Wednesday, April 29, 2009

Peluang Perniagaan Sebagai Rakan Niaga MHC

Organisasi di mana saya bekerja - Malaysian Herbal Corporation (MHC), sebuah anak syarikat milik penuh 100% Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT) sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang mencari Rakan Niaga untuk dilantik sebagai Stokis Negeri dan Pengedar untuk mengedarkan produk-produk berasaskan herba Tunjuk Langit.

Tunjuk Langit adalah buah pokok mahogani yang kaya dengan bahan aktif flavanoids, saponin dan bitter alkaloid yang sesuai untuk membantu menghilangkan kelesuan, pembinaan semula tisu-tisu badan, penyakit kencing manis, darah tinggi, gout, gastrik dan lain-lain lagi penyakit kronik. Pengambilan kapsul tunjuk langit yang diekstrak oleh kilang TPM Biotech Sdn. Bhd. (anak syarikat Technology Park Malaysia) yang bertaraf GMP serta diiktiraf Halal oleh JAKIM akan meningkatkan daya ketahanan badan dan seterusnya menjadikan kehidupan kita lebih baik dan berkualiti

Sesiapa yang berminat untuk menjadi Rakan Niaga MHC atau pun mendapatkan maklumat lebih lanjut, silalah rujuk di laman web berikut: http://tunjuklangit2u.blogspot.com atau pun http://www.malaysianherbal.com

Sunday, April 19, 2009

Siapa Calun PKR di Penanti? Bakal TKM 1!

Siapakah calon PKR di Penanti nanti? Brother Anwar Bin Ibrahim menyatakan bahawa calun PKR adalah seorang yang paling kanan. Mungkinkah beliau sendiri yang akan bertanding di situ bagi mewakili PKR apabila membuat kenyataan tentang "caluin kanan" itu?

Mungkinkah beliau berhasrat untuk turut memegang jawatan ADUN selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh tempohari? Sebagai ADUN, beliau layak untuk memegang jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri. Mungkinkah Brother Anwar Bin Ibrahim juga turut mengidamkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang dikosongkan oleh Fairus?

Siapa pun calun yang bakal diketengahkan, adakah pengundi-pengundi di Penanti bersedia untuk memberikan undi kepada PKR lagi? Kerusi DUN yang dimenangi oleh PKR di PRU ke 12 tempohari melihat Fairus memenangi kerusi tersebut dan seterusnya di lantik sebagai TKM1 Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Apakah sumbangan Fairus kepada kawasannya? Adakah Fairus dan PKR sudah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membela nasib masyarakat di kawasan Penanti atau pun mereka sibuk membela nasib mereka sendiri?

Yang jelasnya, perletakan jawatan Fairus menunjukkan rendahnya kualiti pemimpin-pemimpin yang diketengahkan oleh PKR di dalam PRU dahulu. Mereka tidak bersedia untuk meneruskan perjuangan serta mempunyai masalah moral. Perkara ini terbukti dengan perletakan jawatan pemimpin-pemimpin PR yang diwakili PKR iaiatu di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan kini di Penanti pula. Adun di Bukit Lanjan yang juga di wakili calun dari PKR juga mempunyai masalah moral walaupun masih bertahan sebagai Adun dan Exco Kerajaan Negeri.

Ringkasnya, di sebalik kemeriahan PRU dan PRK serta kemenangan calun-calun dari PR di dalam PRK yang diadakan sejak beberapa bulan lepas, yang jelasnya, penyandang-penyandang jawatan tersebut sebelum di pilih semula melalui PRK adalah kayu.

Wednesday, April 15, 2009

MeCD: Dari "One Stop Centre" ke "EIGHT Stop Centres"

Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan akhbar berkaitan dengan penyerapan agensi-agensi di bawah MeCD yang dibubarkan kepada beberapa buah Kementerian. Peranan yang dahulunya diselia oleh MeCD kini telah dipindah/dipecahkan kepada 8 buah Kementerian lain. Ringkas kata, untuk satu isu keusahawanan, usahawan perlu berhubung dengan 8 buah Kementerian yang berbeza.

Adakah ini satu tindakan yang bijak? C-bOk rasa tidak! Ianya akan menyukarkan usaha untuk membangunkan usahawan Bumiputra dan meningkatkan birokrasi

Datuk Seri Najib, saya tidak bersetuju dengan Datuk Seri berkaitan dengan perkara ini.

Berikut adalah kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri.


Pejabat Perdana Menteri
KENYATAAN MEDIA PEJABAT PERDANA MENTERI
Penyerapan Fungsi-Fungsi Dan Agensi-Agensi Di Bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

Adalah dimaklumkan bahawa Y.A.B. Perdana Menteri telah bersetuju supaya fungsi-fungsi dan agensi-agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah dibubarkan berikutan pelantikan Anggota-Anggota Pentadbiran yang baru pada Jumaat, 10 April 2009 diserapkan ke kementerian-kementerian lain seperti berikut:

(1) Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

(2) Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri;

(3) Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

(4) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri;

(5) Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya;

(6) Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat dipindahkan ke Kementerian Kewangan;

(7) Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah;

(8) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (MAJU) dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi; dan

(9) Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dipindahkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

2. Penyerapan fungsi-fungsi dan agensi-agensi di atas akan terus memastikan peranan-peranan utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
sebelum ini, khususnya bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, memperluas dan mempercepatkan penglibatan Bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi akan terus diberi penekanan oleh Kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri
15 April 2009

Monday, April 13, 2009

Kenapa Bubarkan MeCD Pejuang Dasar Ekonomi Baru? [Part 2]

Edisi Kemaskini

***********
Hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau di Putrajaya. C-bOk berharap penjelasan yang memuaskan akan dibuat terhadap hala tuju kepimpinan beliau khususnya di dalam memartabatkan ekonomi Melayu/Bumiputra. Isu pembubaran MeCD perlu ditangani segera memandangkan ianya berpotensi untuk menjadi duri dalam daging kepimpinan beliau sekiranya tidak ditangani dengan cara berhemah dan bijaksana.

Ramai yang mahukan Kementerian ini di kekalkan. Ramai yang sudah bersuara. DSN bernasib baik kerana orang Melayu biasanya berhemah. Cakap-cakap mereka sentiasa berlapik dan penuh sopan santun, walaupun C-bOk tahu ramai yang membara hatinya dengan pembubaran MeCD.

Usaha untuk memindahkan agensi-agensi di bawah MeCD ke beberapa Kementerian lain bukanlah langkah yang baik kerana MeCD sudah menjadi satu "one stop centre" untuk usahawan. Dulu semua isu berkaitan dengan keusahawan hanya perlu dirujuk kepada MeCD. Memecah-mecahkan agensi-agensi ini kepada beberapa Kementerian adalah langkah ke belakang.

Sekiranya MeCD tidak boleh dihidupkan semula, C-bOk ingin mencadangkan kesemua fungsinya di pindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Mungkin Kementerian itu boleh dinamakan semula kepada Kementerian Keusahawanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Lagi pun di bawah MITI kini sudah ada SMIDEC, NPC dan juga MATRADE yang ada hubung kait rapat dengan program pembangunan usahawan. Meletakkan fungsi MeCD di bawah MITI akan memantapkan lagi program pembangunan usahawan di negara ini. Lagi pun Datuk Mustapha Mohammad adalah seorang yang tidak asing kepada fungsi MeCD kerana beliau sendiri pernah menjadi Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan satu masa dahulu.

***************

Menara MeCD yang tersergam indah di Putrajaya ini kini hanya tinggal kenangan dan menjadi satu lipatan sejarah di dalam usaha pembangunan ekonomi Bumiputra di negara ini.

