Wednesday, March 19, 2008

Rafidah Aziz Tidak Puas Hati?

Pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri semalam tidak menamakan mana-mana wakil kepimpinan tertinggi Wanita UMNO di dalam Kabinet. Tidak ada seorang pun. Azalina Othman yang dikekalkan bukan wakil Wanita UMNO. Beliau tidak duduk di dalam exco pergerakan Wanita UMNO. Shahrizat pula dilantik sebagai penasihat bertaraf Menteri kepada PM berkaitan dengan hal ehwal wanita. Tetapi lantikan itu dibuat pada sebelah petang selepas timbul rasa "tidak puas hati" di kalangan Wanita UMNO.

Situasi ini nampak janggal kerana selama ini, wanitalah yang menjadi tunggak kepada kejayaan UMNO. Merekalah yang bergerak dari rumah ke rumah untuk memastikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Ada cerita-cerita khususnya di dalam blog yang Rafidah tidak puas hati dengan perkara ini. Ada juga cerita mengatakan beliau digugurkan kerana memberi 17 sebab kenapa BN ditolak rakyat dalam PRU ke 12 baru-baru ini. Adakah ini sebabnya beliau dan kepimpinan tertinggi wanita dipinggirkan?

Untuk rekod, Rafidah adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang paling lama berkhidmat didunia.

Terkini:
Datuk Seri Rafidah akan membuat kenyataan rasmi/sidang akhbar berkaitan dengan perkara ini hari ini (19.3.2008) jam 2.30 petang di pejabat beliau (MITI, Jalan Duta).

3.45 pm:
Datuk Seri Rafidah dalam sidang akhbarnya menyatakan bahawa beliau akan kekal menerajui Pergerakan Wanita UMNO. Beliau berhasrat untuk menyusun dan memperkuatkan pergerakan berkenaan.

Monday, March 17, 2008

Pas' proposal for Islamic govt irks DAP veteran

NST: 17 March 2008
Pas' proposal for Islamic govt irks DAP veteran

Berita ini dipetik daripada akhbar NST. Nampaknya PAS dan DAP adalah masalah besar daripada segi persefahaman berkaitan dengan agama Islam. C-bOk berharap rakyat berhati-hati di dalam hal-hal yang berkaitan dengan kedaulatan agama Islam di negara ini.

GEORGE TOWN: The DAP has expressed shock and anger over Pas' proposal to form an Islamic federal government.

DAP life adviser Dr Chen Man Hin said the party would not agree or co-operate with Pas should they insist on forming an Islamic government at the federal level."This is not part of our understanding. It will be no-go for the DAP if they do that. We will surely not accept it."Their proposal has left a big question mark over our future co-operation," a visibly upset Dr Chen said while angrily pushing aside a newspaper article on the Pas proposal.Dr Chen, who was at the day-long DAP national leadership convention, said the party decided to co-operate with Pas because of its intention to convert Malaysia into a welfare state.

"But look at what they are saying now," he said when asked to comment on Pas vice-president Datuk Husam Musa's statement that Pas was confident it could soon set up an Islamic form of government at the federal level.Husam had said there was growing support among the Chinese and Indians for the party's political struggle.

Dr Chen said the DAP would be discussing the matter soon."While I would like to leave this matter alone at this moment, I think the party will need to seek clarification on this."Right now, we do not know whether it is Husam's personal view or the party's."Parti Keadilan Rakyat vice-president Sivarasa Rasia also expressed surprise at Husam's statement."I have looked at the latest manifesto of Pas and there is nothing stated about an Islamic government."

Friday, March 14, 2008

Kurang Ajar

DAP bersikap biadap dan kurang ajar apabila menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan Kedaulatan Raja-Raja, Ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jangan keterlaluan di dalam membawa perubahan kepimpinan dan polisi. Orang Melayu jangan jadi barua kepada usaha terancang untuk menafikan hak pribumi ke atas tanah air ini!

Thursday, March 13, 2008

Jangan Lantik Menteri Kalah

C-bOk rasa kenyataan naib Presiden UMNO semalam berkaitan dengan pembentukan kabinet baru yang dijangkakan dalam masa yang terdekat ini wajar diberi perhatian oleh YAB Perdana Menteri dengan serious. Menteri-Menteri yang kalah janganlah dilantik semula, hatta dilantik melalui jalan pintu belakang (senator). C-bOk juga berharap PM segera mengatasi masalah persepsi terhadap beberapa tokoh yang jika tidak diatasi segera dan dilantik pula ke dalam kabinet akan membawa masalah kepada parti dan Kerajaan.

PUTRAJAYA 12 Mac – Menteri-menteri yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak seharusnya dilantik semula menganggotai Kabinet, kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan timbul tanggapan negatif daripada rakyat bahawa Kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN) kelak dibarisi ‘Jemaah Menteri yang kalah’.

Muhyiddin menegaskan, menteri-menteri yang kalah hendaklah akur dengan suara rakyat yang menolak mereka secara demokrasi dalam pilihan raya umum baru-baru ini. ‘‘Tidak payahlah dilantik semula. Nanti akan timbul persepsi rakyat macam tidak ada orang lain. ‘‘Saya bukan bercakap sebab mentang-mentanglah saya menang, tetapi kerana parti perlu ada imej yang kuat. ‘‘Biarlah (Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) tidak puas hati, hari ini saya baca laporan ada NGO India mahu Datuk Seri S. Samy Vellu dilantik Senator. “Ini bukan soal Kementerian Kerja Raya. Ini sebenarnya soal pilihan raya, hak rakyat tolak Samy Vellu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kesediaan menteri-menteri yang kalah menerima hakikat itu dapat mengurangkan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu membentuk Kabinet yang bertekad mendapatkan semula keyakinan rakyat selepas pencapaian buruk BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat berkata, calon-calon kalah perlu menghormati keputusan rakyat yang menolak mereka. ‘‘Saya fikir tidak perlu bawa calon kalah ke dalam Kabinet. Jangan buat perkara yang boleh menyakitkan hati rakyat,’’ katanya. Veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani pula berkata, calon-calon BN kalah yang mengeruhkan lagi keadaan dan sepatutnya perlu berundur.

‘‘Keadaan telah berubah banyak, kemenangan BN tidak sampai pun dua pertiga majoriti, kita perlu bermuhasabah diri,’’ tegasnya. Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik menasihatkan bekas anggota Kabinet yang kalah supaya berehat sebelum memikirkan semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Wednesday, March 12, 2008

Orang Melayu!!

Ya! Rakyat sudah bersuara. C-bOk yakin message yang hendak disampaikan oleh rakyat sudah sampai kepada kepimpinan negara. Suka atau tidak kepimpinan perlu menerima hakikat tentang perkara-perkara yang rakyat suka atau tidak.

Pak Lah telah pun mengangkat sumpah jawatan PM. Samada kita suka atau tidak, beliau telah pun sah sebagai Perdana Menteri kita. Sekarang adalah masanya untuk kita melihat kepada realiti. Orang-orang Melayu perlu segera bermuhasabah diri. Fikirkan realiti terkini. Kepimpinan negara diperintah dengan majoroti 140 kerusi Parlimen. Bakinya di tangan pembangkang.

Ya! Sesiapa sahaja boleh memerintah. Namun sekiranya berlaku sesuatu perkara dan beralih kepimpinan negara ke tangan pembangkang, siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri kita? Memang kita marah dan ramai yang menterjemahkan kemarahan itu kepada undi semasa PRU 12 dahulu. Namun, C-bOk harap kita tidak jadi orang Melayu yang "menang sorak kampung tergadai".

Fikirkan realiti semasa dan segera rapatkan barisan.

Tuesday, March 11, 2008

Pak Lah Angkat Sumpah PM

Pak Lah sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelima untuk penggal yang kedua di hadapan DYMM Seri Paduka baginda Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara.

Memang beliau layak untuk memegang jawatan tersebut oleh kerana BN terus kekal memerintah dengan memperolehi majoriti di Parlimen (140 kerusi) dan beliau masih lagi Presiden kepada parti UMNO yang merupakan tunggak kepada senario politik negara.

PRU ke 12 sememangnya mengejutkan. Kepimpinan Melayu tergugat dengan jatuhnya beberapa buah negeri ke tangan pembangkang. Suara-suara menyeru Pak lah untuk meletakkan jawatan kedengaran di sana sini. Tun Dr. Mahathir tidak segan silu membuat kenyataan terbuka melalui sidang akhbar di rumah beliau menyeru perletakan jawatan Pak Lah sebagai PM. Para pemerhati politik khususnya para blogger dan perayap blog turut membuat tuntutan yang sama. Ada yang secara terang-terang, namun ramai juga yang bersembunyi di sebalik nama samaran/anonymus.

Hanya Pak Lah dan kepimpinan UMNO sahaja yang berhak membuat keputusan tentang kedudukan beliau sebagai pemimpin UMNO dan juga negara. Sekiranya UMNO masih mahu beliau kekal sebagai pemimpin, maka orang luar tidak dapat berbuat apa-apa. Kini beliau sudah pun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan nampaknya yakin untuk meneruskan kepimpinan beliau. Oleh itu, orang-orang Melayu perlu segera bersatu untuk memastikan kepimpinan Melayu di negara ini terus teguh.

Namun, kepimpinan Melayu di negara ini tidak setakat mengangkat sumpah jawatan sahaja. Message yang disampaikan oleh rakyat melalui PRU ke 12 perlu diterjemahkan dengan teliti dan di ambil tindakan segera. Pak Lah, UMNO dan semua kepimpinan Melayu dan Barisan Nasional perlu segera berhubung dengan rakyat "secara terus" tanpa melalui media dan melihat kegusaran mereka. Perkara-perkara pokok yang membuatkan rakyat beralih arah. Tentu tidak sukar untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini. Dengan melayari blog-blog yang tumbuh bagai cendawan, dengan mudah kepimpinan negara boleh melihat apa yang menjadi kegusaran rakyat. Jangan dihiraukan kata-kata pujian, namun fokus kepada komen dan teguran khususnya yang membina.

Banyak isu seperti harga barang, tol, kronisme, persepsi terhadap KJ, kelembapan membuat keputusan dan sebagainya adalah isu-isu pokok yang menggusarkan pengundi/rakyat. Tentulah isu-isu ini tidak sukar untuk di atasi.

C-bOk berharap kepimpinan baru negara melihat blogger dan mereka yang memberi komen/pandangan sebagai mereka yang sayangkan parti dan bukannya mereka yang anti parti. Jangan ulangi kesilapan lalu.

Nota kaki: Gambar diambil daripada Berita Harian.

Monday, March 10, 2008

No. 13 Tak Ong?

Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008.
Kempen pilihanraya dijalankan selama 13 hari (24 Feb - 7 March 2008)

Ketika pengumuman berkaitan dengan pembubaran Parlimen dan pilihanraya ramai yang telah meneka dengan tepat (too predictable) tentang kaitan nombor 13 ini dengan PM. Nombor 13 ini adalah nombor kegemaran PM.

Namun nampaknya angka 13 tidak memberi ong kepada beliau dan juga Barisan Nasional. Nombor 13 ini kalau dicampurkan 1 + 3 = 4. Angka 4 bukanlah satu angka yang disukai oleh orang-orang Cina kerana membawa maksud mati. Mungkin pakar-pakar feng-shui dalam MCA dan Gerakan perlu memberi nasihat yang sewajarnya kepada PM berkaitan dengan nombor ini.

Hmmm....

Soal Perletakan Jawatan

"Saya tidak akan meletakkan jawatan kerana tidak merasa tertekan" - Abdullah Badawi.

Pak Lah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Seri Perdana selepas kembali daripada mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Ini adalah reaksi beliau selepas "ditekan" oleh mantan Perdana Menteri. Jadi, Pak Lah tidak merasa tertekan dengan mana-mana pihak walaupun wajahnya daripada malam PRU 12 jelas nampak tertekan (tension). Jadi apakah tafsiran kita dengan kenyataan beliau itu? "State-of-denial" still?

Kepada pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO segeralah bermuhasabah diri. Penyokong itu tidak semestinya orang yang memuji-muji sahaja. Sokongan juga datang dalam bentuk kritikan dan pandangan. Mereka memberi pandangan dan kritikan kerana mereka sayang. Mereka adalah pemegang saham sebuah organisasi yang besar - UMNO/BN. Mereka berhak memberikan pandangan dan ulasan sebagai pemegang saham seperti juga dalam mana-mana organisasi besar yang lain.

Sekiranya pandangan itu baik dan bernas, seeloknya dipertimbangkan. Setidak-tidaknya beralaslah apabila berkata-kata atau mengulas pandangan/kritikan itu. Kerana 5 tahun dari sekarang orang-orang ini seperti C-bOk juga akan meletakkan tanda "X" itu lagi. Jadi bangunkan negara ini bersama-sama kami dan bukannya dengan dua tiga kerat orang yang berkata-kata manis dan memuji-muji sahaja.

Mencari Erti PRU-12

Rakyat sudah bersuara. Suara keramat melalui peti undi sebagaimana lazimnya di sebuah negara demokrasi.

Terjemahan suara keramat itu menunjukkan 50.28% rakyat mahu mengekalkan status kuo dengan memberi mandat melalui majoriti mudah kepada Barisan Nasional untuk terus memerintah negara ini. Manakala 49.71% pula meletakkan kepercayaan mereka kepada Barisan Rakyat yang didokong oleh DAP, PAS dan PKR.

Dalam menterjemahkan hasrat rakyat ini, empat (4) buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah berpindah kepimpinan mereka kepada Barisan Rakyat (BR). Manakala Kelantan meneruskan kesinambungan kepimpinan PAS di negeri serambi Mekah tersebut. Peralihan kuasa daripada BN kepada BR ini sememangnya tidak di sangka-sangka dan memeranjatkan ramai pihak termasuk kepimpinan BR sendiri.

Melalui senario baru ini, adalah wajar BN melihat semula sokongan semua rakyat yang beralih arah. Apakah message yang cuba disampaikan oleh rakyat? Adakah ini message yang berbentuk peringatan sementara atau pun rakyat sudah bersedia untuk beralih arah kepada BR? Apa pula sebab-sebab yang menyebabkan peralihan kepercayaan rakyat ini kepada BR yang boleh dikira gabungan longgar yang langsung tidak mempunyai pengalaman untuk memimpin sebuah negeri kecuali PAS di Kelantan?

Untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini, kepimpinan BN perlu melihat "diri mereka sendiri". Jangan sekali-kali meletakkan kesalahan kepada rakyat yang telah meletakkan undi mereka kepada kepimpinan baru. Meletakkan kesalahan kepada rakyat menunjukkan sikap ego yang keterlaluan.

Rakyat bersuara kerana "diasak". Banyak isu yang perlu diberikan penelitian secara mikro oleh kepimpinan BN. Antaranya ialah:
  1. Kos sara hidup yang meningkat melalui kenaikan harga barangan, tol, minyak, dll;
  2. Persepsi membantu kroni melalui projek mega yang begitu ketara seperti PGCC dan Monsun Cup;
  3. Program pembangunan yang nampak tidak logik (NCER, ECER, WPI, etc). Rakyat tidak faham. Terlalu mega dan ambitious;
  4. Persepsi menaikkan keluarga di dalam hiraki politik/kepimpinan melalui "jalan belakang". Kepimpinan tidak bersuara terhadap isu ini. Tanpa komen/check and balance tentang isu ini menjadikan calon yang mendaki hiraki itu nampak arrogant, rakus dan sombong;
  5. Persepsi kempen pencegahan rasuah yang "hangat-hangat taik ayam". Heboh macam nak rak, lepas tu mati begitu sahaja;
  6. Peningkatan indeks jenayah dan rasa tidak selamat rakyat daripada kejadian-kejadian jenayah. Pencolekan, rompakan dan kerakusan along seolah-olah berleluasa;
  7. "Elegant silent" - tidak responsive kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat;
  8. "Kacang lupakan kulit";
  9. Pandangan akar umbi tidak penting;
  10. Media terlalu banyak melakukan "spinning";
  11. Menganggap pengundi khususnya Melayu tidak boleh berfikir. Suara yang menegur dicap sebagai "pembangkang" sedangkan teguran itu untuk kebaikan;

Kalau disenaraikan, mungkin lebih banyak lagi faktor-faktor yang boleh menjadi penyebab yang menyumbang kepada peralihan kepercayaan pengundi kepada BR. Namun kebangkitan semula BN di PRU ke 13 nanti adalah tertakluk kepada keupayaan kepimpinan untuk menterjemahkan message rakyat ini kepada tindakan-tindakan yang "memperbaiki keadaan".

Namun..., setakat ini belum nampak adanya "kesedaran menyeluruh" terhadap apa yang sedang mereka hadapi di kalangan kepimpinan tertinggi UMNO/BN apabila diminta memberi komen terhadap prestasi mereka. Ujian kedua ialah apabila Pak Lah menamakan barisan kabinetnya dalam masa beberapa hari nanti. Ada beberapa nama yang pasti akan menambah kudis kepada luka sekarang sekiranya dilantik untuk turut duduk dalam kabinet negara; hatta sebagai Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen sekali pun.

Semoga wujud kesedaran di dalam kepimpinan UMNO/BN tentang realiti yang sedang mereka hadapi sekarang ini. Pemikiran rakyat tidak lagi sama dengan pemikiran lapuk mereka.

Friday, March 07, 2008

Mengundi Dengan Bijak


Esok, 8 March 2008.

Bagi orang Cina, esok adalah satu tarikh yang bagus. Ada 2 angka 8 dalam tarikh ini. Angka 8 begitu bermakna kepada orang Cina kerana ada "ong". Ong bermaksud keuntungan dan kekayaan. Esok juga adalah tarikh penting Pilihanraya Umum ke-12 Malaysia. Jadi semua calon yang akan bertanding esok pastinya menganggap angka 8 akan membawa kemenangan kepada mereka. Baik calon Kerajaan mahupun calon pembangkang.

Bagi kita pengundi juga perlu memastikan angka 8 ini akan menentukan masa depan kita akan cerah atau terus cerah dengan kepimpinan negara yang berwawasan serta mempunyai perancangan untuk memajukan negara.

Kita jangan terikut-ikut dengan orang lain. Kita kena berfikir dan menentukan sendiri nasib kita. Jangan kita undi semata-mata kerana calon itu pandai bercakap - kerana cakap sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana. [Orang politik sememangnya pandai bercakap]. Apa yang penting ialah keupayaan calon untuk merealisasikan segala cakap-cakap mereka ataupun perancangan mereka.

Kita jangan takut dengan orang politik. Mereka berada di sana kerana adanya undi kita. Kita kena letakkan undi kita kepada mereka yang boleh bekerja dan membawa kemakmuran kepada kita. Pastikan selepas mereka berjaya mereka terus sedar yang mereka mempunyai jangka hayat 5 tahun untuk merealisasikan harapan kita terhadap mereka. Mereka bekerja untuk kita.

Oleh itu, fikirkanlah dan tentukan undi anda diberikan kepada mereka yang berhak.

Monday, February 25, 2008

BN Menang 6 Kerusi Parlimen, Dua Kerusi Negeri Tanpa Bertanding

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Barisan Nasional (BN) mendahului parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum kali ini apabila memenangi enam daripada 22 kerusi Parlimen dan dua daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tanpa bertanding selepas proses penamaan calon selesai hari ini.

Pembangkang memenangi satu kerusi negeri menerusi calon PAS, Wan Ubaidah Omar bagi kerusi DUN Kijang, Kelantan, tanpa bertanding apabila pencalonan wakil BN, Mustopha Ahmed ditolak kerana beliau muflis.

Pada pilihan raya umum 2004, BN menang 17 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN tanpa bertanding manakala PAS menang tanpa bertanding kerusi DUN Senggarang di Johor.
Berdasarkan perkembangan ini, Pilihan Raya Umum 8 Mac ini bakal menyaksikan pertanding di 216 kerusi Parlimen dan 502 kerusi DUN.

BN menang di kawasan Parlimen Selangau, Kapit, Kanowit dan Tanjung Manis, kesemuanya di Sarawak, dan Kalabakan di Sabah serta Pengerang di Johor.

Calon-calon berkenaan ialah Joseph Entulu Belaun (Selangau), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Aaron Ago Dagang (Kanowit), Norah Tun Rahman (Tanjung Manis), Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan) dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), yang juga menang kerusi itu tanpa bertanding pada 2004.

Pakatan 14 parti itu menang tanpa bertanding di kerusi DUN Bugaya di Sabah (Datuk Ramli Marahaban) dan Sementa di Selangor (Datuk Abdul Rahman Palil).
– BERNAMA

Monday, February 18, 2008

7 Menteri Tidak Bertanding?

Laporan The Star menyatakan tujuh (7) orang Menteri tidak akan bertanding di dalam PRU ke 12 ini. Yang pastinya Datuk Seri Lim Keng Yaik dan Datuk Seri Effendi Norwawi telah pun menyatakan hasrat mereka untuk bersara. Siapa lagi baki lima (5) orang Menteri tersebut? Pasti ramai Menteri yang merasa gusar dengan laporan ini.

Thursday, February 14, 2008

Hari Penamaan Calun dan Mengundi

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang bermesyuarat hari ini telah mengumumkan bahawa hari-hari penting PRU ke 12 ini adalah seperti berikut:

Penamaan Calun: 24 Februari 2008 (Ahad)
Mengundi: 8 March 2008 (Sabtu)

Wednesday, February 13, 2008

PRU ke 12: Rakyat Perlu Bijak

Parlimen telah dibubarkan. Kini kita tidak lagi berteka-teki bilakah tarikh keramat berkenaan akan diumumkan. Sekiranya dahulu asalkan buka mulut sahaja kita akan bertanya tentang tarikh tersebut, kini, atau setidak-tidaknya beberapa hari yang akan datang, pasti kita akan bercerita tentang siapa yang akan jadi calon dan di mana.

Calon kepimpinan datang dan pergi, namun hanya beberapa calon yang menjadi tumpuan ramai. Salah seorang daripadanya ialah Khairy Jamaludin (KJ), menantu kepada Perdana Menteri. Soal kelayakan bukannya isu, tetapi hubungan istimewa beliau menyebabkan beliau lebih popular daripada politikus veteran. Jadi calon salah, tak jadi calon pun salah.

Apa-apa pun, yang penting sekarang ialah bukan individu. Faktor utama ialah masa hadapan kita dan anak-anak kita. Keputusan perlulah kita buat dengan bijak. Jangan memilih kerana kita sukakan calon atau parti berkenaan. Kita perlu memilih berdasarkan kepada keupayaan parti dan calon berkenaan membawa perubahan dan kesejahteraan kepada kita. Calon dan parti mestilah memandang jauh ke hadapan. Mengutamakan negara dan meletakkan kepentingan diri sendiri di tahap paling belakang.

Semoga kita akan mendapat calon dan parti impian kita di PRU ke 12 ini. Pilihlah dengan bijak.

Sebenarnya Hari Ini

Selepas berteka-teki dan mengatakan "Parlimen tidak akan dibubarkan hari ini", Pak Lah mengumumkan yang Parlimen dibubarkan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat beliau sebentar tadi.

Kejap ya, kejap tidak.

Apa-apa pun, selamat berkempen kepada calon-calon pilihanraya dan selamat mengundi kepada semua rakyat.

Bukan Hari Ini!

_________________________________________________________________

Berita Terkini:

Perdana Menteri telah membubarkan Parlimen dalam satu sidang akhbar yang dibuat oleh beliau sebentar tadi. 13.2.2008 / 12.39 tengahari....
_________________________________________________________________

Ramalan meleset. Ramai yang meramalkan Pak Lah akan membubarkan Parlimen hari ini (13 Februari 2008) sempena dengan nombor kegemaran beliau iaitu 13. Kalau C-bOk jadi Pak Lah pun, C-bOk tidak akan membubarkan Parlimen hari ini. Too predictable!

Tetapi petunjuk begitu banyak. Cuti sekolah dah dekat. Cuti Polis dibekukan. SPR dah sedia. Poster dan bendera dah naik. Malahan ada "calon" yang sudah naik bunting dan banner. Siap dengan gambar dan juga kawasan pertandingan mereka. Pak Lah pun makin romantik. Mungkinkah Parlimen dibubarkan esok (14 Februari 2008) sempena hari Valentine's Day?

Naahh..., to predictable...

Monday, February 11, 2008

Tan Sri Koh Tsu Koon

Tan Sri Koh Tsu Koon memang berani!

Beliau adalah satu-satunya pemimpin dari Barisan Nasional setakat ini yang telah dengan jelas menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen dan seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur/Persekutuan. Kenyataan beliau itu mendahului Perdana Menteri dan juga berlawanan dengan kenyataan bekas Presiden Gerakan yang kini Penasihat parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang mahukan beliau terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Apabila beliau menyatakan "Persekutuan" dan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri adakah secara tidak langsung beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadi Menteri juga?

Dari segi kelayakan sememangnya beliau layak untuk menjawat jawatan Menteri memandangkan beliau adalah pemimpin salah sebuah parti gabungan di dalam pakatan Barisan Nasional. Beliau juga menunjukkan kaliber sebagai pemimpin parti dan negeri yang pelbagai kaum. Namun, keputusan akhir adalah terletak di tangan Perdana Menteri sebagai ketua pakatan berkenaan.

Cuma C-bOk rasa agak celaru dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan seolah-olah Tan Sri Koh Tsu Koon tidak pandai membuat keputusan apabila beliau membuat kenyataan berikut:

"Jangan risau, kalau dia tak boleh buat keputusan, biar saya buat keputusan"

Sunday, February 10, 2008

HTC Shift

C-bOk adalah seorang peminat gadget. Apabila ada sahaja gadget yang baru di pasarkan, selalunya C-bOk akan turut sibuk melihat produk tersebut di pasaran. Selalunya Kompleks Lau Yat di Bukit Bintanglah yang menjadi destinasi C-bOk.

Namun tak pernah C-bOk menulis di blog ini berkaitan dengan gadget-gadget tersebut. Berbeza dengan gadget terbaru yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat elektronik terkenal dari Taiwan - HTC. Syarikat ini terkenal dengan produk-produk yang sudah popular di mlaysia seperti O2 dan juga Dopod. C-bOk sendiri menggunakan O2 Atom - sebuah PDA yang begitu berkuasa untuk menguruskan aktiviti seharian.

Kini HTC memperkenalkan sebuah lagi produk yang begitu berkuasa yang dijangka akan berada di pasaran pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Februari ini iaitu HTC Shift. Daripada penelitian C-bOk di laman-laman web yang telah menggunapakai (test drive) produk ini, ternyata ianya adalah PDA yang begitu berkuasa. Antara kelebihannya ialah:
  • Windows Vista Business
  • Outlook email
  • 7-inch touch screen
  • 3G dengan keupayaan HSDPA
  • Bluetooh dan Wi-Fi
  • USB 2.0
  • SIM card slot

Melihat kepada keupayaan di atas, pengguna boleh mengakses email dan juga internet pada bila-bila masa di mana sahaja tanpa perlu mencari lokasi hotspot. Asalkan ada capaian kepada rangkaian telefon (GSM, GPRS, EDGE) kita sudah boleh merayau laman web. Menyemak email juga kini boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan kemudahan Direct Push Outlook Email. begitu juga untuk membuat kerja-kerja pejabat melalui Windows Vista business. Pastinya gadget ini akan popular di kalangan penggemar-penggemar gadget khususnya yang perlu sentiasa berada "dekat" dengan maklumat.

Maklumat lanjut berkaitan dengan HTC Shift boleh diperolehi di sini.

Wednesday, February 06, 2008

Selamat Tahun Baru Cina

C-bOk ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru cina kepada semua rakan-rakan berbangsa cina. Semoga tahun baru ini akan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada kita semua.

Kepada rakan-rakan lain yang akan bercuti panjang sempena dengan sambutan tahun baru cina ini, C-bOk ingin mengucapkan selamat bercuti dan memandulah dengan cermat serta sentiasa berhati-hati di jalanraya.

Friday, February 01, 2008

Selamat Menyambut Hari Wilayah 2008

Kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan. Sejak kemerdekaan negara, Malaysia semakin maju. Banyak kejayaan yang telah kita capai. Salah satu daripadanya ialah kewujudan bandaraya metropolitan Kuala Lumpur dan juga kerancakan pembangunan di Putrajaya dan Labuan.

Sewajarnya kita bersyukur dengan kemajuan dan kemakmuran yang telah kita capai. Pastinya kejayaan ini adalah atas usaha kita semua sebagai warga dan tenaga penggerak kota. Pertahankan kejayaan ini.

Selamat bercuti kepada semua warga Wilayah Persekutuan dan tahniah kepada mereka yang mendapat anugerah sempena dengan sambutan ini.

Wednesday, January 30, 2008

Buku Terbaru Tun M

Tun Mahathir telah melancarkan buku terbaru beliau. Buku ini bertajuk "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" merupakan surat-surat beliau kepada pemimpin-pemimpin dunia di mana beliau menyuarakan pandangan beliau dan rakyat Malaysia terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan kita dan negara.

Setiap rakyat Malaysia sepatutnya memiliki buku ini untuk melihat bagaimana seorang pemimpin menyuarakan pandangan beliau terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan negara dan dunia. Dengan membaca surat-surat beliau kita dapat menilai pemikiran beliau dalam menangani isu-isu dunia.

Monday, January 28, 2008

Demam Pilihanraya

Sejak kebelakangan ini demam pilihanraya semakin panas. Akhbar harian memperuntukkan sebahagian besar daripada ruangan yang ada untuk bercerita tentang pilihanraya. Wajah-wajah pemimpin mula diketengahkan. Kenyataan-kenyataan berkaitan dengan "pencalonan" mula jadi topik perbincangan. Tokoh-tokoh besar dan kecil mula memalu gendang perang mereka.

Namun kita jangan lupa. Aktor utama pilihanraya ini adalah kita. KITA yang akan membuat keputusan dan mencorakkan negara kita untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Maka kita perlulah bersedia untuk menentukan perjalanan negara kita untuk anak dan cucu kita nanti.

Buatlah keputusan yang bijak apabila sampai masanya nanti.

Friday, January 11, 2008

Bantu Cari Sharlinie

Seorang kanak-kanak perempuan bernama SHARLINIE hilang kerana di colek di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008. Beliau mengidapi penyakit asma dan perlu diberikan ubat dari semasa ke semasa. Sesiapa yang dapat mengesan beliau, silalah berhubung terus dengan balai polis terdekat ataupun nombor-nombor berikut:

Encik Nashar (Bapa): 016 - 270 9096
Balai Polis: 03 - 7966 2222 @ 999

C-bOk juga menggesa agar mereka yang suka membuat kenakalan dengan membuat panggilan/SMS palsu supaya menghentikannya dengan segera. Anda boleh dikenakan tindakan sekiranya berbuat demikian.

Sunday, January 06, 2008

Catuan Minyak Masak

Mulai 7 Januari 2008 ini jualan minyak masak akan dicatu dengan setiap pembeli hanya boleh membeli sebanyak 5 kilo minyak masak pada setiapkali pembelian. Langkah ini mungkin langkah terbaik yang dapat difikirkan oleh Kerajaan buat masa ini untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan yang semakin meruncing ketika ini.

C-bOk rasa kurang senang dengan perkembangan ini. Setiapkali ada kekurangan bekalan di pasaran dan apabila ianya menjadi masalah kepada rakyat, maka rakyat juga yang kena tangung masalah ini. Rakyat juga yang kena catu bekalan keperluan harian. Sebelum ini apabila kita menghadapi masalah bekalan gula, rakyat juga yang kena menanggung catuan bekalan berkenaan di pasaran. C-bOk rasa ada yang tidak kena di sini.

Malaysia adalah pengeluar terbesar minyak kelapa sawit. Kita bukan sahaja mengeluarkannya dalam jumlah yang besar, kita juga menjadi pengeskport utama produk berasaskan minyak kelapa sawit ke pasaran dunia. Jadi kenapa kita menghadapi masalah kekurangan bekalan ini? Pasti ada sebabnya. Kemungkinannya ialah ada pengeluar atau pun pengedar yang menyorokkan bekalan ini atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu. Kemungkinannya untuk menekan pihak berwajib supaya menaikkan harga. Ataupun kemungkinannya bekalan yang sedia ada di salurkan ke negara lain. Ada banyak kemungkinan...

Namun, apa yang C-bOk musykilkan di sini ialah kenapa usaha risikan agensi yang berwajib gagal untuk mengesan mereka yang menjadi dalang kepada masalah ini? Mereka yang menyebabkan masalah ini pastilah bukan susah sangat nak di kesan. Cuba kita kesan melalui susur galur (value-chain) industri ini daripada ladang, kilang, pemborong dan peruncit. Pasti kita dapat mengesan di mana masalahnya. Setiap tin atau botol yang keluar dari kilang perlu sampai ke tangan pemborong dan peruncit. Dengan mengira jumlah keluaran dari kilang dan jumlah yang diterima oleh pemborong/peruncit, pasti kita akan dengan mudah mengesan di mana kepincangan atau pun punca masalah ini. Adakah ianya akibat daripada kekurangan di pihak pengilang kerana tidak mengeluarkan jumlah yang mencukupi atau pun pihak pemborong/peruncit yang tidak membuat perancangan jualan yang betul?

Dengan mengenalpasti masalah ini pastilah tindakan mengatasi masalah kekurangan bekalan boleh di atasi dengan berkesan. Ini bolehlah mengelakkan suasana panik pengguna dan mengelakkan tindakan catuan.

C-bOk rasa, para pegawai di KPDN-HEP perlulah lebih banyak menjalankan kerja risikan daripada banyak bercakap sahaja. Pegawai penguatkuasa ada beribu orang tapi masalah seperti ini masih terus berlaku. Sekiranya usahawa risikan dan penguatkuasaan di jalankan dengan "betul", C-bOk amat yakin,masalah ini tidak akan berlaku.

Monday, December 31, 2007

2008

Selamat menyambut tahun baru 2008. Angka "8" menurut kepercayaan orang Cina membawa keuntungan. Ada ong! Apakah kita akan mendapat banyak keuntungan dan "ong" dalam tahun 2008 ini?

Selamat tahun baru!

Monday, December 24, 2007

Selamat Tahun Baru 2008

C-bOk ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2008 kepada semua pembaca blog ini. Semoga cita-cita anda bagi tahun 2007 telah tercapai. Harapan C-bOk, tahun 2008 akan memberi lebih rezeki dan kemakmuran kepada kita semua.

Tuesday, December 04, 2007

Peraduan GORES & MENANG Diharamkan!

Berkuatkuasa serta merta peraduan GORES & MENANG kini diharamkan di negara ini. C-bOk menyokong tindakan Kerajaan di dalam usaha untuk membenteras kegiatan penipuan siang hari yang terang-terang dilakukan oleh sendiket yang mengambil kesempatan di kalangan masyarakat.

Dengan pengharaman ini C-bOk berharap penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras aktiviti ini dilaksanakan dengan segera. Ulat-ulat yang biasanya anak-anak muda lepasan sekolah yang berkeliaran di tempat-tempat letak kereta, di kampong-kampong menjaja kad gores ini wajarlah di tangkap dan dikenakan tindakan sewajarnya.

C-bOk kerap berjumpa dengan ulat-ulat ini yang cuba memaksa C-bOk untuk mengambil bahagian dengan menjanjikan hadiah lumayan apabila membuka kad-kad gores berkenaan. Masalahnya, kalau sudah tahu di dalam kad gores itu ada hadiah kereta, rumah, duit dan sebagainya kenapa ulat-ulat ini tidak membuka kad gores terseut sendiri? Atapun menyerahkan kad-kad berkenaan kepada saudara mara atau pun rakan-rakan mereka sendiri? Nampak sangat penipuan mereka.

Sehubungan dengan ini, tindakan Kerajaaan sebagaimana yang diumumkan memang kena pada tempatnya. Cuma C-bOk amat berharap, pengharaman ini diikuti juga dengan penguatkuasaan.

Friday, November 02, 2007

Pesta NAIK sudah bermula!

Hari ini semmua akhbar utama mengumumkan kenaikan harga roti di pasaran dari 10 sen hingga 90 sen bergantung kepada jenis roti. Sejak empat tahun sudah, semuanya naik. tak ada yang turun.

Thursday, October 04, 2007

NAIK Lagi!!

Tidak cukup lagikah dengan pelbagai kenaikan sejak 3 tahun lepas? Malahan dua tiga bulan ini kita asyik berdebat dengan kenaikan harga ayam, harga minyak masak, harga kelapa parut dan sebagainya lagi.

Kini timbul pula kemungkinan kenaikan bayaran tol sebanyak 10% tahun depan dan cadangan kenaikan sehingga 600% tambang pengangkutan awam.

C-bOK tak tahu nak cakap apa. Inilah balasan kepada kecintaan kita serta kesungguhan kita membangunkan negara ini. Balasan kepada sikap murah hati kita meletakkan pembesar-pembesar negara di kedudukan mereka sekarang.

Kepada pembesar negara.., tunjukkanlah yang anda perihatin!

Tuesday, September 11, 2007

Tun Mahathir Semakin Sihat

IJN telah mengeluarkan kenyataan serta gambar ini yang menunjukkan Tun Dr.Mahathir semakin sihat. Beliau sudah boleh mandi dan juga makan roti canai. Roti canai? Bukan ke tu salah satu makanan yang boleh menyebabkan peningkatan kadar kolesterol dan punca kepada penyakit jantung?
Anyway, khabarnya Tun semakin sihat. Semoga kesihatan beliau terus baik. Kepada semua rakyat Malaysia, C-bOk berharap teruslah berdoa semoga Tun sembuh dengan cepat. Seruan ini termasuklah kepada orang-orang politik kita. Perlu diingat bahawa Tun adalah seorang negarawan.

Jenayah Ragut - Satu Institusi?

Jenayah ragut merupakan di antara jenayah yang meningkat di negara kita khususnya di Kuala Lumpur. Statistik pula menunjukkan bahawa ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini. Bayangkan kesan kepada imej negara daripada kejadian jenayah yang melibatkan tetamu-tetamu kita sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2007? Pastinya kesan mendalam akibat di ragut sedikit sebanyak memberi kesan jangka panjang kepada mangsa tersebut.

Namun, C-bOk tidak terperanjat dengan kenyataan YB Timbalan Menteri berkenaan ketika menjawab soalan yang ditimbulkan di Parlimen. Sebaliknya,C-bOk ingin mempersoalkan kenapa beberapa jenayah walaupun telah dikenalpasti dan mudah untuk mencari mereka yang terlibat seolah-olah satu institusi di negara kita ini. Antaranya selain daripada peragut ialah; tonto, along dan mat rempit.

Tengok sahaja di sekeliling kita dan kita akan dengan mudah boleh mengenalpasti di khalayak ramai siapakan yang mempunyai ciri-ciri yang memenuhi kriteria along, tonto dan mat rempit. Kesemua mereka adalah sampah masyarakat yang banyak menimbulkan masalah, namun tindakan proaktif tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

C-bOk rasa perlu Timbalan Menteri berkenaan menggunakan kuasanya seperti yang pernah digunakan dalam menguatkuasakan ISA untuk menangkap dan menghapuskan gejala-gejala ini.

Saturday, September 08, 2007

Bajet Yang Menggembirakan

C-bOk berada di jakarta sekarang ini. Walaubagaimanpun, di sebalik kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat dan temujanji dengan rakan-rakan niaga di bandar jakarta ini, C-bOk menerima SMS dari isteri di Malaysia yang memaklumkan penghapusan yuran sekolah rendah dan sekolah menengah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam pembentangan Bajet 2008 semalam di Parlimen.

Kepada YAB Perdana Menteri, terima kasih diucapkan di atas pengumuman tersebut. C-bOk berkesempatan untuk melayari internet dari Business Centre Hotel Nikko Jakarta. C-bOk cuba melayari beberapa laman blog yang popular dan kurang popular. Malangnya, setakat ini (Sabtu - 8 September 2007 jam 4.00 petang di Kota Jakarta) belum ada ulasan atau pandangan dari rakan-rakan blogger.

C-bOk merasakan ini adalah isu penting. Para blogger perlu turut memberikan pandangan mereka berkaitan dengan isu yang penting untuk kita semua. Sekiranya ada yang perlu dipuji, berilah pujian itu. Sekiranya ada yang perlu dibahas, bahaskan dengan objektif. Jangan berblog hanya apabila hendak menghentam sahaja.

Sebagai rakyat biasa dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan akan bersekolah, penghapusan yuran sekolah rendah dan menengah serta pemberian pinjaman buku teks tanpa mengira pendapatan keluarga adalah satu anugerah kepada rakyat yang amat berharga. Ini adalah pelaburan untuk masa hadapan kita. Bagi C-bOk, pemberian ini lebih bermakna daripada pengumuman berbilion ringgit bagi membangunkan wilayah-wilayah utara dan selatan sebagaimana yang diumumkan sebelum ini. Begitu juga dengan kebenaran untuk membuat pengeluaran setiap bulan dari akaun 2 KWSP bagi membayar pinjaman perumahan. Ini adalah antara beberapa pengumuman menarik yang dibuat di dalam Bajet 2008.

Kepada kakitangan Kerajaan, janganlah merasa hampa dengan tiadanya pengumuman bonus seperti tahun-tahun sebelumnya. Anda semua telah mendapat bonus lebih awal lagi dengan pengumuman kenaikan gaji sehingga 30% sebelum ini yang merupakan kenaikan tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan kepada seluruh kakitangannya. Penyusunan semula tanggagaji berkenaan adalah lebih bermakna daripada bonus sebulan yang hanya boleh dinikmati dalam masa yang singkat sahaja berbanding dengan tangga gaji baru yang lebih bersifat kekal.

C-bOk berharap, kesungguhan Kerajaan di dalam memberikan segala kemudahan dan kegembiraan melalui Bajet 2008 ini dihargai. Sememangnya bukan mudah untuk menggembirakan semua orang, tetapi C-bOk rasa ini adalah antara Bajet terbaik setakat ini.

Tuesday, September 04, 2007

Tun Mahathir Selamat

Alhamdulillah, Tun Dr. Mahathir telah selamat menjalani pembedahan di IJN sebentar tadi. Maklumat terkini boleh diikuti di blog Marina Mahathir.

Semoga Tun Dr. Mahathir terus sihat dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Insyallah.

Semoga Selamat

Hari ini Tun Dr. Mahathir menjalani pembedahan coronary bypass di IJN. Ini adalah pembedahan beliau yang kedua (pertama dalam tahun 1988). Semoga beliau selamat menjalani pembedahan berkenaan.

Insyaallah.

Monday, September 03, 2007

Kematian Pelatih PLKN

Kematian pelatih PLKN, Allahyarham Mohd. Rafi Ameer mengundangkan pertanyaan yang bukannya sedikit. Bercelaru C-bOk memikirkan bagaimana di negara yang telah merdeka selama 50 tahun ini, seorang remaja yang sihat walafiat meninggalkan keluarganya untuk menyahut panggilan program PLKN, kembali ke rumahnya sebagai mayat yang sudah tidak bernyawa lagi.

Hati ibu bapa mana yang tidak luluh apabila anak yang dulunya menjadi penghibur keluarga, kini sudah tiada lagi? Siapakah yang akan bertanggungjawab di dalam keadaan seperti ini? Kehilangan nyawa bukanlah sesuatu yang boleh diganti.

C-bOk merasa gusar dengan senario kejadian ini bilamana allahyarham telah memaklumkan pihak keluarga bahawa tidak ada tindakan diambil oleh pihak pengurusan kem PLKN di mana beliau ditempatkan apabila beliau mengadu yang beliau tidak sihat. C-bOk menjadi semakin gusar apabila pihak pengurusan memarahi ahli keluarga yang menelefon meminta mereka merawat Allahyarham.

Bagaimana sekiranya perkara yang sama berlaku kepada anda?

Pihak pengurusan kem ini mendapat kontrak daripada Kerajaan untuk menguruskan kem berkenaan. Bagaimana mereka mendapat kontrak itu kini menjadi pertanyaan di dalam hati C-bOk. Sekiranya apa yang didakwa oleh keluarga berkenaan tentang ketidakprihatinan pihak pengurusan kem terhadap apa yang berlaku kepada Allahyarham menunjukkan mereka tidak layak untuk mendapat kontrak pengurusan berkenaan. Jadi, bagaimana mereka boleh dapat kontrak ini? Mungkin mereka mengemukakan kertas kerja yang terbaik untuk mereka mempunyai hubungan yang terbaik dengan mereka yang buat keputusan?

Apa yang berlaku ini benar-benar menimbulkan persoalan kepada realiti masa depan PLKN ini. C-bOk sebagai bapa hilang rasa kepercayaan kepada PLKN di dalam memastikan keselamatan anak-anak kita yang dihantar ke kem-kem PLKN di seluruh negara. C-bOk tidak yakin dengan kebolehan kontraktor yang dipilih untuk menguruskan kem-kem PLKN di seluruh negara memandangkan ini bukanlah kes terpencil. Beberapa kes lain yang melibatkan kematian dan kecacatan pernah berlaku sebelum ini.

C-bOk rasa pihak pengurusan PLKN ini sendiri perlu dihantar untuk menghadiri kursus PLKN sebelum mereka diberikan kontrak untuk mengendalikan kem-kem PLKN. Mereka perlu sedar, kontrak mengendalikan kem PLKN bukanlah untuk duit semata-mata. Ianya lebih daripada itu.......

Ingat bahawa, tanggungjawab menjaga nyawa anak-anak orang bukanlah sesuatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit melainkan minda kita sudah tercemar dan menjadikan duit itu sebagai raja.

Alfatihah untuk Allahyarham Mohd. Rafi Ameer.

Wednesday, February 21, 2007

Gejala "RAGGING"

Kaedah ragging ala tentera Amerika di Guantanamo Bay ke atas Kadet Muhammad Hazim Ahmad Azman oleh senior-senior beliau di Kolej Latihan Tentera Udara di Jitra Kedah sungguh memeranjatkan.

Sesungguhnya ini bukanlah kejadian yang luar biasa. Sudah acapkali kita di dedahkan dengan kejadian-kejadian seperti ini. Gejala ragging ini mempunyai beberapa beberapa kriteria yang hampir serupa seperti berikut:

  • - Berlaku di kalangan pelajar;
  • - Pelajar yang terlibat adalah pelajar Melayu;
  • - Berlaku di asrama;
  • - Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang bijak-bijak belaka;

Ada sesuatu yang amat tidak kena dengan kejadian-kejadian seperti ini. Keupayaan pelatih/pelajar ini untuk berfikir seperti penjenayah sehingga mampu bertindak untuk mendera seorang pelajar lain dengan mengenepikan adab-adab ketimuran dan disiplin sungguh di luar dugaan. C-bOk binggung memikirkan kejadian seperti ini. Salah siapakah bila kejadian sepert ini berlaku. Adakah salah warden yang tidak ambil peduli? Atau salah kepimpinan Kolej yang tidak peka? Atau ibu bapa yang gagal menerapkan nilai-nilai yang betul kepada anak-anak mereka? Ataupun kegagalan sistem pendidikan kita?

C-bOk yakin ini bukanlah kejadian yang terakhir atau satu-satunya tragedi seumpamanya; satu masa-satu ketika nanti kejadian yang sama akan dilapurkan semula oleh media. malahan mungkin lebih teruk lagi. Sesuatu perlu dilakukan dan ianya perlu bermula dari kita sendiri. Pastikan kita, anak-anak kita, saudara mara kita, rakan-rakan kita tidak berkompromi di dalam hal seperti ini.

Kepada pihak berkuasa, pastikan kesemua mereka yang terlibat di dalam kejadian ini di kenakan hukuman yang PALING MAKSIMUM. Kalau perlu dibuang dari Kolej itu, buang sahaja mereka. Tak guna kita simpan mereka yang berkelakuan seperti ini di dalam angkatan tentera kita.

Dalam masa yang sama, pantau juga di pusat-pusat latihan yang lain untuk memastikan kejadian serupa tidak berlaku.

Tuesday, February 13, 2007

Krisis Air

Sejak beberapa hari ini, beberapa kenyataan telah dibuat oleh tunggak kepimpinan negara berkaitan dengan kemungkinan negara mengalami masalah kemarau yang luar biasa menjelang bulan April nanti berikutan dengan gejala El-Nino.

Langkah membuat pengumuman dan persediaan awal ini adalah dipuji. C-bOk berharap semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat, kedudukan, rupa, bangsa dan agama akan bersedia dengan kemungkinan krisi air yang meruncing berikutan dengan kemarau ini.

Gunakanlah air dengan berhemah.

Sunday, February 11, 2007

Dagangan Luar Negara Di Politikkan

Saya merasa bangga kerana negara mencatatkan nilai eksport tertinggi dalam tahun 2006, mencecah sehingga melebihi RM1 trillion. Saya merasa bangga kerana saya adalah bekas Pesuruhjaya Perdagangan (Trade Commissioner) yang pernah berkhidmat di Los Angeles dari tahun 1997 hingga 2002 bagi mempromosikan eksport negara di Amerika Utara dan Amerika Tengah.

Saya yakin kejayaan mencatatkan nilai dagangan yang tinggi itu adalah hasil daripada dasar ekonomi negara yang mesra perniagaan yang menggalakkan usahawan negara untuk mengeksport barangan mereka ke luar negara. Pembeli juga mudah untuk menerima barangan daripada negara kita berikutan dengan produk yang berkualiti tinggi dan juga keyakinan mereka terhadap barangan keluaran negara kita.

Saya yakin, ramai yang merasa bangga kerana kejayaan ini adalah hasil kerjasama semangat Malaysia Inc. yang melibatkan pembuat dasar, pegawai Kerajaan, pengeksport, pemberi perkhidmatan, institusi kewangan, pengimport dari negara luar dan ramai lagi. Namun yang paling penting ialah polisi kita di dalam menggalakkan industri eksport ini yang telah diperkenalkan khususnya di zaman Tun Mahathir. Momentumnya meningkat dengan tertubuhnya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (MATRADE) dalam tahun 1993.

Oleh itu, saya rasa terkilan dan menyampah apabila kejayaan negara ini cuba dipolitikkan oleh orang-orang politik yang meletakkan kejayaan ini hanya kepada Perdana Menteri seorang sahaja. Orang-orang politik ini begitu beria-ria mengucapkan tahniah kepada PM yang menunjukkan kecetekkan pemikiran dan juga nilai diri mereka yang lebih kepada budaya mengampu. Mentang-mentanglah pilihanraya dah dekat, segala kesempatan yang ada diambil untuk menonjolkan diri mereka di mata PM sehingga sesuatu kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh semua nampak cuba di "kidnap" untuk menunjukkan kejayaan itu milik peribadi.

Bagi saya, ini satu tindakan orang yang tidak tahu malu.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di luar negara, pegawai-pegawai MATRADE, pegawai-pegawai Kementerian Luar, MIDA, para usahawan Malaysia, pengilang dan lain-lain yang terlibat secara langsung khususnya Tun Mahathir yang telah membuat keputusan yang tepat di dalam menggalakkan industri pembuatan di negara ini satu masa dahulu sehingga menjadikan Malaysia salah sebuah negara pengeskport utama di dunia.

Kepada pemimpin-pemimpin semasa, saya tangguhkan ucapan tahniah kepada anda sehingga polisi anda menunjukkan kejayaan satu masa nanti. (nota; sekarang ini masih lagi belum nampak kejayaan yang ada adalah hasil polisi yang diperkenalkan oleh anda). Namun kalau nak sangat puji-pujian tu, buatlah keputusan yang tepat dan pastikan hasilnya dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

Saturday, February 10, 2007

Hutang oh hutang....

Anda ada masalah hutang?

Hutang ada bermacam-macam jenis hutang. Hutang pinjaman perumahan, hutang kereta, hutang kad kredit, hutang pinjaman PTPTN, hutang komputer, hutang kawan, hutang along dan macam-macam jenis hutang lagi.

Hutang-hutang ini menyakitkan kepala. Sampai bila kita harus terus berserah kepada nasib berkaitan dengan hutang kita. TAKE CHARGE.

Dapatkan maklumat lanjut di blog keusahawan ini.

Friday, February 09, 2007

Janji

"Pilihanraya boleh tunggu".

Itulah kenyataan Pak Lah apabila ditanya oleh pemberita berkaitan dengan kemungkinan untuk mengadakan pilihanraya dalam masa yang terdekat ini. Sebaliknya Pak Lah menekankan bahawa beliau berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat di dalam pilihanraya terdahulu.

Eloklah tu. Mungkin Pak Lah kena menyenaraikan semula janji-janji yang dibuat dahulu dan kita boleh menyemak satu persatu kedudukan setiap janji-janji tersebut. Yang pastinya semasa pilihanraya dahulu tidak ada janji untuk menaikkan harga minyak dan harga tol. Jadi kedua-dua perkara ini tidak boleh diambil kira walaupun ianya telah di sempurnakan dengan berkesan (perfect) oleh Kerajaan pimpinan beliau.

Thursday, February 08, 2007

Aura JUTAWAN

Aura JUTAWAN.

Inilah C-bOk bersama dengan jutawan UPTREND dan juga ahli 00001 Saudara M. Nor Azmi.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan perniagaan UPTREND pasti mengetahui sedikit sebanyak susah senang Sdra. M. Nor Azmi di dalam memperkenalkan perniagaan UPTREND ketika orang tidak tahu apa itu perniagaan e-dagang. Namun itu adalah cerita dua tahun yang lalu. Hari ini beliau seorang jutawan selepas hanya dua tahun tidak jemu-jemu mempromosikan perniagaan e-dagang ini. Di manakah anda dua tahun dari sekarang? Adakah anda akan terus meratapi nasib anda atau bergaul dengan orang-orang yang berjaya.

C-bOk menanam azam untuk menurut jejak langkah mereka-mereka yang telah berjaya ini. Mereka yang satu masa dahulu juga macam C-bOK, malah ada yang lebih teruk lagi. Dengan keadaan C-bOk yang masih mempunyai kudrat, sahabat dan keupayaan untuk bercakap, pastinya tidaklah susah sangat untuk berjaya seperti mereka.

Untuk berjaya tidak susah. Yang susah ialah untuk mengubah sikap. Sikap berkaitan dengan minda kita. Hari ini kita banyak memperkatakan pelbagai masalah yang melanda diri kita. Kita marah dengan pelbagai "kenaikan" kos yang berlaku di negara kita ini. Kita kutuk orang-orang yang membuat keputusan kenaikan-kenaikan tersebut seperti kenaikan harga minyak, tol, ayam, sayur dan sebagainya lagi. Memang kenaikan-kenaikan tersebut tidak adil bagi kita, namun apa yang kita lakukan untuk mengatasi masalah demi masalah yang melanda kita ini?

Yang pastinya, cakap-cakap kita belum tentu mampu untuk mengubah setiap keputusan yang dibuat oleh pemerintah, tetapi tindakan kita dalam mengubah nasib kita sendiri pasti akan membuahkan kejayaan dan memberi harapan baru kepada diri kita sendiri. C-bOk mengambil keputusan untuk menyertai perniagaan e-dagang UPTREND ini untuk mengubah nasib C-bOK sendiri dan membuat persediaan menghadapi masa depan yang nampak kurang jelas, khususnya dari segi kos sara hidup di negara ini.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai C-bOk bolehlah menghubungi C-bOk di:

Email: zainalkaya@yahoo.com.my
HP: 6-012-3022 897
Blog: http://zainalkaya.blogspot.com
Web: http://zainalkaya.ui2u.com

Anda pasti tidak akan menyesal.

Menjana Pendapatan Lumayan Dengan Uptrend

Sudah lama C-bOk tidak update blog ini. Antara sebabnya ialah C-bOk agak sibuk dengan kerja. Bagi yang mengenali C-bOk pasti tahu bahawa C-bOk agak aktif dengan perniagaan MLM sehingga menjadi stokis di Sungai Buloh. Memang, C-bOk "flying high" sebagai stokis.

Namun langit tidak selalunya cerah, perniagaan C-bOk sebagai stokis sebuah syarikat MLM kecundang di tengah jalan akibat masalah yang diluar jangkaan apabila wujudnya beberapa kenyataan negatif di dalam akhbar tabloid harian daripada pengguna dan orang yang tidak bertanggungjawab sehingga menggugat jualan syarikat. C-bOk sebagai stokis turut merasa kesannya apabila jualan harian semakin menurun dan pelanggan semakin menghilang. Akhirnya C-bOk mengambil keputusan untuk menutup stokis bagi mengelakkan kerugian yang berterusan pada bulan Oktober 2006.

Hampir 4 bulan juga C-bOk bertapa mencari kesilapan di dalam perniagaan terdahulu. C-bOk juga mendaftar dengan beberapa buah syarikat lain untuk memulakan perniagaan baru. Namun, tidak bergerak sebagaimana yang dirancangkan. Tetapi C-bOk dapat merasakan satu aura yang lain dengan syarikat yang terbaru ini.


Bermula dengan membaca satu artikel di dalam sebuah akhbar tempatan berkaitan dengan perniagaan e-dagang, C-bOK rasa sangat berkobar-kobar untuk meninjau dengan lebih lanjut lagi peluang ini. Kebetulan pula, sebuah blog iaitu Mahaguru58 yang sering C-bOk ikuti turut mencanangkan peluang perniagaan e-dagang ini di laman blognya.

Setelah membuat carian di internet dan juga ke ibu pejabat syarikat ini untuk meninjau sendiri kedudukan syarikat, C-bOk mengambil keputusan untuk menghubungi Mahaguru58 dan menyatakan hasrat untuk menyertai beliau di dalam perniagaan e-dagang UPTREND.

Satu temujanji di atur dan kami bertemu di ibu pejabat Uptrend Network Sdn. Bhd. di Menara Choy Fook On, Petaling Jaya. Dan pada jam 11.00 malam, 7 Februari 2007, C-bOk secara rasmi menjadi usahawan e-dagang uptrend dengan nama perniagaan ZAINALKAYA. Kenapa ZAINALKAYA? Ya, C-bOk mahu jadi kaya. Matlamat C-bOk mahu mencapai kejayaan sebagai usahawan e-dagang dalam masa 1 tahun daripada hari ini.

Sesiapa yang berminat untuk bersama-sama C-bOk di dalam perniagaan ini bolehlah menghubungi C-bOk di 012-3022897 ataupun di email: zainalkaya@yahoo.com.my.

Tuesday, July 11, 2006

Peluang Perniagaan

Kepada pembaca/pengikut blog C-bOk ini, sukacita C-bOk menjemput anda untuk membaca blog Jom Buat Duit di sini. Blog ini adalah salah satu blog C-bOk khusus untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk menjalankan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat.

Sesungguhnya perniagaan mampu menjana rezeki yang melimpah-ruah kepada sesiapa yang berusaha ke arahnya. Al-Quran sendiri ada menyatakan bahawa 9/10 rezeki itu adalah daripada cabang perniagaan. Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan rezeki yang lumayan, usahakan lah sebuah perniagaan. Namun untuk mengusahakan sebuah perniagaan bukanlah mudah khususnya perniagaan dalam bentuk konvensional. Kini ada alternatif kepada anda yang kekurangan modal tetapi mempunyai semangat waja untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

Jom buat duit!! Jangan buat alasan....

Thursday, March 09, 2006

Rumah Untuk DiJual

Ini adalah rumah C-bOk di Templer Saujana. Semi-D dengan keluasan tanah 35 x 75. Rumah ini setinggi 2 1/2 tingkat, empat bilik tidur, empat bilik air, 1 stor, garage untuk 2 kereta dan terletak betul-betul di hadapan Taman Rimba Templer. Berdasarkan kepada pelan perancangan di kawasan ini, jalan dari Selayang ke Rawang akan dibesarkan kepada 6 lorong (sudah pun bermula), pembinaan sekolah dan juga pusat membeli belah. Taman Templer Saujana ini juga agak ekslusif memandangkan hanya rumah Semi-D dan juga banglow yang dibenarkan di bina di kawasan ini, menjadikan kawasan ini bernilai tinggi.

Ianya terletak di dalam kawasan Taman Rimba Templer di mana pokok-pokok yang menghijau di persekitaran kawasan ini telahpun di gazetkan sebagai taman rimba kekal. Dijamin tidak ada pembangunan. C-bOk juga difahamkan satu penghadang bunyi akan dibina bagi memisahkan jalanraya dan juga kawasan perumahan ini sebaik sahaja kerja-kerja pembesarna jalan siap dalam tahun 2007 kelak.

Selain daripada Taman Rimba Templer, berhampiran dengan kawasan ini ada stesyen minyak Shell, Petronas, Esso, Mobil dan Caltex, Pasar Borong Selayang, Pejabat Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, MRR2, Lebuhraya DUKE dan lain-lain lagi. Pendek kata, terdapat banyak kemudahan di persekitarannya.

C-bOk bercadang untuk menjual rumah ini yang masih belum didiami lagi oleh kerana C-bOk telah membeli sebuah rumah lagi di Paya Jaras, Sungai Buluh. Harga jualan hanya RM370,000.00 sahaja. Harga ini boleh dirundingkan sekiranya ada yang berminat. Untuk sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan agen C-bOk: Encik Poon Jovi (012) 382-6960.  Posted by Picasa

Wednesday, March 08, 2006

Tiada Kenaikan Kadar Tol

Dato' Seri S. Sammy Vellu mengumumkan semalam bahawa tiada kenaikan kadar tol untuk tahun ini, walaupun sebelum ini beliau pernah menggambarkan bahawa Kerajaan akan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM460 juta ringgit kepada PLUS jika tidak ada kenaikan di antara tahun 2005 - 2007.

C-bOk ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato' Seri Sammy Vellu atas pengumuman beliau itu. Nampaknya beliau amat perihatin dengan masalah rakyat yang dilanda dengan pelbagai beban kenaikan sejak akhir-akhir ini. (Sejak 2 tahun yang lepas...) Pengumuman beliau sememangnya melegakan. Baik sungguh hati beliau dan menampakkan kesungguhan Kementerian beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ada tiga kemungkinan atau kebetulan dengan masa pengumuman ini dibuat.

Pertamanya, Dato' Seri Sammy Vellu baharu sahaja menang tanpa bertanding untuk terus menerajui MIC. Kemenangan untuk tempoh 3 tahun lagi ini pasti akan menjamin kedudukan beliau sebagai ketua parti utama untuk rakyat India dan seterusnya kekal dalam Kabinet. Keduanya, kalau tidak silap C-bOk, hari ini (8 March 2006) adalah hari jadi beiau yang ke-70. Selamat hari jadi Dato' Seri. Ketiganya, Dato' Seri Sammy Vellu dan Kerajaan mengambil kesempatan daripada keadaan tidak tenteram rakyat sekarang ini akibat daripada kenaikan harga minyak dengan membuat pengumuman yang lunak untuk didengar.

Walaubagaimanapun, C-bOk rasa tak senang hati. Kenapa sekejap boleh, sekejap tak boleh. Dahulu, beliau juga yang bermati-matian mempertahankan bahawa kenaikan itu perlu. Tak boleh tidak! Walaupun rakyat memberikan pelbagai pandangan dan saranan untuk mengelakkan kenaikan, tol tetap naik. Sekiranya tidak naik, seolah-olah akan berlaku huru hara yang tidak dapat dielakkan. Rakyat dimaklumkan bahawa kenaikan itu perlu. Kalau tak naik, kerajaan kena buat itu dan ini.

Sekarang ini kenapa boleh pulak Kerajaan tidak menaikkan tol? Bermakna Kerajaan boleh menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan tol. Walaupun pada bulan Mei 2005 tahun lalu, Menteri ini jugalah yang berkata perlunya kenaikan kepada kadar tol.

PLUS sebenarnya tidak perlu kepada kenaikan ini. Baru-baru ini PLUS mengumumkan keuntungan melebihi RM1 billion. Ini satu keuntungan yang besar. Dengan kadar sedia ada sekarang ini dan peningkatan kepada pemilikan kereta, PLUS dijangka akan terus mencatatkan keuntungan.

Jadi, pengumuman yang sesungguhnya ditunggu-tunggu oleh rakyat - "Tiada kenaikan tol", mengundang pertanyaan:

  1. Sama ada kenaikan terdahulu (dan juga dimasa hadapan) itu perlu dan wajar untuk dikuatkuasakan?
  2. Adakah Kerajaan sememangnya mempunyai kuasa untuk menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan? Pengumuman terbaru ini menunjukkan Kerajaan mempunyai kuasa itu. Kenapa kuasa ini tidak digunakan di tahun-tahun yang lalu?
  3. Adakah PLUS benar-benar perlu dengan kenaikan kadar tol dan kewajaran terhadap kenaikan yang diluluskan sebelum ini memandangkan PLUS mencatatkan keuntungan yang banyak sehingga melebihi RM1 billion?

Terima kasih Dato' Seri kerana pengumuman berkenaan, namun adalah menjadi harapan C-bOk supaya keuntungan PLUS yang berterusan diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Tuesday, March 07, 2006

Datuk Bandar Shah Alam Kena Tukar?

C-bOk mendapat khabar bahawa Datuk Bandar Shah Alam, Yang Berbahagia Datuk Ramli bin Mahmud bakal ditukarkan dalam masa yang terdekat ini. Pertukaran beliau (sekiranya benar) pada masa Shah Alam menghadapi beberapa masalah seperti banjir yan melanda di TTDI Jaya baru-baru ini dan pembangunan tidak terkawal di beberapa kawasan pinggiran Shah Alam rasanya satu keputusan yang kurang tepat. Datuk Ramli nampak tegas di dalam pentadbiran beliau di Bandaraya Shah Alam. Beliau mengamalkan sistem pentadbiran telus dan tidak kalut dengan campur tangan politik.

Apa-apa pun, C-bOk berharap sebarang keputusan yang dibuat di MBSA atau pun di mana-mana juga di Selangor ini dibuat dengan bijak.

Wednesday, March 01, 2006

Beban Kenaikan Harga Minyak

Sejak diumumkan semalam, rata-rata masyarakat banyak mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak yang tinggi sehingga 30 sen bagi setiap liter. Walaupun akhbar arus perdana menyiarkan pandangan yang seimbang daripada banyak pihak, namun motif penyiaran adalah untuk "menghalalkan" kenaikan tersebut. Pandangan berbentuk analisa dan juga perbandingan dibuat dengan matlamat untuk menunjukkan kenaikan itu "tak ada apa-apa" pun. Seolah-olah, kenaikan itu satu berita gembira untuk kita semua.

Masalahnya, adakah pembuat dasar faham dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa-biasa? Mereka yang bekerja dan bergaji kecil tetapi berkeluarga besar. Sekiranya mereka berkeluarga kecil sekali pun adakah tidak ada kesan langsung atau tidak langsung kepada mereka? Rakyat biasa-biasa yang bayar sendiri duit tol, tak ada driver, tak ada elaun keraian sehingga berbelas ribu macam orang-orang besar di atas.

Sebenarnya, kenaikan kali ini sememangnya begitu membebankan. Kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat. Walaupun Kerajaan melalui KPDN-HEP telah memberi "amaran keras" kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga, sejauhmanakah Kementerian ini mampu untuk memantau keadaan? Selama ini pun dengan pelbagai amaran keras yang dibuat dan diumumkan, Kementerian ini masih gagal untuk mengatasi banyak masalah kenaikan harga, masalah cetak rompak, masalah kegagalan mematuhi peraturan yang remeh-temeh dan sebagainya.

Jadi, bagi rakyat jelata macam C-bOk, amaran keras itu hanyalah retorik semata-mata yang perlu dibuat dan diumumkan macam robot apabila kenaikan berlaku. Di masa hadapan apabila kenaikan berlaku lagi, amaran keras yang sama akan dikeluarkan. Tetapi harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat.

Kenaikan harga minyak ini akan meningkatkan kadar perbelanjaan mengurus rakyat dan juga Kerajaan sendiri. Peningkatan ini tanpa diimbangi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagaian aktiviti ekonomi dan merancakkan pembangunan akan melahirkan rakyat yang "marah", "dendam" dan "menyampah". Ini tidak baik kepada kesejahteraan negara dan juga kestabilan politik yang telah kita kecapi sejak sekian lama.

Kesan ketara yang "instant" terhadap kenaikan kali ini jelas apabila kita duduk-duduk di kedai kopi sambil minum teh tarik. Rata-rata ramai yang telah menunjukkan rasa "marah", "dendam" dan "menyampah" seperti yang C-bOk nyatakan di atas. Apakah ini yang Kerajaan mahukan daripada rakyat?

Tidak adakah cara lain untuk menampung kenaikan harga minyak ini? Apa kata sekiranya aktiviti ekonomi dirancakkan dengan program pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan di zaman Tun Mahathir dahulu? Bukankah dengan aktiviti pembangunan yang pesat akan meningkatkan aliran mata wang di pasaran yang mewujudkan peluang pekerjaan, kenaikan gaji yang kompetitif dan juga meningkatkan pendapatan Kerajaan melalui pelbagai kutipan cukai? Kutipan cukai ini kemudiannya boleh digunakan untuk menampung kesan kenaikan minyak dunia. Secara tidak langsung rakyat tidak dibebankan.

C-bOk berharap kita tidak dikejutkan lagi dengan pengumuman-pengumuman tidak enak seperti ini lagi. Namun harapan ini mungkin hanya sehingga ke akhir tahun ini sahaja (31 Disember 2006) kerana kenyatataan yang sama pernah dikeluarkan sebelum ini. Tidak ada jaminan apabila tahun baru (2007) menjelma. Namun, kepimpinann mempunyai pilihan untuk menilai pelbagai alternatif. Adakah akan ada idea kreatif untuk menyerap kenaikan itu dengan cara lain atau naikkan sahaja harga minyak untuk ditampung oleh rakyat. Kalau itu pilihan kepimpinan, kita amat rugi.....

Tuesday, February 28, 2006

Rayuan Kepada Pak Lah & Najib

 

Semalam (27 Feb. 2006) Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersidang. Seperti biasa hal ehwal kebajikan orang Melayu dibincangkan di dalam Majlis ini. (Rasanyalah.....)

Namun berita yang menjadi tajuk utama ialah soal kedudukan pangkat atau jawatan ahli-ahli UMNO yang tinggi-tinggi sahaja yang dibincangkan. Boleh dikatakan kesemua akhbar memberikan penumpuan kepada isu Dato' Zaid Ibrahim yang tidak lagi layak untuk memegang jawatan selepas tempoh pergantungannya tamat. Mengikut kata Pak Lah, semua ahli-ahli MT bersetuju tanpa ada sebarang suara yang membantah.

So..., apakah kepentingan keputusan ini kepada rakyat? Mereka yang biasa-biasa sahaja. Mereka yang tidak ada driver dan tak ada outrider polis? C-bOk mempersoalkan ini, oleh kerana pada hari yang sama, Kerajaan melalui pejabat Perdana Menteri membuat pengumuman tentang kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen berkuatkuasa serta merta. Ramai yang terkejut kerana pengumuman dibuat secara mengejut. Orang yang duduk di Shah Alam, khususnya di TTDI Jaya lagilah terkejut sebab dah la kena banjir sampai musnah harta benda dengan kerugian berpuluh ribu setiap seorang. Tiba-tiba diumumkan pula kenaikan harga minyak.

Di manakah pemimpin saya yang sewajarnya memperjuangkan nasib masyarakat yang biasa-biasa. Kami terkejut dengan pengumuman tiba-tiba yang mendadak ini. Kenaikan ini yang bukan kali yang pertama dalam tempoh dua tahun kepimpinan Pak Lah dan Najib benar-benar merungsingkan.

Apakah hala tuju kita? Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat? Apakah persediaan yang dirancang untuk rakyat bagi menghadapi kenaikan harga minyak ini yang pastinya akan memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lain? Tanpa menyediakan rakyat dengan ketahanan mental dan juga peluang-peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka, negara bakal menghadapi masalah. Masalah ini boleh menjadi kronik sekiranya tidak ditangani dengan segera.

C-bOk merayu kepada Pak Lah dan juga Najib yang menjadi gandingan kepimpinan utama negara untuk segera memacu pentadbiran negara. C-bOk melihat kepimpinan sedia ada agak perlahan dan terlalu banyak retorik sahaja. Hala tuju yang jelas masih kabur. Kita bercakap pasal Wawasan 2020, tetapi ianya nampak tergugat tanpa adanya aktiviti ekonomi dan pembangunan yang jelas dan nyata.

Pak Lah dan Dato' Najib. C-bOk merayu agar segeralah "memacu" negara dengan aktiviti ekonomi supaya pengumuman-pengumuman seperti kenaikan minyak ini tidak "mengganggu" keyakinan rakyat. Posted by Picasa

Monday, February 27, 2006

Mawi Bintang Paling Popular

 

Tahniah!

Mawi terus mengekalkan keunggulannya sebagai Bintang Paling Popular di Malaysia apabila menerima anugerah berkenaan dari Berita Harian yang menganjurkan Anugerah Bintang Paling Popular 2005. Kemenangan ini bermaksud Mawi adalah lebih popular daripada bintang-bintang popular yang lain. Inilah yang dinamakan rezeki dan rezeki beliau begitu melimpah ruah sejak menjadi Juara Akademi Fantasia 3.

Sebagai juara beliau mendapat sebuah kereta, set barangan kemas dan sebagainya. Semoga Mawi terus kekal dengan imejnya yang bersih dan berdisiplin.

Wooorld... Posted by Picasa

Sunday, February 26, 2006

Old Friend...

Out of the blue..., seorang rakan lama.., seorang Dato' dan juga bekas Duta menghubungi C-bOk melalui email dan mengingatkan C-bOk tentang blog ini. Memang sudah lama C-bOk tak update blog ini. Sepanjang tempoh menghilangkan diri itu berbagai perkara sudah berlaku di negara ini. Kabinet telah dirombak (ataupun telah diisi & di tukar....), minyak sudah naik beberapa sen dan mungkin akan naik lagi (bulan March...?), surat khabar sudah kena gantung, Menteri dan Editor surat khabar bergaduh, Shah Alam banjir besar (sebuah kawasan penting di negeri maju pertama di Malaysia), heboh-heboh tentang BigFoot di Johor, peneroka Felda Sendayan sudah jadi jutawan dan banyak lagilah.

Okeylah, C-bOk akan cuba update blog ini dengan lebih kerap. Harap-harap ada idea untuk menulis semula.

Friday, January 27, 2006

Selamat Tahun Baru Cina

Ya, memang lama C-bOk tak mengemaskini blog ini. C-bOk memang benar-benar sibuk sejak kebelakangan ini. Ada macam-macam kerja yang nak diselesaikan. Walaubagaimanapun, harap-harap tahun 2006 ini dan khususnya tahun Anjing ini C-bOk akan mempunyai sedikit masa untuk mengemaskini blog ini dengan isu-isu yang berkaitan dengan kita semua. Insyaallah.

Kepada semua, C-bOk ucapkan selamat menyambut tahun baru Cina dan selamat bercuti.

Wednesday, September 28, 2005

Denggi di Tahap Kritikal


Kawasan Wabak Denggi Posted by Picasa

Wabak denggi di negara ini telah mencapai tahap kritikal dengan lebih 752 kes dilaporkan mingu lepas. Jumlah kematian sehingga kini juga telah melebihi angka kematian sepanjang tahun lalu. Sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil segera, angka yang dilaporkan pasti akan mencecah 1,000 kes. Apabila angka ini dicapai maka negara akan menghadapi satu epidemik yang serious.

Sekarang ini bukan masanya untuk meletakkan tanggungjawab mengatasi masalah ini kepada orang lain. Sekarang ini adalah masa untuk kita semua mengambil langkah-langkah perlu yang drastik bagi memastikan kes denggi ini tidak berlanjutan. Kita semua perlu memastikan persekitaran kita bersih dan bebas daripada nyamuk denggi. Pastikan semua takungan air tidak membiak larva-larva aedis yang menyebabkan demam denggi. Anjurkan program gotong royong di kawasan anda untuk sama-sama membersihkan persekitaran. Sekiranya boleh anjurkan setiap hujung minggu selama beberapa minggu ini. Di samping dapat membersihkan kawasan, dapat juga kita merapatkan perhubungan dan juga beriadah untuk menyihatkan badan.

Pihak berkuasa pula, inilah masanya untuk menguatkuasanya undang-undang. Kita ada undang-undang yang cukup seperti denda dan juga penjara bagi sesiapa yang tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membenteras pembiakan nyamuk aedis.

Rafidah Aziz: Apa Dah Jadi?


Rafidah Aziz Posted by Picasa

Kes Dato' Seri Rafidah ni masih tak habis-habis lagi. Kesnya bukan lagi dibincangkan di kedai kopi tapi sudah dibincangkan di Parlimen. Kedua-dua pihak pro Kerajaan dan pembangkang sama-sama menghentam ketidakhadiran beliau di Parlimen dan juga kegagalan untuk memberikan jawapan yang memuaskan semua pihak tentang AP.

Hari ini ianya akan dibincangkan pula di mesyuarat Kabinet.

Apa-apa pun, C-bOk berpendapat beliau adalah salah seorang menteri yang berkaliber di zaman kemuncaknya. Banyak sumbangan beliau kepada ekonomi negara sejak lebih 20 tahun yang lalu. Sumbangan beliau ini tidak boleh dinafikan. Lihat sahaja di mana kita berada sekarang dan pastinya kita tidak boleh menolak begitu sahaja jasa-jasa yang telah beliau sumbangkan kepada negara.

Namun, masalah yang berbangkit sekarang ini agak serious jugak. Masyarakat dan rakan-rakan seangkatan dengannya mempersoalkan banyak perkara tentang beliau sejak akhir-akhir ini. Langkah terbaik adalah untuk beliau sendiri "memperbetulkan" keadaan ini dengan segera.

C-bOk harap kita tidak terus-terusan membuang masa dengan masalah ini. Ringkasnya jangan berterusan dengan "politik" baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan. Kita sudah tidak punya banyak masa....

Tuesday, September 27, 2005

Wabak Denggi

Negara kita sedang diserang wabak denggi. Kematian demi kematian di laporkan setiap hari. Manakala kes-kes baru baru yang dilaporkan pula naik dengan mendadak. Kes-kes ini pula di laporkan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

C-bOk menyeru semua agar mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kebersihan di sekitar rumah. Pastikan tidak ada air yang bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aides, potong rumput yang panjang dan bersihkan segala sampah sarap.

Hanya apabila kita berada dalam lingkungan kebersihan barulah penyakit akan menjauhi kita.

Monday, September 26, 2005

Saman Malu Halil

Semalam dalam akhbar Utusan Malaysia (24hb. September 2005), Ketua Pengarah Kastam, Tan Sri Halil membuat kenyataan bahawa dia akan membuat saman malu terhadap pihak media yang membuat kenyataan palsu dan berniat jahat berkaitan dengan perbelanjaan RM5 juta sempena dengan persaraan beliau.

C-bOk berpendapat ini adalah tindakan yang paling patut dan sesuai. Isu ini yang disiarkan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris benar-benar memeranjatkan ramai orang dan akibatnya lebih seminggu rakyat Malaysia ni tak ada cerita lain. MASA banyak di HABISKAN dengan bercerita pasal ini.

Eloklah di saman RM5 juta sesiapa sahaja yang menimbulkan fitnah ini supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Saturday, September 24, 2005

Umur Pembantu Rumah

Baru-baru ini terpampang berita di akhbar The Star seorang pembantu rumah BERUMUR 19 TAHUN di selamatkan daripada di dera di Johor Bharu oleh Kedutaan Indonesia.

Persoalan yang timbul sekarang ni ialah bagaimana seorang kanak-kanak yang berumur 19 tahun dibenarkan masuk ke negara ini oleh Imigresen Malaysia?

Saya bertanya kerana saya pernah mengemukakan permohonan untuk mengambil pembantu rumah yang berumur 20 tahun namun ditolak oleh Imigresen. Peraturan hanya membenarkan mereka yang berumur 25 tahun ke atas untuk bekerja sebagai Pembantu Rumah. Saya seterusnya telah mengambil seorang pembantu rumah yang berumur 36 tahun. Alhamdulillah dia bekerja dengan bagus.

Tetapi saya masih musykil dengan kejadian ini. Apabila pembantu rumah ini masuk ke negara ini dia perlu melalui imigresen. Sekali tengok sahaja kita sudah tahu bahawa pembantu rumah ini masih di bawah umur. Kanak-kanak lagi!!

Bagaimana dia boleh masuk? Siapa yang meluluskannya? Siapa pegawai imigresen di kaunter yang menyemak dan membenarkan kanak-kanak ini masuk?

Kalau imigresen benar-benar hendak mengikut peraturan di dalam hal ini, perkara ini perlu diselidik. Kalau tidak, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan peraturan sedia ada dan orang-orang yang diamanahkan untuk menguatkuasakan peraturan ini.

Ketua Pengarah Kastam Tak Bersalah?

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Yaacub membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Ketua Pengarah Kastam dan lain-lain pegawai kanan Kastam bahawa kesemua tuduhan ke atas Kastam iaitu:

  1. Perbelanjaan RM5 juta untuk majlis persaraan;
  2. Pegawai Kastam memboikot kutipan cukai; dan
  3. Negara kerugian RM7 juta sejak kes ini dibangkitkan.

Adalah TIDAK BETUL!!!!.

Jadi, apa yang mula-mulanya dilaporkan oleh New Straits Times baru-baru ini dan diikuti oleh media cetak dan elektronik berkaitan dengan perkara ini tak betullah sebenarnya.

Apa yang berlaku ni? Di manakah etika kewartawanan apabila laporan sebesar ini tidak diselidik dan disahkan dahulu sebelum ianya menjadi bahan berita di muka hadapan? Setelah Tan Sri Ketua Pengarah berkenaan dibersihkan, apa pula tindakan media-media ini dengan beliau?

Tak ada sessi minta maaf ke macam Tan Sri Ketua Pengarah kena dengan YAB Timbalan Perdana Menteri?

Salah Tuhan?

Selepas Kathrina, Taufan Rita pula yang akan melanda Amerika Syarikat dalam masa beberapa jam sahaja lagi. Walaupun, taufan itu masih dalam perjalanan ke Texas dan Lousiana, berjuta-juta penduduk di kedua-dua negeri ini telah pun di arahkan berpindah meninggalkan rumah dan harta benda mereka.

Persiapan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat nampaknya lebih teratur kali ini berbanding dengan serangan Taufan Kathrina baru-baru ini. Namun, apa yang kalut ialah persiapan mental dan fizikal Presiden Amerika Syarikat sendiri dalam menghadapi kekalutan ini. Beliau banyak menyalahkan orang lain dalam pelbagai masalah yang timbul semasa serangan Kathrina. Semua orang tak betul kecuali beliau. Sedangkan yang pastinya beliau memang tak betul kerana asyik menyerang negara orang sahaja sehingga terlupa dan terlalai untuk melihat kebajikan penduduk di negara sendiri.

Kini, dengan Taufan Rita dijangka akan melanda Texas pada bila-bila masa sahaja Presiden Bush membuat kenyataan yang menyalahkan Tuhan kerana membenarkan taufan melanda negaranya. Soalnya Tuhan mana yang beliau maksudkan? Benarkah beliau tahu adanya Tuhan? Sudah gilakah beliau kerana dengan angkuhnya menyalahkan Tuhan apabila negaranya di musnahkan?

Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Tragedi 9/11 berlaku? Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Bush sendiri membuat keputusan untuk menyerang dan memusnahkan Afghanistan dan Iraq?

Kalau macam tu senanglah kita. Apabila tragedi melanda, salahkan Tuhan. Marahkan Tuhan. Macamlah kita ni lebih besar dari Tuhan.

Apa-apapun, tentu ada yang tersirat di sebalik serangan ribut taufan yang berturut-turut ke atas Amerika Syarikat dan di negeri di mana Presidennya berasal pula. Walaupun, bencana ini membawa banyak kedukaan kepada rakyat Amerika yang tidak bersalah, namun di sebalik segala kejadian ini kita perlu ingat bahawa Tuhan itu maha berkuasa.

Saturday, June 11, 2005

Portal Komuniti Bukit Rahman Putra

Penduduk di Bukit Rahman Putra (BRP) dan kawasan sekitarnya kini boleh berbangga dengan portal komuniti mereka sendiri. Portal komuniti ini boleh dicapai di sini. Portal ini masih baru, namun segala sesuatu perlu bermula dengan langkah pertama. Dengan sokongan semua khususnya dari kalangan penduduk di kawasan Bukit Rahman Putra, pastinya portal ini mampu menyaingi portal komuniti lain seperti portal komuniti Subang Jaya. Tahniah kepada mereka yang berusaha untuk menjayakan portal BRP ini.

Friday, April 29, 2005

Selamat Menyambut Hari Pekerja

C-bOk ingin mengucapkan selamat menyambut hari pekerja kepada semua pekerja di seluruh Malaysia. Tidak kira sama ada anda bekerja dengan orang atau bekerja sendiri, 1 Mei adalah hari anda. Tanamkan semangat dan tekad untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama.

Thursday, April 28, 2005

Diesel habis!

Sejak beberapa bulan ini tak habis-habis cerita "minyak diesel habis". Menteri berkenaan berkata ada kegiatan penyeludupan dan juga menjual semula minyak diesel oleh dalang-dalang yang mengambil kesempatan. Masalahnya oleh kerana marahkan "dalang-dalang" ini pengguna yang sebenarnya terpaksa menanggung akibat. Sistem kuota yang diperkenalkan memberi kesan yang bukan sedikit. Ekonomi negara SUDAH terjejas. Aktiviti ekonomi SUDAH terganggu.

Tindakan Kementerian berkenaan umpama "MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DI BAKAR".

Sampai bila masalah ini hendak diselesaikan? Tindakan segera perlu diambil oleh Menteri berkenaan. Bekalan minyak perlu dibekalkan dengan cukup. Dalam masa yang sama tindakan perlu diambil untuk mengekang masalah penyeludupan dan salah guna minyak diesel ini. Namun janganlah sampai menyusahkan pengguna.

Perodua Myvi


Perodua Myvi Posted by Hello

Perodua dijangka akan melancarkan model barunya Perodua Myvi pada penghujung bulan Mei ini. Walaubagaimanapun, tempahan telah pun boleh dibuat di mana-mana cawangan Perodua di seluruh Malaysia. Harga adalah dalam lingkungan RM40K hingga RM52K, tertakluk kepada spesifikasi kereta yang ditempah.

Seperti model-model terdahulu, model ini juga adalah dibina daripada kereta sedia ada dengan sedikit perubahan kosmetik. Kereta ini dibina daripada model Daihatsu Boon dan juga Toyota Passo yang telah pun dijual di seluruh dunia. Sesiapa yang berminat untuk melihat kereta ini dalam bentuk asalnya sebelum diubahsuai oleh Perodua bolehlah melawat laman web Daihatsu dan juga Toyota.

Tuesday, April 26, 2005

Tol Linkedua NAIK!

Dato' Seri Sammy Vellu mengumumkan kadar tol Linkedua akan NAIK mulai 1 Mei 2005. Ini bukanlah satu-satunya kenaikan yang diumumkan oleh Kerajaan. Kalau satu kenaikan tak apa. Kalau dah ada 10 kenaikan dan setiap kenaikkan memberi justifikasi hanya "10% sahaja kenaikkan" bagi menyokong cadangan mereka, bermakna pengguna terpaksa membuat peruntukan tambahan sebanyak 10% bagi 10 kategori yang berbeza. Ini macam 100% kenaikkan.

Sejak 18 bulan yang lalu boleh dikatakan semuanya NAIK. Sebagai pengguna, C-bOk merasakan kenaikkan ini memberi kesan kepada masyarakat. Mungkin orang lain kaya raya. Ada pula yang tak perlu bayar tol sebab semuanya masuk dalam perbelanjaan rasmi. Tetapi rakyat biasa macam C-bOk kena bayar sendiri daripada gaji sendiri. Keperitannya terasa. Pak Lah kena melihat perkara ini daripada kacamata masyarakat dan pengundi. Sekarang ini C-bOk berpendapat kerajaan ini banyak meNAIKkan harga sahaja.

Friday, April 22, 2005

Deman Kepialu di Kelantan

Deman kepialu di Kelantan semakin merebak. Setakat hari ini, kes serangan kepialu telah meningkat kepada 202 orang, manakala 3 orang telah pun disahkan mati akibat terkena jangkitan berkenaan. Dalam keadaan negara hanya tinggal kira-kira 15 tahun sahaja lagi untuk mencapai taraf negara Maju (2020), serangan penyakit kuno seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Jangkitan kepialu biasanya berlaku melalui air dan makanan. Pencemaran biasanya berlaku di dalam air yang telah tercemar dengan kuman najis manusia seperti air kencing ataupun najis.

Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana dengan kemudahan dan infrastruktur sedia ada yang canggih, manusia, khususnya di Kelantan masih terkena jangkitan kuman ini? Bagaimanakah kuman daripada najis boleh mencemari air dan makanan di Kelantan? Bukankah sudah ada bekalan air yang bersih? Apakah mungkin ramai pengguna yang tidak mendapatkan bekalan air yang bersih daripada paip dan masih menggunakan perigi? Atau adakah seperti kata Menteri Besar Kelantan sendiri, segala-galanya berpunca daripada sifat pengotor rakyat Kelantan sendiri?

Apakah tindakan Kerajaan Kelantan untuk mengatasi masalah ini? Setidak-tidaknya satu program meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan perlu dianjurkan dengan kadar segera. Perkara ini tidak boleh dibiarkan untuk tindakan Kementerian Kesihatan dan kerajaan Pusat sahaja. Atau dengan kata lain, perkara ini tidak boleh dibiarakan sebagai mengalah kepada takdir sahaja.

Thursday, April 21, 2005

Lama tak Online

Maaf kepada pembaca blog ini kerana saya sudah lama tidak online atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Insyaallah, saya akan kembali dengan komen-komen isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan kita seharian. Saja-saja nak c-bok.

Thursday, January 06, 2005

Tsunami: Politik?

Semalam C-bOk membuat catatan tentang masalah penyelarasan bantuan kepada mangsa-mangsa Tsunami, seolah-olah ada yang tak kena. Nampak semacam ianya dipolitikkan oleh orang-orang besar yang hendak mengambil kesempatan mempromosikan diri sendiri. Butir lanjut boleh dibaca di sini.

Sesungguhnya ramai yang telah muak dengan publisiti ini. Masanya untuk bergerak segera dan pantas supaya mangsa boleh memulakan hidup baru dengan segera. Janji untuk menyelesaikannya dalam masa "dua atau tiga minggu lagi" sukar untuk diterima. Ini amalan birokrasi (red tape). Hal-hal berkaitan dengan kertas kerja (paper work), perlu di kurangkan dan digantikan dengan "tindakan". Bukankah itu harapan pertama Pak Lah semasa mula-mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Tun Mahathir?

Tuesday, January 04, 2005

Tsunami: Apa Yang Tak Kena?

Selepas lebih seminggu tragedi ombak besar Tsunami yang melanda Utara Semenanjung Malaysia, seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan dari latar belakang yang berbeza telah menggembeling tenaga untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Pelbagai pihak telah menubuhkan tabung dan menyalurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit dan juga pelbagai barangan untuk diagih-agihkan kepada mangsa yang terlibat. Namun naluri kecil C-bOk rasa ada yang tak kena dengan cara kita menangani masalah ini, antaranya:


  • Selepas lebih seminggu, ada mangsa-mangsa ini yang masih tidur di bawah khemah buatan sendiri yang daif dan dengan hanya beralaskan tikar mengkuang ataupun kertas suratkhabar, sedangkan pelbagai pihak telah menyalurkan bantuan seperti khemah, tilam dan tikar yang lebih selesa untuk mangsa-mangsa yang terlibat;
  • Wang derma yang dikutip masih belum disalurkan sepenuhnya sedangkan berjuta telah dikutip di seluruh negara. Jumlah yang telah disalurkan adalah terlalu sedikit untuk membolehkan mangsa yang terlibat memulakan hidup baru. Cadangan seorang penderma baru-baru ini supaya setiap keluarga diberikan di antara RM15,000 hingga ke RM20,000 adalah jumlah yang lebih praktikal untuk setiap mangsa in memulakan hidup baru. Setidak-tidaknya mereka boleh membeli keperluan asas untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

Semua aktiviti nampaknya masih diperingkat penyelarasan. Lebih banyak aktiviti yang berbentuk 'public relation' daripada aktiviti kongkrit yang lebih objektif untuk menentukan masa depan dan hala tuju mangsa yang terlibat.

Monday, January 03, 2005

Hanya Masjid Yang Tinggal


Hanya masjid yang tinggal... Posted by Hello

Kemusnahan angkara gempa bumi dan Tsunami di Acheh memang sukar digambarkan dengan kata-kata. Semuanya musnah menjadi padang jarak padang terkukur kecuali sebuah masjid......