Sunday, January 06, 2008

Catuan Minyak Masak

Mulai 7 Januari 2008 ini jualan minyak masak akan dicatu dengan setiap pembeli hanya boleh membeli sebanyak 5 kilo minyak masak pada setiapkali pembelian. Langkah ini mungkin langkah terbaik yang dapat difikirkan oleh Kerajaan buat masa ini untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan yang semakin meruncing ketika ini.

C-bOk rasa kurang senang dengan perkembangan ini. Setiapkali ada kekurangan bekalan di pasaran dan apabila ianya menjadi masalah kepada rakyat, maka rakyat juga yang kena tangung masalah ini. Rakyat juga yang kena catu bekalan keperluan harian. Sebelum ini apabila kita menghadapi masalah bekalan gula, rakyat juga yang kena menanggung catuan bekalan berkenaan di pasaran. C-bOk rasa ada yang tidak kena di sini.

Malaysia adalah pengeluar terbesar minyak kelapa sawit. Kita bukan sahaja mengeluarkannya dalam jumlah yang besar, kita juga menjadi pengeskport utama produk berasaskan minyak kelapa sawit ke pasaran dunia. Jadi kenapa kita menghadapi masalah kekurangan bekalan ini? Pasti ada sebabnya. Kemungkinannya ialah ada pengeluar atau pun pengedar yang menyorokkan bekalan ini atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu. Kemungkinannya untuk menekan pihak berwajib supaya menaikkan harga. Ataupun kemungkinannya bekalan yang sedia ada di salurkan ke negara lain. Ada banyak kemungkinan...

Namun, apa yang C-bOk musykilkan di sini ialah kenapa usaha risikan agensi yang berwajib gagal untuk mengesan mereka yang menjadi dalang kepada masalah ini? Mereka yang menyebabkan masalah ini pastilah bukan susah sangat nak di kesan. Cuba kita kesan melalui susur galur (value-chain) industri ini daripada ladang, kilang, pemborong dan peruncit. Pasti kita dapat mengesan di mana masalahnya. Setiap tin atau botol yang keluar dari kilang perlu sampai ke tangan pemborong dan peruncit. Dengan mengira jumlah keluaran dari kilang dan jumlah yang diterima oleh pemborong/peruncit, pasti kita akan dengan mudah mengesan di mana kepincangan atau pun punca masalah ini. Adakah ianya akibat daripada kekurangan di pihak pengilang kerana tidak mengeluarkan jumlah yang mencukupi atau pun pihak pemborong/peruncit yang tidak membuat perancangan jualan yang betul?

Dengan mengenalpasti masalah ini pastilah tindakan mengatasi masalah kekurangan bekalan boleh di atasi dengan berkesan. Ini bolehlah mengelakkan suasana panik pengguna dan mengelakkan tindakan catuan.

C-bOk rasa, para pegawai di KPDN-HEP perlulah lebih banyak menjalankan kerja risikan daripada banyak bercakap sahaja. Pegawai penguatkuasa ada beribu orang tapi masalah seperti ini masih terus berlaku. Sekiranya usahawa risikan dan penguatkuasaan di jalankan dengan "betul", C-bOk amat yakin,masalah ini tidak akan berlaku.

No comments: