut:

Contoh 1:

Tan Sri Khalid mencadangkan UiTM dibuka kepada bukan Melayu. Beliau membuat kenyataan populis dengan harapan untuk mendapatkan sokongan dan undi bukan Melayu (?) dan kemudian menyalahkan kenyataan beliau disalah lapurkan / keluar konteks (?) apabila mula dipersoalkan oleh orang ramai khususnya Melayu/Bumiputra. Bagi C-bOk beliau membuat kenyataan ini hanya kerana berasaskan logik (orang politik....), cuba menjadi popular di kalangan bukan bumiputra, tidak berfikir dan tidak faham sejarah.

Contoh 2:

Apabila ditegur oleh semua pihak, beliau tidak mahu meminta maaf tetapi dalam masa yang sama membuat satu lagi kenyataan yang mencadangkan UiTM meningkatkan taraf dan kemudahannya untuk menjadi sebuah universiti yang disegani (?). Tan Sri ni tak pernah masuk UiTM ke? Apa kemudahan yang tidak cukup? Apakah UiTM tidak di segani? Ini satu lagi kenyataan di mana mulut mendahului otak. Atau ringkasnya kenyataan tanpa berfikir. Ataupun lebih jelas lagi - inilah kenyataan orang politik!!!

Sebagai graduan UiTM, C-bOk rasa kecil hati dan tercabar dengan kenyataan yang memperkecil-kecilkan keupayaan sebuah institusi unggul milik Melayu/Bumiputra. Sepatutnya sebagai orang Melayu Tan Sri Khalid mempertahankan UiTM, sebaliknya dia mengambil jalan populis (dikalangan orang tertentu la...) dengan menghentam institusi milik anak bangsanya sendiri.

Dengan semakin meningkatnya tindak balas daripada rakyat seperti pelajar dan alumni UiTM, maka Tan Sri Khalid mestilah bersedia untuk menerima kesannya. Setidak-tidaknya 2/3 minggu ini mestilah ada tunjuk perasaan dan memorandum yang akan diserahkan kepada beliau dan juga lain-lain pemimpin. Namun kesan yang paling ketara ialah beliau mesti menerima bahawa beliau kini dilihat sebagai pengkhianat Melayu. Jadi Tan Sri boleh lah pilih untuk buat tak tahu (buat derk je!) atau pun minta maaf.

Pesan C-bOk, eloklah jangan politikkan hal-hal yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan juga kebajikan anak bangsa sendiri.

Wednesday, August 13, 2008

Tan Sri Khalid Memancing Undi Politik?

Nota: Catatan ini dipetik oleh ruangan "Dari Blog ke Blog" akhbar Sinar Harian, 14 Ogos 2008 (m.s: N8)

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar UiTM di buka kepada bukan Bumiputra atas alasan untuk menggalakkan persaingan di kalangan pelajar.

Bagi C-bOk Tan Sri Khalid telah memalukan orang Melayu secara tidak langsung dengan mengatakan bahawa orang Melayu hanya akan bersaing apabila adanya orang bukan Melayu, ataupun orang Melayu hanya akan menjadi kuat apabila ada bangsa lain mencabar mereka?

Apa punya pandangan dan prinsip yang dipakai oleh Tan Sri Khalid? Selama ini lulusan UiTM tidak bagus? Tidak gah? Tidak berwibawa? Hanya kerana kami belajar di kalangan orang Melayu - Bumiputra? Sengkek sangat ke kami yang berbangsa Melayu ini. Kami yang sebangsa dengan Tan Sri?

Tolonglah Tan Sri Khalid! Janganlah berpolitik di dalam hal ini. Tindakan Tan Sri mempolitikkan perkara ini akan membawa orang-orang lain yang juga akan mempolitikkan perkara ini juga. Yang "senyap-sunyi" pastinya mereka yang memperjuangkan perkara ini iaitu orang bukan Melayu kerana kini ada "barua" Melayu yang tolong bercakap bagi pihak mereka.

