Wednesday, June 05, 2013

Ambil Tindakan Segera

 
 1.  Semakin hari semakin berleluasa mereka yang menggunakan alam siber untuk mengutuk dan menghina orang lain seolah-olah kita kini sudah tidak ada panduan lagi di dalam kehidupan;
 
2.  Saban hari kita membaca pelbagai catatan di alam siber khususnya di dalam blog-blog dan juga laman sosial seperti Facebook berkaitan dengan ketidak puasan hati masing-masing;
 
3.  Catatan berkaitan dengan politik sememangnya semakin hari semakin teruk.  Cercaan dan penghinaan terhadap mana-mana individu yang bukan seacuan dengan mereka kini adalah makanan harian di dalam blog dan juga laman-laman sosial ini;
 
4.  Keadaan ini semakin teruk apabila ada mereka yang menggunakan alam maya untuk menghina pemimpin-pemimpin agama termasuk Nabi Muhammad (SWT) dan juga agama Islam sendiri;
 
5.  Catatan terkini (seperti di dalam gambar) ialah oleh seorang yang berbangsa mengunakan nama Calvin Gani (atau mungkin individu yang menyamar) yang menghina Nabi Muhammad (SWT) dan juga agama Islam pada tahap yang sungguh durjana;
 
6.  Individu ini (Callvin Gani) bukan sahaja mengatakan Islam itu kafir dan sial, tetapi menuduh junjungan besar Islam, Nabi Muhammad (SWT) melakukan sex dengan pelacur;
 
7.  Ini adalah satu catatan yang tidak boleh diterima terhadap junjungan besar Nabi Muhammad (SWT) dan juga Islam;
 
8.  Jelas, individu ini menyalah gunakan laman sosial untuk menabur fitnah durjana tanpa menggunakan akal fikiran dan boleh menimbulkan kekeliruan;
 
9.  Tindakan segera hendaklah diambil oleh pihak berkuasa supaya ianya tidak berulang lagi.

Thursday, May 30, 2013

Bahasa Kebangsaan: Bahasa Malaysia

1.  C-bOk sedikit terganggu dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong-Zong) yang mempersoalkan perlantikan dua menteri Kabinet daripada kaum Cina iaitu Senator Datuk Paul Low Seng Kwan dan Datuk Mary Yap Kain Ching atas alasan kedua-dua mereka tidak fasih berbahasa Mandarin.

2.  Atas alasan ini, Dong Zong berpendapat kedua-dua mereka tidak dapat mewakili kaum Cina dengan efektif kerana tidak fasih berbahasa Mandarin.  Dong Zong berkata kedua-dua mereka hanya menamatkan sekolah Cina separuh jalan sahaja.

3.  Untuk rekod, Datuk Paul Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Datuk Mary Yap pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 di dalam kabinet pasca PRU13.

4.  Apa yang C-bOk rasa terganggu ialah, keperluan untuk fasih di dalam bahasa Mandarin dijadikan syarat oleh Dong Zong sebelum seseorang dilantik ke dalam Kabinet.  Sejak bila perkara ini perlu dijadikan syarat?

5.  Bahasa Kebangsaan di negara ini ialah Bahasa Malaysia dan ianya sudah termaktub di dalam perlembagaan.  Adalah menjadi syarat dan kebanggaan kepada rakyat negara ini untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

6.  Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memahami dan menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan bukannya bahasa Mandarin. 

7.  Jadi, sekiranya Dong Zong merasakan mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab, maka perkara ini tidak sewajarnya timbul.

8.  Dong Zong perlu keluar daripada kepompong ciptaan mereka sendiri dan tidak mempersoalkan perkara yang sudah menjadi asas perlembagaan negara bernama Malaysia ini.

Thursday, May 23, 2013

Tangkap di Bawah Akta Hasutan

1.  Berdasarkan kepada laporan media dan juga blog-blog tempatan, beberapa orang lagi tokoh pemimpin pembangkang telah ditangkap hari ini;

2.  Mereka yang ditangkap adalah YB Tian Chua, aktivis Harris Ibrahim dan seorang ahli PAS Tamrin Ghafar;

3.  Kesemua mereka ditangkap di bawah Akta Hasutan;

4.  Tindakan tegas Ketua Polis Negara dan PDRM sememangya diharap-harapkan oleh rakyat yang cintakan keamanan;

5.  Adalah diharapkan tindakan ini tidak dilihat sebagai tindakan politik, tetapi tindakan yang perlu diambil oleh pihak PDRM sebagai sebuah agensi yang profesional di dalam menjaga hak rakyat di bawah negara demokrasi;

6.  Pihak-pihak yang ditangkap juga tidak perlu gusar kerana undang-undang kita telus.  Sekiranya anda tidak bersalah - mahkamah akan membebaskan anda;

7.  Sekiranya takut dilambung ombak, jangan duduk di tepi pantai.

Minyak RON 97 Turun 20 Sen

1.  Harga minyak RON 97 turun sebanyak 20 sen di seluruh negara berkuatkuasa malam tadi;

2.  Dengan penurunan ini, harga minyak RON 97 adalah RM2.70 seliter berbanding dengan RM2.90 sebelum ini;

3.  Penurunan ini menunjukkan bahawa harga minyak boleh berubah-ubah mengikut harga pasaran dari semasa ke semasa.  Apabila harga pasaran menurun, Kerajaan boleh menurunkan harganya untuk kemudahan rakyat.  Begitu juga sebaliknya, apabila harga pasara menaik - Kerajaan perlu menaikkan harga supaya tidak mendatangkan kerugian kepada peruncit da juga Kerajaan (yang menyediakan subsidi);

4.  Ianya juga menunjukkan bahawa penurunan harga minyak boleh berlaku tanpa mengubah Kerajaan di Malaysia dan tidak sepertimana yang diwar-warkan semasa PRU ke 13 baru-baru ini di mana penurunan harga minyak hanya boleh berlaku apabila rakyat menukar Kerajaan sahaja;

5.  Kerajaan BN pula hendaklah mengambil kesempatan ini untuk mewar-warkan kepada rakyat berita baik ini;

6.  Adalah malang apabila media-media utama (termasuk milik Kerajaan) tidak menjadikan berita baik ini sebagai berita utama.  Sedangkan apabila minyak naik - sudah pasti ianya menjadi berita utama semua media (termasuklah media yang pro-Kerajaan);

Keputusan PRU 13 Di Wartakan Secara Rasmi

1.  SPR telah dengan secara rasminya mewartakan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada 22 May 2013 (semalam);

2.  Selaras dengan pengwartaan ini, semua calun dan parti-parti yang bertanding kini mempunyai tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan PRU13 berkenaan;

3.  Ini adalah selaras dengan Peraturan 27 - Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981;

4.  Sehubungan dengan ini C-bOk berharap mana-mana pihak yang tidak berpuashati akan mengambil kesempatan yang termaktub di dalam undang-undang untuk mengemukakan petisyen secara profesional dan beradab di dalam mencabar mana-mana keputusan yang mereka tidak berpuashati;

5.  Cara ini bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang, tetapi mekanismanya juga telah disediakan di mana pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh mencabar keputusan-keputusan yang diragui melalui saluran yang diiktiraf oleh undang-undang;

6.  Ini pastinya lebih baik daripada membuat tuduhan-tuduhan melulu dan perhimpunan di jalanan yang menaikkan kemarahan tetapi tidak mampu mengubah apa-apa keputusan melainkan meningkatkan kemarahan politik yang boleh menjerumuskan negara ke lembah kucar-kacir;

7.  C-bOk berharap semua pihak akan bertindak profesional dan waras sejajar dengan undang-undang negara ini yang telah termaktub sejak sekian lama. 

Wednesday, May 22, 2013

Kekalkan Malaysia Sebagai Pilihan Utama Para Pelabur

1.  Malaysia terus kekal sebagai pilihan utama para pelabur di rantau ini sebagaimana di lapurkan di sini.  Kenyataan berkaitan dengan perkara ini dibuat oleh UBS Investment Bank yang melihat pretasi ekonomi Malaysia terus kekal kukuh di sebalik ketidak tentuan global;

2.  UBS meramalkan "bahawa pelabur asing akan terus melabur di negara ini khususnya di dalam sektor minyak dan gas";

3.  Keadaan ini dijangka berlaku berikutan dengan prospek cerah ekonomi negara khususnya di dalam pelbagai aktiviti pembinaan infrastruktur yang sedang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan seperti projek pembangunan Aliran Transit Massa (MRT) di Lembah Kelang dan juga pelbagai aktiviti ekonomi yang dirancang dan sedang dilaksanakan di koridor-koridor pembangunan seluruh negara;

4.  C-bOk melihat pengiktirafan oleh UBS Investment Bank sebagai perakuan positif terhadap polisi ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.  Rancangan transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui pemantauan berterusan oleh PEMANDU jelas telah memberi kesan positif kepada kedudukan negara di mata para pelabur;

5.  Kenyataan oleh UBS Investment Bank tidak dapat tidak akan mempengaruhi syarikat-syarikat besar dari seluruh dunia yang sedang meninjau di rantau ini untuk mencari lokasi pelaburan baru mereka;

6.  Adalah menjadi jihad kepada semua di dalam negara untuk terus mengekalkan kedudukan yang positif ini bagi menjamin Malaysia terus menjadi lokasi pilihan kepada pelabur-pelabur ini;

7.  Jangan dibiarkan kedudukan positif negara tergugat akibat daripada ketidak tentuan khususnya dari kekacauan politik.

Wednesday, May 15, 2013

Tahniah Kepada Barisan Kabinet Baru

1.  YAB Perdana Menteri telah pun mengumumkan senarai Barisan Kabinet baru pasca PRU13;

2.  Tahniah diucapkan kepada semua yang dilantik.  Ini bukanlah lantikan untuk bersukaria tetapi lantikan kepada satu tanggungjawab yang berat untuk menguruskan negara;

3.  Jelas, sesuai dengan permintaan MCA (ataupun sememangnya PM tidak berminat lagi), wakil MCA tidak dilantik di dalam kabinet;

4.  Banyak muka baru serta profesional dilantik di dalam barisan baru ini;

5.  Yang menarik - pertukaran portfolio di antara Hishamuddin (Pertahanan) dan Zahid Hamidi (Keselamatan Dalam Negeri).  Semoga Zahid akan membawa "ketegasan" ke Kementerian KDN yang amat-amat diperlukan sekarang ini;

6.  Marilah kita doakan barisan baru ini akan membawa imej tegas dan berkesan di dalam semua yang akan dilaksanakan.

7.  Insya Allah.

Tuesday, May 14, 2013

Kabinet Baru: Menteri KDN

1.  Rata-rata di dalam pelbagai blog dan catatatan FB yang C-bOk baca membuat pelbagai ramalan tentang kabinet baru YAB Perdana Menteri yang dijangka akan diumumkan dalam sehari dua ini;

2.  Setiap blogger/penulis memberikan pelbagai pandangan dan ramalan tentang siapa yang patut dilantik, siapa yang patut digugurkan dan siapa yang patut dikekalkan.  Nama pelbagai tokoh disebut-sebut mengikut kesesuaian pada pandangan penulis itu sendiri;

3.  C-bOk melihat ada konsensus di kalangan penulis maya yang mereka tidak mahukan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn kekal sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN);

4.  Mereka mahukan seorang yang lebih tegas untuk memimpin Kementerian KDN, sesuai dengan perkembangan semasa pasca PRU13;

5.  Malaysia, khususnya pasca penghapusan ISA dan Akta Buang Daerah (atas desakan parti-parti politik - kerana mahukan populariti) sudah berubah.  Rakyat rata-rata kini semakin berani bersuara menyatakan pandangan mereka;

6.  Lantaran ini wujud satu suara mendesak yang keterlaluan sehingga kata-kata cacian menjadi makanan seharian khususnya di kalangan tokoh politik dan pemimpin-pemimpin NGO yang berpihak.  Pandangan-pandangan yang dikemukakan kadang-kadang jelas menjerumus kepada hasutan sehingga mewujudkan gerakan yang boleh menggugat keharmonian negara;

7.  Pada pandangan banyak pihak, ini terjadi kerana kelemahan Menteri bertanggungjawab di KDN.  Kebetulan, Dato' Seri Hishamuddin Tun hussein Onn adalah menteri bertanggungjawab sebelum PRU13 selaras dengan kedudukannmya sebagai Naib Presiden UMNO - satu kementerian penting yang biasanya diberikan kepada tokoh-tokoh kanan di dalam UMNO;

8.  Namun, suasana semasa memerlukan seorang yang tegas untuk memimpin KDN.  Negara tidak memerlukan seseorang yang terlalu berlembut untuk menjadi Menteri di sebuah Kementerian yang memerlukan ketegasan;

9.  Musuh negara dan mereka yang suka membuat kacau perlu diingatkan bahawa KDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan negara yang mengatasi mana-mana kepentngan individu.  Ini hanya boleh berlaku apabila "tindakan diambil" bukannya sekadar "mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk amaran" yang kini menjadi gurauan satu Malaysia;

10.  C-bOk yakin, YAB Perdana Menteri faham perkara ini!

Monday, May 13, 2013

Memajukan Negeri Sembilan

1.  Alhamdulillah, Barisan Nasional masih lagi menjadi pilihan rakyat Negeri Sembilan dan mengekalkan kepimpinan BN negeri untuk menerajui Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun lagi;

2.  Syukur juga ke hadrat Allah SWT, kerana YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan sekali lagi terpilih untuk menerajui Kerajaan negeri setelah diperkenankan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, walaupun ramai yang menjangkakan seorang MB baru akan dilantik;

3.  Kesinambungan kepimpinan negeri ini yang pada satu ketika dimomokkkan bakal dikalahkan oleh Pakatan Rakyat, sewajarnya membuka mata semua yang terlibat.  Jelas, ini bukanlah masa untuk bersuka ria.  Sekarang ialah masa untuk bekerja.  Jangan berlengah lagi;

4.  Langkah pertama YAB Menteri Besar ialah melantik dengan seberapa segera barisan EXCO yang akan bersama-sama dengan Menteri Besar bagi memacu pentadbiran negeri.  Pasukan yang berkerja.  Pastinya YAB sendiri tahu bahawa keputusan PRU13 memberi isyarat yang jelas bahawa BN umpama telur dihujung tanduk.  Bila-bila masa sahaja akan terkubur sekiranya tiada langkah proaktif diambil untuk memperbaiki pendekatan BN di dalam mentadbir Kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat;

5.  Pilihlah barisan EXCO yang agresif.  Pasukan yang bersedia untuk berkerja dan memacu daya ekonomi Negeri Sembilan ke paras yang lebih baik lagi;

6.  Seterusnya, rancanglah projek-projek yang boleh membawa perubahan kepada Negeri Sembilan;

7.  Tidak perlu diingatkan, pasti YAB pun tahu bahawa Negeri Sembilan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri jiran seperti Selangor, Pahang dan Melaka.  Negeri Sembilan juga tidak termasuk di dalam mana-mana rancangan pembangunan korridor - ini menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang terpaksa merancang sendiri projek-projek pembangunannya;

8.  Negeri Sembilan terletak di tengah-tengah perjalanan bagi mereka yang berualng-alik di antara Kuala Lumpur (Lembah Kelang) ke Melaka dan Johor.  Saban waktu, khususnya dihujung minggu kita akan melihat ratusan ribu kereta akan melalui lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban untuk ke Melaka dan Johor;

9.  Malangnya mereka ini hanyalah lalu sahaja di Negeri Sembilan tanpa singgah.  Tumpuan mereka adalah ke Melaka dan Johor.  Mereka yang lalu hanyalah meninggalkan asap pencemaran sahaja di sepanjang lebuhraya di dalam Negeri Sembilan.  Sesuatu perlulah difikirkan supaya mereka ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan;

10.  Dengan kekalnya Selangor di tangan Pakatan Rakyat, Negeri Sembilan sebenarnya berada dalam kedudukan yang terbaik untuk memposisikan Negeri ini di mata Kerajaan Pusat sebagai ganti kepada Selangor;

11.  Negeri Sembilan perlu mengkaji semua Aku Janji Kerajaan Pusat yang dibuat khusus untuk Selangor dan rundingkanlah agar janji-janji itu dibawa ke Negeri Sembilan. Antaranya cadangan untuk membina MRSM serta mewujudkan hab logistik antarabangsa di segitiga Sepang, Kota Raja dan Port Klang;

12.  Apakata, YAB Menteri Besar berunding dengan Kerajaan Pusat (Perdana Menteri) untuk membawa semua projek yang dijanjikan di dalam Aku Janji khas Selangor ke Negeri Sembilan?  Apa kurangnya Negeri Sembilan ini?  KLIA itu terletak bersempadan dengan Negeri Sembilan.  Seremban juga tidak jauh dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga KLIA;

13.  Negeri Sembilan juga mempunyai tanah yang banyak khususnya di sepanjang Lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur (PLUS) serta LEKAS yang boleh dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baru industri;

14.  Mana-mana pelaburan baru yang sedang mencari kawasan di Lembah Kelang/Selangor - berikan mereka alternatif untuk memindahkan pelaburan-pelaburan yang dirancangkan itu ke Negeri Sembilan;

15.  Namun, Kerajaan Negeri perlulah membuat persediaan khususnya dari segi menyediakan pasukan EXCO yang agresif serta pasukan kerja yang dahagakan kemajuan untuk Negeri Sembilan.

Friday, May 10, 2013

Jangan Sebarkan Khabar Angin

PRU13 telah pun tamat.  Pihak yang menang dan kalah sudah pun di ketahui.  PM sudah pun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri setelah diperkenankan oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong.  Manakala beberapa Menteri Besar dan juga Ketua Menteri juga telahpun mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan dan Gabenor negeri masing-masing.

Langkah terbaik bagi semua pihak sekarang ini adalah untuk menerima Qada dan Qadar bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Yang menang tidak dapat semua dan yang kalah pula tidak hilang semua.  Masing-masing mendapat bahagian yang telah diperkenankan oleh Allah SWT kepada mereka. 

Sehubungan dengan ini, C-bOk rasa eloklah semua pihak melupakan sengketa.  Sebaiknya bersatu dengan kumpulan masing-masing untuk muhasabah diri dan melihat apa yang tidak kena dengan diri/parti masing-masing.  Kenapa yang menang hanya menang sedikit.  Begitu juga dengan yang kalah - hanya kalah sedikit.  Sedangkan banyak yang sudah dibuat oleh setiap individu di dalam parti-parti yang bertanding.  Sembahyang hajat pun telah dibuat.  Bukan kecil-kecilan - tetapi secara besar-besaran.

Dalam keadaan negara kita baru sahaja selesai dengan PRU13 ini dan masih lagi terdengar-dengar hiruk pikuk serra laungan kempen tokoh-tokoh yang berkempen dan bertanding, eloknya masing-masing segera menyatukan ahli dan juga meletakkan negara sebagai keutamaan.  Kita hanya mempunyai tujuh (7) tahun sahaja lagi sebelum menjelangnya subuh 1 Januari 2020 di mana kita sepatutnya sudah menjadi negara maju.  Itulah negara yang hendak kita tinggalkan kepada anak cucu kita.

Namun apa yang kita cita-citakan akan hanya menjadi angan-angan yang tidak kesampaian sekiranya kita biarkan khabar angin menguasai kita.  Sekiranya kita biarkan ahli-ahli politik sewenang-wenangnya bercakap ikut sedap mulut.  Lebih-lebih lagi tokoh politik longkang yang mulutnya macam cibai.  Sekiranya dibiarkan, C-bOk khuatir negara kita akan terjerumus ke kancah yang tidak ada jalan pulang.  Negara yang kucar kacir kerana pertelagahan diantara kita.  Manakala negara-negara musuh bertepuk tangan melihat doktrin memusnahkan sesebuah negara sepertimana yang dilaksanakan secara halus oleh negara barat berjaya.

Kalau ada yang begini - tugas kita sebagai rakyat untuk tidak menjadi penyambung kepada khabar-khabar angin yang diwujudkan.  Nanti tak pasal-pasal kita yang terkena undang-undang Akta Hasutan.

Hentikan dan JANGAN sebarkan FITNAH!

Marilah kita bersatu untuk membina negara kita.

Friday, April 12, 2013

Hadi Awang Menafikan Penglibatan Tokoh Di Dalam Skandal Seks

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang telah menafikan penglibatan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang dikaitkan dalam video seks sebagaimana yang tersebar di dalam blog-blog hari ini.  Haji Hadi di dalam kenyataannya berkata

"Kita anggap ini satu fitnah dan beri pahala kepada Mustafa Ali.  Lagi lama dia (video itu) siar, lagi banyak pahala yang dia (Mustafa) dapat" kata beliau di Rusila, Marang, Terengganu.


Dalam masa yang sama, di dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini, seeloknya juga Mustafa Ali meletakkan jawatan daripada sebarang jawatan parti dan politik.

Sebabnya?

Kerana sekiranya ianya berlaku kepada mana-mana tokoh parti lawan (BN), pasti mereka sudah disuruh letak jawatan dan sebagainya.

Tuesday, January 29, 2013

Dr. Azizan (BERANI 2013) Ambil Alih Syarikat Tersenaraii?

Penceramah motivasi Dr. Azizan Osman yang popular dengan seminar percumanya, baru-baru ini membuat kenyataan yang dia bercadang untuk mengambil alih beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur.  Antara kenyataan beliau ialah sedang berunding untuk mengambil alih Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).

Walaupun C-bOk merasa bangga dengan perkembangan Dr. Azizan - pastinya hebat sekiranya beliau berjaya mengambil alih PNS.  Namun wajar kita kaji semula kenapa PNS ditubuhkan.  PNS bukan seperti agensi Kerajaan yang lain.  PNS membawa wadah untuk membina semangat keusahawanan khususnya di kalangan Bumiputra.  PNS mengenalpasti syarikat-syarikat yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai syarikat francais dan dikembangkan di dalam dan luar negara.  PNS juga menyediakan dana untuk melahirkan seberapa ramai usahawan khususnya usahawan Bumiputra.

PNS melaksanakan tugasan ini dengan dna yang disediakan oleh Kerajaan dan juga melaksanakan agenda-agenda yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan.

Bolehkan agenda-agenda pembangunan keusahawanan ini dilaksanakan oleh Dr. Azizan sebagai seorang individu?

Friday, December 28, 2012

Khairul Fahmi dan Leuniey selamat diijabkabulkan

Khairul Fahmi dan Leuniey selamat diijabkabulkan

Tahniah kepada penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi (Apek) dan Leuniey yang telah selamat diijab kabulkan hari ini.  Semoga berbahagia hingga ke anak cucu.

Thursday, December 27, 2012

Kenyataan Penggunaan Nama Allah Sebagai Ganti Tuhan Bermotif Politik

Motif politik Guan Eng - Hasan Ali

Lempar batu sembunyi tangan.  Itulah yang dilakukan oleh Lim Guang Eng sekarang ini.  Selepas menjolok sarang tebuan di dalam perutusan Hari Natalnya di mana LGE menyeru Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan penggunaan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan di dalam kitab Bible berbahasa Melayu di Semenanjung Malaysia, beliau terus berdiam diri.

Di sebalik polemik yang timbul akibat daripada kenyataan terbuka beliau, LGE hanya terus senyap dan tidak menjawab langsung semua kenyataan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak akibat daripada kenyataan sensitif yang dibuat oleh beliau.  Hatta kenyataan daripada rakan kongsi politik daripada parti PAS sendiri yang bergabung di dalam Pakatan Rakyat.

Yang jelasnya, LGE dan DAP meraih pulangan politik yang berganda daripada mereka yang berkepentingan melalui kenyataan beliau.  Sokongan daripada mereka yang mempromosikan penggunaan nama Allah bagi menggantikan nama Tuhan di dalam Bible pasti akan meningkat akibat daripada kenyataan beliau itu.

Apa tidaknya?  Lanjutan daripada kenyataan LGE - setiap hari beliau mendapat promosi percuma di dalam media cetak dan elektronik apabila pelbagai pihak membuat ulasan terhadap kenyataan beliau itu.  Disebalik kenyataan yang membangkang dan mencemuh tindakan beliau, mereka yang menyokong usaha penggunaan nama Allah itu bagi menggantikan tuhan pasti akan meningkatkan sokongan mereka kepada LGE dan dalam masa yang sama membukak semula kes ini yang telah pun ditutup sejak tiga (3) tahun yang lalu.

Menariknya pula, parti PAS melalui Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh LGE itu.  Setakat ini hanya beliau satu-satunya pemimpin kanan PAS yang telah mengeluarkan kenyataan.  Di sini, PAS juga mendapat keuntungan politik melalui bangkangan yang ditimbulkan.  PAS akan dilihat sebagai pejuang menentang usaha penggunaan nama Allah oleh Kristian.

Wah!  Hebat sungguh.  Nampak tidak bahawa ada dua pihak di dalam Pakatan Rakyat yang mendapat keuntungan politik daripada kenyataan LGE di dalam perutusan hari Natalnya?

Adakah berkemungkinan DAP dan PAS berpakat di dalam hal ini?

Friday, December 21, 2012

Ariffin dibidas di Dewan Negara

Ariffin dibidas di Dewan Negara

Persepsi yang salah.  Itulah yang boleh dirumuskan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Ariffin - wakil Melayu di dalam DAP.  Menyatakan bahawa rasuah berleluasa di dalam perkhidmatan awam adalah kerana ramainya Melayu di dalam perkhidmatan ini.  Dengan kata lain, sekiranya perkhidmatan awam di Malaysia di kuasai oleh bangsa lain seperti bangsa Cina dan DAP, maka rasuah tidak akan berlaku di dala perkhidmatan awam.

Ini adalah satu kenyataan yang dungu.  Berlakunya rasuah bukan kerana bangsa.  Tetapi kerana kegagalan individu menahan diri daripada melakukan kesalahan itu.  Ternampaknya Melayu yang melakukan rasuah bukan kerana bangsa Melayu itu menjadi puncanya.  Statistik yang menunjukkan Melayu melakukan rasuah adalah kerana majoritinya perkhidmatan awam itu dikuasai oleh orang-orang Melayu.  Manakala bangsa lain lebih cenderung untuk menyertai sektor swasta seperti berniaga.  Bangsa Cina umpamanya menjadikan perniagaan sebagai sumber pencarian rezeki mereka.

Sekiranya kita melihat Singapore sebagai contoh.  Saban hari ada sahaja berita berkaitan dengan tindakan yang diambil terhadap anggota perkhidmatan awam mereka yang rasuah.  Rata-rata yang dikenakan tindakan adalh berbangsa Cina.  Adakah ini bermakna sekiranya orang Melayu berkhidmat di agensi Kerajaan Singapore maka rasuah tidka berlaku?

Pastinya tidak.  Rasuah berlaku di mana-mana apabila ada yang memberi dan ada yang meminta/menerima.  Ramainya bangsa Cina dilihat menerima rasuah di dalam perkhidmatan awam Singapura adalah kerana majoriti perkhidmatan awam Singapura di kuasai oleh bangsa Cina.  Begitu juga di Malaysia di mana majoriti kakitangan perkhidmatan awam di kuasai oleh Bangsa Melayu. 

Itu pun tak boleh fikir?  Macamana nak jadi pemerintah?

Monday, September 10, 2012

Krisis air bakal jadi kenyataan

Krisis air bakal jadi kenyataan

Harap-harap ianya tidak menjadi kenyataan.  Sekiranya dibiarkan pertelagahan ini dan krisis air berkenaan benar-benar berlaku pasti akan menyukarkan ramai pihak.  Bukan sahaja rakyat akan sengsara, keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap kepimpinan kita serta negara ini akan terhakis.

Wednesday, May 09, 2012

kenyataan Irene Fernandez JAHIL

Kenyataan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez yang mengatakan Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia bukan sahaja tidak betul, keterlaluan dan berniat jahat untuk merosakkan negara ini pada pandangan dunia dan juga mengundang musibah yang tidak perlu terhadap kedaulatan negara.

Kenyataan itu bukan sahaja tidak objektif tetapi menggambarkan kedengkelan Irene Fernandez di dalam membuat analisa terhadap situasi sebenar isu yang dibangkitkannya.  Menuduh sememangnya mudah tetapi untuk membuktikan tuduhannya memerlukan fakta-fakta yang jelas seperti statistik, lokasi kejadian dan sebagainya.  Namun begitu, berdasarkan pengalaman masa-masa yang lalu, Irene Fernandez tidak berminat untuk mengemukakan bukti kukuh di dalam tuduhan-tuduhannya tetapi lebih suka membuat kenyataan memburuk-burukkan negara. 

Malangnya ada orang yang percaya secara membabi buta dengan tuduhan-tuduhan tanpa asas yang dibangkitkannya.  Malah lebih malang lagi, ianya dipolitikkan pula oleh orang-orang politik yang berkepentingan untuk melihat kejatuhan negara ini atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui.

C-bOk berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap Irene Fernandez.  Setidak-tidaknya membawa perkara ini ke mahkamah supaya ianya dibicarakan dan beliau diarah untuk mengemukakan bukti ke atas setiap tuduhan yang dibuatnya.    

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Jangan Berdemo di Mekah dan Madinah - Tanah Suci Umat Islam

Semua Umat Islam yang benar-benar menghayati kesucian agama Islam itu sewajarnya tahu bahawa tanah Suci Mekah dan Madinah adalah kiblat umat Islam tanpa mengira kaum, warna kulit dan bangsa.  Sewajarnya politik tidak di bawa ke kedua-dua kota suci Islam ini.  Namun segelintir mereka yang taksub dengan politik dengan berkiblatkan agama tersasar di dalam perjuangan politik mereka sehingga membawa kempen BERSIH ke Mekah dan Madinah.  Kes ini telah mendapat bantahan daripada Kerajaan Arab Saudi sehingga mereka mengeluarkan nota diplomatik kepada Kerajaan Malaysia.

C-bOk harap perkara ini tidak berlaku  lagi.  Agama Isam bukan agama PAS atau UMNO.  Kota suci Mekah dan Madinah adalah kota untuk semua yang beragama Islam.  Jangan berpolitik di kedua-dua kota ini. 

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Saturday, April 14, 2012

Wajah Anak-Anak Muda Yang Tidak Sedar Diri (?)

Golongan anak-anak muda yang berdemo di sekitar Dataran Merdeka hari ini. Mereka mahu PTPTN dimansuhkan. Bagi saya elok juga dimansuhkan, tetapi yang telah diberi, mereka perlulah membayar hutang itu. Hutang tetap hutang. Bagi anak-anak mereka sendiri di masa depan, terpulanglah kepada mereka sendiri mencari sumber unuk membiayai pengajian anak mereka masing-masing. Mungkin mereka lebih suka meminjam daripada bank komersial dengan kadar kos perkhidmatan mengikut kadar semasa di pasaran. Itu pun kalau mereka layak lah.




Friday, October 07, 2011

Bajet 2012 Kerajaan Terbaik.

Ketika saya menulis catatan ini, Perdana Menteri masih lagi menyampaikan ucapan Bajet 2012 di Parlimen. Setakat ini, saya dapati cadangan-cadangan yang dikemukakan amat baik dan jauh meninggalkan cadangan Bajet bodoh Pakatan Rakyat yang dibaca 3 hari lepas. Umpama langit dengan bumi.