Wednesday, March 08, 2006

Tiada Kenaikan Kadar Tol

Dato' Seri S. Sammy Vellu mengumumkan semalam bahawa tiada kenaikan kadar tol untuk tahun ini, walaupun sebelum ini beliau pernah menggambarkan bahawa Kerajaan akan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM460 juta ringgit kepada PLUS jika tidak ada kenaikan di antara tahun 2005 - 2007.

C-bOk ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato' Seri Sammy Vellu atas pengumuman beliau itu. Nampaknya beliau amat perihatin dengan masalah rakyat yang dilanda dengan pelbagai beban kenaikan sejak akhir-akhir ini. (Sejak 2 tahun yang lepas...) Pengumuman beliau sememangnya melegakan. Baik sungguh hati beliau dan menampakkan kesungguhan Kementerian beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ada tiga kemungkinan atau kebetulan dengan masa pengumuman ini dibuat.

Pertamanya, Dato' Seri Sammy Vellu baharu sahaja menang tanpa bertanding untuk terus menerajui MIC. Kemenangan untuk tempoh 3 tahun lagi ini pasti akan menjamin kedudukan beliau sebagai ketua parti utama untuk rakyat India dan seterusnya kekal dalam Kabinet. Keduanya, kalau tidak silap C-bOk, hari ini (8 March 2006) adalah hari jadi beiau yang ke-70. Selamat hari jadi Dato' Seri. Ketiganya, Dato' Seri Sammy Vellu dan Kerajaan mengambil kesempatan daripada keadaan tidak tenteram rakyat sekarang ini akibat daripada kenaikan harga minyak dengan membuat pengumuman yang lunak untuk didengar.

Walaubagaimanapun, C-bOk rasa tak senang hati. Kenapa sekejap boleh, sekejap tak boleh. Dahulu, beliau juga yang bermati-matian mempertahankan bahawa kenaikan itu perlu. Tak boleh tidak! Walaupun rakyat memberikan pelbagai pandangan dan saranan untuk mengelakkan kenaikan, tol tetap naik. Sekiranya tidak naik, seolah-olah akan berlaku huru hara yang tidak dapat dielakkan. Rakyat dimaklumkan bahawa kenaikan itu perlu. Kalau tak naik, kerajaan kena buat itu dan ini.

Sekarang ini kenapa boleh pulak Kerajaan tidak menaikkan tol? Bermakna Kerajaan boleh menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan tol. Walaupun pada bulan Mei 2005 tahun lalu, Menteri ini jugalah yang berkata perlunya kenaikan kepada kadar tol.

PLUS sebenarnya tidak perlu kepada kenaikan ini. Baru-baru ini PLUS mengumumkan keuntungan melebihi RM1 billion. Ini satu keuntungan yang besar. Dengan kadar sedia ada sekarang ini dan peningkatan kepada pemilikan kereta, PLUS dijangka akan terus mencatatkan keuntungan.

Jadi, pengumuman yang sesungguhnya ditunggu-tunggu oleh rakyat - "Tiada kenaikan tol", mengundang pertanyaan:

  1. Sama ada kenaikan terdahulu (dan juga dimasa hadapan) itu perlu dan wajar untuk dikuatkuasakan?
  2. Adakah Kerajaan sememangnya mempunyai kuasa untuk menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan? Pengumuman terbaru ini menunjukkan Kerajaan mempunyai kuasa itu. Kenapa kuasa ini tidak digunakan di tahun-tahun yang lalu?
  3. Adakah PLUS benar-benar perlu dengan kenaikan kadar tol dan kewajaran terhadap kenaikan yang diluluskan sebelum ini memandangkan PLUS mencatatkan keuntungan yang banyak sehingga melebihi RM1 billion?

Terima kasih Dato' Seri kerana pengumuman berkenaan, namun adalah menjadi harapan C-bOk supaya keuntungan PLUS yang berterusan diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

No comments: