Monday, December 13, 2004

Tol NAIK Lagi!

Ini berita yang semua orang dah tahu. Kadar bayaran tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan dinaikkan sebanyak 10% mulai jam 12.01 pada 1 Januari 2005. Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Sammy Velu, "kenaikkan ini tidak dapat dielakkan!". Ini bermakna, "Kerajaan sudah tidak ada pilihan lain". Kegagalan membenarkan kenaikan ini akan memberi AKIBAT yang besar kepada Kerajaan. Kenyataan yang serupa telah banyak kali didengar daripada Kementerian yang sama sehinggakan ingatan rakyat kepada Kementerian ini begitu sinonim dengan "TOL NAIK!"

Kenaikan bayaran tol ini bukanlah satu-satunya berita NAIK yang diumumkan kepada umum. Minyak petrol NAIK dua kali tahun ini. Harga jualan borong dan runcit ayam NAIK. Tambang feri NAIK. Maybank pula akan mula mengenakan caj bagi perkhidmatan online Maybank2u.com yang sebelum ini diberikan secara percuma. Darah pun banyak juga yang NAIK sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, ada ura-ura beberapa industri lain yang sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar bayaran yang dikenakan kepada pengguna. Antaranya, pengedar suratkhabar bercadang untuk memohon keNAIKan komisyen mereka daripada 20% kepada 30%. Berdasarkan kepada pengalaman lalu, kadar ini akan dipindahkan oleh pemilik media kepada pengguna (pembaca). Sebuah kementerian pula sedang menimbangkan kemungkinan keNAIKan tambang teksi dan bas di seluruh negara. Pesakit pula mungkin kena beli ubat sendiri di farmasi swasta yang sebelum ini merupakan tanggungjawab sosial Kerajaan kepada penduduk negara ini yang membayar cukai setiap tahun

Apa-apa pun setiap Kementerian yang bertanggungjawab pasti mempunyai asas untuk meluluskan setiap keNAIKan ini. Bagaimanapun keNAIKan bayaran tol ini mulai 1 Januari 2005 pasti akan mengundang lebih banyak lagi kenyataan demi kenyataan daripada pelbagai industri yang memohon untuk meNAIKan harga bagi perkhidmatan dan barangan yang mereka bekalkan sebagai kesan rantaian (chain reaction) kenaikan bayaran tol ini.

Namun dalam hal kenaikan bayaran tol ini, ada sedikit kemusykilan yang perlu penjelasan lebih telus daripada Menteri Kerja Raya / Kementerian Kerjaraya:

(i) Adakah Kerajaan perlu akur kepada permohonan kenaikan bayaran tol apabila kajian dibuat setiap tiga tahun sekali? Tidak bolehkah, Kerajaan sebagai wakil kepada rakyat yang memilih mereka untuk "sesekali" menolak permohonan seperti ini kerana apa yang nampak sekarang ini, setiap permohonan seperti ini terutamanya daripada PLUS dilayan dan diluluskan;

(ii) Dalam kajian yang dibuat dalam tahun 1999, untuk mengelakkan beban kepada Kerajaan dan juga rakyat, Kerajaan telah melanjutkan tempoh konsesi kepada 42 tahun sehingga tahun 2030 dan juga meluluskan kenaikan kadar bayaran tol. Ini adalah lanjutan selama 12 tahun daripada perjanjian asal yang sepatutnya tamat dalam tahun 2018. Namun dalam keadaan yang sama selepas tiga tahun PLUS masih boleh menaikkan kadar tol walaupun lanjutan konsesi telah diberikan kepada mereka menjadikan alasan lanjutan konsesi tempohari tidak berasas. Ini merupakan keuntungan berganda kepada PLUS dan pengguna jalanraya pula rugi dua kali ganda kerana terpaksa membayar tol lebih TINGGI dan lebih LAMA;

(iii) Bagaimanakah perkiraan kadar bayaran tol bagi setiap kilometer dan juga kadar bayaran pampasan yang perlu dibuat oleh Kerajaan kepada PLUS ini? Apakah formulanya?

Apa yang ingin dipersoalkan di sini ialah prinsip di dalam mempertimbangkan soal keNAIKan seperti ini. Kerajaan sebagai wakil dan pelindung kepada rakyat perlu dilihat lebih memperjuangkan kepentingan rakyat. Semua bentuk perniagaan perlu mencatatkan keuntungan, tetapi sekiranya di dalam keadaan syarikat sedang mencatat keuntungan, syarikat masih mahu terus menambah kentungaan berlipat ganda tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial mereka, ini sudah dikira zalim. Kadar yang dikenakan kepada individu mungkin nampak sedikit, tetapi apabila sepuluh syarikat menggunakan alasan yang sama untuk menaikkan 10% kadar bayaran mereka, ianya merupakan peningkatan 10% sebanyak 10 kali kepada pengguna (= 100%).

Dalam hal ini rakyat terus menjadi mangsa. Peningkatan kos sara hidup begitu mendadak dan tidak seimbang dengan pendapatan mereka. Namun pandangan-pandangan yang menongkah arus ini biasanya tidak akan diambil dengan serius. Bagai anjing menyalak bukit.

No comments: