Tuesday, February 28, 2006

Rayuan Kepada Pak Lah & Najib

 

Semalam (27 Feb. 2006) Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersidang. Seperti biasa hal ehwal kebajikan orang Melayu dibincangkan di dalam Majlis ini. (Rasanyalah.....)

Namun berita yang menjadi tajuk utama ialah soal kedudukan pangkat atau jawatan ahli-ahli UMNO yang tinggi-tinggi sahaja yang dibincangkan. Boleh dikatakan kesemua akhbar memberikan penumpuan kepada isu Dato' Zaid Ibrahim yang tidak lagi layak untuk memegang jawatan selepas tempoh pergantungannya tamat. Mengikut kata Pak Lah, semua ahli-ahli MT bersetuju tanpa ada sebarang suara yang membantah.

So..., apakah kepentingan keputusan ini kepada rakyat? Mereka yang biasa-biasa sahaja. Mereka yang tidak ada driver dan tak ada outrider polis? C-bOk mempersoalkan ini, oleh kerana pada hari yang sama, Kerajaan melalui pejabat Perdana Menteri membuat pengumuman tentang kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen berkuatkuasa serta merta. Ramai yang terkejut kerana pengumuman dibuat secara mengejut. Orang yang duduk di Shah Alam, khususnya di TTDI Jaya lagilah terkejut sebab dah la kena banjir sampai musnah harta benda dengan kerugian berpuluh ribu setiap seorang. Tiba-tiba diumumkan pula kenaikan harga minyak.

Di manakah pemimpin saya yang sewajarnya memperjuangkan nasib masyarakat yang biasa-biasa. Kami terkejut dengan pengumuman tiba-tiba yang mendadak ini. Kenaikan ini yang bukan kali yang pertama dalam tempoh dua tahun kepimpinan Pak Lah dan Najib benar-benar merungsingkan.

Apakah hala tuju kita? Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat? Apakah persediaan yang dirancang untuk rakyat bagi menghadapi kenaikan harga minyak ini yang pastinya akan memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lain? Tanpa menyediakan rakyat dengan ketahanan mental dan juga peluang-peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka, negara bakal menghadapi masalah. Masalah ini boleh menjadi kronik sekiranya tidak ditangani dengan segera.

C-bOk merayu kepada Pak Lah dan juga Najib yang menjadi gandingan kepimpinan utama negara untuk segera memacu pentadbiran negara. C-bOk melihat kepimpinan sedia ada agak perlahan dan terlalu banyak retorik sahaja. Hala tuju yang jelas masih kabur. Kita bercakap pasal Wawasan 2020, tetapi ianya nampak tergugat tanpa adanya aktiviti ekonomi dan pembangunan yang jelas dan nyata.

Pak Lah dan Dato' Najib. C-bOk merayu agar segeralah "memacu" negara dengan aktiviti ekonomi supaya pengumuman-pengumuman seperti kenaikan minyak ini tidak "mengganggu" keyakinan rakyat. Posted by Picasa

1 comment:

Anonymous said...

tu lah saya pun kecewa dgn kenaikan harga minyak tu. banyak sangat lah. Aku dah takut nak keluar rumah pakai kete