Friday, April 29, 2005

Selamat Menyambut Hari Pekerja

C-bOk ingin mengucapkan selamat menyambut hari pekerja kepada semua pekerja di seluruh Malaysia. Tidak kira sama ada anda bekerja dengan orang atau bekerja sendiri, 1 Mei adalah hari anda. Tanamkan semangat dan tekad untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama.

Thursday, April 28, 2005

Diesel habis!

Sejak beberapa bulan ini tak habis-habis cerita "minyak diesel habis". Menteri berkenaan berkata ada kegiatan penyeludupan dan juga menjual semula minyak diesel oleh dalang-dalang yang mengambil kesempatan. Masalahnya oleh kerana marahkan "dalang-dalang" ini pengguna yang sebenarnya terpaksa menanggung akibat. Sistem kuota yang diperkenalkan memberi kesan yang bukan sedikit. Ekonomi negara SUDAH terjejas. Aktiviti ekonomi SUDAH terganggu.

Tindakan Kementerian berkenaan umpama "MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DI BAKAR".

Sampai bila masalah ini hendak diselesaikan? Tindakan segera perlu diambil oleh Menteri berkenaan. Bekalan minyak perlu dibekalkan dengan cukup. Dalam masa yang sama tindakan perlu diambil untuk mengekang masalah penyeludupan dan salah guna minyak diesel ini. Namun janganlah sampai menyusahkan pengguna.

Perodua Myvi


Perodua Myvi Posted by Hello

Perodua dijangka akan melancarkan model barunya Perodua Myvi pada penghujung bulan Mei ini. Walaubagaimanapun, tempahan telah pun boleh dibuat di mana-mana cawangan Perodua di seluruh Malaysia. Harga adalah dalam lingkungan RM40K hingga RM52K, tertakluk kepada spesifikasi kereta yang ditempah.

Seperti model-model terdahulu, model ini juga adalah dibina daripada kereta sedia ada dengan sedikit perubahan kosmetik. Kereta ini dibina daripada model Daihatsu Boon dan juga Toyota Passo yang telah pun dijual di seluruh dunia. Sesiapa yang berminat untuk melihat kereta ini dalam bentuk asalnya sebelum diubahsuai oleh Perodua bolehlah melawat laman web Daihatsu dan juga Toyota.

Tuesday, April 26, 2005

Tol Linkedua NAIK!

Dato' Seri Sammy Vellu mengumumkan kadar tol Linkedua akan NAIK mulai 1 Mei 2005. Ini bukanlah satu-satunya kenaikan yang diumumkan oleh Kerajaan. Kalau satu kenaikan tak apa. Kalau dah ada 10 kenaikan dan setiap kenaikkan memberi justifikasi hanya "10% sahaja kenaikkan" bagi menyokong cadangan mereka, bermakna pengguna terpaksa membuat peruntukan tambahan sebanyak 10% bagi 10 kategori yang berbeza. Ini macam 100% kenaikkan.

Sejak 18 bulan yang lalu boleh dikatakan semuanya NAIK. Sebagai pengguna, C-bOk merasakan kenaikkan ini memberi kesan kepada masyarakat. Mungkin orang lain kaya raya. Ada pula yang tak perlu bayar tol sebab semuanya masuk dalam perbelanjaan rasmi. Tetapi rakyat biasa macam C-bOk kena bayar sendiri daripada gaji sendiri. Keperitannya terasa. Pak Lah kena melihat perkara ini daripada kacamata masyarakat dan pengundi. Sekarang ini C-bOk berpendapat kerajaan ini banyak meNAIKkan harga sahaja.

Friday, April 22, 2005

Deman Kepialu di Kelantan

Deman kepialu di Kelantan semakin merebak. Setakat hari ini, kes serangan kepialu telah meningkat kepada 202 orang, manakala 3 orang telah pun disahkan mati akibat terkena jangkitan berkenaan. Dalam keadaan negara hanya tinggal kira-kira 15 tahun sahaja lagi untuk mencapai taraf negara Maju (2020), serangan penyakit kuno seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Jangkitan kepialu biasanya berlaku melalui air dan makanan. Pencemaran biasanya berlaku di dalam air yang telah tercemar dengan kuman najis manusia seperti air kencing ataupun najis.

Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana dengan kemudahan dan infrastruktur sedia ada yang canggih, manusia, khususnya di Kelantan masih terkena jangkitan kuman ini? Bagaimanakah kuman daripada najis boleh mencemari air dan makanan di Kelantan? Bukankah sudah ada bekalan air yang bersih? Apakah mungkin ramai pengguna yang tidak mendapatkan bekalan air yang bersih daripada paip dan masih menggunakan perigi? Atau adakah seperti kata Menteri Besar Kelantan sendiri, segala-galanya berpunca daripada sifat pengotor rakyat Kelantan sendiri?

Apakah tindakan Kerajaan Kelantan untuk mengatasi masalah ini? Setidak-tidaknya satu program meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan perlu dianjurkan dengan kadar segera. Perkara ini tidak boleh dibiarkan untuk tindakan Kementerian Kesihatan dan kerajaan Pusat sahaja. Atau dengan kata lain, perkara ini tidak boleh dibiarakan sebagai mengalah kepada takdir sahaja.

Thursday, April 21, 2005

Lama tak Online

Maaf kepada pembaca blog ini kerana saya sudah lama tidak online atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Insyaallah, saya akan kembali dengan komen-komen isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan kita seharian. Saja-saja nak c-bok.

Thursday, January 06, 2005

Tsunami: Politik?

Semalam C-bOk membuat catatan tentang masalah penyelarasan bantuan kepada mangsa-mangsa Tsunami, seolah-olah ada yang tak kena. Nampak semacam ianya dipolitikkan oleh orang-orang besar yang hendak mengambil kesempatan mempromosikan diri sendiri. Butir lanjut boleh dibaca di sini.

Sesungguhnya ramai yang telah muak dengan publisiti ini. Masanya untuk bergerak segera dan pantas supaya mangsa boleh memulakan hidup baru dengan segera. Janji untuk menyelesaikannya dalam masa "dua atau tiga minggu lagi" sukar untuk diterima. Ini amalan birokrasi (red tape). Hal-hal berkaitan dengan kertas kerja (paper work), perlu di kurangkan dan digantikan dengan "tindakan". Bukankah itu harapan pertama Pak Lah semasa mula-mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Tun Mahathir?

Tuesday, January 04, 2005

Tsunami: Apa Yang Tak Kena?

Selepas lebih seminggu tragedi ombak besar Tsunami yang melanda Utara Semenanjung Malaysia, seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan dari latar belakang yang berbeza telah menggembeling tenaga untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Pelbagai pihak telah menubuhkan tabung dan menyalurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit dan juga pelbagai barangan untuk diagih-agihkan kepada mangsa yang terlibat. Namun naluri kecil C-bOk rasa ada yang tak kena dengan cara kita menangani masalah ini, antaranya:


  • Selepas lebih seminggu, ada mangsa-mangsa ini yang masih tidur di bawah khemah buatan sendiri yang daif dan dengan hanya beralaskan tikar mengkuang ataupun kertas suratkhabar, sedangkan pelbagai pihak telah menyalurkan bantuan seperti khemah, tilam dan tikar yang lebih selesa untuk mangsa-mangsa yang terlibat;
  • Wang derma yang dikutip masih belum disalurkan sepenuhnya sedangkan berjuta telah dikutip di seluruh negara. Jumlah yang telah disalurkan adalah terlalu sedikit untuk membolehkan mangsa yang terlibat memulakan hidup baru. Cadangan seorang penderma baru-baru ini supaya setiap keluarga diberikan di antara RM15,000 hingga ke RM20,000 adalah jumlah yang lebih praktikal untuk setiap mangsa in memulakan hidup baru. Setidak-tidaknya mereka boleh membeli keperluan asas untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

Semua aktiviti nampaknya masih diperingkat penyelarasan. Lebih banyak aktiviti yang berbentuk 'public relation' daripada aktiviti kongkrit yang lebih objektif untuk menentukan masa depan dan hala tuju mangsa yang terlibat.

Monday, January 03, 2005

Hanya Masjid Yang Tinggal


Hanya masjid yang tinggal... Posted by Hello

Kemusnahan angkara gempa bumi dan Tsunami di Acheh memang sukar digambarkan dengan kata-kata. Semuanya musnah menjadi padang jarak padang terkukur kecuali sebuah masjid......

Friday, December 31, 2004

Tsunami: Menderma Dengan SMS

Akhirnya, teknologi SMS digunakan untuk tujuan kebajikan dan tidak semata-mata untuk mendapatkan keuntungan sahaja, walaupun agak terlambat. ASTRO dan syarikat-syarikat sekutunya seperti XFRESH dan Radio ERA telah melancarkan kempen untuk mengutip derma dengan SMS. Ianyanya boleh dilakukan dengan mudah oleh semua orang berbanding dengan cara konvensional yang lain seperti berikut:

Langkah satu:
Taipkan AMP

Langkah Dua:
Hantar SMS anda kepada 32323 @ 32555

Setiap SMS akan dikenakan bayaran sebanyak RM1.00 dan semua kutipan akan disalurkan kepada tabung bantuan bencana alam Tsunami. Memandangkan di negara kita ini ada berjuta-juta pengguna telefon bimbit, ambillah peluang ini untuk menderma kepada tabung bencana alam ini.

Thursday, December 30, 2004

Selamat Tahun Baru 2005


Banner oleh BERNAMA Posted by Hello

C-bOk ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2005 kepada semua pembaca dan sahabat. Tahun 2004 yang ditinggalkan pasti meninggalkan banyak kenangan kepada kita semua. Ada suka dan duka. Tragedi Tsunami pastinya meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Apa-apa pun, mulakan tahun baru ini dengan azam baru yang paling mudah - Untuk menjadi insan yang lebih baik dan berjaya daripada semalam.

Amaran Kemungkinan Tsunami Baru

Pusat Kawalan Kecemasan di India telah mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku ancaman Tsunami yang baru. Pusat itu telah mengesan gegaran susulan sekuat 5.7 magnitud di Utara Sumatra, Indonesia. Kesan daripada gegaran ini dijangka akan menyebabkan ombak besar di sekitar kawasan yang terbabit.

Harga akhbar NAIK!

Saudara Jeff Ooi dari Screenshot dan memaklumkan perkara ini dalam blognya pada 29 Disember 2004. Hari ini, perkara ini telah disahkan oleh pengumuman yang dibuat oleh dua kumpulan akhbar utama di negara ini seperti berikut:

Berita Harian Sdn. Bhd.
Utusan Melayu (M) Berhad

Pihak yang mengumumkan kenaikan mempunyai asas dan justifikasi mereka yang sukar untuk dipertikaikan. Seperti biasa, kenaikkan ini tidak dapat dielakkan memandangkan "kos operasi telah meningkat". Contohnya harga kertas newsprint telah meningkat.

Kenapa harga kertas meningkat?
Kerana pihak Kerajaan telah menaikkan cukai import kertas ini.

Selain daripada itu, kos pengangkutan juga telah meningkat.

Kenapa kos pengangkutan meningkat?
Kerana harga minyak dan caj tol telah naik.

Kenapa harga minyak dan tol naik?
Kerana Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan kenaikan itu lanjutan daripada ketidak mampuan Kerajaan untuk terus menanggung subsidi yang tinggi ke atas minyak dan juga bayaran tol.

Sekiranya disenaraikan memang ada banyak kenapa (persoalan) berhubung dengan kenaikan ini dan juga ada banyak jawapan serta justifikasi yang boleh diberikan. Namun, sejauhmanakah kita berupaya untuk menampung kenaikan ini dan juga sejauhmanakan kita berusaha untuk mengelakkan keNAIKkan ini daripada berlaku. Dulu minyak NAIK. Semalam tol NAIK. Esok harga akhbar pula NAIK. Lusa????

Ombak Tsunami di India


Ombak Tsunami di India Posted by Hello

C-bOk mendapat gambar ini daripada seorang kawan menunjukkan ombak Tsunami sedang melanda pantai India. Pusaran ombak dan buihnya nampak ganas sekali.

Toyota Unser Innova (Part II)


Toyota Unser Innova Posted by Hello

Ini satu lagi gambar Toyota Unser yang baru atau lebih dikenali dengan Innova. Model kereta ini telah pun mula dijual di Indonesia, Thailand dan Brunei dan dijangka masuk ke pasaran Malaysia dalam tahun 2005. Maklumat lanjut dan gambar-gambar yang menarik boleh di lihat di sini

Menyumbang secara online untuk Tabung Tsunami

Selain daripada sumbangan secara konvensional (cek, wang ringgit), beberapa organisasi antarabangsa telah menyediakan kemudahan untuk memberi sumbangan secara online. Sumbangan-sumbangan ini, insyaallah akan disampaikan kepada mereka yang memerlukannya di Malaysia dan negara-negara lain yang terlibat. Sumbangan anda boleh dibuat secara online di lokasi-lokasi berikut:

Star / Maybank Tsunami Disaster Relief Fund
Islamic Relief
Amazon.com
American red Cross
International Federation of Red Cross and Red Cresent Societies
Oxfam America
MercyCorps

Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Disebalik angka kematian.....

Angka kematian akibat Tsunami terus meningkat. Terkini, CNN melaporkan lebih 80,000 orang telah disahkan meninggal dunia. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan kerja-kerja mencari masih diteruskan terutamanya di Indonesia, Sri Langka dan India. Mayat-mayat yang masih terbiar dan telah membusuk pula dijangka akan mendatangkan wabak penyakit yang juga akan memberi kesan kepada penduduk di sekitar kawasan yang terbabit. Ramalan mengatakan angka kematian ini akan mencecah 100,000 dalam sehari dua ini.

Kita agak bernasib baik oleh kerana angak kematian tidak begitu banyak berbanding dengan negara-negara jiran kita, walaupun kemusnahan harta benda agak banyak. Kesannya kepada ekonomi negara juga dijangka tidak begitu membimbangkan oleh kerana Kerajaan dijangka akan mengumumkan langkah-langkah fiskal bagi mengatasi sebarang masalah yang mungkin timbul.

Namun begitu, di sebalik angka kematian ini, sudahkah kita melihat ke dalam diri kita? Gegaran yang singkat beratus batu jauhnya daripada tanah air kita memberi kesan yang begitu hebat kepada kehidupan kita. Kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sukar digambarkan. Bayangkan sekiranya gegaran itu berlaku di negara kita sendiri. Bayangkan sekiranya angka puluhan ribu itu adalah angka di negara kita sendiri. Sewajarnya, apa yang berlaku ini menyedarkan kita kepada kebesaran dan kekuatan Allah S.W.T. Bayangkan gegaran yang akan berlaku di akhir zaman nanti...

Wednesday, December 29, 2004

Menderma Untuk Tabung Tsunami

Malapetaka Tsunami yang melanda negara-negara Asia termasuk Malaysia telah menjadi penetahuan umum. Lebih 50,000 orang telah diistiharkan mati termasuk 60 orang di Malaysia. Sementara mereka yang mati pasti telah menamatkan satu episod dalam kehidupan mereka, kita yang tinggal perlu menghadapi tragedi ini dengan tabah.

Kerosakan akibat daripada bencana ini memang sukar digambarkan. Rumah musnah sama sekali, harta benda tidak boleh dipakai lagi, kemudahan infrastruktur rosak teruk, buku-buku sekolah, pakaian dan lain-lain lagi tidak boleh digunakan.

Pelbagai pihak telah tampil untuk memberi bantuan. Korporat dan individu yang prihatin telah pun mengistiharkan bantuan mereka dalam bentuk wang dan juga barangan. Kita juga perlu memainkan peranan untuk membantu. Berilah sumbangan walaupun sedikit. Pelbagai pihak telah mewujudkan pusat kutipan antaranya akhbar-akhbar utama seperti Berita Harian, New Straits Times, The Star dan Utusan Malaysia.

Hubungilah mereka ini untuk memberikan sumbangan anda.

Malaysia 2 - Indonesia 1


Mohd. Fadzli Saari dan Ponaryo Astaman (Gambar AP) Posted by Hello

Malaysia menewaskan Indonesia 2 - 1 di Stadium Gelora Senayan dalam pertandingan separuh akhir pertama bola sepak Piala Tiger.

Monday, December 27, 2004

Kerosakan Angkara "Tsunami"


Kerosakan harta dan kehilangan orang tersayang. Posted by Hello

Kemusnahan harta dan kehilangan orang yang tersayang akibat ombak besar yang melanda utara semenanjung Malaysia sehingga mengorbankan lebih 53 orang dan mencederakan beribu-ribu yang lain sememangnya sesuatu yang tidak dijangka. Kepada semua mangsa yang terlibat C-bOk ingin mengucapkan takziah bagi mereka yang kehilangan keluarga/orang tersayang dan banyak-banyaklah bersabar.