Friday, April 22, 2005

Deman Kepialu di Kelantan

Deman kepialu di Kelantan semakin merebak. Setakat hari ini, kes serangan kepialu telah meningkat kepada 202 orang, manakala 3 orang telah pun disahkan mati akibat terkena jangkitan berkenaan. Dalam keadaan negara hanya tinggal kira-kira 15 tahun sahaja lagi untuk mencapai taraf negara Maju (2020), serangan penyakit kuno seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Jangkitan kepialu biasanya berlaku melalui air dan makanan. Pencemaran biasanya berlaku di dalam air yang telah tercemar dengan kuman najis manusia seperti air kencing ataupun najis.

Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana dengan kemudahan dan infrastruktur sedia ada yang canggih, manusia, khususnya di Kelantan masih terkena jangkitan kuman ini? Bagaimanakah kuman daripada najis boleh mencemari air dan makanan di Kelantan? Bukankah sudah ada bekalan air yang bersih? Apakah mungkin ramai pengguna yang tidak mendapatkan bekalan air yang bersih daripada paip dan masih menggunakan perigi? Atau adakah seperti kata Menteri Besar Kelantan sendiri, segala-galanya berpunca daripada sifat pengotor rakyat Kelantan sendiri?

Apakah tindakan Kerajaan Kelantan untuk mengatasi masalah ini? Setidak-tidaknya satu program meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan perlu dianjurkan dengan kadar segera. Perkara ini tidak boleh dibiarkan untuk tindakan Kementerian Kesihatan dan kerajaan Pusat sahaja. Atau dengan kata lain, perkara ini tidak boleh dibiarakan sebagai mengalah kepada takdir sahaja.

No comments: