Monday, April 13, 2009

Kenapa Bubarkan MeCD Pejuang Dasar Ekonomi Baru? [Part 2]

Edisi Kemaskini

***********
Hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau di Putrajaya. C-bOk berharap penjelasan yang memuaskan akan dibuat terhadap hala tuju kepimpinan beliau khususnya di dalam memartabatkan ekonomi Melayu/Bumiputra. Isu pembubaran MeCD perlu ditangani segera memandangkan ianya berpotensi untuk menjadi duri dalam daging kepimpinan beliau sekiranya tidak ditangani dengan cara berhemah dan bijaksana.

Ramai yang mahukan Kementerian ini di kekalkan. Ramai yang sudah bersuara. DSN bernasib baik kerana orang Melayu biasanya berhemah. Cakap-cakap mereka sentiasa berlapik dan penuh sopan santun, walaupun C-bOk tahu ramai yang membara hatinya dengan pembubaran MeCD.

Usaha untuk memindahkan agensi-agensi di bawah MeCD ke beberapa Kementerian lain bukanlah langkah yang baik kerana MeCD sudah menjadi satu "one stop centre" untuk usahawan. Dulu semua isu berkaitan dengan keusahawan hanya perlu dirujuk kepada MeCD. Memecah-mecahkan agensi-agensi ini kepada beberapa Kementerian adalah langkah ke belakang.

Sekiranya MeCD tidak boleh dihidupkan semula, C-bOk ingin mencadangkan kesemua fungsinya di pindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Mungkin Kementerian itu boleh dinamakan semula kepada Kementerian Keusahawanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Lagi pun di bawah MITI kini sudah ada SMIDEC, NPC dan juga MATRADE yang ada hubung kait rapat dengan program pembangunan usahawan. Meletakkan fungsi MeCD di bawah MITI akan memantapkan lagi program pembangunan usahawan di negara ini. Lagi pun Datuk Mustapha Mohammad adalah seorang yang tidak asing kepada fungsi MeCD kerana beliau sendiri pernah menjadi Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan satu masa dahulu.

***************

Menara MeCD yang tersergam indah di Putrajaya ini kini hanya tinggal kenangan dan menjadi satu lipatan sejarah di dalam usaha pembangunan ekonomi Bumiputra di negara ini.

Pemansuhan MeCD di dalam barisan kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) menghentikan usaha memantapkan keupayaan Bumiputra di dalam bidang keusahawanan dan ekonomi yang sepatutnya menjadi mercu tanda kepada perjuangan yang digerakkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputra yang telah melahirkan MARA dan seterusnya di perkukuhkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika mewujudkan MeCD sebagai sebuah Kementerian khusus bagi menggerakkan aktiviti keusahawanan di kalangan Bumiputra.

C-bOk menulis lagi tentang isu ini kerana berpendapat tindakan membubarkan MeCD adalah TIDAK TEPAT. Malahan selepas 9 hari kabinet baru ditubuhkan, Perdana Menteri dan KSN masih lagi belum mengumumkan dengan jelas tentang kedudukan aktiviti di bawah MeCD melainkan pengumuman ringkas tentang TEKUN dan MARA ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW).

Adakah bagi PM - MeCD itu hanyalah TEKUN dan MARA sahaja? Bagaimana dengan fungsi lain di bawah MeCD seperti Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), UDA, SME Bank, Bank Rakyat, PNS, Suruhanjaya Koperasi dan lain-lain lagi? Bagaimana pula pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai Bahagian di dalam MeCD sendiri seperti aktiviti 4PU, Program Pengiklanan dan Gerak Usahawan di bawah Bahagian Promosi dan Pemasaran, aktiviti Teknopreneur di bawah Bahagian Pembangunan Perniagaan dan lain-lain lagi?

Kalau di lihat dari sudut politik pula, C-bOk merumuskan keputusan ini sebagai mesej PM bahawa "pembangunan ekonomi Melayu/Bumiputra tidak penting". Melayu/Bumiputra kini kena bersaing dengan orang lain walaupun mereka tidak bersedia lagi. Bagaimana mereka hendak bersaing apabila mereka masih lagi belum "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan bangsa-bangsa lain. Dan bila mereka akan sama tinggi/sama rendah tidak lah pula dapat dijangkakan lagi kerana satu-satunya mekanisma untuk menyediakan Melayu/Bumiputra ke arah itu telah dibubarkan.

C-bOk tegas menyatakan telah berlaku kesilapan atau pertimbangan yang dangkal di dalam hal ini. C-bOk juga yakin yang C-bOk tidak keseorangan di dalam hal ini. Rata-rata tokoh politik, ahli perniagaan dan akademik telah pun menyuarakan pandangan mereka tentang hal ini. Memorandum juga telah diserahkan kepada TPM. Namun, apa yang termampu dikatakan oleh TPM setakat ini adalah seruan supaya kita bersabar menunggu penjelasan. Maknanya baru nak fikirlah alasan kepada pembubaran itu.

Untuk berlaku adil kepada PM, C-bOk akan menunggu penjelasan itu sebelum membuat pertimbangan muktamad, walaupun rasa kecewa yang amat sangat. Namun C-bOk harap PM tidak membuat keputusan yang silap seperti yang dilakukan oleh Tun Abdullah dahulu apabila beliau membatalkan projek jambatan bengkok yang menjadi duri dalam daging kepada kepimpian beliau.

Dalam masa yang sama, beberapa bloggers lain juga turut membuat catatan tentang perkara ini seperti berikut:

Nobisha: Kementerian Pembangunan Usahawan: Elegant Silent Najib

Big Dog: Apakah Keberkesanan Pemansuhan MeCD dan Letak MARA dan TEKUN Bawah KKLW?

Gerakan Anti PKR: Amaran Kampu Kuning Pertama Kepada Najib dan Muhyiddin

Suara Melayu Baru: Makin Ramai Usahawan Bumiputra Bakal Gulung Tikar

Nobisha: Kementerian Pembangunan Usahawan

Mesin Taip Buruk: Kemana LPKP Hendak Di Bawa?

Paneh Miang: Batu Nesan MeCD

Mutiara Melayu Pulau Pinang: MECD Kecundang. MARA Tetap Ada

Pahit Manis: Bank Rakyat, SME Bank - Siapa Penjaganya?

Warisan2057: Lagu 3 Kupang: MeCD oh MeCD

Ada banyak lagi catatan tentang kegusaran orang-orang Melayu/Bumiputra dengan keputusan pembubaran MeCD ini.

C-bOk amat berharap PM segera memberi penjelasan khususnya komitmen beliau terhadap program pembangunan usahawan.

1 comment:

Anonymous said...

Yup, betul tu. Ke mana halatuju kami yang terlibat dalam gerakan koperasi selepas ini? MKM, SKM? Semalam berlangsung majlis perhimpunan bulanan MeCD yang terakhir yang turut dihadiri oleh mantan menteri MeCD. Sedangkan KSU kementerian sendiri tidak tahu kemana perginya beliau selepas ini, apatah lagi kami ni hanya orang bawahan. Malam tadi keluar di Buletin Utama berkenaan rungutan LPKP di letakkan di bawah Kementerian Pengangkutan. Hmm macam2 senario politik negara kita sekarang. Hmm seminar kami di melaka hari esok sepatutnya dirasmikan oleh Timbalan Menteri MeCD tapi dah jadi mcm ni, mungkin Ahli Majlis kami saja yang rasmi. Silap2 pengarah kami jer yang rasmi, haha..