Pemansuhan MeCD di dalam barisan kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) menghentikan usaha memantapkan keupayaan Bumiputra di dalam bidang keusahawanan dan ekonomi yang sepatutnya menjadi mercu tanda kepada perjuangan yang digerakkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputra yang telah melahirkan MARA dan seterusnya di perkukuhkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika mewujudkan MeCD sebagai sebuah Kementerian khusus bagi menggerakkan aktiviti keusahawanan di kalangan Bumiputra.

C-bOk menulis lagi tentang isu ini kerana berpendapat tindakan membubarkan MeCD adalah TIDAK TEPAT. Malahan selepas 9 hari kabinet baru ditubuhkan, Perdana Menteri dan KSN masih lagi belum mengumumkan dengan jelas tentang kedudukan aktiviti di bawah MeCD melainkan pengumuman ringkas tentang TEKUN dan MARA ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW).

Adakah bagi PM - MeCD itu hanyalah TEKUN dan MARA sahaja? Bagaimana dengan fungsi lain di bawah MeCD seperti Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), UDA, SME Bank, Bank Rakyat, PNS, Suruhanjaya Koperasi dan lain-lain lagi? Bagaimana pula pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai Bahagian di dalam MeCD sendiri seperti aktiviti 4PU, Program Pengiklanan dan Gerak Usahawan di bawah Bahagian Promosi dan Pemasaran, aktiviti Teknopreneur di bawah Bahagian Pembangunan Perniagaan dan lain-lain lagi?

Kalau di lihat dari sudut politik pula, C-bOk merumuskan keputusan ini sebagai mesej PM bahawa "pembangunan ekonomi Melayu/Bumiputra tidak penting". Melayu/Bumiputra kini kena bersaing dengan orang lain walaupun mereka tidak bersedia lagi. Bagaimana mereka hendak bersaing apabila mereka masih lagi belum "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan bangsa-bangsa lain. Dan bila mereka akan sama tinggi/sama rendah tidak lah pula dapat dijangkakan lagi kerana satu-satunya mekanisma untuk menyediakan Melayu/Bumiputra ke arah itu telah dibubarkan.

C-bOk tegas menyatakan telah berlaku kesilapan atau pertimbangan yang dangkal di dalam hal ini. C-bOk juga yakin yang C-bOk tidak keseorangan di dalam hal ini. Rata-rata tokoh politik, ahli perniagaan dan akademik telah pun menyuarakan pandangan mereka tentang hal ini. Memorandum juga telah diserahkan kepada TPM. Namun, apa yang termampu dikatakan oleh TPM setakat ini adalah seruan supaya kita bersabar menunggu penjelasan. Maknanya baru nak fikirlah alasan kepada pembubaran itu.

Untuk berlaku adil kepada PM, C-bOk akan menunggu penjelasan itu sebelum membuat pertimbangan muktamad, walaupun rasa kecewa yang amat sangat. Namun C-bOk harap PM tidak membuat keputusan yang silap seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dahulu apabila beliau membatalkan projek jambatan bengkok yang menjadi duri dalam daging kepada kepimpian beliau.

Dalam masa yang sama, beberapa bloggers lain juga turut membuat catatan tentang perkara ini seperti berikut:

Nobisha: Kementerian Pembangunan Usahawan: Elegant Silent Najib

Big Dog: Apakah Keberkesanan Pemansuhan MeCD dan Letak MARA dan TEKUN Bawah KKLW?

Gerakan Anti PKR: Amaran Kampu Kuning Pertama Kepada Najib dan Muhyiddin

Suara Melayu Baru: Makin Ramai Usahawan Bumiputra Bakal Gulung Tikar

Nobisha: Kementerian Pembangunan Usahawan

Mesin Taip Buruk: Kemana LPKP Hendak Di Bawa?

Paneh Miang: Batu Nesan MeCD

Mutiara Melayu Pulau Pinang: MECD Kecundang. MARA Tetap Ada

Pahit Manis: Bank Rakyat, SME Bank - Siapa Penjaganya?

Warisan2057: Lagu 3 Kupang: MeCD oh MeCD

Ada banyak lagi catatan tentang kegusaran orang-orang Melayu/Bumiputra dengan keputusan pembubaran MeCD ini.

C-bOk amat berharap PM segera memberi penjelasan khususnya komitmen beliau terhadap program pembangunan usahawan.

Friday, April 10, 2009

Kenapa Bubarkan MeCD Pejuang Dasar Ekonomi Baru?

Di sebalik pengumuman Kabinet baru Datuk Seri Najib yang telah dikecilkan semalam yang pada dasarnya diterima positif, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah dibubarkan.

Kementerian ini yang dilahirkan di era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad begitu sinonim dengan pembangunan usahawan di negara ini khususnya usahawan Bumiputra. Dengan mewujudkan sebuah Kementerian yang di ketuai oleh seorang Menteri bagi membangunkan ekonomi Bumiputra adalah satu pengiktirafan kepada usaha serta desakan untuk memberi perhatian kepada penyusunan ekonomi negara supaya penduduk Bumiputra berdiri sama tinggi dan duduk sama rata dengan bukan Bumiputra yang telah menguasai ekonomi negara sejak sekian lama.

Realitinya, MeCD adalah penggerak utama pembangunan ekonomi Bumiputra melalui pelbagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti MARA, Maktab Kerjasama Malaysia, TEKUN, PNS, UDA, Bank Rakyat, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di seluruh Malaysia.

Di bawah setiap agensi ini pula terdapat banyak inisiatif seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMARA, IKM, pinjaman perniagaan, skim latihan, pembangunan koperasi, pusat rekabentuk, Gerak Usahawan, SDSI, Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) dan sebagainya lagi. Melalui inisiatif-inisiatif inilah ekonomi Bumiputra mula berkembang sedikit demi sedikit walaupun masih jauh daripada kekuatan ekonomi bukan Bumiputra.

Pendek kata, MeCD adalah antara Kementerian yang menyumbang dengan agresif kepada ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan. Usahanya melahirkan usahawan-usahawan baru dan memupuk kekuatan usahawan sedia ada adalah amat penting kepada negara dan usahawan Bumiputra. Rata-rata golongan Bumiputra di negara ini melihat kepada MeCD sebagai tempat mereka bergantung apabila hendak memulakan perniagaan dan memantapkan operasi fasa pertama usaha-usaha niaga yang mereka lakukan sebelum mereka bersedia dengan cabaran yang lebih hebat di pasaran terbuka dan global.

Sehubungan dengan ini, apabila MeCD di bubarkan, C-bOk rasa amat kecewa. Usaha untuk memartabatkan ekonomi Bumiputra kini seolah-olah tidak lagi jadi satu agenda penting kepada kabinet baru dengan pembubaran kementerian ini. Kesannya kepada ekonomi Bumiputra dan ekonomi negara pasti besar. Manakan tidak, segala aktiviti yang dirancang dengan skala besar oleh MeCD sebelum ini kini akan dipecah-pecahkan kepada Kementerian-Kementerian lain pula yang pada pandangan C-bOk tidak berorientasikan kepada pembangunan ekonomi Bumiputra.

Sebagai contohnya, meletakkan MARA dan TEKUN di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. Walaupun inisiatif MARA da TEKUN masih akan diteruskan tetapi, objektif Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bukan kepada pembangunan usahawan. Sehingga catatan ini ditulis, masih belum jelas lagi di manakan agensi-agensi penting MeCD seperti SKM, PNS, SME Bank dan lain-lain akan di letakkan. Begitu juga dengan status aktiviti sedia ada seperti Gerak Usahawan, 4PU dan sebagainya lagi.

C-bOk tidak dapat tidak mentafsirkan pembubaran ini adalah mungkin selari dengan matlamat 1 Malaysia DSN. Objektif 1 Malaysia adalah kesamarataan peluang kepada semua rakyat di negara ini. Masalahnya Bumiputra masih jauh ketinggalan di negara ini dari segi ekonomi. Ketika kita baru hendak bertatih, tiba-tiba ianya dihentikan. Jadi, tindakan memberhentikan inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputra melalui MeCD ketika kita baru hendak bermula dan dalam keadaan krisis ekonomi global ini, C-bOk rasa kurang bijak dan pasti akan memberi kesan kepada persepsi masyaraka.

Namun hati C-bOk juga berkata-kata tentang kemungkinan adanya "tekanan" pihak tertentu untuk membubarkan Kementerian ini yang telah berjaya membantu pembangunan usahawan Bumiputra. Pelbagai aktiviti terancang yang sedang dan akan dilaksanakan mengundang banyak perasaan "iri hati" golongan tertentu. Mungkin kah ada yang tidak suka dengan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini?

Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan ekonomi Bumiputra masih lagi satu perjalanan yang jauh. C-bOk berharap Datuk Seri Najib menjelaskan dengan segera komitmen beliau dan Kerajaan pimpinan beliau di dalam usaha-usaha pembangunan ekonomi Bumiputra. Begitu juga dengan persatuan serta dewan perdagangan Bumiputra di negara ini perlu mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan untuk memastikan ekonomi Bumiputra tidak terus ketinggalan.

Namun C-bOk berharap DSN mengkaji semula keputusan ini dan mempertimbangkan semula untuk mengekalkan MeCD dan peranannya di dalam membangunkan ekonomi Bumiputra melalui pelbagai agensi di bawahnya.

Thursday, April 09, 2009

Masa Untuk Bekerja

Penantian sudah berakhir. Nama-nama anggota kabinet untuk membantu Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) telah diumumkan. C-bOk membaca blog dan media online untuk melihat pelbagai komen dan pandangan yang dikemukakan oleh "pakar-pakar" yang memberikan pandangan dari pelbagai sudut.

Ada yang memuji, tidak kurang juga yang mengeji. Ramai juga yang "clueless" kerana cuba menterjemah idea yang cuba dibawa oleh DSN di bawah era baru kepimpinannya. Masakan tidak, hujah dangkal seperti ini mengundang persoalan terhadap penulisnya berbanding dengan isu yang cuba di ketengahkan.

Namun, sekiranya kita hendak memenuhi hasrat semua pihak, pasti sampai kiamat pun kita tidak akan ke mana. Alangkan zaman Nabi dahulu pun ada yang menyokong dan ramai juga yang membangkang sedangkan Nabi membawa ajaran yang terbaik kiriman Allah s.w.t. Ringkasnya kita tidak mampu untuk membuat satu-satu perkara yang bakal mendapat 100% kepuasan. Sebaliknya kita perlu cuba untuk membuat yang terbaik dan DSN jelas cuba memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia dengan "kabinet rakyatnya".

Sehubungan dengan itu, C-bOk berpendapat DSN telah membariskan satu pasukan yang mantap untuk memacu negara menghadapi pelbagai masalah dalaman dan juga luaran yang sedang menguji kekukuhan ikatan persaudaraan masyarakat majmuk di negara ini, ujian terhadap kelangsungan kepimpinan BN dan juga asakan kemelesetan ekonomi global yang sudah semakin jelas mengasak ekonomi negara kita.

Apa yang penting sekarang ialah kesemua anggota kabinet yang dilantik perlu bekerja dengan segera. Tidak ada masa untuk "honey moon" seperti yang berlaku sebelum ini. Tidak ada option lain melainkan memulakan langkah untuk menyusun semula negara ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan DSN dan barisannya membuat perubahan.

Seruan ini tidak terhad kepada barisan saf kepimpinan sahaja; mekanisma pentadbiran juga perlu segera melaksanakan proses untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam dan luar negara terhadap Malaysia kerana kita pernah pada satu ketika (tidak berapa lama dahulu) dijadikan contoh, disegani dan dicemburui oleh kawan dan lawan.

Begitu juga dengan rakyat. Kita mempunyai peluang yang terbaik sekarang untuk membina sebuah negara baru di bawah kepimpinan baru. Inilah masanya kita menyoal diri kita "Apakah sumbangan kita kepada negara kita untuk menjadikan ianya lebih baik?"

Tuesday, April 07, 2009

Siapa Menteri Kita?

Siapa yang akan menjadi menteri kabinet dan berapa besar kabinet Datuk Seri Najib (DSN) adalah persoalan yang kini bermain di fikiran seluruh rakyat Malaysia.

Setelah memulakan beberapa hari pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan mesej-mesej jelas bahawa beliau bakal membawa perubahan kepada kepimpinan negara seperti membebaskan tahanan ISA, mengkaji Akta ISA dan lain-lain, pengumuman nama-nama mereka yang akan menyertai saf kepimpinan beliau adalah dinanti-nantikan. Bukan sahaja oleh parti-parti gabungan BN, malahan oleh parti-parti pembangkang serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Setelah Malaysia boleh dikatakan "layu" sejak 5 tahun dahulu, rakyat menantikan gabungan terbaik yang mampu diketengahkan oleh DSN untuk memacu negara dalam masa yang singkat untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi melahirkan sebuah negara Malaysia yang maju. Maju mengikut acuan kita yang terdiri daripada negara majmuk yang didiami oleh pelbagai kaum dan budaya.

Tahun 2020 bukanlah lama lagi. Kira-kira 11 tahun daripada sekarang. Ketika ianya dilahirkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad, faktor kemelesetan ekonomi global yang sedang kita hadapi sekarang serta setback selama 5 tahun di bawah kepimpinan terdahulu tidak diambil kira malahan tidak dijangkakan. Untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul pastilah mengambil masa yang lama serta komitmen yang jelas serta tegas di kalangan pemimpin eksekutif negara.

Sehubungan dengan ini, DSN mempunyai tugas yang amat berat namun perlu dilaksanakan di dalam menamakan gabungan saf yang terbaik untuk bersama-sama beliau. C-bOk berharap, DSN meletakkan keutamaan kepada menyusun semula kedudukan ekonomi negara di dalam menamakan tokoh-tokoh yang akan membantu beliau. Begitu juga keutamaan untuk menyusun semula Kementerian-Kementerian yang akan dipertanggungjawabkan sebagai vehicle memacu pertumbuhan itu.

Gabungan terlalu banyak Kementerian seperti yang ada sekarang mewujudkan banyak kekeliruan serta proses yang tidak perlu untuk satu-satu inisiatif. Sekadar menyebut beberapa contoh, terdapat 8 Kementerian dan berbelas-belas agensi yang melihat perkembangan industri herba di negara ini. Begitu juga tidak kurang 3 Kementerian dan pelbagai agensi yang menyelia sektor pekerjaan dan perburuhan sehingga menimbulkan banyak kekeliruan dan ketirisan. C-bOk berharap perkara ini berada di dalam pertimbangan DSN di dalam menamakan Menteri Kabinet dan Kementerian-Kementerian.

Sesungguhnya, pengumuman inilah yang akan menentukan sejauhmana kemampuan DSN untuk membawa perubahan dan C-bOk yakin DSN mampu melakukannya. Apa-apa pun mantan Perdana Menteri memberikan nasihat serta mesej yang jelas di dalam blog beliau.

Buat Pilihan Bijak


Jangan Undi Pembohong No. 1

Sunday, April 05, 2009

Apa Yang Gempaq nye?

Malam tadi rasanya ramai rakyat Malaysia yang ternanti-nanti pengumuman gempaq yang Anwar nak buat di Bukit Selambau. Ya la.., Pengarah Strategik PKR, Saifudin Nasution kata kalau tak dengar atau tak datang semasa pengumuman itu, maka rugi besar la kita.

Malahan menurut Saifudin, kalau pemberita tak datang, pasti kena marah editor. Ni mesti gempaq punya pengumuman ni.

Rupa-rupanya rugi besar sesiapa yang tak tidur malam tadi kerana menunggu pengumuman itu. Ingatkan betul-betul ada isu BESAR yang benar-benar BESAR. Sebaliknya hanya pengumuman keluar parti oleh beberapa orang ahli PPP di Perak. Menurut pengumuman itu, 6,000 orang ahli PPP di Perak akan menyertai PKR. Kenapa bukan 6001? Betul ke jumlah yang di umumkan itu?

Bagi C-bOk, itu bukanlah satu isu besar dan bukan juga faktor penentu menang atau kalahnya parti-parti yang bertanding di ketiga-tiga PRK minggu depan. Berapakah daripada jumlah 6,000 orang yang dinyatakan itu akan mengundi Pakatan Rakyat? Adakah Anwar Ibrahim yakin bahawa kesemua 6,000 orang itu jitu menyokong Pakatan Rakyat atau mereka akan buat 'U' turn seperti yang berlaku di Perak?

Apa yang pasti, pengumuman itu hanya mengesahkan bahawa Anwar Ibrahim adalah "raja lompat parti" dan akan terus menggunakan strategi ini secara terang-terangan untuk berkuasa. Namun dalam masa yang sama tidak boleh menerima senario yang sama sekiranya ada ahli partinya sendiri melompat ke Barisan Nasional. Buktinya nyata dengan apa yang berlaku di Perak. Kalau ahli partinya melompat ke BN salah, sebaliknya kalau ahli BN ke PR betul pula.

Sesungguhnya apa yang gempak semalam ialah kemasukan semula Tun Dr. Mahathir bin Mohammad ke dalam UMNO. Jika nak dibandingkan kemasukan semula Tun ke dalam UMNO dengan melompatnya 6,000 orang [betul ke?] ahli PPP ke PR, umpama bumi dengan langit. Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang mempunyai pengaruh ke atas rakyat negara ini. Namun apa pengaruh sekumpulan ahli-ahli PPP itu ke atas rakyat negara ini? C-bOk tidak kenal pun siapa mereka itu? Sekiranya Presiden PPP pun meninggalkan PPP dan menyertai PR, C-bOk rasa tidak ada siapa yang akan teruja untuk berbondong-bondong meninggalkan BN.

Bukan setakat 6,000 malah sekiranya 60,000 pun ahli PPP melompat parti adakah rakyat Malaysia akan berubah arah dan bertukar memilih Anwar Ibrahim sebagai pemimpin mereka dan Nizar Jamaludin yang derhaka kepada Sultan sebagai wakil rakyat mereka?

Pengumuman gempaq yang Anwar Ibrahim war-war kan malam tadi sebenarya adalah cerita-ceriti politik murahan serta bengkrap ahli politik terpinggir. Semoga kita tidak terpengaruh dengannya.

[Nota:]
Rujuk gambar di atas: Anwar Ibrahim sedang membetulkan cermin matanya atau...?

Saturday, April 04, 2009

Sirih Pulang Ke Ganggang

Selamat kembali Tun ke pangkuan UMNO.

Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mengistiharkan keluar daripada UMNO kerana hilang keyakinan kepada kepimpinan UMNO sebelum ini telah pun kembali ke pangkuan UMNO. Beliau menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Sri Najib Tun Razak.

Turut berbuat demikian adalah isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mukhzani.

Friday, April 03, 2009

Najib: PM Malaysia Ke 6

YAB Datuk Sri Najib Tun Razak hari ini akan secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah menjaga rahsia Kerajaan dan taat setia kepada DYMM YDP Agung di Istana Negara.

Bermulalah satu era baru untuk Malaysia.

C-bOk berharap, ianya adalah satu era yang lebih baik dan pastinya lebih bertenaga berbanding dengan 5/6 tahun yang lalu. Semoga Malaysia kembali ke landasan yang betul dan segera menjadi ikon yang yang disegani di rantau ini...., seperti yang pernah kita lalui sebelum ini.

C-bOk yakin, inilah harapan sebahagian besar rakyat Malaysia.