Cuba baca suratkhabar hari ini. Boleh dikatakan majoriti berpendapat bahawa cadangan oleh pihak Polis dan JPJ untuk menghadkan tempoh membaharui lesen selama satu tahun sahaja bagi menangani masalah kemalangan jalanraya adalah tidak praktikal. Beberapa orang Menteri termasuk Menteri Pengangkutan sendiri nampak kurang bersetuju dengan cadangan ini.
Dari segi logiknya, kenapakah orang yang tidak bersalah dihukum sama dengan orang yang bersalah? Bukankah sebahagian besar daripada pesalah-pesalah jalanraya ini sudah dikenaplasti melalui pelbagai saman yang dikeluarkan oleh pihak Polis dan juga JPJ? JPJ dalam satu kenyataan beberapa hari lalu memaklumkan ada beribu-ribu saman telah dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspres sahaja. Ini tidak termasuk pemandu lori, van dan kereta. Tentu beribu jugak. Ini tidak termasuk saman yang dikeluarkan oleh pihak Polis.
Apakah tindakan yang telah diambil terhadap pesalah-pesalah jalanraya ini? Kalau mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai kanan JPJ dan Polis tindakan masih belum diambil terhadap mereka ini. Jangan terperanjat sekiranya apabila tindakan diambil nanti sebahagian besar daripada mereka telah tidak bekerja lagi, mungkin dah pencen dan mungkin jugak dah meninggal dunia. Hakikatnya mereka ini tidak takut dan terus bermaharajalela di jalanraya kerana tidak adanya penguatkuasaan beterusan oleh pihak berkuasa terhadap mereka.
Sepatutnya dalam usaha untuk mendisiplinkan pemandu yang bermasalah ini, tindakan susulan perlu diambil segera sebaik sahaja saman dan kompoun di keluarkan. Pastinya undang-undang sedia ada menyediakan tindakan susulan yang lengkap untuk membawa setiap pesalah ini ke muka pengadilan.
Maka kenyataan yang seelok-eloknya dikeluarkan oleh pihak Polis dan JPJ ialah menyegerakan tindakan ke atas pesalah-pesalah yang ada. Cari mereka ini. Paksa mereka membayar saman, kalau tak nak bayar bawa ke mahkamah. Kalau di dapati bersalah oleh mahkamah, hukum mereka semaksima mungkin untuk menyedarkan ramai lagi pesalah-pesalah lain. Inilah tindakan yang semolek-moleknya. Tindakan yang rasional dan mesra pelanggan. Bukannya memperkenalkan undang-undang baru yang mendenda semua orang secara sapu bersih.
Tuesday, November 23, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment