Sunday, February 11, 2007

Dagangan Luar Negara Di Politikkan

Saya merasa bangga kerana negara mencatatkan nilai eksport tertinggi dalam tahun 2006, mencecah sehingga melebihi RM1 trillion. Saya merasa bangga kerana saya adalah bekas Pesuruhjaya Perdagangan (Trade Commissioner) yang pernah berkhidmat di Los Angeles dari tahun 1997 hingga 2002 bagi mempromosikan eksport negara di Amerika Utara dan Amerika Tengah.

Saya yakin kejayaan mencatatkan nilai dagangan yang tinggi itu adalah hasil daripada dasar ekonomi negara yang mesra perniagaan yang menggalakkan usahawan negara untuk mengeksport barangan mereka ke luar negara. Pembeli juga mudah untuk menerima barangan daripada negara kita berikutan dengan produk yang berkualiti tinggi dan juga keyakinan mereka terhadap barangan keluaran negara kita.

Saya yakin, ramai yang merasa bangga kerana kejayaan ini adalah hasil kerjasama semangat Malaysia Inc. yang melibatkan pembuat dasar, pegawai Kerajaan, pengeksport, pemberi perkhidmatan, institusi kewangan, pengimport dari negara luar dan ramai lagi. Namun yang paling penting ialah polisi kita di dalam menggalakkan industri eksport ini yang telah diperkenalkan khususnya di zaman Tun Mahathir. Momentumnya meningkat dengan tertubuhnya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (MATRADE) dalam tahun 1993.

Oleh itu, saya rasa terkilan dan menyampah apabila kejayaan negara ini cuba dipolitikkan oleh orang-orang politik yang meletakkan kejayaan ini hanya kepada Perdana Menteri seorang sahaja. Orang-orang politik ini begitu beria-ria mengucapkan tahniah kepada PM yang menunjukkan kecetekkan pemikiran dan juga nilai diri mereka yang lebih kepada budaya mengampu. Mentang-mentanglah pilihanraya dah dekat, segala kesempatan yang ada diambil untuk menonjolkan diri mereka di mata PM sehingga sesuatu kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh semua nampak cuba di "kidnap" untuk menunjukkan kejayaan itu milik peribadi.

Bagi saya, ini satu tindakan orang yang tidak tahu malu.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di luar negara, pegawai-pegawai MATRADE, pegawai-pegawai Kementerian Luar, MIDA, para usahawan Malaysia, pengilang dan lain-lain yang terlibat secara langsung khususnya Tun Mahathir yang telah membuat keputusan yang tepat di dalam menggalakkan industri pembuatan di negara ini satu masa dahulu sehingga menjadikan Malaysia salah sebuah negara pengeskport utama di dunia.

Kepada pemimpin-pemimpin semasa, saya tangguhkan ucapan tahniah kepada anda sehingga polisi anda menunjukkan kejayaan satu masa nanti. (nota; sekarang ini masih lagi belum nampak kejayaan yang ada adalah hasil polisi yang diperkenalkan oleh anda). Namun kalau nak sangat puji-pujian tu, buatlah keputusan yang tepat dan pastikan hasilnya dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

No comments: