Sejak diumumkan semalam, rata-rata masyarakat banyak mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak yang tinggi sehingga 30 sen bagi setiap liter. Walaupun akhbar arus perdana menyiarkan pandangan yang seimbang daripada banyak pihak, namun motif penyiaran adalah untuk "menghalalkan" kenaikan tersebut. Pandangan berbentuk analisa dan juga perbandingan dibuat dengan matlamat untuk menunjukkan kenaikan itu "tak ada apa-apa" pun. Seolah-olah, kenaikan itu satu berita gembira untuk kita semua.
Masalahnya, adakah pembuat dasar faham dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa-biasa? Mereka yang bekerja dan bergaji kecil tetapi berkeluarga besar. Sekiranya mereka berkeluarga kecil sekali pun adakah tidak ada kesan langsung atau tidak langsung kepada mereka? Rakyat biasa-biasa yang bayar sendiri duit tol, tak ada driver, tak ada elaun keraian sehingga berbelas ribu macam orang-orang besar di atas.
Sebenarnya, kenaikan kali ini sememangnya begitu membebankan. Kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat. Walaupun Kerajaan melalui KPDN-HEP telah memberi "amaran keras" kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga, sejauhmanakah Kementerian ini mampu untuk memantau keadaan? Selama ini pun dengan pelbagai amaran keras yang dibuat dan diumumkan, Kementerian ini masih gagal untuk mengatasi banyak masalah kenaikan harga, masalah cetak rompak, masalah kegagalan mematuhi peraturan yang remeh-temeh dan sebagainya.
Jadi, bagi rakyat jelata macam C-bOk, amaran keras itu hanyalah retorik semata-mata yang perlu dibuat dan diumumkan macam robot apabila kenaikan berlaku. Di masa hadapan apabila kenaikan berlaku lagi, amaran keras yang sama akan dikeluarkan. Tetapi harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat.
Kenaikan harga minyak ini akan meningkatkan kadar perbelanjaan mengurus rakyat dan juga Kerajaan sendiri. Peningkatan ini tanpa diimbangi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagaian aktiviti ekonomi dan merancakkan pembangunan akan melahirkan rakyat yang "marah", "dendam" dan "menyampah". Ini tidak baik kepada kesejahteraan negara dan juga kestabilan politik yang telah kita kecapi sejak sekian lama.
Kesan ketara yang "instant" terhadap kenaikan kali ini jelas apabila kita duduk-duduk di kedai kopi sambil minum teh tarik. Rata-rata ramai yang telah menunjukkan rasa "marah", "dendam" dan "menyampah" seperti yang C-bOk nyatakan di atas. Apakah ini yang Kerajaan mahukan daripada rakyat?
Tidak adakah cara lain untuk menampung kenaikan harga minyak ini? Apa kata sekiranya aktiviti ekonomi dirancakkan dengan program pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan di zaman Tun Mahathir dahulu? Bukankah dengan aktiviti pembangunan yang pesat akan meningkatkan aliran mata wang di pasaran yang mewujudkan peluang pekerjaan, kenaikan gaji yang kompetitif dan juga meningkatkan pendapatan Kerajaan melalui pelbagai kutipan cukai? Kutipan cukai ini kemudiannya boleh digunakan untuk menampung kesan kenaikan minyak dunia. Secara tidak langsung rakyat tidak dibebankan.
C-bOk berharap kita tidak dikejutkan lagi dengan pengumuman-pengumuman tidak enak seperti ini lagi. Namun harapan ini mungkin hanya sehingga ke akhir tahun ini sahaja (31 Disember 2006) kerana kenyatataan yang sama pernah dikeluarkan sebelum ini. Tidak ada jaminan apabila tahun baru (2007) menjelma. Namun, kepimpinann mempunyai pilihan untuk menilai pelbagai alternatif. Adakah akan ada idea kreatif untuk menyerap kenaikan itu dengan cara lain atau naikkan sahaja harga minyak untuk ditampung oleh rakyat. Kalau itu pilihan kepimpinan, kita amat rugi.....
Wednesday, March 01, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment