Tuesday, November 30, 2004

Sayap Veteran UMNO Tak Perlu

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammudin membuat keputusan tepat apabila secara berterus terang menolak cadangan untuk menubuhkan sayap baru UMNO. Selama ini pun tidak ada veteran UMNO yang dipinggirkan, sebaliknya mereka ini sendiri yang tidak bergerak aktif atas sebab-sebab mereka yang tersendiri. Antaranya Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan kerana ingin berehat, Tan Sri Musa Hitam yang berulang kali menegaskan tidak mahu aktif, Tun Ghafar Baba yang telah sampai ke penghujung hayat politiknya dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama, masih ada ramai veteran UMNO yang masih bergerak aktif di dalam UMNO dan menyumbang kepada pelbagai aktiviti dan program yang dirancangkan. Ini termasuklah Presiden UMNO sendiri yang boleh di kira veteran. Begitu juga dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang sebahagian besarnya boleh dikira veteran dari segi umur.

Sayap sedia ada (Pemuda, Wanita dan Puteri) sudah cukup untuk ahli-ahli UMNO. Bagi mereka yang telah tidak layak untuk berada di dalam mana-mana sayap ini, mereka wajar meneruskan perjuangan mereka di dalam UMNO sendiri. Sekiranya mereka tidak lagi diterima untuk menjadi pemimpin itu tandanya sudah sampai masa untuk mereka membuka jalan kepada orang baru untuk meneruskan kepimpinan UMNO itu. Veteran yang sudah lama berkhidmat ini boleh meneruskan sumbangan mereka sebagai penasihat parti dan memberi tunjuk ajar kepada orang-orang muda yang baru hendak naik di dalam politik. Ini akan memberi mereka lebih banyak masa untuk beramal ibadat atau menjalankan aktiviti-aktiviti riadah sesuai dengan umur mereka.

No comments: