Tuesday, November 30, 2004

Haloscan commenting and trackback have been added to this blog.

Sayap Veteran UMNO Tak Perlu

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammudin membuat keputusan tepat apabila secara berterus terang menolak cadangan untuk menubuhkan sayap baru UMNO. Selama ini pun tidak ada veteran UMNO yang dipinggirkan, sebaliknya mereka ini sendiri yang tidak bergerak aktif atas sebab-sebab mereka yang tersendiri. Antaranya Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan kerana ingin berehat, Tan Sri Musa Hitam yang berulang kali menegaskan tidak mahu aktif, Tun Ghafar Baba yang telah sampai ke penghujung hayat politiknya dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama, masih ada ramai veteran UMNO yang masih bergerak aktif di dalam UMNO dan menyumbang kepada pelbagai aktiviti dan program yang dirancangkan. Ini termasuklah Presiden UMNO sendiri yang boleh di kira veteran. Begitu juga dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang sebahagian besarnya boleh dikira veteran dari segi umur.

Sayap sedia ada (Pemuda, Wanita dan Puteri) sudah cukup untuk ahli-ahli UMNO. Bagi mereka yang telah tidak layak untuk berada di dalam mana-mana sayap ini, mereka wajar meneruskan perjuangan mereka di dalam UMNO sendiri. Sekiranya mereka tidak lagi diterima untuk menjadi pemimpin itu tandanya sudah sampai masa untuk mereka membuka jalan kepada orang baru untuk meneruskan kepimpinan UMNO itu. Veteran yang sudah lama berkhidmat ini boleh meneruskan sumbangan mereka sebagai penasihat parti dan memberi tunjuk ajar kepada orang-orang muda yang baru hendak naik di dalam politik. Ini akan memberi mereka lebih banyak masa untuk beramal ibadat atau menjalankan aktiviti-aktiviti riadah sesuai dengan umur mereka.

Monday, November 29, 2004

Toyota Unser Replacement Model?

Toyota Unser ataupun lebih dikenali sebagai Kijang di Indonesia telah pun melancarkan model baru Kijang yang dikenali sebagai Kijang Innova. Model yang sama juga telah dilancarkan di Thailand.


Di Malaysia, model ini dijangka akan dilancarkan dalam suku pertama tahun depan. Model baru ini dijangka akan menggunakan enjin 2,400 vvti dengan muatan tempat duduk untuk 7 orang. Enjin baru ini tentu akan menarik minat ramai pengguna Toyota Unser sedia ada dan lain-lain peminat MPV/SUV.


Sesiapa yang berminat perlu membuat tempahan awal memandangkan model Toyota Avanza yang baru dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang begitu hebat sehingga ada lokasi jualan yang mencatatkan tempoh menunggu hampir setahun. Sambutan hebat yang sama dijangka akan berlaku terhadap model baru ini.


Toyota Unser Replacement Model? Posted by Hello


Friday, November 26, 2004

Selamat Hari Jadi Pak Lah

Selamat Hari Jadi diucapkan kepada Pak Lah. Saya kalau sambut harijadi biasanya di kedai kopi aja - makan roti canai. Kalau ada duit lebih sikit mungkin dapat belanja keluarda di KFC atau McDonald. Pak Lah okeylah, boleh sambut harijadi di Havana, Cuba. Keluar paper lagi. Apa azam atau hasrat Pak Lah sempena hari jadi ni? Tak apa lah, kalau rahsia tak apa, tapi saya juga ada hasrat untuk harijadi saya yang lambat lagi nak sampai. Hasrat saya....

  1. Pak Lah tengok-tengokkanlah kos-kos yang semakin naik di negara ini. Tol, minyak, barangan harian, caj bank...., semuanya naik. Kalau banyak sangat yang naik takut rakyat negara ni naik minyak nanti;
  2. Pak Lah jalan-jalanlah kat KL, kat bandar-bandar keliling KL dan jugak kampong-kampong. Banyak jalan berlubang-lubang. Kalau motor jatuh dalam lubang ni, penunggangnya mesti mati Pak Lah;

Itu ajalah hasrat saya setakat ini. Dua aja yang terfikir setakat sekarang ni sebab hari jadi saya lambat lagi. Bulan Julai nanti.

errr.., Pak Lah dah makan ke kek tu? Sedap ke?

Maybank2u.com

Mulai 20 Disember 2004 Maybank2u.com akan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM12 setahun (RM1 sebulan) kepada semua pelanggan-pelanggannya. Beberapa fakta untuk renungan:

  1. Kadar ini dikenakan selepas Maybank berjaya menarik berjuta pelanggannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan internet Maybank2u.com secara percuma. Dengan 'memaksa' caj baru ini kepada pelanggan-pelanggannya, Maybank akan membuat keuntungan tambahan berlipat ganda tanpa perlu bersusah payah;
  2. Caj perkhidmatan ini dikenakan di samping lain-lain caj perkhidmatan yang telah sedia dikenakan seperti caj RM2 untuk memindahkan wang dan juga RM0.50 bagi setiap transaksi ATM selepas digunakan lebih 4 kali;
  3. Caj ini dikenakan selepas Maybank mencatatkan keuntungan berterusan setiap tahun dengan menggunakan duit pelanggan-pelanggannya;
  4. Caj ini dikenakan dalam keadaan di mana harga minyak NAIK, harga sebahagian besar barangan keperluan NAIK, kadar tol NAIK, semua NAIK;

Inilah caranya Maybank mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggannya yang selama ini setia dengan bank ini. Apakah pilihan yang kita ada? Tukar bank atau simpan duit bawah bantal?

Thursday, November 25, 2004

Perihal Pak Mat Cot

C-bOk sekadar ingin membuka minda perihal dongeng Pak Mat Cot di negera Antah-Brantah yang dibangkitkan oleh Mamak Bendahara yang bertanggungjawab dengan kerja-kerja di negara itu. Konon ceritanya oleh sebab Pak Mat Cotlah banyak kerja-kerja dinegara itu tak "semonggah" (menurut cakap orang Negeri Sembilan). Apa-apa pun pihak yang dituduh yakni Pak Mat Cot menyatakan bahawa Mamak Bendahara "tak tahu cerita sebenar" di sebalik terlantiknya Pak Mat Cot untuk buat kerja.

Kononnya lah..., Pak Mat Cot tu dilantik setelah Bapak Ketua negara mendapati Mamak Bendahara asyik melantik orang dia aja untuk buat kerja-kerja kat Antah Brantah tu. Bila perkara ni berleluasa, Bapak Ketua mendapati masalah untuk melahirkan negara Antah Brantah di bawah Dasar Ekonomi Baru mungkin tak tercapai. Sebab tak nak bagi malu kat Mamak Bendahara, Bapak Ketua pun melantik Pak Mat Cot. Lepas tu susahlah sikit Mamak Bendahara nak cari makan. Mamak Bendahara pun makan hati berulam jantung.

Tak berapa lama kemudian negara Antah Berantah dilanggar garuda. Bukit bukau runtuh bertaburan, jambatan retak dan bangunan terhuyung hayang. Oleh sebab musabab ini, Mamak Bendahara kena marah tak pasal-pasal. Macai-macai negara itu marah yang teramat sangat. "Berhentilah kau wahai Mamak Bendahara, kerana ente lah negara kita dilanggar garuda..." kata macai-macai itu....

Tetapi Mamak Bendahara bijak bistari. Inilah peluang terbaik. Pak Mat Cot mesti dihapuskan. Maka dicanangkanlah bahawa Pak Mat Cotlah punca garuda menyerang negara itu. Heboh satu negara. Pak Mat Cot mestidihapuskan, arang mesti dipalitkan di muka mereka dan kuasa perlu diambil balik daripada Pak Mat Cot seantaro dunia Antah Brantah ini.

Maka nampak buruklah Pak Mat Cot tu. Pak Mat Cot pun tak berani nak cakap banyak. Tapi yang peliknya macai-macai pun diam belaka lepas tu. Bapak Ketua negara Antah Brantah pun nampak diam jugak. Itulah yang berlaku dalam dongeng tergantung ini......

.........
C-bOk pun naik hairan dengan dongeng Antah Brantah ni. Kalau diikutkan kepada hasrat sebenar penubuhan PMC ini adalah untuk menjunjung Dasar Ekonomi Baru negara di mana usaha-usaha untuk melahirkan pemilikan/pegangan ekonomi Bumiputra diterjemahkan melalui perlantikan yang dibuat oleh PMC. Dengan kata lain PMC menjaga kepentingan Bumiputra di negara ini. Kalau khidmat PMC ditamatkan, maka kita akan berbalik kepada keadaan asal sebelum perlantikan PMC ini dibuat. Macai-macai yang bising sebelum ni kenapa diam? Bapak Ketua Negara pun kenapa diam? Berilah pedoman.....



3.1 juta saman

3,100,000 juta saman telah dikeluarkan oleh pihak polis sejak tahun 2001 hingga 2004. Berdasarkan kepada rekod polis, saman-saman ini masih belum diselesaikan. Bermakna ada 3.1 juta pesalah jalanraya dibiarkan berkeliaran dijalan-jalan raya seluruh Malaysia. Salah siapakah sehingga berjuta-juta pesalah jalanraya yang "telah dikenalpasti" ini masih dibiarkan bebas tanpa sebarang tindakan selama beberapa tahun?

Patutlah kemalangan maut terus berleluasa. Kalau mengikut teori yang dibuat oleh Pengarah Pengurusan PDRM, pesalah-pesalah inilah yang menyumbang kepada sebahagian besar kemalangan-kemalangan yang berlaku di negara ini. Atas alasan inilah beliau mahu tempoh membaharui lesen dipendekkan kepada 1 tahun sahaja berbanding tempoh sehingga 10 tahun sebelum ini.

3.1 juta pesalah ini sekiranya dikenakan denda RM300 seorang bermakna Kerajaan boleh mengutip sehingga RM930 juta. Duit ini boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran pemandu supaya lebih berhemah dijalanraya di samping meningkatkan kemudahan prasarana jalanraya di seluruh negara terutamanya jalan-jalan yang berlubang, selekoh yang merbahaya dan juga tidak rata.

Sehubungan dengan ini, seeloknyalah pihak polis menyegerakan tindakan untuk mengesan dan membawa kesemua 3.1 juta pesalah yang "telah dikenalpasti" ini ke muka pengadilan. Ini adalah kerana kita dah tahu siapa yang bersalah. Tak payah keluarkan kenyataan-kenyataan yang "berbunga-bunga" lagi seolah-olah memberi peluang kepada kepada pesalah-pesalah ini untuk "lari" dari kesalahan mereka dan cuba untuk mengheret sama orang yang tak bersalah untuk turut sama dihukum dengan orang-orang yang bersalah ini.

Tuesday, November 23, 2004

Aduhai PDRM/JPJ

Cuba baca suratkhabar hari ini. Boleh dikatakan majoriti berpendapat bahawa cadangan oleh pihak Polis dan JPJ untuk menghadkan tempoh membaharui lesen selama satu tahun sahaja bagi menangani masalah kemalangan jalanraya adalah tidak praktikal. Beberapa orang Menteri termasuk Menteri Pengangkutan sendiri nampak kurang bersetuju dengan cadangan ini.

Dari segi logiknya, kenapakah orang yang tidak bersalah dihukum sama dengan orang yang bersalah? Bukankah sebahagian besar daripada pesalah-pesalah jalanraya ini sudah dikenaplasti melalui pelbagai saman yang dikeluarkan oleh pihak Polis dan juga JPJ? JPJ dalam satu kenyataan beberapa hari lalu memaklumkan ada beribu-ribu saman telah dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspres sahaja. Ini tidak termasuk pemandu lori, van dan kereta. Tentu beribu jugak. Ini tidak termasuk saman yang dikeluarkan oleh pihak Polis.

Apakah tindakan yang telah diambil terhadap pesalah-pesalah jalanraya ini? Kalau mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai kanan JPJ dan Polis tindakan masih belum diambil terhadap mereka ini. Jangan terperanjat sekiranya apabila tindakan diambil nanti sebahagian besar daripada mereka telah tidak bekerja lagi, mungkin dah pencen dan mungkin jugak dah meninggal dunia. Hakikatnya mereka ini tidak takut dan terus bermaharajalela di jalanraya kerana tidak adanya penguatkuasaan beterusan oleh pihak berkuasa terhadap mereka.

Sepatutnya dalam usaha untuk mendisiplinkan pemandu yang bermasalah ini, tindakan susulan perlu diambil segera sebaik sahaja saman dan kompoun di keluarkan. Pastinya undang-undang sedia ada menyediakan tindakan susulan yang lengkap untuk membawa setiap pesalah ini ke muka pengadilan.

Maka kenyataan yang seelok-eloknya dikeluarkan oleh pihak Polis dan JPJ ialah menyegerakan tindakan ke atas pesalah-pesalah yang ada. Cari mereka ini. Paksa mereka membayar saman, kalau tak nak bayar bawa ke mahkamah. Kalau di dapati bersalah oleh mahkamah, hukum mereka semaksima mungkin untuk menyedarkan ramai lagi pesalah-pesalah lain. Inilah tindakan yang semolek-moleknya. Tindakan yang rasional dan mesra pelanggan. Bukannya memperkenalkan undang-undang baru yang mendenda semua orang secara sapu bersih.


Monday, November 22, 2004

Setahun Sahaja!

Dalam sibuk-sibuk membuat kenyataan demi kenyataan berkaitan dengan meningkatnya kadar kematian dan kemalangan di bulan raya ni, pihak polis mencadangkan agar lesen memandu kereta di perbaharui setiap setahun sekali berbanding dengan amalan sekarang yang membolehkan lesen ini diperbaharui sehingga 10 tahun.

Inilah masalahnya. Kita hanya bercakap, tetapi implementasi belum tahu lagi. Sebenarnya ada banyak peraturan sekarang yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah jalanraya bukannya menghukum orang lain (majoriti) yang tidak melakukan sebarang kesalahan di jalanraya.

Sebagai contohnya, beribu saman JPJ yang telah dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspress. Sudahkah tindakan diambil terhadap mereka? Ambillah tindakan terhadap pesalah-pesalah ini dahulu sebelum mencadangkan peraturan baru. Ini tak diambil kira saman-saman yang telah dikeluarkan oleh Polis seperti saman ekor, saman di 'road-block' dan sebagainya.

Jangan cakap aja....

Selamat Bertugas

C-bOk ingin mengucapkan selamat kembali dari perantauan dan selamat bertugas kepada semua pembaca blog ini. Selepas berpuasa selama sebulan dan menyambut hari raya di kampung halaman, tentunya semangat bekerja dan berjuang untuk diri, keluarga dan negara semakin hebat.

Selamat Hari Raya. Maaf-Zahir-Batin

Wednesday, November 10, 2004

Selamat Hari Raya


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Posted by Hello

C-bOk ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca. Semoga hari raya ini akan mengeratkan lagi tali persaudaraan dan silaturrahim sesama insan. Ingatlah mereka yang disayangi dan mereka yang tidak berupaya untuk merayakan hari yang berbahagia ini seperti kita.

Sempena hari raya ini, blog ini tidak akan di kemaskini selama beberapa hari. Insyaallah, C-bOk akan kembali menemui anda pada 23 November 2004.

Friday, November 05, 2004

Honda MPV Baru


Honda MPV baru Posted by Hello

Honda dalam satu kenyataan telah memaklumkan bahawa satu model MPV baru dengan muatan 18 penumpang telah dikeluarkan. Model ini boleh ditempah untuk penghantaran sebelum hari raya. Honda MPV baru ini dijangka akan memberi saingan hebat kepada Toyota Avanza yang dikeluarkan baru-baru ini. Menurut kenyataan Honda, sebanyak 50,000 unit MPV ini telah ditempah berbanding dengan 30,000 unit tempahan untuk Toyota AVANZA.

Bush Menang!

Bush akan memerintah selama 4 tahun lagi! Posted by Hello

Sah, Bush akan memerintah selama 4 tahun lagi. Tahniah kepada beliau dan parti Republikan yang dipimpin oleh beliau.

Dalam sistem demokrasi, yang menang tetap menang dan yang kalah tetap kalah. Walaupun Kerry menunjukkan karisma sebagai bakal pemimpin yang berkemampuan untuk mengambil alih daripada Bush, namun beliau kalah di tangan Bush yang lebih 'berpengalaman'. 'Pengalaman' Bush dalam pilihanraya 2000 tidak boleh diperlekehkan. Beliau mampu untuk 'merompak' jawatan yang sepatutnya untuk Gore dalam tahun 2000 melalui manipulasi sistem sehinggakan ramai rakyat AS sendiri yang yakin bahawa mereka di perintah oleh Presiden yang tidak sah selama 4 tahun yang lalu. Namun, pemain-pemain utama di AS mahukan Bush sebagai Presiden, maka beliau menjawat jawatan berkenaan.

Naluri C-bOK seperti mana majoriti rakyat dunia yang lain mahukan Kerry mengalahkan Bush. Masyarakat dunia secara terang-terang mahukan perubahan. Kenyataan demi kenyataan di keluarkan bagi menyatakan betapa perlunya perubahan kepimpinan di buat di AS. Tetapi takdir telah menentukan Bush menang dan memerintah lagi sehingga 2008. Namun kemenangan ini sudah dijangka apabila Osama bin Laden mengeluarkan kenyataan beberapa hari sebelum hari mengundi yang mengutuk Bush dan mengancam untuk mengulang serangan ala 911 terhadap Amerika Syarikat. Dari pandangan mata kasar, kenyataan Osama itu menunjukkan betapa bencinya beliau terhadap Bush.

Sebaliknya Bush telah menggunakan ancaman ini untuk menguatkan hujah bahawa kepimpinannya perlu diberi mandat lebih besar untuk memimpin AS dalam memerangi keganasan. Tidak dinafikan, Bush sebagai Presiden perang moden mampu untuk mengerahkan seluruh kekuatan tenteranya untuk mempertahankan bumi AS dan membunuh musuh-musuh AS tanpa mengira usia atas alasan keganasan. Yang pasti mereka itu Islam. Akibat daripada kenyataan Osama itu, kempen anti keganasan beliau mendapat pengiktirafan secara mendadak.

Sesiapa yang telah menonton filem rencana Fahrenheit 911 arahan Michael Moore pasti maklum tentang hubungan perniagaan di antara Keluarga Bush dan Keluarga Osama. Sejak berdekad lamanya kedua-dua keluarga mempunyai hubungan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Dengan mengambil kira perkara ini, naluri C-bOk berat mengatakan bahawa tragedi 911 adalah sesuatu yang dirancang oleh kedua-dua belah pihak. Kedua-duanya mendapat keuntungan daripada kejadian itu. Tragedi 911 tidak menguntungkan orang Islam, sebaliknya pelbagai industri ketenteraan di US mendapat keuntungan berlipat ganda hasil daripada serangan balas dendam ke atas Afghanistan dan juga Iraq. Sekiranya Bush meneruskan agenda yang sama, serangan ke atas Iran dan Korea Utara pasti akan dibuat dalam tempoh empat tahun yang mendatang ini. Serangan itu pasti akan terus meningkatkan keuntungan dan dana idustri ketenteraan di AS.

Orang Islam sendiri tidak menghalalkan serangan yang dibuat oleh Osama walaupun ianya dibuat atas nama Islam. Serangan Osama itu tidak menguntungkan orang Islam sama sekali, sebaliknya ia umpama 'menang sorak kampung tergadai'. Ramai yang bersorak kerana 3,000 orang AS mati tetapi serangan balas AS terhadap Afghanistan dan Iraq menyaksikan beratus ribu nyawa kanak-kanak dan wanita serta orang tidak berdosa mati katak. Kalau hasrat Osama untuk membela Islam, hasratnya ternyata tersasar.

AS pun bukannya bodoh. Mereka mempunyai teknologi canggih yang mampu untuk mengesan Osama dalam sekelip mata sahaja. Walaubagaimanapun, Osama masih bebas sehingga kini untuk mencorak dunia mengikut acuan dan telunjuk kepimpinan AS. Umpama filem koboi, Osama memegang watak jahat, Bush pula memegang watak hero.

Sehubungan dengan ini, C-bOk yakin bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Osama beberapa hari sebelum hari pengundian di AS adalah sesuatu yang dirancang untuk memastikan kemenangan Bush. Dengan ternobatnya Bush sebagai Presiden untuk tempoh 4 tahun lagi, mereka bebas merancang kemusnahan 'yang diinginkan' sebebas-bebasnya!