Monday, January 05, 2009

Kempen Selamatkan IJN

C-bOk mungkin terlewat membincangkan isu ini. Tetapi blogawan-blogawan lain telah ramai yang menulis tentangnya. Rata-rata menentang sebarang usaha untuk menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby.

Satu kempen untuk membantah usaha ini juga telah digerakkan di kalangan blogawan dengan meletakkan logo anti penswastaan ini di dalam blog-blog mereka. C-bOk tidak terkecuali, malahan berharap usaha murni blogawan untuk mengekalkan status quo IJN dalam bentuk asalnya akan berjaya membuka mata semua yang terlibat untuk tidak membuat sebarang keputusan yang kelaknya akan memberi kesan kepada satu inisiatif kemasyarakatan yang begitu murni di dalam memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia kepada masyarakat kebanyakkan dalam bentuk IJN.

Ironinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang boleh digelarkan bapa penswastaan negara juga tidak menyokong cadangan untuk menswastakan IJN. Selain daripada menerima rawatan jantung di IJN sebanyak dua kali, Tun sedar bahawa IJN telah banyak berjasa kepada rakyat di dalam memberikan perkhidmatan kelas terbaik dengan harga yang berpatutan. Doktornya bukan sahaja pakar di dalam bidang masing-masing, mereka juga mendapat ganjaran lumayan serta diberikan gelaran-gelaran duniawi seperti Datuk, Datuk Sri dan Tan Sri yang menjadi tiket untuk mendapatkan pelbagai kemudahan serta peluang yang lain pula.

Sehubungan dengan itu, motif kepada inisiatif untuk menswastakan IJN sungguh mengelirukan. Apakah yang ingin dicapai daripada inisiatif ini? Adakah untuk menjadikannya ianya lebih baik daripada sekarang? Dalam bentuk apa? Bukankah IJN baru sahaja dinaik taraf dengan menyediakan ruang tambahan yang mampu untuk menerima pesakit tambahan? Bukankah semua Doktornya mendapat pulangan yang lumayan serta pelbagai kemudahan lain? Bukankah perkhidmatannya sudah bertaraf dunia?

Jadi kenapa Pengerusi Sime Darby [Tun Musa] begitu ber-ia-ia untuk memastikan pengambilalihan ini berjaya? Apakah asas pertimbangan kerajaan [Perdana Menteri, Kabinet, EPU dan MoF] di dalam hal ini adalah semata-mata berasaskan kepada janji mulut Sime Darby untuk mengekalkan status quo IJN dari segi perkhidmatan dan bayaran perkhidmatannya. Bolehkah janji mulut itu dipercayai? Apakah escape clause sekiranya Sime Darby gagal di dalam mengotakan janji-janjinya?

Dalam hal ini juga kita melihat terlalu sedikit komen yang diberikan oleh pihak pembangkang. Tidak ada komen-komen menyengat daripada PKR, PAS dan DAP. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa mereka mungkin akan menyokong cadangan ini dalam diam dan amat berharap ianya akan menjadi kenyataan. Kerana sekiranya ianya menjadi kenyataan, maka itulah masanya mereka akan menghentam Kerajaan balik. Ibarat kata, satu isu bonus kepada mereka.

Perdana Menteri dan Kabinet perlu memikirkan perkara ini semasak-masaknya. Mereka yang menentang bukan bermakna mereka itu anti Kerajaan atau anti establishment. Mereka menentang kerana mereka sayang. Mereka mahu mengekalkan status quo, termasuk suasana sedia ada yang kondusif. Kesilapan membuat keputusan pasti akan memberi kesenangan serta kepuasan kepada beberapa pihak sedangkan dalam masa yang sama kita membunuh sebuah institusi. Kata-kata Tun Dr. Mahahir berikut wajar diberikan perhatian yang mendalam:

"The Barisan Nasional Government is not too popular today. Why do something that may give the opposition another issue to belabour the Government."

No comments: