Sejak beberapa hari yang lalu kita dimaklumkan bahawa enam (6) orang dihadapkan ke mahkamah sementara seorang lagi dijangka akan dihadapkan ke mahkamah pada hari Isnin ini di Kuala Trengganu. Seorang sudah mengaku bersalah, manakala lima (5) orang lagi meminta dibicarakan.Kesemua mereka dituduh di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 kerana menyalahgunakan media alam maya (internet) untuk menimbulkan suasana tidak selesa dan porak peranda dengan catatan mereka. Lebih tepat lagi, mereka menggunakan internet untuk mencerca orang yang tidak mereka sukai. Di dalam hal ini mereka mencerca DYMM Sultan Perak lanjutan daripada kemelut politik yang berlaku di Perak.
C-bOk memerhatikan perkembangan ini sebagai satu sejarah serta perkembangan penting kepada kebebasan media serta sejauhmana masyarakat perlu menilai kebebasan mereka. Yang menjadi pengajaran kepada apa yang berlaku ini ialah kebebasan tidak bermakna kita boleh melanggar undang-undang. Ada undang-undang yang melarang kita dengan sewenang-wenangnya menyentuh institusi yang menjadi simbul kepada kedaulatan negara kita.
Malangnya ada yang melihat ruang internet sebagai medan untuk mereka melepaskan kemarahan dalam bentuk catatan bahasa yang menyalahi undang-undang. Kata-kata seperti cacian, perumpamaan negatif serta rujukan kepada perkara-perkara yang tidak elok seringkali menjadi mainan golongan seperti ini.
Dalam berbahas, kesopanan adat ketimuran yang menjadi sanjungan kita selama ini diketepikan. Kita mungkin pernah membaca blog SUKJ (ada di dalam blog roll C-bOk) yang menggunakan perumpamaan kasar ketika merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri dan lain-lain individu yang tidak disukainya. Blog berkenaan telah ditutup (mungkinkah ditutup oleh blogspot kerana banyak aduan dibuat terhadap blog berkenaan?). Ini adalah satu pengajaran kepada kita supaya tidak sewenang-wenangnya mentafsirkan kebebasan dengan berkata mengikut hati semata-mata. Malangnya inilah yang berlaku. Merujuk kepada catatan di pautan laman web DYMM Sultan Perak berkenaan, C-bOk rasa bukan enam orang, malahan mungkin berpuloh-puloh orang wajar di dakwa di mahkamah.
C-bOk kesal kerana daripada enam orang yang dihadapkan ke mahkamah, empat daripada mereka adalah Melayu. Adakah Melayu hari ini sudah hilang sifat ketimuran mereka? Membaca catatan-catatan di dalam blog-blog sosio-politik yang bertaburan di alam maya menunjukkan kemungkinan itu sudah menjadi realiti.
Kita boleh sahaja berbahas. Kita boleh sahaja menyuarakan pandangan kita. Namun ber "blog" lah dengan rasa tanggungjawab. Jangan menyalahgunakan kemudahan di alam maya.






























