Sime Darby Berhad akhirnya tunduk kepada desakan rakyat Malaysia yang juga pemegang saham utama syarikat tersebut (melalui PNB, EPF & Yayasan Pelaburan Bumiputra) dan membatalkan cadangannya untuk mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN).
Pembatalan ini adalah merupakan kemenangan kepada rakyat Malaysia yang menentang cadangan tersebut. Blogawan, ahli politik, doktor di IJN dan juga para alumni pesakit IJN rata-ratanya menentang cadangan pengambil alihan tersebut memandangkan IJN telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada negara di dalam memberikan rawatan jantung kelas dunia. Ianya bukan sahaja diiktiraf di dalam negara malahan luar negara.
IJN tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Doktor-doktornya gembira memberikan perkhidmatan, syarikat yang menguruskannya tidak menghadapi masalah kewangan, pesakit juga gembira dengan perkhidmatan yang diberikan, pendek kata IJN tidak ada masalah. Jadi cadangan pengambilalihan tersebut sungguh tidak kena pada masanya dan tidak sewajarnya dilaksanakan.
Tahniah kepada rakyat Malaysia yang berjaya membentuk satu masyarakat prihatin dan bersama-sama mencorakkan negara ini.
Berita berkaitan dengan pembatalan tersebut adalah seperti berikut:
Sime Darby batal ambil alih IJN
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Sime Darby Bhd. (Sime Darby), sebuah konglomerat tempatan yang sebelum ini berhasrat mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sehingga menimbulkan bantahan ramai, hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan itu.
Syarikat milik kerajaan itu dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah mencapai satu persefahaman selepas mengambil kira sentimen orang ramai dan juga maklum balas yang diterimanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penangguhan terhadap rancangan Sime Darby untuk memulakan perundingan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan bagi membeli 51 peratus kepentingan dalam IJN.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya menghormati kehendak rakyat negara ini supaya IJN kekal dalam bentuk yang sedia ada.
Beliau berkata, ''Kami percaya pelaburan berterusan dalam penjagaan kardiovaskular penting kerana ia adalah punca utama pesakit dimasukkan ke hospital dan menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia.
''Perkongsian dengan IJN sekiranya terlaksana akan menguntungkan kami, IJN, pemegang kepentingan dan juga orang ramai, dan bersandarkan hakikat itu kami telah mengemukakan cadangan pembelian ekuiti itu kepada kerajaan.
''Tetapi, kami sebagai sebuah syarikat yang mana pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat negara ini, menghormati hasrat mereka supaya (status) IJN dikekalkan seperti mana adanya,'' kata beliau lagi.
Sime Darby menjelaskan, pada Ogos lalu, pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan tentang hasratnya memiliki kepentingan IJN kerana melihat kepada faedah meluaskan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare, sebuah cabang operasi penjagaan kesihatan Sime Darby dan IJN.
Jelasnya, semasa memajukan cadangan itu, Sime Darby menyedari peranan IJN dalam menyediakan rawatan perubatan yang cemerlang pada harga berpatutan, terutama kepada golongan pesara, berpendapatan rendah dan miskin.
Katanya, cadangan pemilikan IJN adalah memastikan rakyat tidak dipinggirkan daripada menerima rawatan kesihatan berkelas dunia dan juga menjamin mereka yang berkenaan termasuk juga golongan pendapatan rendah dan sederhana terus menikmati perkhidmatan seperti mana sebelumnya tanpa ada perubahan.
Berdasarkan cadangan dan jaminan itu, kerajaan memberikan 'lampu hijau' kepada Sime Darby untuk melaksanakan kajian berhemat ke atas IJN dan menyediakan pelan perniagaan bersepadu yang perlu diperakui lebih dahulu oleh Kementerian Kewangan sebelum Sime Darby dibenarkan menguasai kepentingan berkenaan.
Ahmad Zubir kekal optimis dengan prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus mencari peluang untuk mengembangkan sektor berkenaan, sekali gus menjadikan Sime Darby sebagai penyedia penjagaan kesihatan standard di rantau ini.
Wednesday, January 07, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Dan sekarang Sime DArby beriya-iya pulak utk memajukan low cost airport di Labu. Apa dah jadi dgn sime darby ni? sapakah dalang2 disebalik ini semua?
Post a Comment