Kalau Tan Sri benar-benar ikhlas dengan apa yang Tan Sri suarakan, Tan Sri kena beritahu kawan-kawan Tan Sri untuk memansuhkan sekolah aliran lain dan kita tumpukan kepada satu aliran kebangsaan sahaja. Selepas itu barulah kita buka semua universiti kepada semua bangsa tanpa sekatan. Kalau tidak...., janganlah politikkan hal ini untuk kesinambungan karier politik Tan Sri sahaja.

C-bOk adalah graduan UiTM 1986-89 Kajian Komunikasi Massa dan membantah apa juga usaha untuk mengubah status quo UiTM.

Sunday, August 10, 2008

Tun Mahathir Nak Berhijrah?

Tun Mahathir di dalam kenyataannya semalam berkata bahawa beliau akan berhijrah dan meninggalkan Malaysia sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berdasarkan kepada jangkaan Anwar Ibrahim akan memenangi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini serta keyakinan beliau untuk menubuhkan Kerajaan PKR pada 16 September 2008, bermakna hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum Tun berhijrah.

Soalnya sekarang ialah apa pilihan yang rakyat ada? Khususnya di Permatang Pauh. Anwar Ibrahim nampaknya sudah hampir pasti memenangi pilihanraya kecil itu. Siapa pun yang diletakkan untuk menjadi calun/wakil Barisan Nasional di Permatang Pauh akan menghadapi laluan yang sukar.

Apa pilihan yang kita di ada? Anwar Ibrahim? Tun Mahathir? ........?

Oh! Majlis Peguam

Semalam kita melihat sesuatu yang kita tidak ingin lihat. "Pertembungan Agama - Antara Islam dan Bukan Islam". Perkara ini berlaku kerana keras kepala Majlis Peguam untuk terus membincangkan isu sensitif berkaitan dengan Islam secara terbuka.

Walaupun Majlis Peguam membatalkan program ini selepas dinasihatkan oleh polis, nyata "nasi sudah menjadi bubur". Majlis Peguam telah menunjukkan belangnya sebagai anti Islam dan juga anti Kerajaan (?). Peguam telah menunjukkan kedegilan serta usaha mereka untuk menafikan segala apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita ketika penubuhan sebuah negara berbilang kaum dan agama yang bernama "Malaysia".

Isu yang hendak dibahaskan adalah berbentuk berat sebelah dan dirangka untuk menunjukkan Islam itu tidak bagus. Islam itu tidak baik. Kalau tidak mengapa wakil-wakil yang dipanggil termasuk dari luar negara menggunakan forum ini untuk menunjukkan bahawa Islam telah menjadikan kehidupan mereka porak peranda. Bagi mereka Islam tidak bagus. Kenapa tidak dipanggil mereka yang telah memeluk Islam dan kini berbahagia dengan pilihan mereka? Contohnya isteri Perdana Menteri, Jean Abdullah. Begitu juga dengan bekas Menteri Luar, Datuk Dr. Michael Leo Toyad?

Malangnya Majlis Peguam ini juga turut dianggotai oleh peguam-peguam beragama Islam. Adakah peguam-peguam Islam ini juga bersetuju dengan forum yang dianjurkan itu?

Bagi C-bOk ada dua cara sahaj untuk mengatasi masalah Majlis Peguam yang menjolok sarang tebuan ini:

  1. Kepimpinan Majlis Peguam perlu ditukar kepada peguam beragama Islam atau mana-mana peguam lain yang tidak "memihak" kepada isu-isu sensitif;
  2. Peguam-Peguam yang beragama Islam perlu segera meninggalkan Majlis Peguam dan bersatu di bawah satu persatuan peguam lain yang lebih bertanggungjawab. Mungkin Majlis Peguam Islam?

Apa-apa pun, sebagai rakyat negara ini C-bOk tidak bersetuju langsung dengan ketidakprihatinan Majlis Peguam dengan tindakan mereka. Tindakan mereka menunjukkan bahawa mereka ni tak boleh disentuh langsung. Seolah-olah undang-undang tu di bawah mereka.

Friday, August 08, 2008

Tak Sedar Diri

Tiga perkara yang membuatkan C-bOk sakit hati hari ini:

Pertamanya Majlis Peguam yang berkeras untuk meneruskan Forum Memeluk Islam walaupun di bantah oleh semua tokoh-tokoh besar negara termasuklah yang Hadhari dan yang tak Hadhari. Kenapa sibuk sangat Majlis Peguam hendak menganjurkan forum ini? Walaupun mendapat tentangan dan bantahan daripada semua pihak, mereka masih berkeras untuk meneruskan forum ini bagi membincangkan satu perkara yang amat sensitif.

Keduanya tentang tokoh-tokoh besar yang membuat kenyataan bombastik tentang Forum Memeluk Islam ini. Sebelum ini tokoh-tokoh yang sama pernah membuat kenyataan serupa semasa Majlis Peguam menganjurkan satu seminar berkaitan dengan Ketuanan Melayu. Suara bantahan itu hanya setakat bantahan sahaja. Tiada apa-apa tindakan. Kenapa? Sebab mereka Majlis Peguam? Kalau macai-macai macam C-bOk ni, baru silap tulis sikit dah kena dakwa di bawah Akta Hasutan. Tak percaya? Tengok apa dah jadi dengan "bakaq".

Ketiganya tentang Amerika Syarikat yang memanggil Kuasa Usaha Malaysia di Washington untuk menyuarakan keraguan mereka terhadap kes Anwar Ibrahim. Apa yang mereka sibuk sangat ni? Memanglah ramai yang meragui kes ini. Tetapi tak payahlah AS ni nak campur tangan. Bagus sangat ke AS tu? Kita tak perlulah mereka nak ajar kita. Kalau kita sibuk reformasi negara tergadai pun tak guna.

Bak kata Patrick Teoh - NIAMAH!

Wednesday, August 06, 2008

Majlis Ekonomi

Edisi Yang Dikemaskini:

Setelah berhempas pulas cuba untuk mengatasi masalah ekonomi secara bersendirian dan mengenepikan saranan untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi menasihatkan Kerajaan tentang ekonomi, akhirnya Perdana Menteri bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan yang dinamakan MAJLIS EKONOMI bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi negara kesan daripada kelembapan ekonomi global.

Tindakan ini sepatutnya telah lama diambil. C-bOk pernah membangkitkan cadangan untuk mengaktifkan semula MTEN. Begitu juga ramai tokoh-tokoh lain. Namun Kerajaan pada masa itu buat tak tahu sahaja. Malahan membuat keputusan-keputusan ekonomi yang "membimbangkan" serta mengundang polemik seperti menaikkan harga minyak, mengumumkan perbelanjaan berbillion ringgit yang "tidak pasti" dan sebagainya. Keputusan-keputusan berkaitan dengan ekonomi sebelum ini dilihat tidak menggambarkan kefahaman yang mendalam terhadap pergerakan ekonomi dunia serta kepentingan untuk membuat keputusan yang di luar kotak (out of the box) bagi menjamin kesinambungan ekonomi negara supaya lebih tahan dengan serangan kelembapan ekonomi global khususnya selepas kes sub-prima di Amerika Syarikat.

Dalam beberapa keadaan ada pemimpin yang cuba menjadi juara ekonomi dengan mengakui idea perlaksanaan datang daripada mereka tetapi senyap apabila mula dipersoalkan kewajarannya dari sudut ekonomi global. Namun perkara ini sudah dijangkakan kerana di dalam kabinet Malaysia tidak ramai yang mempunyai kemahiran ekonomi (Kecuali Tan Sri Amir Sham, Tan Sri Nor Mohammad dan Datuk Mustapha Mohammad). Rata-rata menganggotai kabinet kerana hiraki mereka di dalam kepimpinan parti masing-masing.

Perkara yang sudah berlaku tidak mungkin diubah. C-bOk berharap, Majlis Ekonomi yang ditubuhkan ini akan memainkan peranan penting untuk menganalisakan perkembangan ekonomi semasa dan menyediakan dasar dan strategi yang sesuai untuk negara mengatasi sebarang masalah ekonomi yang timbul.

Harapan C-bOk, sekiranya tidak lebih baik daripada MTEN, sekurang-kurangnya Majlis Ekonomi ini mampu berperanan sebaik MTEN dengan keanggotaan yang mencakupi keseluruhan struktur ekonomi negara.

Selamat bertugas kepada ahli Majlis Ekonomi. Jauhkan sebarang pertembungan politik di dalam membuat apa juga keputusan demi kelangsungan ekonomi negara.

Saturday, August 02, 2008

Kadar Baru Minyak: Mainan Politik?

Edisi Yang Di Kemaskini:

C-bOk pusing-pusing tengok blog rakan-rakan tentang pengumuman Perdana Menteri untuk mengurangkan harga minyak semalam. Namun tak ada yang berminat untuk membuat ulasan. Mungkin sebab hujung minggu, mungkin juga ramai yang terkejut dengan pengumuman tersebut sampai tak tahu nak buat ulasan? Mungkin juga ramai yang tidak percaya (Bukan salah mereka)

Perdana Menteri mengumumkan bahawa kadar minyak akan dikira mengikut harga purata minyak dalam bulan berkenaan dan akan diumumkan pada setiap 1hb. setiap bulan. Walaubagaimanapun, kadar yang diumumkan tidak akan melebihi RM2.70 dan subsidi 30 sen seliter akan dikekalkan sehingga hujung tahun ini. Perkiraan ini tidak akan melibatkan diesel (Damn! C-bOk adalah pengguna Diesel. Adakah diesel bukan minyak Pak Lah?)

C-bOk melihat perkembangan terbaru ini seperti berikut:

Pertamanya: Ini adalah pengumuman untuk meraih populariti. Dalam keadaan rakyat tengah marah dengan kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut naik sama, langkah untuk mengurangkan kemarahan rakyat perlu dilaksanakan dengan segera. Walaupun, kita tidak tahu (dan Kerajaan tidak boleh menjamin) samada harga minyak dunia akan turun dalam bulan Ogos ini, Kerajaan telah membuat pengumuman untuk menurunkan harga minyak.

Pengumuman sepatutnya ialah "mengkaji" bukan "menurunkan". Ingat tak semasa pengumuman kenaikan harga minyak dalan bulan Jun dahulu apabila Menteri mengatakan ianya akan dinaikkan pada bulan Ogos, Perdana menteri menaikkan harga minyak 3 hari kemudian? Menjadikan PM semakin sinonim dengan imej flip-flopnya. Elok juga kalau dalam sehari dua ni PM tiba-tiba flip-flop lagi - turunkan harga minyak. Tak payah tunggu 1 September;

Keduanya: Strategi awal untuk berdepan dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Anwar Ibrahim akan menggunakan strategi ekonominya untuk mengurangkan harga minyak. Kerajaan terpaksa mengurangkan harga minyak supaya "tidak kalah" semasa kempen nanti;

Ketiganya: Pengumuman ini menunjukkan kenaikan sebelum ini adalah tindakan tergesa-gesa. Sekiranya kita mengikut pengumuman yang dibuat oleh Datuk Shahrir Samat di mana harga minyak hanya akan dinaikan (dikaji) pada bulan Ogos 2008, kemungkinannya kita tidak perlu menaikkan harga minyak langsung. Ini kerana sudah ada tanda-tanda harga minyak akan menurun dan dijangka lebih murah selepas sukan olimpik di Beijing kelak. Langkah tidak menaikkan harga minyak pasti akan mengurangkan segala masalah yang sedang kita hadapi sekarang ini seperti tunjuk perasaan sana sini, kenaikan harga barangan, kenaikan harga perkhidmatan, sumpah seranah dan sebagainya. Kita juga tidak perlu melihat debat air liur di TV baru-baru ini;

Keempatnya: Jelaslah harga minyak boleh dikawal. Ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal mekanisma kenaikan harga minyak. Namun kita tidak melihat cadangan kenaikan tersebut dari segala sudut yang mungkin. Soalnya samada kita hendak mengambil jalan mudah atau jalan sukar.

Walaubagaimanapun, cadangan untuk mengumumkan harga minyak mengikut harga pasaran setiap sebulan sekali bukanlah satu cadangan yang baik. Pengusaha stesen minyak yang membayar harga tinggi untuk mendapatkan stok baru pada 30hb., tiba-tiba perlu menjual minyak pada harga yang rendah keesokkan harinya. Ini akan menyebabkan kerugian kepada mereka. Mereka juga berniaga. Perkara ini sudah pun di bangkitkan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM). Sudahkan faktor ini diambil kira?

Bagaimana pula dengan cadangan untuk menaikkan tambang bas yang dikira mengikut kenaikan harga minyak baru-baru ini. Sekiranya kenaikan diluluskan, tiba-tiba harga minyak turun. Bagaimana? Begitu juga dengan harga barangan dan perkhidmatan lain. yang sudah naik - bagaimana hendak kita turunkan?

Ringkasnya, walaupun rakyat mungkin mengharapkan harga minyak diturunkan setiap bulan, namun mekanisma perlaksanaannya akan menghuru harakan sistem ekonomi kita. Ketidak tentuan harga minyak di pasaran akan memberi kesan yang lebih teruk kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Cadangan baru ini mungkin dibincangkan oleh kabinet. Namun C-bOk berpendapat kabinet kini dipenuhi oleh ahli politik sahaja dan bukannya pakar di dalam bidang ekonomi. Kalau ada pun hanya beberapa orang yang masih baru di dalam kabinet seperti Tan Sri Nor (MK 2) dan Tan Sri Amir Sham (EPU). Manakala yang lain adalah mereka yang naik melalui hiraki politik. Mereka mungkin bijak berpolitik, namun belum tentu mahir di dalam ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu sekarang yang memberi impak kepada ekonomi negara, C-bOk berpendapat kita tidak memerlukan ahli politik. Sebaliknya kita memerlukan pakar ekonomi. Sekiranya ahli politik masih bertegas untuk mengekalkan kuasa mereka, maka satu badan seperti MTEN perlu diwujudkan semula supaya boleh memberi nasihat kepada kabinet tentang hal ehwal ekonomi supaya keputusan-keputusan penting seperti naik turun harga minyak boleh dianalisa oleh mereka sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Ringkasnya naik turun harga minyak bukanlah sesuatu yang boleh dibuat keputusan secara sesuka hati dan bukanlah sesuatu yang bersifat jangka pendek. Negara kita akan musnah sekiranya ekonomi dijadikan mainan untuk meraih sokongan politik tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada ekonomi negara. Satu-satu harga yang diumumkan memberi kesan kepada kehidupan kita dan pastinya bukanlah bersifat jangka pendek. Menetapkan harga dan menukarkan harga setiap bulan pada C-bOk bukanlah satu keputusan yang bijak.

Friday, August 01, 2008

Cara Bersalam "BONAMA"

Isteri C-bOk baru je forward email berkaitan dengan cara-cara bersalam baru yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Istiadat (ada ke jawatankuasa ni? He he..).

Jawatan Kuasa Kabinet mengenai Istiadat telah mengeluarkan Surat Pekeliling mengenai adab dan cara bersalam yang betul mengikut norma ke Malaysianan.

The Cabinet Committee overseeing ceremonial affairs has set out the following guidelines for the correct way of greeting or paying homage the Malaysian way. Sila fahami ..... For your understanding (and perhaps compliance?) Cara bersalam yang betul. The correct way to pay homage/greet

1. Badan perlu dibengkokkan 90 darjah. (bow at 90 degrees)

2. Yang menyalam perlu memegang kedua belah tangan orang yang disalam. (clutch hand of the person you are greeting with both hands)

3. Sengetkan kepala ke kanan sedikit untuk mendapat feel yang lebih. (tilt head to slightly the right for maximum "feel")

4. Mulut cium tangan perlu dimuncung lebih kurang 1 inci. (purse lips to kiss approx 1 inch)

CARA INI DI NAMAKAN ' BONAMA' iaitu BODEK NAK MAMPUS !!! translated as ingratiate (bodek) to (nak) death (mampus)

Me and My Dream Bike

Ini superbike Honda ST 1300. Bayangkan C-bOk yang sedang menunggang dengan full face helmet tu.

Di Malaysia, motor ini digunakan oleh polis trafik kita. Dengan kekuatan enjin 1300 cc, motor ini adalah antara motor yang berkuasa tinggi dan dalam masa yang sama mengekalkan imej segak mereka yang menunggangnya dengan rekabentuk yang menarik serta komposisi penunggang yang duduk tegak semasa memandu.

Harganya: RM86K ++. Sesak nafas.

Insyaallah kalau ada rezeki...

Wednesday, July 30, 2008

Mana Pakej Rangsangan Ekonomi?

Rata-rata semua rakyat kini sedar tentang keadaan ekonomi dunia yang semakin tenat. Saban hari kita di ingatkan tentang kenaikan harga minyak yang tinggi, peningkatan di dalam kos pengeluaran, kadar upah yang tidak sejajar dengan kenaikan harga barangan, penutupan operasi syarikat, kes sub-prima di US yang turut sama memberi kesan kepada ekonomi dunia dan sebagainya lagi.

Malahan, ramai pakar ekonomi yang menyatakan bahawa ekonomi US sudah lama malap dan turut sama membawa ekonomi dunia merudum kerana kebergantungan yang keterlaluan terhadap US Dollar dan juga pergerakan FDI dari negara berkenaan. Negara berkenaan sebenarnya telah muflis, namun masih terus bertahan atas faktor keluasan negara berkenaan dan juga bilangan penduduk yang tinggi serta lambakan Dollar seluruh dunia yang masih menyokong pergerakan ekonomi walaupun pada kadar yang amat sedikit dan perlahan.

Sehubungan dengan ini, pakar ekonomi telah lama meramalkan ekonomi dunia akan merudum selaras dengan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat. Tanda-tanda ke arah itu telah pun timbul seperti kejatuhan harga saham di pasaran-pasaran saham dunia akibat tidak adanya sokongan belian daripada pelabur-pelabur besar Amerika Syarikat dan sekutu baratnya yang dulunya merajai bursa-bursa saham dunia. Kadar inflasi juga meningkat dengan tinggi di setiap negara khususnya negara-negara membangun lanjutan daripada peningkatan kos operasi dan kadar permintaan yang menurun.

Ini tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara kita. Pakar-pakar meramalkan kemelesetan ekonomi negara (dan juga dunia) akan menjadi semakin teruk menjelang tahun 2009. Ketika itu, kita tidak lagi boleh mengharapkan negara-negara luar khususnya rakan dagangan tradisi kita untuk menyokong perkembangan ekonomi domestik. Mereka juga akan sibuk dengan usaha untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing daripada kemelesetan teruk yang melanda eonomi dunia.

Kita bukanlah tidak pernah mengalami masalah ini sebelum ini. Tahun 1997 ketika matawang negara dan juga negara-negara jiran di serang oleh penyangak matawang sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara, kita telah berjaya mengatasinya dalam masa yang singkat melalui program "Pakej Rangsangan Ekonomi" yang menyuntik pelbagai aktiviti bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta memastikan kecairan ringgit di pasaran. Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu mengkaji kesesuaian aktiviti ekonomi dari segala sudut dan mewujudkan pelbagai program pembangunan di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.

Berbeza dengan teori barat yang memberhentikan segala aktiviti ekonomi di dalam suasana kemelesetan, Malaysia (ketika itu) merancakkan lagi aktiviti pembangunan seperti pembinaan infrastruktur baru, bangunan baru, sekolah baru dan sebagainya. Program ini yang dinamakan program Pakej Rangsangan Ekonomi berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru serta memastikan kecairan ringgit di pasaran yang menggembirakan semua. Hasilnya, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang berjaya melalui suasanan kemelesan ekonomi dunia tahun 1997 - 1999 dengan jayanya.

Namun sebaliknya sekarang ini, kita masih belum melihat satu perancangan yang jelas untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda kita. Kepimpinan negara hanya sekadar ber retorik tentang suasana yang sedang kita hadapi sekarang ini dengan mengingatkan kita untuk "mengubah cara hidup". Sejauh mana kita boleh berubah bergantung kepada keupayaan masing-masing untuk merancang semula aktiviti ekonomi individu.

Apa yang perlu dalam keadaan sekarang ini bukan mengubah cara hidup kita. Kita perlu segera merancang untuk memastikan ekonomi negara terus aktif dalam suasana kemelesetan. Ini memerlukan pengumuman polisi serta aktiviti untuk menggerakkan ekonomi yang diterajui oleh Kerajaan pusat. C-bOk berpendapat kita perlu memperkenalkan semula Pakej Rangsangan Ekonomi yang mampu mewujudkan kerja-kerja pembangunan baru yang boleh membawa kecairan ringgit di pasaran. Ianya perlu diterajui oleh orang yang arif tentangnya seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad (mantan Perdana Menteri) dan juga Tun Daim Zainuddin (mantan Menteri Kewangan)

Malangnya, C-bOk rasa belum ada yang sedar terhadap keperluan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi ini. Kita lebih banyak berpolitik daripada berfikir. C-bOk harap kepimpinan kita segara bertindak sebelum terlewat.

Layan Diri di Stesen Minyak

Konsep layan diri di semua stesen minyak telah diperkenalkan di Lembah kelang sejak tahun 1997 dahulu. Langkah ini diperkenalkan untuk mengatasi masalah kehadiran tenaga kerja dari luar yang semakin meningkat dan menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Namun di sebalik penguatkuasaan peraturan ini, kita melihat masih ramai pekerja-pekerja asing yang mendominasi ruang kerja dan kounter bayaran di stesen-stesen minyak di seluruh negara khususnya di Lembah Kelang. Apabila stesen-stesen baru di buka, pasti warga Bangladesh dan Myanmar akan menjadi cashier dan pump attendant. Masalahnya mereka ini cuma tahu beberapa patah perkataan sahaja seperti "penuh", "diesel", "petrol" dan "cuci cermin". C-bOk pernah bercakap macam ayam dan itek apabila pekerja baru dari Bangladesh yang tak tahu maksud "penuh".

Di sebalik peraturan sedia ada berkenaan dengan larangan menggunakan tenaga kerja luar untuk perkhidmatan di stesen-stesen minyak, kita melihat sebaliknya. Mengapa perkara ini berlaku adalah jelas: Tidak ada penguatkuasaan ke atas peraturan yang telah ditetapkan!

Kini, Persatuan Pengedar Minyak Malaysia (PDAM) akan melaksanakan sendiri larangan penggunaan tenaga kerja asing di stesen-stesen minyak mereka berkuatkuasa hari Jumaat ini 1 Ogos 2008 kerana menyedari pergantungan berterusan terhadap tenaga kerja asing meningkatkan kos operasi mereka. Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan. Adakah kita akan melihat stesen minyak kita bebas daripada kebergantungan yang ketara terhadap tenaga kerja asing? Dan adakah kita akan melihat penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap peraturan ini oleh pihak berkuasa?

Friday, July 25, 2008

Pertemuan Dua A (Abdullah & Ahmad)


Abdullah Badawi dan Ahmad Said bertemu. Dua-dua tersenyum manja.