Tuesday, December 14, 2004

CTOS

Bagi kebanyakkan kita mungkin tidak tahu apa itu CTOS? Walaubagaimanapun, nama ini mempunyai kuasa yang agak besar untuk menentukan masa depan setiap individu di negara ini dari segi kedudukan kewangan setiap individu dan kelayakan mereka untuk mendapatkan pinjaman, perlindungan insuran dan lain-lain yang berkaitan.

CTOS adalah syarikat swasta yang diberikan lesen dan ditugaskan untuk mengumpul dan membekalkan data kewangan individu termasuk kes-kes muflis kepada institusi kewangan dan perbankan. Lesen yang diberikan ini membolehkan CTOS Sdn. Bhd. menerima dan mengumpulkan maklumat daripada agensi-agensi yang berkaitan berkenaan dengan kedudukan kewangan setiap individu dan maklumat ini akan disalurkan kepada mana-mana agensi yang memerlukannya dan keputusan untuk meluluskan pinjaman dan lain-lain produk kewangan adalah berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada CTOS ini.

Objektif pengumpulan data yang berkaitan oleh CTOS membolehkan agensi-agensi kewangan dan perbankan menyemak status setiap individu berkaitan dengan kelayakan mereka untuk diberikan kredit serta keupayaan mereka untuk membayar semula. Sekiranya laporan berkenaan menunjukkan rekod yang baik, maka permohonan mereka akan mudah diluluskan. Sebaliknya, sekiranya laporan CTOS tidak begitu baik, maka permohonan pasti ditolak.

Konsep ini adalah berdasarkan kepada konsep yang sama yang digunakan di Amerika Syarikat (AS) untuk menilai tahap kredit setiap individu di negara berkenaan. Di AS, tiga buah agensi pengumpulan data berkaitan dengan tahap kredibiliti kredit setiap individu dilesenkan iaitu Experian, Equifax dan TransUnion. Experian dan Equifax misalnya turut beroperasi di banyak negara lain seperti Eropah dan juga di Amerika Selatan.

Walaubagaimanapun, persamaan antara CTOS dan agensi-agensi pengumpulan rekod kredit di AS ini terhad kepada kerja-kerja pengumpulan data sahaja. Dari segi kredibiliti, data yang dikumpulkan oleh CTOS diragui kesahihannya. Ini adalah kerana tidak ada "check and balance" terhadap setiap data yang dikumpulkan. Pemilik data berkenaan tidak boleh menyemak setiap laporan yang dibuat kepada CTOS. Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaya (PERDASAMA), Dato' Moehamad Izat Emir, pernah membangkitkan soal ini seperti kenyataan beliau disini dan disini.

Kredibiliti yang dipersoalkan ialah kesahihan maklumat yang dilaporkan khususnya kebenaran laporan berkenaan dan juga status jangka hayat maklumat yang dilaporkan. Rungutan yang pernah dibangkitkan sebelum ini ialah maklumat yang dilaporkan bukan maklumat mereka sebaliknya maklumat orang lain yang mungkin telah mencuri identiti orang lain. Jangka hayat maklumat juga dipersoalkan samada maklumat yang dilaporkan itu adalah maklumat yang terkini ataupun maklumat yang telah bertahun-tahun. Sebagai contohnya, seseorang yang telah dibebaskan daripada status muflis masih kekal muflis di dalam laporan CTOS.

Di AS, undang-undang membenarkan setiap individu menyemak setiap rekod yang dimasukkan ke dalam rekod kredit mereka. Mereka juga boleh mempertikaikan rekod berkenaan sekiranya mempunyai asas untuk mewujudkan pertikaian berkenaan. Dalam masa yang sama, setiap individu boleh membuat perancangan dalam perbelanjaan kredit mereka berdasarkan kepada rekod kredit mereka. Kesemua maklumat ini boleh dipohon daripada ketiga-tiga agensi pengumpul data kredit ini dengan sedikit bayaran.

Buat masa ini, perkara ini masih lagi belum menjadi barah. Walaubagaimanapun, sekiranya tidak ada usaha untuk meletakkan CTOS di landasan yang betul, dikhuatiri pihak yang memberi kemudahan kredit seperti industri perbankan dan insuran tidak membuat keputusan yang tepat. Semua pihak yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia dan juga Kementerian Kewangan perlu melihat perkara ini dan meletakkan CTOS di landasan yang betul.

No comments: