Tuesday, July 09, 2013

Perihal Kelayakan Akademik Menteri & Orang-Orang Besar

1.  Terdengar khabar-khabar angin yang mengatakan ada Menteri dan orang-orang besar tertentu yang diragui kelayakan akademik mereka;

2.  Khabar-khabar ini mengatakan ada Menteri yang sebenarnya tidak melalui proses pembelajaran yang sewajarnya dan juga menduduki peperiksaan yang melayakkan mereka untuk mendapat ijazah pertama, ijazah lanjutan malahan MBA atau pun PhD;

3.  Namun Menteri dan juga sebilangan orang besar lain yang menjawat jawatan awam menayangkan pelbagai ijazah yang diperolehi dengan cara mudah.  Ada yang mendapat dengan cara menghadiri kelas atau kursus yang tidak setimpal dengan ijazah berkenaan dan ada yang membeli terus secara online dan sebagainya;

4.  Tidak salah untuk mereka membeli dan menayangkan ijazah-ijazah itu.  Ini dunia moden dan dunia demokrasi.  Apa sahaja yang kita nak buat, buatlah asalkan tidka tertangkap;

5.  Yang salahnya ialah apabila kita menjawat jawatan awam dan mana-mana jawatan lain yang penting, kita akan diperhatikan luar dan dalam.  Lebih-lebih lagi di dalam dunia serba moden sekarang ini - segala maklumat berada dihujung jari kita sahaja;

6.  Sebagaimana mudahnya kita membeli ijazah atau lain-lain kelayakan, semudah itu jugalah maklumat berkaitan dengan seseorang individu itu diperolehi;

7.  Sehubungan dengan ini adalah menjadi tanggungjawab moral sesiapa sahaja yang menjawat jawatan awam atau mana-mana jawatan penting untuk bertanggungjawab dengan apa juga yang berkaitan dengan diri mereka;

8.  Jangan menipu.  Kalau setakat SPM sahaja - akui.  Jangan malu.  Malahan akan nampak lebih wibawa apabila kita berkata benar;

9.  Kepada pihak yang membuat perlantikan pula - pastikan siasatan menyeluruh dibuat untuk memastikan latarbelakang mana-mana individu yang hendak dilantik ke jawatan penting adalah bebas daripada sebarang kontroversi;

10.  Adalah sukar untuk kita meletakkan kewibawaan kepada mereka yang dilantik sekiranya orang bawahan lebih pandai daripada orang yang dilantik untuk menjadi ketua;

11.  Lebih sukar lagi sekiranya perkara berkaitan dengan "penipuan" kelayakan ini diketahui;

12.  Oleh itu mereka yang melantik dan juga pegawai-pegawai yang menjadi penasihat - sila buat homework anda.