Thursday, March 09, 2006

Rumah Untuk DiJual

Ini adalah rumah C-bOk di Templer Saujana. Semi-D dengan keluasan tanah 35 x 75. Rumah ini setinggi 2 1/2 tingkat, empat bilik tidur, empat bilik air, 1 stor, garage untuk 2 kereta dan terletak betul-betul di hadapan Taman Rimba Templer. Berdasarkan kepada pelan perancangan di kawasan ini, jalan dari Selayang ke Rawang akan dibesarkan kepada 6 lorong (sudah pun bermula), pembinaan sekolah dan juga pusat membeli belah. Taman Templer Saujana ini juga agak ekslusif memandangkan hanya rumah Semi-D dan juga banglow yang dibenarkan di bina di kawasan ini, menjadikan kawasan ini bernilai tinggi.

Ianya terletak di dalam kawasan Taman Rimba Templer di mana pokok-pokok yang menghijau di persekitaran kawasan ini telahpun di gazetkan sebagai taman rimba kekal. Dijamin tidak ada pembangunan. C-bOk juga difahamkan satu penghadang bunyi akan dibina bagi memisahkan jalanraya dan juga kawasan perumahan ini sebaik sahaja kerja-kerja pembesarna jalan siap dalam tahun 2007 kelak.

Selain daripada Taman Rimba Templer, berhampiran dengan kawasan ini ada stesyen minyak Shell, Petronas, Esso, Mobil dan Caltex, Pasar Borong Selayang, Pejabat Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, MRR2, Lebuhraya DUKE dan lain-lain lagi. Pendek kata, terdapat banyak kemudahan di persekitarannya.

C-bOk bercadang untuk menjual rumah ini yang masih belum didiami lagi oleh kerana C-bOk telah membeli sebuah rumah lagi di Paya Jaras, Sungai Buluh. Harga jualan hanya RM370,000.00 sahaja. Harga ini boleh dirundingkan sekiranya ada yang berminat. Untuk sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan agen C-bOk: Encik Poon Jovi (012) 382-6960.  Posted by Picasa

Wednesday, March 08, 2006

Tiada Kenaikan Kadar Tol

Dato' Seri S. Sammy Vellu mengumumkan semalam bahawa tiada kenaikan kadar tol untuk tahun ini, walaupun sebelum ini beliau pernah menggambarkan bahawa Kerajaan akan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM460 juta ringgit kepada PLUS jika tidak ada kenaikan di antara tahun 2005 - 2007.

C-bOk ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato' Seri Sammy Vellu atas pengumuman beliau itu. Nampaknya beliau amat perihatin dengan masalah rakyat yang dilanda dengan pelbagai beban kenaikan sejak akhir-akhir ini. (Sejak 2 tahun yang lepas...) Pengumuman beliau sememangnya melegakan. Baik sungguh hati beliau dan menampakkan kesungguhan Kementerian beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ada tiga kemungkinan atau kebetulan dengan masa pengumuman ini dibuat.

Pertamanya, Dato' Seri Sammy Vellu baharu sahaja menang tanpa bertanding untuk terus menerajui MIC. Kemenangan untuk tempoh 3 tahun lagi ini pasti akan menjamin kedudukan beliau sebagai ketua parti utama untuk rakyat India dan seterusnya kekal dalam Kabinet. Keduanya, kalau tidak silap C-bOk, hari ini (8 March 2006) adalah hari jadi beiau yang ke-70. Selamat hari jadi Dato' Seri. Ketiganya, Dato' Seri Sammy Vellu dan Kerajaan mengambil kesempatan daripada keadaan tidak tenteram rakyat sekarang ini akibat daripada kenaikan harga minyak dengan membuat pengumuman yang lunak untuk didengar.

Walaubagaimanapun, C-bOk rasa tak senang hati. Kenapa sekejap boleh, sekejap tak boleh. Dahulu, beliau juga yang bermati-matian mempertahankan bahawa kenaikan itu perlu. Tak boleh tidak! Walaupun rakyat memberikan pelbagai pandangan dan saranan untuk mengelakkan kenaikan, tol tetap naik. Sekiranya tidak naik, seolah-olah akan berlaku huru hara yang tidak dapat dielakkan. Rakyat dimaklumkan bahawa kenaikan itu perlu. Kalau tak naik, kerajaan kena buat itu dan ini.

Sekarang ini kenapa boleh pulak Kerajaan tidak menaikkan tol? Bermakna Kerajaan boleh menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan tol. Walaupun pada bulan Mei 2005 tahun lalu, Menteri ini jugalah yang berkata perlunya kenaikan kepada kadar tol.

PLUS sebenarnya tidak perlu kepada kenaikan ini. Baru-baru ini PLUS mengumumkan keuntungan melebihi RM1 billion. Ini satu keuntungan yang besar. Dengan kadar sedia ada sekarang ini dan peningkatan kepada pemilikan kereta, PLUS dijangka akan terus mencatatkan keuntungan.

Jadi, pengumuman yang sesungguhnya ditunggu-tunggu oleh rakyat - "Tiada kenaikan tol", mengundang pertanyaan:

  1. Sama ada kenaikan terdahulu (dan juga dimasa hadapan) itu perlu dan wajar untuk dikuatkuasakan?
  2. Adakah Kerajaan sememangnya mempunyai kuasa untuk menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan? Pengumuman terbaru ini menunjukkan Kerajaan mempunyai kuasa itu. Kenapa kuasa ini tidak digunakan di tahun-tahun yang lalu?
  3. Adakah PLUS benar-benar perlu dengan kenaikan kadar tol dan kewajaran terhadap kenaikan yang diluluskan sebelum ini memandangkan PLUS mencatatkan keuntungan yang banyak sehingga melebihi RM1 billion?

Terima kasih Dato' Seri kerana pengumuman berkenaan, namun adalah menjadi harapan C-bOk supaya keuntungan PLUS yang berterusan diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Tuesday, March 07, 2006

Datuk Bandar Shah Alam Kena Tukar?

C-bOk mendapat khabar bahawa Datuk Bandar Shah Alam, Yang Berbahagia Datuk Ramli bin Mahmud bakal ditukarkan dalam masa yang terdekat ini. Pertukaran beliau (sekiranya benar) pada masa Shah Alam menghadapi beberapa masalah seperti banjir yan melanda di TTDI Jaya baru-baru ini dan pembangunan tidak terkawal di beberapa kawasan pinggiran Shah Alam rasanya satu keputusan yang kurang tepat. Datuk Ramli nampak tegas di dalam pentadbiran beliau di Bandaraya Shah Alam. Beliau mengamalkan sistem pentadbiran telus dan tidak kalut dengan campur tangan politik.

Apa-apa pun, C-bOk berharap sebarang keputusan yang dibuat di MBSA atau pun di mana-mana juga di Selangor ini dibuat dengan bijak.

Wednesday, March 01, 2006

Beban Kenaikan Harga Minyak

Sejak diumumkan semalam, rata-rata masyarakat banyak mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak yang tinggi sehingga 30 sen bagi setiap liter. Walaupun akhbar arus perdana menyiarkan pandangan yang seimbang daripada banyak pihak, namun motif penyiaran adalah untuk "menghalalkan" kenaikan tersebut. Pandangan berbentuk analisa dan juga perbandingan dibuat dengan matlamat untuk menunjukkan kenaikan itu "tak ada apa-apa" pun. Seolah-olah, kenaikan itu satu berita gembira untuk kita semua.

Masalahnya, adakah pembuat dasar faham dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa-biasa? Mereka yang bekerja dan bergaji kecil tetapi berkeluarga besar. Sekiranya mereka berkeluarga kecil sekali pun adakah tidak ada kesan langsung atau tidak langsung kepada mereka? Rakyat biasa-biasa yang bayar sendiri duit tol, tak ada driver, tak ada elaun keraian sehingga berbelas ribu macam orang-orang besar di atas.

Sebenarnya, kenaikan kali ini sememangnya begitu membebankan. Kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat. Walaupun Kerajaan melalui KPDN-HEP telah memberi "amaran keras" kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga, sejauhmanakah Kementerian ini mampu untuk memantau keadaan? Selama ini pun dengan pelbagai amaran keras yang dibuat dan diumumkan, Kementerian ini masih gagal untuk mengatasi banyak masalah kenaikan harga, masalah cetak rompak, masalah kegagalan mematuhi peraturan yang remeh-temeh dan sebagainya.

Jadi, bagi rakyat jelata macam C-bOk, amaran keras itu hanyalah retorik semata-mata yang perlu dibuat dan diumumkan macam robot apabila kenaikan berlaku. Di masa hadapan apabila kenaikan berlaku lagi, amaran keras yang sama akan dikeluarkan. Tetapi harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat.

Kenaikan harga minyak ini akan meningkatkan kadar perbelanjaan mengurus rakyat dan juga Kerajaan sendiri. Peningkatan ini tanpa diimbangi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagaian aktiviti ekonomi dan merancakkan pembangunan akan melahirkan rakyat yang "marah", "dendam" dan "menyampah". Ini tidak baik kepada kesejahteraan negara dan juga kestabilan politik yang telah kita kecapi sejak sekian lama.

Kesan ketara yang "instant" terhadap kenaikan kali ini jelas apabila kita duduk-duduk di kedai kopi sambil minum teh tarik. Rata-rata ramai yang telah menunjukkan rasa "marah", "dendam" dan "menyampah" seperti yang C-bOk nyatakan di atas. Apakah ini yang Kerajaan mahukan daripada rakyat?

Tidak adakah cara lain untuk menampung kenaikan harga minyak ini? Apa kata sekiranya aktiviti ekonomi dirancakkan dengan program pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan di zaman Tun Mahathir dahulu? Bukankah dengan aktiviti pembangunan yang pesat akan meningkatkan aliran mata wang di pasaran yang mewujudkan peluang pekerjaan, kenaikan gaji yang kompetitif dan juga meningkatkan pendapatan Kerajaan melalui pelbagai kutipan cukai? Kutipan cukai ini kemudiannya boleh digunakan untuk menampung kesan kenaikan minyak dunia. Secara tidak langsung rakyat tidak dibebankan.

C-bOk berharap kita tidak dikejutkan lagi dengan pengumuman-pengumuman tidak enak seperti ini lagi. Namun harapan ini mungkin hanya sehingga ke akhir tahun ini sahaja (31 Disember 2006) kerana kenyatataan yang sama pernah dikeluarkan sebelum ini. Tidak ada jaminan apabila tahun baru (2007) menjelma. Namun, kepimpinann mempunyai pilihan untuk menilai pelbagai alternatif. Adakah akan ada idea kreatif untuk menyerap kenaikan itu dengan cara lain atau naikkan sahaja harga minyak untuk ditampung oleh rakyat. Kalau itu pilihan kepimpinan, kita amat rugi.....