Saturday, September 08, 2007

Bajet Yang Menggembirakan

C-bOk berada di jakarta sekarang ini. Walaubagaimanpun, di sebalik kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat dan temujanji dengan rakan-rakan niaga di bandar jakarta ini, C-bOk menerima SMS dari isteri di Malaysia yang memaklumkan penghapusan yuran sekolah rendah dan sekolah menengah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam pembentangan Bajet 2008 semalam di Parlimen.

Kepada YAB Perdana Menteri, terima kasih diucapkan di atas pengumuman tersebut. C-bOk berkesempatan untuk melayari internet dari Business Centre Hotel Nikko Jakarta. C-bOk cuba melayari beberapa laman blog yang popular dan kurang popular. Malangnya, setakat ini (Sabtu - 8 September 2007 jam 4.00 petang di Kota Jakarta) belum ada ulasan atau pandangan dari rakan-rakan blogger.

C-bOk merasakan ini adalah isu penting. Para blogger perlu turut memberikan pandangan mereka berkaitan dengan isu yang penting untuk kita semua. Sekiranya ada yang perlu dipuji, berilah pujian itu. Sekiranya ada yang perlu dibahas, bahaskan dengan objektif. Jangan berblog hanya apabila hendak menghentam sahaja.

Sebagai rakyat biasa dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan akan bersekolah, penghapusan yuran sekolah rendah dan menengah serta pemberian pinjaman buku teks tanpa mengira pendapatan keluarga adalah satu anugerah kepada rakyat yang amat berharga. Ini adalah pelaburan untuk masa hadapan kita. Bagi C-bOk, pemberian ini lebih bermakna daripada pengumuman berbilion ringgit bagi membangunkan wilayah-wilayah utara dan selatan sebagaimana yang diumumkan sebelum ini. Begitu juga dengan kebenaran untuk membuat pengeluaran setiap bulan dari akaun 2 KWSP bagi membayar pinjaman perumahan. Ini adalah antara beberapa pengumuman menarik yang dibuat di dalam Bajet 2008.

Kepada kakitangan Kerajaan, janganlah merasa hampa dengan tiadanya pengumuman bonus seperti tahun-tahun sebelumnya. Anda semua telah mendapat bonus lebih awal lagi dengan pengumuman kenaikan gaji sehingga 30% sebelum ini yang merupakan kenaikan tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan kepada seluruh kakitangannya. Penyusunan semula tanggagaji berkenaan adalah lebih bermakna daripada bonus sebulan yang hanya boleh dinikmati dalam masa yang singkat sahaja berbanding dengan tangga gaji baru yang lebih bersifat kekal.

C-bOk berharap, kesungguhan Kerajaan di dalam memberikan segala kemudahan dan kegembiraan melalui Bajet 2008 ini dihargai. Sememangnya bukan mudah untuk menggembirakan semua orang, tetapi C-bOk rasa ini adalah antara Bajet terbaik setakat ini.

No comments: