Wednesday, February 25, 2009

Keputusan Bijak DYMM Tuanku Sultan Selangor

Pertemuan di antara DYMM Sultan Selangor dengan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini sememangnya di nanti-nantikan oleh rakyat negara ini khususnya rakyat Selangor.

Intipati perbincangan di dalam pertemuan tersebut sememangnya telah diketahui umum iaitu untuk membincangkan kedudukan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menawarkan untuk meletakkan jawatan EXCO Kerajaan negeri dan ADUN berikutan dengan tersebarnya gambar-gambar bogel/lucah beliau di alam maya.

Di dalam sebuah negara majmuk yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan juga Islam sebagai agama rasmi, apa yang dilakukan oleh Elizabeth Wong di dalam dunia peribadinya menjadi persoalan ramai apabila ianya tersebar kepada umum. Soal akhlak dan moral menjadi kayu ukuran walaupun wujud unsur-unsur penganiayaan apabila gambar tersebut disebarkan oleh pihak lain yang mempunyai sebab-sebab mereka yang tersendiri. Walaupun Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz beranggapan Elizabeth Wong adalah orang yang teraniaya, sebab dan musabab kepada berlakunya perkara ini (membawa lelaki bukan suami ke dalam rumah) di dalam masyarakat majmuk Malaysia yang kaya raya dengan adat ketimurannya adalah sesuatu yang taboo (tidak boleh diterima).

Apabila wujudkan keraguan untuk menerima perletakkan jawatan Elizabeth Wong oleh MB Selangor serta juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, (Anwar Ibrahim) dan cadangan untuk membawa perkara ini kepada DYMM Tuanku Sultan, C-bOk melihat satu usaha untuk "mencuci" tangan di kalangan kepimpinan PR, PKR dan Kerajaan Selangor. Ianya adalah satu cubaan untuk membawa DYMM Tuanku Sultan terbabit di dalam menentukan tindakan yang hendak diambil ke atas Elizabeth Wong bagi "melepaskan" Kerajaan Negeri daripada tindak balas politik ke atas mereka.

Namun, walau apa pun keputusan yang bakal di ambil oleh DYMM Tuanku Sultan, ianya pasti akan dipolitikkan. Keputusan untuk mengekal atau menerima perletakkan jawatan Exco dan ADUN pasti akan mendapat reaksi politik daripada kedua-dua belah pihak (Kerajaan Negeri dan pembangkang Negeri). Kerajaan Negeri pasti boleh "mencuci" tangan sekiranya Elizabeth di lucutkan jawatan. Sebarang "backlash" akibat daripada perlucutan jawatan itu akan disalahkan kepada Sultan. Begitu juga sekiranya Sultan mengekalkan kedudukan Elizabeth dan mendapat tentangan daripada pihak yang lain pula, maka Sultan juga yang akan disalahkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Perkara yang sama berlaku di Perak sebelum ini apabila mantan Menteri Besar (Nizar) merujuk kepada Sultan Perak untuk keputusan berkaitan dengan kedudukan Kerajaan negeri ketika itu dan berikrar untuk menerima apa juga keputusan Sultan. Namun apabila Sultan Perak membuat keputusan Baginda setelah merujuk kepada pihak-pihak berkaitan, keputusan yang tidak memihak kepada Pakatan Rakyat merungkai sikap, sifat an keperibadian kepimpinan Pakatan Rakyat kepada institusi Kesultanan Melayu. Sultan Perak bukan sahaja di derhakai, malahan di hina dan di caci oleh kepimpinan parti serta penyokong-penyokong parti seolah-olah kita sudah tiada adap lagi. Individu bersongkok, berkopiah yang menyekat kerabat di Raja dengan berbaring di tengah jalan jelas lari daripada adat dan budaya kita yang meletakkan Sultan dan Raja sebagai penaung kita.

Di sini C-bOk melihat kebijaksanaan DYMM Sultan Selangor. Pastinya setelah Baginda sendiri melihat apa yang berlaku di Perak. Baginda sudah membaca apa yang tersirat serta cubaan untuk menggunakan kuasa Baginda di dalam kemelut politik di Selangor. Dengan mengarahkan Menteri Besar untuk menyelesaikan sendiri kemelut ini, Baginda dengan bijak telah meletakkan institusi Kesultanan di atas politik dan membebaskan Baginda daripada sebarang backlash terhadap institusi Kesultanan di Selangor. Dalam masa yang sama, mengenepikan sebarang usaha untuk mengheret beliau ke kancah politik negeri yang celaru sejak di perintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengenengahkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti.

Membaca kenyataan akhbar Sultan, jelas Baginda mahukan Menteri Besar membuat keputusan yang sebijak-bijaknya di dalam menangani kemelut ini. Walaupun, tidak memberi arahan secara jelas apa yang perlu dilakukan, Baginda mahukan Menteri Besar membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat negeri Selangor.

Sebagai pemastautin di negeri Selangor, C-bOk tidak mahu pemimpin yang tercemar keperibadiannya. Susah C-bOk (dan pastinya ibu bapa yang lain juga) hendak menerangkan kepada anak-anak C-bOk sekiranya Elizabeth Wong yang tercemar peribadinya dengan kelakuan sebegitu sekiranya MB/Kerajaan Negeri dan Ketua Umum Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengekalkan jawatan EXCO dan ADUN beliau. Anak-anak kita akan beranggapan, kehidupan sosial itu OK kerana pemimpin melakukannya. Maka kembalilah kita ke zaman Jahiliah semula.

Semoga dijauhkan Allah s.w.t.

No comments: