Cadangan Maybank untuk mengenakan caj bagi perkhidmatan online Maybank2u.com terus mendapat perhatian ramai. Polemik berkaitan dengan cadangan Maybank berkenaan boleh di lihat di akhbar-akhbar utama dan juga laman-laman web. Kenyataan demi kenyataan di buat oleh pengguna, pemimpin persatuan pengguna dan orang ramai khususnya yang berkepentingan.
Namun kenyataan-kenyataan di dalam akhbar-akhbar utama ini tidak menyebutkan nama Maybank, sebaliknya hanya merujuk kepada "sebuah bank tempatan". Kenapa ianya tidak disebut secara berterus terang tidak dapat dipastikan. Mungkin, Maybank mempunyai "pendinding" sehinggakan akhbar-akhbar utama ini "tidak berani" untuk mencetak nama Maybank di dalam akhbar-akhbar mereka, walau kiasan yang digunakan jelas merujuk kepada Maybank seperti:
(i) Bank tempatan yang hendak mengenakan caj bagi perkhidmatan onlinenya;
(ii) Bank tempatan yang pertama mengasingkan kaunter pelanggan untuk mereka yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 dan mereka yang mempunyai simpanan lebih dari RM10,000, di mana yang lebih mendapat layanan 'priority';
(iii) Bank yang mengenakan caj 50 sen untuk pengeluaran melalui ATM selepas 4 kali pengeluaran percuma.
Semua orang yang membaca kiasan itu tahu bahawa kiasan itu ditujukan kepada Maybank. Soalnya kenapa perlu berkias?
Maybank pun tidak membuat sebarang kenyataan terbuka untuk menjawab komen-komen yang dibuat oleh pengguna melalui pelbagai kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh media-media ini melainkan menjawab melalui email secara "cut and paste". Walau apa pun kemusykilan yang ditimbulkan berkaitan dengan bayaran baru ini, jawapan yang diterima tetap sama, menunjukkan Maybank tidak melihat komen-komen yang dibangkitkan sebagai sesuatu yang membina untuk kesinambungan perniagaan mereka. Berdiam diri adalah sebenarnya antara strategi-strategi yang boleh digunakan untuk membiarkan satu-satu isu itu berlalu. Ibarat "anjing menyalak bukit". Anjing sakit tekak, sementara bukit tetap utuh. Dalam hal ini, pelanggan adalah umpama anjing, manakala Maybank umpama bukit.
Pengguna berpendapat cadangan Maybank untuk mengenakan bayaran bagi penggunaan sistem online tidak bertepatan dengan objektif penggunaan sistem berkenaan. Dengan memperkenalkan sistem online, sepatutnya kos semakin berkurangan oleh kerana kos untuk buruh telah diserap oleh mesin-mesin yang boleh bertugas 24 jam tanpa gaji, sebaliknya, Maybank mengenakan bayaran demi bayaran di sebalik pengurangan kos operasi mereka dari segi jangka panjang.
Bank Negara Malaysia (BNM) nampak tidak bertaring. Dalam beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini, BNM nampak menyebelahi pihak bank berbanding dengan pengguna. Hanya setelah ramai pengguna membuat bising baru keluar kenyataan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh bank-bank mulai bulan Februari 2005. Dalam hal ini. Maybank perlu diberi arahan untuk menangguhkan bayaran yang dicadangkan untuk perkhidmatan onlinenya sehingga BNM mengeluarkan peraturan khusus berkaitan dengan perkara ini. Ataupun Maybank diberi peluang untuk mengenakan caj baru ini mulai 20 Disember 2004 sebelum peraturan baru diperkenalkan pada februari tahun depan?
Dalam pada itu, kita sebagai pengguna perlu bersuara bagi menyatakan pendapat kita supaya kita sebagai pengguna tidak di perkotak katikkan. komen-komen anda boleh dihantar terus kepada mgcc@maybank.com.my (u.p:Nur Azween Yahya) atau menandatangani petition di laman web petition online.
Tuesday, December 14, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment