Friday, December 31, 2004

Tsunami: Menderma Dengan SMS

Akhirnya, teknologi SMS digunakan untuk tujuan kebajikan dan tidak semata-mata untuk mendapatkan keuntungan sahaja, walaupun agak terlambat. ASTRO dan syarikat-syarikat sekutunya seperti XFRESH dan Radio ERA telah melancarkan kempen untuk mengutip derma dengan SMS. Ianyanya boleh dilakukan dengan mudah oleh semua orang berbanding dengan cara konvensional yang lain seperti berikut:

Langkah satu:
Taipkan AMP

Langkah Dua:
Hantar SMS anda kepada 32323 @ 32555

Setiap SMS akan dikenakan bayaran sebanyak RM1.00 dan semua kutipan akan disalurkan kepada tabung bantuan bencana alam Tsunami. Memandangkan di negara kita ini ada berjuta-juta pengguna telefon bimbit, ambillah peluang ini untuk menderma kepada tabung bencana alam ini.

Thursday, December 30, 2004

Selamat Tahun Baru 2005


Banner oleh BERNAMA Posted by Hello

C-bOk ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2005 kepada semua pembaca dan sahabat. Tahun 2004 yang ditinggalkan pasti meninggalkan banyak kenangan kepada kita semua. Ada suka dan duka. Tragedi Tsunami pastinya meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Apa-apa pun, mulakan tahun baru ini dengan azam baru yang paling mudah - Untuk menjadi insan yang lebih baik dan berjaya daripada semalam.

Amaran Kemungkinan Tsunami Baru

Pusat Kawalan Kecemasan di India telah mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku ancaman Tsunami yang baru. Pusat itu telah mengesan gegaran susulan sekuat 5.7 magnitud di Utara Sumatra, Indonesia. Kesan daripada gegaran ini dijangka akan menyebabkan ombak besar di sekitar kawasan yang terbabit.

Harga akhbar NAIK!

Saudara Jeff Ooi dari Screenshot dan memaklumkan perkara ini dalam blognya pada 29 Disember 2004. Hari ini, perkara ini telah disahkan oleh pengumuman yang dibuat oleh dua kumpulan akhbar utama di negara ini seperti berikut:

Berita Harian Sdn. Bhd.
Utusan Melayu (M) Berhad

Pihak yang mengumumkan kenaikan mempunyai asas dan justifikasi mereka yang sukar untuk dipertikaikan. Seperti biasa, kenaikkan ini tidak dapat dielakkan memandangkan "kos operasi telah meningkat". Contohnya harga kertas newsprint telah meningkat.

Kenapa harga kertas meningkat?
Kerana pihak Kerajaan telah menaikkan cukai import kertas ini.

Selain daripada itu, kos pengangkutan juga telah meningkat.

Kenapa kos pengangkutan meningkat?
Kerana harga minyak dan caj tol telah naik.

Kenapa harga minyak dan tol naik?
Kerana Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan kenaikan itu lanjutan daripada ketidak mampuan Kerajaan untuk terus menanggung subsidi yang tinggi ke atas minyak dan juga bayaran tol.

Sekiranya disenaraikan memang ada banyak kenapa (persoalan) berhubung dengan kenaikan ini dan juga ada banyak jawapan serta justifikasi yang boleh diberikan. Namun, sejauhmanakah kita berupaya untuk menampung kenaikan ini dan juga sejauhmanakan kita berusaha untuk mengelakkan keNAIKkan ini daripada berlaku. Dulu minyak NAIK. Semalam tol NAIK. Esok harga akhbar pula NAIK. Lusa????

Ombak Tsunami di India


Ombak Tsunami di India Posted by Hello

C-bOk mendapat gambar ini daripada seorang kawan menunjukkan ombak Tsunami sedang melanda pantai India. Pusaran ombak dan buihnya nampak ganas sekali.

Toyota Unser Innova (Part II)


Toyota Unser Innova Posted by Hello

Ini satu lagi gambar Toyota Unser yang baru atau lebih dikenali dengan Innova. Model kereta ini telah pun mula dijual di Indonesia, Thailand dan Brunei dan dijangka masuk ke pasaran Malaysia dalam tahun 2005. Maklumat lanjut dan gambar-gambar yang menarik boleh di lihat di sini

Menyumbang secara online untuk Tabung Tsunami

Selain daripada sumbangan secara konvensional (cek, wang ringgit), beberapa organisasi antarabangsa telah menyediakan kemudahan untuk memberi sumbangan secara online. Sumbangan-sumbangan ini, insyaallah akan disampaikan kepada mereka yang memerlukannya di Malaysia dan negara-negara lain yang terlibat. Sumbangan anda boleh dibuat secara online di lokasi-lokasi berikut:

Star / Maybank Tsunami Disaster Relief Fund
Islamic Relief
Amazon.com
American red Cross
International Federation of Red Cross and Red Cresent Societies
Oxfam America
MercyCorps

Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Disebalik angka kematian.....

Angka kematian akibat Tsunami terus meningkat. Terkini, CNN melaporkan lebih 80,000 orang telah disahkan meninggal dunia. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan kerja-kerja mencari masih diteruskan terutamanya di Indonesia, Sri Langka dan India. Mayat-mayat yang masih terbiar dan telah membusuk pula dijangka akan mendatangkan wabak penyakit yang juga akan memberi kesan kepada penduduk di sekitar kawasan yang terbabit. Ramalan mengatakan angka kematian ini akan mencecah 100,000 dalam sehari dua ini.

Kita agak bernasib baik oleh kerana angak kematian tidak begitu banyak berbanding dengan negara-negara jiran kita, walaupun kemusnahan harta benda agak banyak. Kesannya kepada ekonomi negara juga dijangka tidak begitu membimbangkan oleh kerana Kerajaan dijangka akan mengumumkan langkah-langkah fiskal bagi mengatasi sebarang masalah yang mungkin timbul.

Namun begitu, di sebalik angka kematian ini, sudahkah kita melihat ke dalam diri kita? Gegaran yang singkat beratus batu jauhnya daripada tanah air kita memberi kesan yang begitu hebat kepada kehidupan kita. Kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sukar digambarkan. Bayangkan sekiranya gegaran itu berlaku di negara kita sendiri. Bayangkan sekiranya angka puluhan ribu itu adalah angka di negara kita sendiri. Sewajarnya, apa yang berlaku ini menyedarkan kita kepada kebesaran dan kekuatan Allah S.W.T. Bayangkan gegaran yang akan berlaku di akhir zaman nanti...

Wednesday, December 29, 2004

Menderma Untuk Tabung Tsunami

Malapetaka Tsunami yang melanda negara-negara Asia termasuk Malaysia telah menjadi penetahuan umum. Lebih 50,000 orang telah diistiharkan mati termasuk 60 orang di Malaysia. Sementara mereka yang mati pasti telah menamatkan satu episod dalam kehidupan mereka, kita yang tinggal perlu menghadapi tragedi ini dengan tabah.

Kerosakan akibat daripada bencana ini memang sukar digambarkan. Rumah musnah sama sekali, harta benda tidak boleh dipakai lagi, kemudahan infrastruktur rosak teruk, buku-buku sekolah, pakaian dan lain-lain lagi tidak boleh digunakan.

Pelbagai pihak telah tampil untuk memberi bantuan. Korporat dan individu yang prihatin telah pun mengistiharkan bantuan mereka dalam bentuk wang dan juga barangan. Kita juga perlu memainkan peranan untuk membantu. Berilah sumbangan walaupun sedikit. Pelbagai pihak telah mewujudkan pusat kutipan antaranya akhbar-akhbar utama seperti Berita Harian, New Straits Times, The Star dan Utusan Malaysia.

Hubungilah mereka ini untuk memberikan sumbangan anda.

Malaysia 2 - Indonesia 1


Mohd. Fadzli Saari dan Ponaryo Astaman (Gambar AP) Posted by Hello

Malaysia menewaskan Indonesia 2 - 1 di Stadium Gelora Senayan dalam pertandingan separuh akhir pertama bola sepak Piala Tiger.

Monday, December 27, 2004

Kerosakan Angkara "Tsunami"


Kerosakan harta dan kehilangan orang tersayang. Posted by Hello

Kemusnahan harta dan kehilangan orang yang tersayang akibat ombak besar yang melanda utara semenanjung Malaysia sehingga mengorbankan lebih 53 orang dan mencederakan beribu-ribu yang lain sememangnya sesuatu yang tidak dijangka. Kepada semua mangsa yang terlibat C-bOk ingin mengucapkan takziah bagi mereka yang kehilangan keluarga/orang tersayang dan banyak-banyaklah bersabar.

Kempen Membantah Kenaikan Caj Tol

Kerajaan melalui Datuk Seri Sammy Vellu (Menteri Kerja Raya) dan Datuk Mustafa Muhammad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) telah membuat kenyataan bahawa cadangan untuk menaikkan caj tol sebanyak 10% di Lebuhraya PLUS mulai 1 Januari 2005 adalah muktamad walaupun kenyataan itu bercanggah dengan keputusan awal Kabinet untuk merujuk perkara itu kepada YAB Perdana Menteri yang ketika ini masih berada di luar negeri.

Kerajaan berpegang kepada perjanjian yang dibuat dengan pemegang konsesi. Rakyat tidak tahu isi butir perjanjian ini oleh kerana ianya dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun tidak bermakna kita harus menerima keputusan ini bulat-bulat tanpa menyuarakan pandangan kita.

Sehubungan dengan ini, FOMCA telah melancarkan kempen membantah cadangan kenaikan tol ini. Kempen ini adalah untuk mengutip seberapa banyak tanda tangan membantah kenaikan ini untuk dimajukan kepada Kerajaan dan juga pihak PLUS. Sesiapa yang berminat untuk menandatangani petition bantahan ini boleh berbuat demikian di sini.

Friday, December 24, 2004

Berita Yang Tak Sedap Di Baca Saban Hari.....

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak berita berkaitan dengan NAIK di terbitkan di dalam akhbar. Boleh dikatakan setiap hari. Belum habis satu-satu isu berkaitan dengan keNAIKkan harga barangan dan perkhidmatan dibahaskan, muncul satu lagi kenyataan berkaitan dengan cadangan untuk meNAIKkan satu lagi perkhidmatan yang lain atau barangan yang lain. Tahun 2004 ini sahaja, sudah terlalu banyak harga barangan dan perkhidmatan yang NAIK.

Semalam Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd. Salleh Abdullah mengumumkan bahawa tambang antara bandar akan diNAIKkan mulai 1 Mac 2005. KeNAIKkan ini adalah diantara RM1 hingga RM4 daripada kadar yang dikenakan sebelum ini. Dalam masa yang sama, kadar caj untuk tempat tidur bagi kelas pertama dan kedua juga akan rurut diNAIKkan.

Justifikasi KTMB di dalam memperkenalkan kadar caj baru ini adalah "kenaikan kos bahan api" dan "kos penyelenggaraan".

Apa yang diperhatikan, justifikasi keNAIKkan ini adalah serupa bagi semua industri baik perkhidmatan mahu pun pembekal barangan. Walaupun, justifikasi ini nampak jujur dan menyokong cadangan keNAIKkan tersebut, namun kalau di lihat dari sudut yang lebih luas, pengguna terpaksa membayar lebih untuk perkhidmatan yang sama dalam keadaan pendapatan yang masih serupa. Bagi pembekal perkhidmatan dan barangan, keNAIKkan itu tak seberapa, tetapi bagi pengguna terpaksa menanggung keNAIKkan bagi sebahagian besar keperluan mereka seharian. Sekiranya satu pembekal menaikkan 10% caj barangan, sepuluh pembekal yang mengambil tindakan yang sama, pasti memberi kesan yang bukan sedikit kepada pengguna.

Kerajaan perlu memantau keadaan ini. Pak Lah perlu melihat rintihan rakyat yang semakin terbeban. Sememangnya rakyat pasti sanggup turut sama menanggung beban, tetapi keNAIKkan demi keNAIKkan sepanjang tahun 2004 ini bukanlah sesuatu yang diharap-harapkan oleh rakyat yang memberi mandat baru kepada Kerajaan Barisan Nasional.

C-bOk bercadang untuk menyediakan satu senarai pelbagai pengumuman berkaitan dengan keNAIKkan harga barangan dan perkhidmatan yang dibuat dalam tahun 2004. Sesiapa yang berminat untuk memberikan pandangan dan menambah kepada senarai tersebut bolehlah memaklumkan C-bOk.

Thursday, December 23, 2004

Maaf....

Maaf, lama tak update. C-bOk kena kerja luar. Sejak 10 hari yang lalu C-bOk turun naik Pulau Pinang dan Kedah 3 kali sebab sedang berusaha untuk menyelesaikan satu projek dengan calon-calon pelanggan di kedua-dua negeri ini.

Friday, December 17, 2004

Maybank2u.com Part IV

Maybank hari ini membuat kenyataan menangguhkan cadangan untuk mengenakan bayaran ke atas perkhidmatan online Maybank2u.com. Penangguhan ini dibuat bagi membolehkan "Maybank membuat kajian lanjut berkaitan dengan cadangan untuk mengenakan bayaran bulanan yang dicadangkan itu."

Tuesday, December 14, 2004

Maybank2u.com Part III

Cadangan Maybank untuk mengenakan caj bagi perkhidmatan online Maybank2u.com terus mendapat perhatian ramai. Polemik berkaitan dengan cadangan Maybank berkenaan boleh di lihat di akhbar-akhbar utama dan juga laman-laman web. Kenyataan demi kenyataan di buat oleh pengguna, pemimpin persatuan pengguna dan orang ramai khususnya yang berkepentingan.

Namun kenyataan-kenyataan di dalam akhbar-akhbar utama ini tidak menyebutkan nama Maybank, sebaliknya hanya merujuk kepada "sebuah bank tempatan". Kenapa ianya tidak disebut secara berterus terang tidak dapat dipastikan. Mungkin, Maybank mempunyai "pendinding" sehinggakan akhbar-akhbar utama ini "tidak berani" untuk mencetak nama Maybank di dalam akhbar-akhbar mereka, walau kiasan yang digunakan jelas merujuk kepada Maybank seperti:

(i) Bank tempatan yang hendak mengenakan caj bagi perkhidmatan onlinenya;

(ii) Bank tempatan yang pertama mengasingkan kaunter pelanggan untuk mereka yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 dan mereka yang mempunyai simpanan lebih dari RM10,000, di mana yang lebih mendapat layanan 'priority';

(iii) Bank yang mengenakan caj 50 sen untuk pengeluaran melalui ATM selepas 4 kali pengeluaran percuma.

Semua orang yang membaca kiasan itu tahu bahawa kiasan itu ditujukan kepada Maybank. Soalnya kenapa perlu berkias?

Maybank pun tidak membuat sebarang kenyataan terbuka untuk menjawab komen-komen yang dibuat oleh pengguna melalui pelbagai kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh media-media ini melainkan menjawab melalui email secara "cut and paste". Walau apa pun kemusykilan yang ditimbulkan berkaitan dengan bayaran baru ini, jawapan yang diterima tetap sama, menunjukkan Maybank tidak melihat komen-komen yang dibangkitkan sebagai sesuatu yang membina untuk kesinambungan perniagaan mereka. Berdiam diri adalah sebenarnya antara strategi-strategi yang boleh digunakan untuk membiarkan satu-satu isu itu berlalu. Ibarat "anjing menyalak bukit". Anjing sakit tekak, sementara bukit tetap utuh. Dalam hal ini, pelanggan adalah umpama anjing, manakala Maybank umpama bukit.

Pengguna berpendapat cadangan Maybank untuk mengenakan bayaran bagi penggunaan sistem online tidak bertepatan dengan objektif penggunaan sistem berkenaan. Dengan memperkenalkan sistem online, sepatutnya kos semakin berkurangan oleh kerana kos untuk buruh telah diserap oleh mesin-mesin yang boleh bertugas 24 jam tanpa gaji, sebaliknya, Maybank mengenakan bayaran demi bayaran di sebalik pengurangan kos operasi mereka dari segi jangka panjang.

Bank Negara Malaysia (BNM) nampak tidak bertaring. Dalam beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini, BNM nampak menyebelahi pihak bank berbanding dengan pengguna. Hanya setelah ramai pengguna membuat bising baru keluar kenyataan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh bank-bank mulai bulan Februari 2005. Dalam hal ini. Maybank perlu diberi arahan untuk menangguhkan bayaran yang dicadangkan untuk perkhidmatan onlinenya sehingga BNM mengeluarkan peraturan khusus berkaitan dengan perkara ini. Ataupun Maybank diberi peluang untuk mengenakan caj baru ini mulai 20 Disember 2004 sebelum peraturan baru diperkenalkan pada februari tahun depan?

Dalam pada itu, kita sebagai pengguna perlu bersuara bagi menyatakan pendapat kita supaya kita sebagai pengguna tidak di perkotak katikkan. komen-komen anda boleh dihantar terus kepada mgcc@maybank.com.my (u.p:Nur Azween Yahya) atau menandatangani petition di laman web petition online.


CTOS

Bagi kebanyakkan kita mungkin tidak tahu apa itu CTOS? Walaubagaimanapun, nama ini mempunyai kuasa yang agak besar untuk menentukan masa depan setiap individu di negara ini dari segi kedudukan kewangan setiap individu dan kelayakan mereka untuk mendapatkan pinjaman, perlindungan insuran dan lain-lain yang berkaitan.

CTOS adalah syarikat swasta yang diberikan lesen dan ditugaskan untuk mengumpul dan membekalkan data kewangan individu termasuk kes-kes muflis kepada institusi kewangan dan perbankan. Lesen yang diberikan ini membolehkan CTOS Sdn. Bhd. menerima dan mengumpulkan maklumat daripada agensi-agensi yang berkaitan berkenaan dengan kedudukan kewangan setiap individu dan maklumat ini akan disalurkan kepada mana-mana agensi yang memerlukannya dan keputusan untuk meluluskan pinjaman dan lain-lain produk kewangan adalah berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada CTOS ini.

Objektif pengumpulan data yang berkaitan oleh CTOS membolehkan agensi-agensi kewangan dan perbankan menyemak status setiap individu berkaitan dengan kelayakan mereka untuk diberikan kredit serta keupayaan mereka untuk membayar semula. Sekiranya laporan berkenaan menunjukkan rekod yang baik, maka permohonan mereka akan mudah diluluskan. Sebaliknya, sekiranya laporan CTOS tidak begitu baik, maka permohonan pasti ditolak.

Konsep ini adalah berdasarkan kepada konsep yang sama yang digunakan di Amerika Syarikat (AS) untuk menilai tahap kredit setiap individu di negara berkenaan. Di AS, tiga buah agensi pengumpulan data berkaitan dengan tahap kredibiliti kredit setiap individu dilesenkan iaitu Experian, Equifax dan TransUnion. Experian dan Equifax misalnya turut beroperasi di banyak negara lain seperti Eropah dan juga di Amerika Selatan.

Walaubagaimanapun, persamaan antara CTOS dan agensi-agensi pengumpulan rekod kredit di AS ini terhad kepada kerja-kerja pengumpulan data sahaja. Dari segi kredibiliti, data yang dikumpulkan oleh CTOS diragui kesahihannya. Ini adalah kerana tidak ada "check and balance" terhadap setiap data yang dikumpulkan. Pemilik data berkenaan tidak boleh menyemak setiap laporan yang dibuat kepada CTOS. Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaya (PERDASAMA), Dato' Moehamad Izat Emir, pernah membangkitkan soal ini seperti kenyataan beliau disini dan disini.

Kredibiliti yang dipersoalkan ialah kesahihan maklumat yang dilaporkan khususnya kebenaran laporan berkenaan dan juga status jangka hayat maklumat yang dilaporkan. Rungutan yang pernah dibangkitkan sebelum ini ialah maklumat yang dilaporkan bukan maklumat mereka sebaliknya maklumat orang lain yang mungkin telah mencuri identiti orang lain. Jangka hayat maklumat juga dipersoalkan samada maklumat yang dilaporkan itu adalah maklumat yang terkini ataupun maklumat yang telah bertahun-tahun. Sebagai contohnya, seseorang yang telah dibebaskan daripada status muflis masih kekal muflis di dalam laporan CTOS.

Di AS, undang-undang membenarkan setiap individu menyemak setiap rekod yang dimasukkan ke dalam rekod kredit mereka. Mereka juga boleh mempertikaikan rekod berkenaan sekiranya mempunyai asas untuk mewujudkan pertikaian berkenaan. Dalam masa yang sama, setiap individu boleh membuat perancangan dalam perbelanjaan kredit mereka berdasarkan kepada rekod kredit mereka. Kesemua maklumat ini boleh dipohon daripada ketiga-tiga agensi pengumpul data kredit ini dengan sedikit bayaran.

Buat masa ini, perkara ini masih lagi belum menjadi barah. Walaubagaimanapun, sekiranya tidak ada usaha untuk meletakkan CTOS di landasan yang betul, dikhuatiri pihak yang memberi kemudahan kredit seperti industri perbankan dan insuran tidak membuat keputusan yang tepat. Semua pihak yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia dan juga Kementerian Kewangan perlu melihat perkara ini dan meletakkan CTOS di landasan yang betul.

Monday, December 13, 2004

Tol NAIK Lagi!

Ini berita yang semua orang dah tahu. Kadar bayaran tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan dinaikkan sebanyak 10% mulai jam 12.01 pada 1 Januari 2005. Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Sammy Velu, "kenaikkan ini tidak dapat dielakkan!". Ini bermakna, "Kerajaan sudah tidak ada pilihan lain". Kegagalan membenarkan kenaikan ini akan memberi AKIBAT yang besar kepada Kerajaan. Kenyataan yang serupa telah banyak kali didengar daripada Kementerian yang sama sehinggakan ingatan rakyat kepada Kementerian ini begitu sinonim dengan "TOL NAIK!"

Kenaikan bayaran tol ini bukanlah satu-satunya berita NAIK yang diumumkan kepada umum. Minyak petrol NAIK dua kali tahun ini. Harga jualan borong dan runcit ayam NAIK. Tambang feri NAIK. Maybank pula akan mula mengenakan caj bagi perkhidmatan online Maybank2u.com yang sebelum ini diberikan secara percuma. Darah pun banyak juga yang NAIK sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, ada ura-ura beberapa industri lain yang sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar bayaran yang dikenakan kepada pengguna. Antaranya, pengedar suratkhabar bercadang untuk memohon keNAIKan komisyen mereka daripada 20% kepada 30%. Berdasarkan kepada pengalaman lalu, kadar ini akan dipindahkan oleh pemilik media kepada pengguna (pembaca). Sebuah kementerian pula sedang menimbangkan kemungkinan keNAIKan tambang teksi dan bas di seluruh negara. Pesakit pula mungkin kena beli ubat sendiri di farmasi swasta yang sebelum ini merupakan tanggungjawab sosial Kerajaan kepada penduduk negara ini yang membayar cukai setiap tahun

Apa-apa pun setiap Kementerian yang bertanggungjawab pasti mempunyai asas untuk meluluskan setiap keNAIKan ini. Bagaimanapun keNAIKan bayaran tol ini mulai 1 Januari 2005 pasti akan mengundang lebih banyak lagi kenyataan demi kenyataan daripada pelbagai industri yang memohon untuk meNAIKan harga bagi perkhidmatan dan barangan yang mereka bekalkan sebagai kesan rantaian (chain reaction) kenaikan bayaran tol ini.

Namun dalam hal kenaikan bayaran tol ini, ada sedikit kemusykilan yang perlu penjelasan lebih telus daripada Menteri Kerja Raya / Kementerian Kerjaraya:

(i) Adakah Kerajaan perlu akur kepada permohonan kenaikan bayaran tol apabila kajian dibuat setiap tiga tahun sekali? Tidak bolehkah, Kerajaan sebagai wakil kepada rakyat yang memilih mereka untuk "sesekali" menolak permohonan seperti ini kerana apa yang nampak sekarang ini, setiap permohonan seperti ini terutamanya daripada PLUS dilayan dan diluluskan;

(ii) Dalam kajian yang dibuat dalam tahun 1999, untuk mengelakkan beban kepada Kerajaan dan juga rakyat, Kerajaan telah melanjutkan tempoh konsesi kepada 42 tahun sehingga tahun 2030 dan juga meluluskan kenaikan kadar bayaran tol. Ini adalah lanjutan selama 12 tahun daripada perjanjian asal yang sepatutnya tamat dalam tahun 2018. Namun dalam keadaan yang sama selepas tiga tahun PLUS masih boleh menaikkan kadar tol walaupun lanjutan konsesi telah diberikan kepada mereka menjadikan alasan lanjutan konsesi tempohari tidak berasas. Ini merupakan keuntungan berganda kepada PLUS dan pengguna jalanraya pula rugi dua kali ganda kerana terpaksa membayar tol lebih TINGGI dan lebih LAMA;

(iii) Bagaimanakah perkiraan kadar bayaran tol bagi setiap kilometer dan juga kadar bayaran pampasan yang perlu dibuat oleh Kerajaan kepada PLUS ini? Apakah formulanya?

Apa yang ingin dipersoalkan di sini ialah prinsip di dalam mempertimbangkan soal keNAIKan seperti ini. Kerajaan sebagai wakil dan pelindung kepada rakyat perlu dilihat lebih memperjuangkan kepentingan rakyat. Semua bentuk perniagaan perlu mencatatkan keuntungan, tetapi sekiranya di dalam keadaan syarikat sedang mencatat keuntungan, syarikat masih mahu terus menambah kentungaan berlipat ganda tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial mereka, ini sudah dikira zalim. Kadar yang dikenakan kepada individu mungkin nampak sedikit, tetapi apabila sepuluh syarikat menggunakan alasan yang sama untuk menaikkan 10% kadar bayaran mereka, ianya merupakan peningkatan 10% sebanyak 10 kali kepada pengguna (= 100%).

Dalam hal ini rakyat terus menjadi mangsa. Peningkatan kos sara hidup begitu mendadak dan tidak seimbang dengan pendapatan mereka. Namun pandangan-pandangan yang menongkah arus ini biasanya tidak akan diambil dengan serius. Bagai anjing menyalak bukit.

Friday, December 10, 2004

Bahasa Melayu di PBT

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Othman menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas kegagalan mereka untuk menggunakan Bahasa Melayu yang betul, indah dan berkualiti sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ini bukanlah satu isu yang baru. Tidak berapa lama dahulu timbul perdebatan hangat berkaitan dengan penggunaan bahasa di Putrajaya yang mendewa-dewakan Bahasa Inggeris dengan 'memelayukan' ejaan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu untuk digunakan di Putrajaya. Yang paling jelas adalah perkataan 'Presint' yang tidak pernah ada dalam kamus Bahasa Melayu tetapi telah diterima pakai dengan meluas di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Polemik yang timbul mengundang perdebatan daripada pakar bahasa dan ahli politik. Namun polemik ini kemudiannya senyap begitu sahaja oleh kerana 'keputusan' yang telah dibuat tidak boleh dicabar lagi hatta daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sekali pun.

Keperihatinan Tan Sri KSN terhadap perkara ini memang wajar dipandang dengan serius oleh semua pihak dan memerlukan kekuatan di kalangan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan sendiri untuk memastikan ianya dilaksanakan dengan berkesan. Ini adalah kerana PBT-PBT ini diketuai oleh pegawai kerajaan dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sewajarnya menterjemahkan hasrat KSN dan memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul di kuatkuasakan di kawasan jagaan mereka.

Setelah 46 tahun merdeka masalah ini masih lagi belum dapat di atasi dengan berkesan sebenarnya. Masalah sebenarnya bukan sahaja kesalahan dari segi nahu dan keindahan bahasa itu sendiri tetapi penggunaan bahasa-bahasa lain secara berleluasa sehingga mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang telah ditetapkan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. Bukanlah sesatu yang asing untuk kita melihat papan tanda perniagaan, poster, iklan, pelekat dan pelbagai media promosi di mana-mana PBT di negara ini yang mengenepikan bahasa Melayu dan menggunakan tatabahasa yang salah.

Kesilapan ini terletak di tangan PBT yang bertanggungjawab untuk memproses dan meluluskan penggunaan bahan-bahan berkenaan. Perkara ini wajar dijadikan sebagai satu penunjuk aras (key performance indicator) kakitangan terbabit di dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka di PBT-PBT yang diselia oleh mereka.

Thursday, December 09, 2004

Jeff Ooi + Screenshots + Malaysia + Harvard + USA

Link:- Conference Schedule - Internet + Society 2004

Bagi peminat blogger tersohor negara, Jeff Ooi pasti tertanya-tanya kenapa tidak ada update dibuat dilaman web Screenshots beliau sejak beberapa hari lalu.

Beliau sekarang ini sedang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat untuk menghadiri ssatu persidangan antarabangsa anjuran Harvard Law School "Internet+Society 2004" yang akan diadakan dari 9 - 11 Disember 2004 di Cambridge, Massachusetts, USA.

Beliau akan terlibat sebagai salah seorang panelist pada hari kedua bagi membincangkan topik bertajuk Affecting the Outcome I: South Korea Case Study yang turut disertai oleh Oh Yeon-Ho (South Korea), Stephen Ward (University of Salford and Oxford Internet Institute) dan Rebecca MacKinnon (Berkman Center for Internet and Society). Program ini akan dipengerusikan oleh John Palfrey daripada Berkman Center for Internet & Society, Harvard Law School.

Penyertaan Jeff Ooi di persidangan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap blogger-blogger di Malaysia.

Anugerah DATUK Selangor

Sultan Selangor, membuat keputusan yang bijak apabila mengumumkan bahawa hanya seramai 22 orang yang akan menerima anugerah Datuk sempena dengan keputeraan beliau tahun ini. Langkah ini adalah bagi menjaga kualiti anugerah tersebut yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang layak sahaja.

Ini bertepatan dengan hasrat rakyat yang ingin melihat anugerah tersebut dipelihara sebaik mungkin untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan anugerah tersebut. Sumbangan mereka yang menerima anugerah tersebut mestilah sumbangan yang bukan calang-calang kepada rakyat, bangsa, negeri dan negara. Ianya perlu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berkenaan dan kesediaan penerimanya untuk terus menyumbang idea dan tenaga untuk kesejahteraan semua dan bukannya sebagai satu lambang untuk bermegah-megah dari segi protokol dan keuntungan perniagaan semata-mata.

Adalah diharapkan, langkah yang diambil oleh Sultan Selangor ini memberi mesej kepada negeri-negeri lain berkaitan dengan anugerah bergelar Datuk ini. Apa yang penting ialah kualiti penerima berkenaan dan bukannya kuantiti.

Tahniah Tuanku Sultan.

Tuesday, December 07, 2004

Maybank2u.com Part II

Lanjutan daripada catatan C-bOk dan juga email kepada Maybank (komplen) berkaitan dengan cadangan Maybank2u.com untuk mengenakan caj tahunan sebanyak RM12 untuk pelanggan-pelanggannya, Maybank telah memberikan maklum balas mereka seperti email di bawah:

From: mgcc@maybank.com.my
Subject: Re: Feedback - Annual Fee for Maybank2u.com
To: "ZAINAL AZMAN BIN ABU KASIM"
Date: Tue, 30 Nov 2004 15:57:40 +0800

Dear Sir/Madam,

We thank you for your constructive feedback on Maybank2U charges.

As our valued customer, we understand that you have enjoyed the convenience of our instant online financial service without any charges. And from time to time we have expanded our service from only checking balance and pay bills to many more other services such as Inter Bank Giro, 3rd party transfers, e-SI and latest is SMS and MOBILES. Besides expansion of services to customers, Maybank2U has enhanced the security features to protect the interest of our customers account by introducing TAC.

All these advanced features in Maybank2U has been designed for you as our loyal Maybank customers.

With a minimal RM1.00 a month, Maybank still makes it as easy as possible for you to do your banking transaction from the comfort of your office or home. You can nitiate countless of banking transactions 24 hours a day, 7 days a week.

You are still enjoying all the services without the hassle of going to the banks or visiting the payment counters. You don't have to think of paying tolls, traffic jams, parking woes or reschedule your busy life for one simple banking transaction.

However, should you choose not to subscribe to Maybank2U.com, you may do so via our website. With effect from 20th December 2004, you may select Utilities and choose Unsubscribe if you wish to cancel Maybank2U.com access. As an alternative, you may use our other delivery channels, such as our Kawanku ATMs, Kawanku Phone Banking or the conventional way of doing banking - Maybank branches.

While we appreciate your concern, you may recall that when you signed up to transact online, you had agreed to terms and conditions governing its usage. Kindly refer to our Terms and Conditions of Internet Banking Clause 18:1 referring to service charges or transaction fees.

We thank you for using Maybank2U.com services and look forward to serving you better.

Best regards,
Nur Azween Yahaya
Maybank Group Contact Centre


Maybank mempunyai asas yang sukar dipertikaikan dalam memperkenalkan caj tahunan yang baru ini, tetapi C-bOk masih berpendapat pengenalan caj baru ini tidak perlu, sebab Maybank saban tahun membuat keuntungan yang berlipat ganda dan tidak berada di dalam keadaan yang mendesak untuk memperkenalkan caj yang baru.

Tapi apa yang boleh kita buat?

Wednesday, December 01, 2004

China "Here I come"

C-bOk akan berada di China dari 2 - 6 Disember 2004. Blog ini mungkin tidak akan di kemas kini selama beberapa hari.

Sharifah Aini

Kesemua akhbar-akhbar utama hari ini menempatkan berita Datuk Sharifah Aini akan didakwa sebagai tajuk utama. Butir-butir dakwaan masih samar, tetapi ada kaitan dengan email fitnah terhadap penyanyi Siti Nurhaliza. Memandangkan kes ini boleh dikira sebagai berprofil tinggi (orang yang didakwa dan yang mendakwa mempunyai pengaruh) adalah diharap ianya akan di adili dengan seadil-adilnya dan menjadi 'pengajaran' kepada sesiapa juga yang cuba meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

Apa-apa pun, setiap yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri kepada semua individu yang terlibat dan juga kita sebagai pemerhati. Mana yang baik itu jadikan tauladan. Mana yang tak baik jadikan sempadan.