Monday, June 02, 2008

Perkara 20.10 Perlembagaan UMNO

Perkara 20.10 Perlembagaan UMNO begitu jelas bahawa mereka yang pernah bertanding melawan UMNO di pilihanraya tidak boleh diterima untuk menyertai UMNO semula seumur hidup.

Berdasarkan kepada fakta di atas, Ezam pernah bertanding di bawah bendera Keadilan pada tahun 1999 di Shah Alam melawan calon UMNO. Calon UMNO menang tipis di dalam pilihanraya tersebut. Pertandingan UMNO dan Keadilan di Shah Alam tahun 1999 merupakan salah satu tragedi di dalam politik Melayu di negara ini. Hakikatnya Ezam tidak boleh menjadi ahli UMNO seumur hidup beliau.

Namun, walaupun adanya peruntukan/peraturan yang jelas [perkara 20.10 di dalam Perlembagaan UMNO], Presiden UMNO ketika menerima borang kemasukkan semula Ezam ke dalam UMNO membuat kenyataan yang menggambarkan bahawa Ezam telah pun diterima masuk. Adakah Presiden UMNO tidak tahu tentang perkara 20.10 Perlembagaan UMNO ini? Kalau beliau tahu, tentu beliau tidak membuat kenyataan yang menunjukkan seolah-olah UMNO telah menerima semula Ezam tanpa sebarang syarat.

Sebarang keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan UMNO/parti adalah tidak sah. Sekiranya ianya hendak dilaksanakan juga, Perlembagaan parti perlu di pinda. Untuk meminda Perlembagaan parti, satu Mesyuarat Agong perlu diadakan bagi mendapat mandat untuk meminda perkara 20.10 yang berkenaan. Wajarkan satu mesyuarat agong dibuat hanya kerana hendak membawa masuk seorang Ezam?

Di dalam mengulas perkara ini hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Persiden UMNO yang terang-terang nampak tidak senang dengan perkembangan ini. Adakah Tan Sri Muhyiddin merujuk kepada perkara 20.10 Perlembagaan UMNO apabila menyatakan rasa tidak senang beliau tentang cadangan kemasukan Ezam ke dalam UMNO? Sekiranya beliau merujuk kepada perkara 20.10, kenapa ianya tidak dilapurkan oleh pihak media/akhbar? Atau adakah pihak media tersalah lapur? Atau sengaja tidak mahu membangkitkan perkara 20.10 berkenaan demi kerana kepentingan tertentu?

Sewajarnya perkara pokok seperti Perlembagaan dirujuk apabila sesuatu yang luar biasa seperti ini berlaku. Pemimpin UMNO perlu tahu tentang kewujudan peraturan-peraturan tertentu yang memberi panduan kepada perkara-perkara seperti ini di dalam parti. Pemimpin perlu tahu dan perlu merujuk kepada orang yang tahu. Di dalam hal ini, Setiausaha Agung parti perlu memastikan Presiden diberikan nasihat yang betul dan memastikan Presiden membuat keputusan yang betul.

Presiden pula perlu memastikan yang beliau sentiasa mendapat nasihat yang betul apabila hendak membuat satu-satu keputusan. Ini untuk memastikan Presiden akan kelihatan bijak apabila membuat keputusan.

No comments: