Friday, December 24, 2004

Berita Yang Tak Sedap Di Baca Saban Hari.....

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak berita berkaitan dengan NAIK di terbitkan di dalam akhbar. Boleh dikatakan setiap hari. Belum habis satu-satu isu berkaitan dengan keNAIKkan harga barangan dan perkhidmatan dibahaskan, muncul satu lagi kenyataan berkaitan dengan cadangan untuk meNAIKkan satu lagi perkhidmatan yang lain atau barangan yang lain. Tahun 2004 ini sahaja, sudah terlalu banyak harga barangan dan perkhidmatan yang NAIK.

Semalam Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd. Salleh Abdullah mengumumkan bahawa tambang antara bandar akan diNAIKkan mulai 1 Mac 2005. KeNAIKkan ini adalah diantara RM1 hingga RM4 daripada kadar yang dikenakan sebelum ini. Dalam masa yang sama, kadar caj untuk tempat tidur bagi kelas pertama dan kedua juga akan rurut diNAIKkan.

Justifikasi KTMB di dalam memperkenalkan kadar caj baru ini adalah "kenaikan kos bahan api" dan "kos penyelenggaraan".

Apa yang diperhatikan, justifikasi keNAIKkan ini adalah serupa bagi semua industri baik perkhidmatan mahu pun pembekal barangan. Walaupun, justifikasi ini nampak jujur dan menyokong cadangan keNAIKkan tersebut, namun kalau di lihat dari sudut yang lebih luas, pengguna terpaksa membayar lebih untuk perkhidmatan yang sama dalam keadaan pendapatan yang masih serupa. Bagi pembekal perkhidmatan dan barangan, keNAIKkan itu tak seberapa, tetapi bagi pengguna terpaksa menanggung keNAIKkan bagi sebahagian besar keperluan mereka seharian. Sekiranya satu pembekal menaikkan 10% caj barangan, sepuluh pembekal yang mengambil tindakan yang sama, pasti memberi kesan yang bukan sedikit kepada pengguna.

Kerajaan perlu memantau keadaan ini. Pak Lah perlu melihat rintihan rakyat yang semakin terbeban. Sememangnya rakyat pasti sanggup turut sama menanggung beban, tetapi keNAIKkan demi keNAIKkan sepanjang tahun 2004 ini bukanlah sesuatu yang diharap-harapkan oleh rakyat yang memberi mandat baru kepada Kerajaan Barisan Nasional.

C-bOk bercadang untuk menyediakan satu senarai pelbagai pengumuman berkaitan dengan keNAIKkan harga barangan dan perkhidmatan yang dibuat dalam tahun 2004. Sesiapa yang berminat untuk memberikan pandangan dan menambah kepada senarai tersebut bolehlah memaklumkan C-bOk.

No comments: