Monday, March 10, 2008

Mencari Erti PRU-12

Rakyat sudah bersuara. Suara keramat melalui peti undi sebagaimana lazimnya di sebuah negara demokrasi.

Terjemahan suara keramat itu menunjukkan 50.28% rakyat mahu mengekalkan status kuo dengan memberi mandat melalui majoriti mudah kepada Barisan Nasional untuk terus memerintah negara ini. Manakala 49.71% pula meletakkan kepercayaan mereka kepada Barisan Rakyat yang didokong oleh DAP, PAS dan PKR.

Dalam menterjemahkan hasrat rakyat ini, empat (4) buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah berpindah kepimpinan mereka kepada Barisan Rakyat (BR). Manakala Kelantan meneruskan kesinambungan kepimpinan PAS di negeri serambi Mekah tersebut. Peralihan kuasa daripada BN kepada BR ini sememangnya tidak di sangka-sangka dan memeranjatkan ramai pihak termasuk kepimpinan BR sendiri.

Melalui senario baru ini, adalah wajar BN melihat semula sokongan semua rakyat yang beralih arah. Apakah message yang cuba disampaikan oleh rakyat? Adakah ini message yang berbentuk peringatan sementara atau pun rakyat sudah bersedia untuk beralih arah kepada BR? Apa pula sebab-sebab yang menyebabkan peralihan kepercayaan rakyat ini kepada BR yang boleh dikira gabungan longgar yang langsung tidak mempunyai pengalaman untuk memimpin sebuah negeri kecuali PAS di Kelantan?

Untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini, kepimpinan BN perlu melihat "diri mereka sendiri". Jangan sekali-kali meletakkan kesalahan kepada rakyat yang telah meletakkan undi mereka kepada kepimpinan baru. Meletakkan kesalahan kepada rakyat menunjukkan sikap ego yang keterlaluan.

Rakyat bersuara kerana "diasak". Banyak isu yang perlu diberikan penelitian secara mikro oleh kepimpinan BN. Antaranya ialah:
  1. Kos sara hidup yang meningkat melalui kenaikan harga barangan, tol, minyak, dll;
  2. Persepsi membantu kroni melalui projek mega yang begitu ketara seperti PGCC dan Monsun Cup;
  3. Program pembangunan yang nampak tidak logik (NCER, ECER, WPI, etc). Rakyat tidak faham. Terlalu mega dan ambitious;
  4. Persepsi menaikkan keluarga di dalam hiraki politik/kepimpinan melalui "jalan belakang". Kepimpinan tidak bersuara terhadap isu ini. Tanpa komen/check and balance tentang isu ini menjadikan calon yang mendaki hiraki itu nampak arrogant, rakus dan sombong;
  5. Persepsi kempen pencegahan rasuah yang "hangat-hangat taik ayam". Heboh macam nak rak, lepas tu mati begitu sahaja;
  6. Peningkatan indeks jenayah dan rasa tidak selamat rakyat daripada kejadian-kejadian jenayah. Pencolekan, rompakan dan kerakusan along seolah-olah berleluasa;
  7. "Elegant silent" - tidak responsive kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat;
  8. "Kacang lupakan kulit";
  9. Pandangan akar umbi tidak penting;
  10. Media terlalu banyak melakukan "spinning";
  11. Menganggap pengundi khususnya Melayu tidak boleh berfikir. Suara yang menegur dicap sebagai "pembangkang" sedangkan teguran itu untuk kebaikan;

Kalau disenaraikan, mungkin lebih banyak lagi faktor-faktor yang boleh menjadi penyebab yang menyumbang kepada peralihan kepercayaan pengundi kepada BR. Namun kebangkitan semula BN di PRU ke 13 nanti adalah tertakluk kepada keupayaan kepimpinan untuk menterjemahkan message rakyat ini kepada tindakan-tindakan yang "memperbaiki keadaan".

Namun..., setakat ini belum nampak adanya "kesedaran menyeluruh" terhadap apa yang sedang mereka hadapi di kalangan kepimpinan tertinggi UMNO/BN apabila diminta memberi komen terhadap prestasi mereka. Ujian kedua ialah apabila Pak Lah menamakan barisan kabinetnya dalam masa beberapa hari nanti. Ada beberapa nama yang pasti akan menambah kudis kepada luka sekarang sekiranya dilantik untuk turut duduk dalam kabinet negara; hatta sebagai Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen sekali pun.

Semoga wujud kesedaran di dalam kepimpinan UMNO/BN tentang realiti yang sedang mereka hadapi sekarang ini. Pemikiran rakyat tidak lagi sama dengan pemikiran lapuk mereka.

No comments: