Friday, February 12, 2010

Zahrain Yang Berani!

Dato' Seri Zahrain Hashim secara rasminya telah meletakkan semua jawatan parti serta meninggalkan Parti PKR berkuatkuasa serta merta.

Adakah tokoh-tokoh lain yang seberani Dato' Seri Zahrain? Bagaimana pula pandangan tokoh-tokoh Pakatan Rakyat tentang perkara ini sebab ianya kini umpama sudah menjadi "senjata makan tuan"?

[Dulu DSAI pernah melancarkan perang saraf tentang "penghijrahan" tokoh-tokoh BN ke Pakatan Rakyat. Tetapi kini, strategi dan harapan "penghijrahan" itu berlaku sebaliknya]

Wednesday, February 03, 2010

Tanah YBK Di Rampas

Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk merampas tanah YBK dan memulangkan semula duit pembayaran yang telah dibuat sebelum ini.

Kalau sebelum ini, soal tunggakan dijadikan isu. Kini apabila pembayaran telah dibuat, tidak diterima pula. Duit hutang tertunggak yang telah dibayar akan dipulangkan semula kepada pihak yang membuat pembayaran.

Apa-apa pun C-bOk masih musykil dengan dua cara bertindak di dalam hal berkaitan dengan hutang dengan Kerajaan Negeri Selangor. Di satu sudut, hutang Talam Corporation kepada Kerajaan negeri dibeli oleh Kerajaan negeri untuk menyusun semula hutang anak-anak syarikat Kerajaan negeri. Terjemahannya kepada tindakan ini ialah, hutang Talam Corporation kepada Kerajaan negeri dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan kini ianya jadi hutang Kerajaan pula. Daripada tidak berhutang, kini sudah berhutang.

Di satu sudut lain pula, Kerajaan yang sama menolak pembayaran hutang oleh YBK kepada mereka.

Susah nak merasionalkan tindakan Kerajaan Negeri apabila dibuat perbandingan antara kedua-duanya.

Rasionalnya apa?

Sunday, January 31, 2010

Hutang YBK Tak Boleh Runding, Hutang Talam Corporation Boleh Runding [?]

C-bOk sekadar nak bertanya.

Kenapa hutang YBK sebanyak RM 5.4 juta tidak boleh dirundingkan pembayarannya? Sedangkan Kerajaan yang sama sanggup membeli hutang Talam Corporation kepada Kerajaan negeri yang melebihi RM 300 juta baru-baru ini?
Ada "double standard" ke?

Thursday, January 28, 2010

Kampus UiTM YBK: MB Selangor Tolak Pembangunan?

Soal lokasi di mana kampus UiTM yang diperuntukkan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor telah pun di ketahui. Lokasi yang telah diputuskan adalah di Kg. Seri Mendapat, Semujuk, Melaka. Untung orang Melaka. Tahniah kepada Ketua Menterinya yang agresif untuk membawa pembangunan ke negeri berkenaan. Walaupun kecil, tetapi kecil-kecil cili padi.

MB Selangor pula mengakui bahawa keputusan ini tidak akan merugikan Kerajaan Negeri Selangor. Yang rugi adalah rakyat Negeri Selangor. Itulah kenyataan beliau semalam selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. C-bOk melihat kenyataan ini berbentuk ego. MB tidak merasa apa-apa kerana dia pegang jawatan atau tidak, dia tetap kaya. Makan sampai mati pun tak habis. Ahli keluarganya juga pasi sudah terjamin. Dia orang korporat dan telah banyak buat duit. Jadi pembangunan sebuah kampus UiTM di Selangor begitu kecil bagi beliau.

Macam ini punya prinsip pun ada. Prinsip menolak pembangunan kerana keegoan politik. Kenapalah Menteri Besar Selangor dan Kerajaannya menggunakan pendekatan "marahkan nyamuk, kelambu di bakar"? Kerana marahkan YBK dan pendokong-pendokongnya, MB membuat keputusan untuk menolak satu pembangunan kekal yang boleh memberi kesan positif jangka panjang kepada rakyat dan negeri Selangor?

Exco-Exco lain khususnya dari DAP dan PKR, khususnya yang bukan Bumiputra tentulah lagi suka dengan keputusan MB ini. Kerana pembangunan UiTM adalah khusus untuk Bumiputra. Sekiranya program-program untuk Bumiputra di tolak oleh mereka yang berkuasa di Selangor, maka "yang lain" ni tak payah nak susah-susah nak menolak lagi. Sudah ada orang yang boleh menolak untuk mereka.

Rakyat negeri Selangor pula bagaimana? Takkan nak biarkan YBK keseorangan? Betul ke tidak mahu dengan pembangunan?

Tuesday, January 26, 2010

Kampus UiTM Untuk YBK di Melaka

Rasmi sudah!

Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan bahawa kampus UiTM yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di pindahkan ke Jasin Melaka. Cadangan asal untuk membina kampus berkenaan di Serendah, Rawang terpaksa di batalkan ekoran keengganan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan projek berkenaan.

Bagi C-bOk, Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berjaya mencapai kejayaan politik dengan membantutkan satu projek Persekutuan di Selangor.

Namun kejayaan politik ini tidak setimpal dengan "kerugian" yang dialami oleh negeri Selangor dan rakyatnya dari segi keuntungan yang boleh diterima sekiranya projek itu diadakan di Selangor dari segi kesan jangka panjang. Rakyat dan negeri Selangor bukan sahaja akan mendapat pelaburan Kerajaan pusat, dalam masa yang sama kewujudan kampus UiTM berkenaan akan menyemarakkan pembangunan modal insan dan capacity building bagi negeri Selangor.

C-bOk tertanya-tanya. Kenapa seorang Menteri Besar yang berbangsa Melayu dan dulunya pernah menjadi peneraju kepada usaha untuk memartabatkan bangsa melalui pemilikan saham dalam pasaran modal, kini menjadi "penghalang" kepada usaha untuk memartabatkan bangsanya sendiri. Tan Sri Khalid juga pernah bertelagah dengan kemimpinan UiTM dan tokoh-tokoh bangsa di awal perlantikannya sebagai Menteri Besar apabila saranannya untuk membuka UiTM kepada bukan Bumiputra di sanggah.

Adakah ada unsur dendam dan kebencian kepada UiTM sebagai satu institusi yang tidak mengikut cakap beliau, maka usaha YBK untuk membina satu lagi kampus UiTM di Selangor itu digagalkan?

Wallahualam.....

Friday, January 22, 2010

Al-Fatihah

Sultan Johor telah mangkat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Wednesday, January 20, 2010

Hidupkan Semula MeCD

1. Enam (6) Pertubuhan Melayu semalam meluluskan resolusi menuntut Kerajaan untuk mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD);

2. Langkah ini penting untuk menjamin kesinambungan pembangunan usahawan Bumiputra yang masih lagi merangkak-rangkak untuk membina kejayaan dari segi ekonomi ummah dan bangsa;

3. Tuntutan ini ada kewajarannya, bukan sahaja dari segi usaha untuk memayungi pembangunan keusahawanan di kalangan Bumiputra, tetapi juga dari segi memudahkan penyelarasan di dalam menyalurkan bantuan serta sokongan Kerajaan ke atas program-program yang berkaitan dengan pembangunan usahawan;

4. Langkah mewujudkan semula MeCD atau apa-apa jabatan/Kementerian yang menjalankan peranan yang sama pasti akan memudahkan proses membuat keputusan dan juga menyeragamkan aktiviti yang boleh dibuat oleh sebuah Kementerian yang diketuai oleh seorang Menteri, seorang Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawainya yang mempunyai 1 KPI, 1 objektif serta 1 hala tuju;

5. Pastinya langkah ini lebih baik daripada cara sekarang di mana program pembangunan usahawan dilaksanakan oleh 8 Kementerian yang berbeza yang mempunyai 8 orang Menteri, 8 orang KSU dan setiap mereka mempunyai KPI yang berbeza serta corak pemikiran yang amat berbeza. Ini tidak diambil kira pula masalah pokok Kementerian yang mengganggu penumpuan kepada program pembangunan usahawan. Contohnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini sibuk dengan masalah gula dan subsidi minyak. Manakala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula sibuk dengan usaha untuk menyelaras serta menyeragamkan idnustri pertanian itu sendiri yang begitu besar masalah dan lingkupan operasinya. Dengan masalah-masalah pokok Kementerian yang begitu besar sebegini, bila masa agenda pembangunan usahawan hendak dijadikan keutamaan Kementerian-Kementerian ini?;

6. Pastinya sebuah Kementerian atau Jabatan yang khusus untuk pembangunan usahawan adalah lebih baik daripada 8 Kementerian yang berbeza hala tuju;

7. Sekiranya soal keutamaan kaum/bangsa menjadi persoalan di dalam membuka semula MeCD, wujudkan sahaja MeCD dengan perkhdimatannya yang dibuka kepada semua bangsa/rakyat di negara ini. Ianya pasti boleh membantu pembangunan usahawan di negara ini dan pastinya lebih baik daripada memecah-mecahkan program pembangunan usahawan kepada 8 Kementerian yang berbeza;

8. Rasanya permintaan ini bukanlah satu permintaan yang sukar untuk dikaji dan dipertimbangkan.

Tuesday, January 19, 2010

Kekecewaan Yang Wajar

Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkaitan dengan kebenaran menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak oleh penganut agama Kristian.

Hmm..., sememangnya kekecewaan yang wajar. Lebih sudu dari kuah.....

Monday, January 18, 2010

Takziah Kemalangan Maut di Pulau Pinang

1. C-bOk nak ucapkan takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat dengan kemalangan maut sessi latihan perahu naga di Pulau Pinang;

2. Sesungguhnya kemalangan itu sudah tertulis dan tidak ada apa yang boleh menghalang kejadian ini. Segala-galanya sudah ditakdirkan. Hanya kesabaran menerima takdir yang boleh menjadi pengubat kepada kedukaan ini;

3. Walaubagaimanapun, ada kawan-kawan yang bertanya di mana pemimpin-pemimpin yang dulu buat rombongan melawat jambatan gantung yang roboh kat Perak tempohari? Ketika itu, kemalangan maut di negeri Perak dilihat sebagai begitu tragik serta mendapat liputan/ulasan pihak media alternatif (blog) yang membuat pelbagai andaian serta tuduhan;

4. Mana dia pemimpin-pemimpin besar yang membuat kenyataan besar semasa robohnya jambatan berkenaan sehingga keluar fatwa (fitnah) yang mengaitkan robohnya jambatan berkenaan dengan laknat Allah serta bala kepada individu tertentu?;

5. Adakah kemalangan ini juga kerana bala kepada individu / Kerajaan tertentu?;

6. Kenapa diam / sunyi "tanpa ulasan" ataupun "fatwa"?

Tuesday, January 12, 2010

Sultan Selangor Bertitah

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khas bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimat tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

[Titah Seri Paduka Baginda Sultan Selangor]

Titah Baginda itu adalah selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang ke-82 pada 5 Mei, 2008.

Adalah diharapkan, Titah Baginda ini akan juga akan menjadi panduan kepada Sultan-Sultan Melayu yang lain serta kepimpinan negara serta negeri di dalam menangani isu penggunaan Kalimah Allah. Keseragaman di dalam membuat keputusan terhadap isu ini adalah penting untuk menjaga keharmonian di dalam negara.

C-bOk juga berpendapat, tidak perlulah sesiapa juga pun, khususnya orang politik dan blogger yang berorientasikan politik terus memainkan isu ini dari sudut politik murahan. Ini isu Kalimah Allah yang Esa. Bukannya isu UMNO lebih baik daripada PAS atau PAS lebih baik daripada UMNO. Diri kita sendiri belum tahu ke mana hujung pangkalnya, maka eloklah kita bermuhasabah diri dengan isu ini.

Iklan: Ads4Bucks


Monday, January 11, 2010

Pertahankan Ke Esaan Kalimah Allah; Bukannya Ego Politik Anda! [Part 2]

C-bOk pernah menulis berkaitan dengan tajuk di atas sebelum ini di sini. Kenyataan itu C-bOk tujukan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam mempertahankan Kalimah Allah. Tidak kiralah individu, tokoh politik, blogger, NGO dan sebagainya.

Maklumlah, masing-masing semuanya nak menjadi hero.

Namun, apa yang C-bOk perhatikan rata-ratanya masing-masing membuat ulasan dan memberi pendapat bukanlah kerana nak mempertahankan Kalimah Allah itu sangat. Sebaliknya masing-masing mencari kesempatan untuk ....
  • menonjolkan diri sendiri;
  • menyalahkan orang lain;
  • menunjukkan mereka lebih Islam berbanding dengan orang lain;
  • menonjolkan parti politik mereka lebih baik (kononnya) dari parti politik yang satu lagi;
  • mengkafirkan orang lain;
  • usaha untuk "frame" orang lain dengan tuduhan tanpa bukti;

Ringkasnya, usaha untuk mempertahankan penggunaan kalimah Allah itu jatuh nombor dua. Objektif nombor satu ialah "mengambil kesempatan" untuk "kepentingan peribadi + parti" masing-masing.

Hasilnya, keluarlah pelbagai kenyataan yang tidak berpijak di alam nyata. Keluarlah tuduhan yang menuduh orang itu dan orang ini yang bersalah. Terjadinya kekalutan ini kerana parti ini dan juga parti itu dan sebagainya lagi. Yang tidak bersalah ialah orang yang bercakap itu sahaja. Dia lah yang paling baik dan dialah yang paling syumul.

Sedangkan musuh-musuh Islam itu bersatu. Paling tidak pun mereka berdiam diri dan tidak memberi sebarang komen (ada parti politik berasaskan bangsa yang enggan memberi komen/berkecuali?). Malangnya tokoh-tokoh dari kalangan orang Melayu (yang sepatutnya beragama Islam) bila buka mulut sahaja "menyalahkan" saudaranya yang beragama Islam di ketika kita sepatutnya bersatu.

Maka C-bOk sekali lagi ingin menyeru, "pertahankanlah ke-Esaan Allah itu. Bukannya Ego politik anda".

Iklan: Ads4Bucks

Tuesday, January 05, 2010

Pertahankan Ke Esaan Kalimah Allah; Bukannya Ego Politik Anda!

Seperti juga rakan-rakan yang lain, C-bOk membaca pelbagai catatan berkaitan dengan kemelut penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Herald - The Chatolic Weekly yang difailkan oleh Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur, Tan Sri Pakiam.

Beberapa hari lepas, sekiranya kita menjenguk Debat Rakyat dan juga Penggabung Suara, pasti boleh dikatakan sebahagian besar blogger memberikan tumpuan kepada isu berkenaan. Boleh dikatakan 99% blogger ini berbangsa Melayu

Walaupun terdapat banyak pandangan serta hujah-hujah bernas yang boleh membantu untuk menyelesaikan kemelut ini, namun satu aliran blogger politik yang mengambil kesempatan untuk berpolitik di atas isu agama sepatutnya tidak berlaku. Yang pro Pembangkang mencari kesilapan mana-mana tokoh-tokoh Kerajaan untuk dikaitkan dengan isu ini. Begitu juga sebaliknya, yang pro Kerajaan juga membuat catatan yang sama. Aku betul dan kamu salah menjadi asas di dalam menulis catatan blog masing-masing.

Masing-masing gagah dan gempita mempertahankan ego masing-masing sedangkan apa yang patut dipertahankan di sini bukannya keegoan manusia, sebaliknya ke Esaan kalimah "Allah " itu dan juga kesucian agama Islam.

Ini lah satu-satunya kesempatan untuk kita orang-orang Islam dan juga Melayu untuk bersatu. Ini jugalah kesempatan untuk kita menunjukkan semangat juang serta kekuatan Islam dalam menyatukan ummatnya. Kita hanya perlu melihat kembali kepada Al-Quran dan juga kekuatan Islam di negara ini sejak lebih 50 tahun yang lalu. Betapa kita hidup aman selama ini tetapi soal pokok (akidah) kita kini di serang secara halus......

Dan "pejuang-pejuang" [ :-( ] kita mengambil kesempatan ini untuk menyerang antara satu sama lain kerana "aku betul dan kau salah....."

Eloklah rujuk kepada kenyataan Timbalan Musyidul Am PAS, Datuk Dr. Harun Din yang bagi C-bOk menjawab secara ringkas tetapi padat tentang hukum menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

Saturday, January 02, 2010

"Rumah Allah" dan "Masjid"

Gambar ini C-bOk ambil semasa ke sebuah negara jiran pada awal tahun 2009.

Dari jauh nampak tulisan "Keluarga Allah", namun apabila sudah dekat ada perkataan "Gereja" di atasnya dan juga lambang salib. C-bOk mula-mula jadi keliru, namun kemudian tersedar dengan keterbukaan negara berkenaan tentang agama.

Terbukanya mereka sehingga mereka yang berbeza agama boleh berkahwin. Pernah dengar tentang kisah artis negara berkenaan di mana si suami yang beragama Islam berkahwin dengan isterinya (artis juga) yang beragama Kristian? Begitulah terbukanya mereka dengan agama sehingga perkara-perkara berkaitan dengan akidah di permainkan.

Di negara kita usaha untuk membawa negara ke era "keterbukaan" seperti negara jiran itu begitu agresif dilakukan sekarang ini. Gerakan menggunakan mahkamah untuk memancung eksklusiviti agama Islam sebagai agama rasmi begitu ketara sekarang ini. Keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang bukan beragama Islam untuk membenarkan penggunaan Kalimah Allah beberapa hari lepas dianggap sebagai "landmark judgement" oleh mereka.

Perkara ini jelas satu gerakan halus dan terancang untuk memperlekehkan agama Islam dan dalam masa yang sama memudahkan apa-apa agenda yang tersimpan di dalam kepala hotak mereka.

Merujuk kepada gambar di atas, tidak mustahil satu hari nanti semua gereja di negara ini dipanggil "Rumah Allah" sedangkan kita memanggil rumah ibadat kita sebagai "masjid". Bayangkan kekeliruan yang akan timbul apabila perkara ini berlaku kelak.

Kenapa sampai begini jadinya?


Mungkin kerana kenyataan YB Khalid Samad yang menyatakan persetujuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31.12.2009 yang membenarkan permohonan puak Kristian melalui akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan ALLAH bagi ganti nama "God" dalam penerbitan mereka. Hujjah YB Khalid menyokong puak Kristian menggunakan perkataan ALLAH boleh disimpulkan kepada 3 iaitu:

1. Nama "ALLAH" bukan milik ekslusif umat Islam;
2. Bahawa Al Quran sendiri membenarkan dan menggalakkan Kristian menggunakan perkataan ALLAH berdasarkan Surah Az Zukhruf: 86-87 dan Al Ankabut: 63;
3. Rasulullah sendiri tidak menghalang orang 'arab musyrikin Quraisy menggunakan perkataan ALLAH.
Baca ini untuk mengetahui isu dengan lebih jelas.

Kejayaan mereka bukannya kerana mereka kuat, tetapi kerana adanya tokoh-tokoh Melayu/Islam sendiri yang membenarkan hak-hak kita dan agama kita di caturkan oleh orang lain. Siapa dahulu yang bergembira apabila orang bukan Islam membaca Al-Quran di pentas politik? Bukan sahaja gembira, malah bermati-matian mempertahankan hak kaffir itu untuk membaca ayat-ayat Al-Quran di pentas politik sedangkan budak berumur 7 tahun pun tahu kesilapan nahu/tajwid pembacaan ayat itu dan juga hukum mempermainkan ayat-ayat Al-Quran (orang tak mandi wajib baca Al-Quran?)

Ataupun mana-mana perkumpulan yang menggelar diri mereka, parti mereka, ketua mereka sebagai juara Islam (orang lain kurang Islam atau tidak Islam) yang membiarkan perkara sebegini bermaharajalela di depan batang hidung mereka? Apakah ini bala yang sedang melanda negara kita dan juga orang-orang Islam di negara ini? Siapakah yang mendoakan agar bala menimpa negara ini?

Yang jelasnya, usaha-usaha penghinaan agama Islam dan nama Allah ini tidak boleh dibiarkan. Sekiranya mahkamah digunakan untuk mewajarkan "agenda" mereka, maka sewajarnyalah kita menggunakan mahkamah juga sehingga ke peringkat tertinggi untuk mempertahankan kesuciaan agama Islam dan juga keEsaan Allah s.w.t.

Dalam masa yang sama, C-bOk ingin menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan, para Ulamak, Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di negeri-negeri dan juga negara ini, pemimpin-pemimpin yang beragama Islam - sudah sampai masanya untuk duduk semeja berbincang dan merangka strategi bagi mempertahankan agama Islam.

Jangan biarkan sehingga nasi sudah menjadi bubur!

Friday, January 01, 2010

Perundangan Islam di Putus Oleh Bukan Islam?

C-bOk merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Laa yang membenarkan penggunaan Allah oleh penerbitan Herald Catholic Weekly.

Keputusan ini diambang tahun baru adalah sesuatu yang sungguh tidak menyeronokkan. Ini adalah satu penghinaan kepada Islam apabila hak-hak orang Islam ditentukan oleh orang bukan Islam. Bukankah kata pemutus berkaitan dengan hal ehwal Islam di negara ini terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu yang beragama Islam?

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010!

Apa azam anda di tahun baru ini? Saya berazam untuk BEBAS di tahun 2110 ini..... bebas berfikir, bebas beramal, bebas bertindak, bebas kewangan, bebas berkata-kata, bebas minda dan sebagainya lagi asalkan BEBAS. Insyaallah.

Sunday, December 20, 2009

Koh Tsu Koon! Itu Cadangan Bodoh!

SMS can be sent out every morning during Parliament sitting and those who cannot make it to the proceeding can reply to the message and inform the House that they will be absent. Such system will ensure that the number of Barisan MPs is always more than the number of Opposition MPs in the House by segments of time.
- Koh Tsu Koon
Kenyataan di atas dibuat oleh Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

C-bOk tidak bersetuju dengan cadangan ini. Malahan cadangan ini adalah cadangan bodoh. Kenapa perlu Ahli-Ahli Parlimen diingatkan setiap hari tentang keperluan mereka hadir di Parlimen? Bila sudah jadi Ahli Parlimen, maka mereka perlu hadir di Parlimen la. Bukan di tempat lain.

Saya undi mereka supaya mereka HADIR di Parlimen! Tak kira la kalau YB dari BN atau Pakatan Rakyat atau pun Bebas. Kalau cakap Melayu pun tak pandai dan tak faham-faham, BERHENTI lah jadi Ahli Parlimen. Bukan 24 jam duduk kat Parlimen tu. Cuma perlu hadir semasa persidangan sahaja.

Kalau dah malas nak hadir sidang Parlimen, balik kampong tanam jagung lagi baik!

Tiada maaf lah YB-YB semua (khususnya yang tidak hadir itu), kesalahan telah pun dibuat. Tetapi cuba untuk memberi justifikasi bodoh atas kesalahan YB-YB semua sememangnya menjengkelkan!

Nota:
Sehingga ke hari ini, belum ada kenyataan meminta maaf daripada mana-mana Ahli Parlimen (berpuloh-puloh orang) kepada rakyat tentang ketidak hadiran mereka di Parlimen! Dia orang (YB-YB ini) ingat kita/rakyat bodoh ke?

Wednesday, December 16, 2009

Beri Pistol Kat Nazri Aziz

“Mungkin selepas ini beri saya pistol, akan saya letakkan di kepala Ahli-ahli Parlimen (BN) dan tembak jika tidak hadir, baru nampak saya buat kerja"

C-bOk jarang bersetuju dengan Nazri Aziz, seorang menteri yang arrogance. Namun kenyataan beliau tentang keperluan untuk meletakkan pistol di kepala Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak hadir di Parlimen semalam wajar di berikan perhatian. Negara semalam berhadapan dengan kemungkinan kehilangan Kerajaan sedia ada kerana gagal mendapatkan kelulusan terhadap bajet 2010 yang sedang diperbahaskan di Parlimen.

Dimana Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang seramai 170 orang itu bila cuma 66 orang sahaja yang hadir untuk menyokong bajet berkenaan? Apa yang mereka sibukkan sedangkan dalam setahun hanya beberapa bulan sahaja yang ditetapkan untuk mereka menghadiri sidang Parlimen di mana hal ehwal negara di perbahaskan dan diluluskan untuk dijadikan undang-undang dan panduan pentadbiran negara?

Sibuk sangatkan mereka yang tidak hadir ini? Sibuk di mana? Tengah hisap cigar di hotel mewah, padang golf atau mengintai artis cantik untuk dijadikan isteri no. 2 @ no. 3 @ no.4?

Kenyataan Nazri Aziz itu adalah gambaran kekecewaan beliau terhadap apa yang berlaku, walaupun cumalah kiasan. Namun, inilah sikap ahli-ahli Yang Berhormat yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan suaran majoriti 2/3 di Parlimen pada PRU ke 12 dahulu. Tidakkah "post-mortem" yang dibuat dahulu mendalami perkara-perkara seperti ini? - Kegagalan YB-YB menjalankan tugas yang diamanahkan!!

...and they have the guts to question rakyat marhain "yang konon-kononnya tak mengenang budi dengan apa yang telah mereka/Kerajaan buat".

Ini bukan soal rakyat tidak mengenang budi. Ini soal YB-YB berkenaan tidak mengenang budi rakyat yang mengundi mereka. Rakyatlah yang meletakkan mereka di Parlimen (sementara) supaya mereka boleh berbincang dan membuat keputusan-keputusan penting untuk negara. Keputusan-keputsuan itulah yang menentukan masa depan kita (dan juga mereka). Namun kejadian semalam menunjukkan undi penyokong dikhianati.

C-bOk menyeru Perdana Menteri menamakan YB-YB berkenaan. Jelas ada yang tidak belajar dari PRU ke 12. Masih ramai yang lalai. Senaraikan mereka satu persatu supaya rakyat boleh tukarkan mereka di PRU ke 13 nanti. Ramai lagi yang layak jadi wakil rakyat. Seperti kata Zainol Abideen a.k.a. mahaguru 58, ini Dewan Rakyat, bukan Dewan Sekolah Menengah Bukit Jin Bertendang

Wednesday, December 09, 2009

Tak Perasan Lagi Ke? Satu-Satu Di Persoalkan!

C-bOk pernah menulis di sini dahulu tentang kecenderungan pihak yang satu ini mempersoalkan hal-hal yang berkaitan dengan Raja-Raja, Melayu, Islam dan Kerajaan (yang dipimpin oleh Melayu).

Terkini MASJID pula yang dipersoalkan.

Jika di perhatikan, nampak macam ada usaha yang terancang untuk mempersoalkan segala-galanya yang berkaitan dengan Melayu dan Islam. Berikut adalah senarai perkara-perkara yang telah dibangkitkan dengan tujuan provokasi khususnya dari parti yang satu ini.

(i) Taraf Bumiputra;

(ii) MeCD (kini dibubarkan);

(iii) Kedaulatan Raja-Raja (ada yang nak saman Sultan);

(iv) Dasar Ekonomi Baru (kini sudah berkubur tanpa nisan);

(v) UiTM (Universiti untuk Bumiputra);

(vi) Islam sebagai agama rasmi (ada yang bercakap "langkah mayat saya dahulu" kerana menolak Islam sebagai agama rasmi);

(vii) Biro Tata Negara (sampai Menteri parti pemerintah pun sama naik melatah);

(viii) Ketuanan Melayu (ada bekas Menteri parti pemerintah yang mengapi-apikan soal ini sehingga sanggup menggesa ahli partinya membangkitkan isu ini walaupun sehingga masuk penjara)- apa ni!?;

(ix) Bilangan masjid yang dibina di seluruh negara (terkini)

Tak lama lagi, tempat kita nak berak pun kena dipersoalkan juga oleh pihak yang satu ini.

Tuesday, December 08, 2009

Siapa "Mariam mokhtar"?

Siapakah perempuan Melayu produk MARA bernama Mariam Mokhtar ini? Mungkin ada yang berpendapat beliau membuat pendedahan berani. Namun berani kerana apa? Kerana politik atau keegoan diri yang melampau? Bagi C-bOk, jelas, Mariam Mokhtar menari mengikut rentak suara politik yang mempunyai agenda tertentu terhadap bangsa Melayu.

C-bOk rasa elok juga sekiranya Mariam Mohktar memperkenalkan dirinya (sekiranya benar-benar wujud) dan memperjuangkan apa yang diyakininya secara terbuka. Katakan dengan terbuka apa yang terbuku dihatinya di pentas ramai. Kemudian, elok juga Mariam Mokhtar sertai pula kursus-kursus yang diadakan oleh "orang lain", yakni menukar nama, rupa dan kulit untuk menyelami apa yang diajar di dalam "kursus-kursus" itu pula. Sekiranya mereka benar-benar 1Malaysia 100% barulah Mariam Mokhtar boleh bersuara.

Sekiranya tidak, maka C-bOk amat kesihan dengan seorang wanita tidak mengenang budi bernama Mariam Mokhtar ini. Bukan sahaja umpama orang lupa daratan, malah kini menabur pasir di periuk nasi orang yang dulu pernah membiayai penganjiannya sehingga menjadikan beliau seorang yang berpendidikan hari.

[Nota: Catatan tentang Mariam Mokhtar seperti yang dipetik dari ruangan Forum, Utusan Malaysia, Selasa, 8 Dismeber 2009 adalah seperti dibawah]

Sedarlah Melayu lupa diri

MALAYSIAKINI baru-baru ini menyiarkan artikel seorang Melayu produk Mara yang menulis mengenai betapa kejamnya BTN, tajuk artikel tersebut adalah BTN: Divisive, racist, politically-motivated.

Oleh kerana ia disebut sebagai pendedahan berani oleh wanita "Maluyu" produk Mara, artikel tersebut disokong oleh bukan Melayu. Malah mungkin Mariam Mokhtar merasakan diri beliau begitu hebat sekali, begitu Malaysia dan jujur.

Oleh kerana ia artikel berbayar dan saya tidak mahu buang duit untuk membaca coretan orang kecewa, di bawah adalah sebahagian petikan artikel beliau;

"For me, the seeds of poison were planted decades ago. Just before I went overseas to study, I was sent for 'orientation' at a Mara hostel to ostensibly prepare myself for life abroad. That weekend was a blur, and I recall four things:

1) Blocked toilets and flooded communal bathrooms.

2) Basic food, thus a friend's sister dropped off much needed rations of chocolates and 'kacang'.

3) How to wash your 'smalls' (underwear) in a cold country and have them dry by the next morning.

4) We assembled in small groups for out-of-door talks, in the school grounds. We were told that the Malays were the most supreme race in the world, we were God's chosen few, that the others were insignificant. We were warned about certain elements in our society..."

Isu ini sebenarnya bukan satu perkara besar, kerana semua orang maklum akan modul dan tujuan Kursus Biro Tata Negara ini. Tetapi ramai juga "Maluyu" yang dangkal akan sejarah, yang bodoh to read between lines, dan bebal memahami tujuan asal kursus Biro Tata Negara ini.

Pemimpin Melayu terdahulu sedar akan kebodohan kaum Melayu yang dijajah selama 500 tahun tanpa penentangan. Bagai rela dijajah asalkan senang, Melayu telah dibangunkan dengan nilai khianati bangsa, dengki dengan saudara sendiri, gelojoh mengejar dan mengekalkan kuasa, malas berusaha, tiada cermin diri mewajahkan sejarah, tidak mahu bersatu, sanggup berkerjasama dengan Syaitan asalkan periuk nasi terjaga, visi yang pendek dan tiada perancangan dalam kehidupan melainkan menyerah kalah pada ilahi seawal minit pertama kehidupan.

Oleh kerana semangat Melayu ini halus seperti benang dan jati diri yang bacul, Melayu condong menjadi lalang menyokong siapa sahaja yang memegang senapang. Bagai hamba yang tiada maruah, Melayu menjadi balaci, tali barut, tukang jilat kasut Jepun, British dan komunis.

Sehingga hari ini Melayu masih selesa menjadi hamba kepada Cina dan India. Apakah yang terjadi ini sekadar kebetulan atau ia satu gerakan terancang si penjajah yang mahu melemahkan bangsa Melayu yang 99 peratus Islam?

Wajar kita menghargai, mencintai dan mengingati Tunku Abdul Rahman bukan hanya kerana kemerdekaan dan Singapura, tetapi juga kerana pengorbanan beliau untuk menyedarkan Melayu.

Waktu selepas merdeka adalah waktu yang amat sukar menyatukan Melayu yang telah berpecah kepada penyokong British, Jepun, Komunis, Melayu, pengkhianat, barua, tali barut, pencacai kapitan Cina, pekerja estet, penduduk kampung pedalaman dan saki baki Melayu-Indonesia yang lari bersembunyi daripada pemerintah Republik Indonesia.

Usaha berterusan ini tidak disedari oleh kita termasuk Mariam Mokhtar kerana apa yang "Maluyu" ambil berat hanya pada diri sendiri semata-mata. Bagi orang Melayu, perjuangan menyatukan orang Melayu yang tidak pernah bersatu sejak 500 tahun dahulu tidak pernah berhenti dan didokong oleh setiap Perdana Menteri melalui pendidikan, Penyata Razak, DEB, BTN dan banyak lagi.

BTN sebenarnya memang platform untuk Melayu menanam sifat perkauman yang tinggi seperti yang ada pada setiap batang tubuh Cina.

BTN mahu menyatukan Melayu, mahu Melayu cintakan Melayu, mahu Melayu kuat (dengan bersatu bukan bercerai), mahu menterjemahkan semangat Hang Tuah yang berkorban demi kesejahteraan Melayu, mahu Melayu sedar akan sifat baik dan perasaan peribadi Hang Jebat tidak memadai membadai belenggu lemah yang menyelubungi perasaan Melayu, mahu Melayu menyingkirkan perasaan "Ah, tak pe," "Cina memang pandai berniaga susah Melayu nak lawan," "Biarlah, Cina kaya, kita makan gaji dapat gaji dapat makan cukuplah."

Pemimpin yang baik mahukan kaum Melayu kuat semangat dan berniaga seperti Cina. Siapakah yang bertanggungjawab menyedarkan Melayu akan pentingnya perilaku sekarang, demi masa depan anak keturunan mereka?

Perkara sama yang telah diabaikan oleh nenek moyang kita sejak menggadai Tanah Melayu selama lebih 500 tahun!

Apakah orang Cina, India, British, Malaysiakini, Mariam Mokhtar, Sin Chew Jit Poh, The Star, MIC dan lain-lain yang akan mengingatkan Melayu supaya berjuang untuk memecah penguasaan ekonomi mereka?

Apakah Mariam Mokhtar yang begitu bangga menceritakan bagaimana BTN meracuni Melayu untuk sayangkan bangsa Melayu sendiri sebagai perkauman.

Sifat PHD (Penting diri, Hasad, Dengki) adalah sifat semula jadi orang Melayu yang ditanam oleh penjajah.

Kerana kebebalan nenek moyang kita, Melayu tidak pernah mempunyai gerakan terancang seperti Freemason, Kristian, Persatuan Cina Seberang Laut dan Parti Koumintang. Yang ada adalah parti politik UMNO, Pas dan PKR.

Untuk melahirkan Bangsa Malaysia tanpa kaum adalah perlu semua orang berkorban, Melayu perlu korbankan DEB, terima pakai meritokrasi (layakkah Mariam ditaja Mara ke luar negara jika bersaing secara adil dengan pelajar bukan Melayu yang lebih cemerlang akademik), terima pakai tender terbuka (mampukah syarikat Bumiputera menyaingi kekuatan kewangan dan mutu syarikat bukan Melayu), kuota perumahan (mampukah Melayu membayar tunai memiliki hartanah dan rumah potensi tinggi jika ikut sistem First Come First Serve), mahukah Cina korbankan Sekolah Cina yang menjadi platform menebalkan semangat perpaduan Cina tolong Cina mereka, mahukah India yang kurang serba serbi bersaing secara adil sedangkan kasta atasan mereka hampir pasti tidak akan membantu mereka.

Memang ramai orang "Maluyu" profesional seperti Mariam Mokhtar. Mereka bersemangat menawarkan diri menghapuskan nilai kaum Melayu bagi memberi laluan kepada bangsa Malaysia tanpa kaum.

Saya bangga dengan orang seperti Mariam Mokhtar tetapi tidak memadai hanya fikirkan diri sendiri sahaja tapi tidak anak Melayu 100 tahun mendatang.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
Batu Caves, Selangor

Wednesday, December 02, 2009

Bukan Tidak Bertamadun......

..... cuma.., mereka ini tidak pernah menghadiri kursus Biro Tata Negara (BTN). Apabila tidak ada kesedaran sivik serta kefahaman moral, maka pertimbangan bukan lagi menggunakan otak.

Sebaliknya, kewajaran tindakan adalah berdasarkan kepada emosi semata-mata.....

Jadi...., biarlah mereka dengan sikap begini. Kita jangan buat begitu. Kalau sudah terbuat juga jangan diulang lagi.

Kalau mereka nak buat..., biarlah mereka buatlah selalu. Nak menari ronggeng atas gambar-gambar tu pun tak apa. Kerana dengan sikap itu barulah kita tahu sejauhmana falsafah perjuangan politik mereka. Lagi selalu buat, lagi banyak kita boleh paparkan di media untuk tatapan semua rakyat Malaysia.