Monday, September 03, 2007

Kematian Pelatih PLKN

Kematian pelatih PLKN, Allahyarham Mohd. Rafi Ameer mengundangkan pertanyaan yang bukannya sedikit. Bercelaru C-bOk memikirkan bagaimana di negara yang telah merdeka selama 50 tahun ini, seorang remaja yang sihat walafiat meninggalkan keluarganya untuk menyahut panggilan program PLKN, kembali ke rumahnya sebagai mayat yang sudah tidak bernyawa lagi.

Hati ibu bapa mana yang tidak luluh apabila anak yang dulunya menjadi penghibur keluarga, kini sudah tiada lagi? Siapakah yang akan bertanggungjawab di dalam keadaan seperti ini? Kehilangan nyawa bukanlah sesuatu yang boleh diganti.

C-bOk merasa gusar dengan senario kejadian ini bilamana allahyarham telah memaklumkan pihak keluarga bahawa tidak ada tindakan diambil oleh pihak pengurusan kem PLKN di mana beliau ditempatkan apabila beliau mengadu yang beliau tidak sihat. C-bOk menjadi semakin gusar apabila pihak pengurusan memarahi ahli keluarga yang menelefon meminta mereka merawat Allahyarham.

Bagaimana sekiranya perkara yang sama berlaku kepada anda?

Pihak pengurusan kem ini mendapat kontrak daripada Kerajaan untuk menguruskan kem berkenaan. Bagaimana mereka mendapat kontrak itu kini menjadi pertanyaan di dalam hati C-bOk. Sekiranya apa yang didakwa oleh keluarga berkenaan tentang ketidakprihatinan pihak pengurusan kem terhadap apa yang berlaku kepada Allahyarham menunjukkan mereka tidak layak untuk mendapat kontrak pengurusan berkenaan. Jadi, bagaimana mereka boleh dapat kontrak ini? Mungkin mereka mengemukakan kertas kerja yang terbaik untuk mereka mempunyai hubungan yang terbaik dengan mereka yang buat keputusan?

Apa yang berlaku ini benar-benar menimbulkan persoalan kepada realiti masa depan PLKN ini. C-bOk sebagai bapa hilang rasa kepercayaan kepada PLKN di dalam memastikan keselamatan anak-anak kita yang dihantar ke kem-kem PLKN di seluruh negara. C-bOk tidak yakin dengan kebolehan kontraktor yang dipilih untuk menguruskan kem-kem PLKN di seluruh negara memandangkan ini bukanlah kes terpencil. Beberapa kes lain yang melibatkan kematian dan kecacatan pernah berlaku sebelum ini.

C-bOk rasa pihak pengurusan PLKN ini sendiri perlu dihantar untuk menghadiri kursus PLKN sebelum mereka diberikan kontrak untuk mengendalikan kem-kem PLKN. Mereka perlu sedar, kontrak mengendalikan kem PLKN bukanlah untuk duit semata-mata. Ianya lebih daripada itu.......

Ingat bahawa, tanggungjawab menjaga nyawa anak-anak orang bukanlah sesuatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit melainkan minda kita sudah tercemar dan menjadikan duit itu sebagai raja.

Alfatihah untuk Allahyarham Mohd. Rafi Ameer.

No comments: