Wednesday, September 28, 2005

Denggi di Tahap Kritikal


Kawasan Wabak Denggi Posted by Picasa

Wabak denggi di negara ini telah mencapai tahap kritikal dengan lebih 752 kes dilaporkan mingu lepas. Jumlah kematian sehingga kini juga telah melebihi angka kematian sepanjang tahun lalu. Sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil segera, angka yang dilaporkan pasti akan mencecah 1,000 kes. Apabila angka ini dicapai maka negara akan menghadapi satu epidemik yang serious.

Sekarang ini bukan masanya untuk meletakkan tanggungjawab mengatasi masalah ini kepada orang lain. Sekarang ini adalah masa untuk kita semua mengambil langkah-langkah perlu yang drastik bagi memastikan kes denggi ini tidak berlanjutan. Kita semua perlu memastikan persekitaran kita bersih dan bebas daripada nyamuk denggi. Pastikan semua takungan air tidak membiak larva-larva aedis yang menyebabkan demam denggi. Anjurkan program gotong royong di kawasan anda untuk sama-sama membersihkan persekitaran. Sekiranya boleh anjurkan setiap hujung minggu selama beberapa minggu ini. Di samping dapat membersihkan kawasan, dapat juga kita merapatkan perhubungan dan juga beriadah untuk menyihatkan badan.

Pihak berkuasa pula, inilah masanya untuk menguatkuasanya undang-undang. Kita ada undang-undang yang cukup seperti denda dan juga penjara bagi sesiapa yang tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membenteras pembiakan nyamuk aedis.

Rafidah Aziz: Apa Dah Jadi?


Rafidah Aziz Posted by Picasa

Kes Dato' Seri Rafidah ni masih tak habis-habis lagi. Kesnya bukan lagi dibincangkan di kedai kopi tapi sudah dibincangkan di Parlimen. Kedua-dua pihak pro Kerajaan dan pembangkang sama-sama menghentam ketidakhadiran beliau di Parlimen dan juga kegagalan untuk memberikan jawapan yang memuaskan semua pihak tentang AP.

Hari ini ianya akan dibincangkan pula di mesyuarat Kabinet.

Apa-apa pun, C-bOk berpendapat beliau adalah salah seorang menteri yang berkaliber di zaman kemuncaknya. Banyak sumbangan beliau kepada ekonomi negara sejak lebih 20 tahun yang lalu. Sumbangan beliau ini tidak boleh dinafikan. Lihat sahaja di mana kita berada sekarang dan pastinya kita tidak boleh menolak begitu sahaja jasa-jasa yang telah beliau sumbangkan kepada negara.

Namun, masalah yang berbangkit sekarang ini agak serious jugak. Masyarakat dan rakan-rakan seangkatan dengannya mempersoalkan banyak perkara tentang beliau sejak akhir-akhir ini. Langkah terbaik adalah untuk beliau sendiri "memperbetulkan" keadaan ini dengan segera.

C-bOk harap kita tidak terus-terusan membuang masa dengan masalah ini. Ringkasnya jangan berterusan dengan "politik" baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan. Kita sudah tidak punya banyak masa....

Tuesday, September 27, 2005

Wabak Denggi

Negara kita sedang diserang wabak denggi. Kematian demi kematian di laporkan setiap hari. Manakala kes-kes baru baru yang dilaporkan pula naik dengan mendadak. Kes-kes ini pula di laporkan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

C-bOk menyeru semua agar mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kebersihan di sekitar rumah. Pastikan tidak ada air yang bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aides, potong rumput yang panjang dan bersihkan segala sampah sarap.

Hanya apabila kita berada dalam lingkungan kebersihan barulah penyakit akan menjauhi kita.

Monday, September 26, 2005

Saman Malu Halil

Semalam dalam akhbar Utusan Malaysia (24hb. September 2005), Ketua Pengarah Kastam, Tan Sri Halil membuat kenyataan bahawa dia akan membuat saman malu terhadap pihak media yang membuat kenyataan palsu dan berniat jahat berkaitan dengan perbelanjaan RM5 juta sempena dengan persaraan beliau.

C-bOk berpendapat ini adalah tindakan yang paling patut dan sesuai. Isu ini yang disiarkan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris benar-benar memeranjatkan ramai orang dan akibatnya lebih seminggu rakyat Malaysia ni tak ada cerita lain. MASA banyak di HABISKAN dengan bercerita pasal ini.

Eloklah di saman RM5 juta sesiapa sahaja yang menimbulkan fitnah ini supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Saturday, September 24, 2005

Umur Pembantu Rumah

Baru-baru ini terpampang berita di akhbar The Star seorang pembantu rumah BERUMUR 19 TAHUN di selamatkan daripada di dera di Johor Bharu oleh Kedutaan Indonesia.

Persoalan yang timbul sekarang ni ialah bagaimana seorang kanak-kanak yang berumur 19 tahun dibenarkan masuk ke negara ini oleh Imigresen Malaysia?

Saya bertanya kerana saya pernah mengemukakan permohonan untuk mengambil pembantu rumah yang berumur 20 tahun namun ditolak oleh Imigresen. Peraturan hanya membenarkan mereka yang berumur 25 tahun ke atas untuk bekerja sebagai Pembantu Rumah. Saya seterusnya telah mengambil seorang pembantu rumah yang berumur 36 tahun. Alhamdulillah dia bekerja dengan bagus.

Tetapi saya masih musykil dengan kejadian ini. Apabila pembantu rumah ini masuk ke negara ini dia perlu melalui imigresen. Sekali tengok sahaja kita sudah tahu bahawa pembantu rumah ini masih di bawah umur. Kanak-kanak lagi!!

Bagaimana dia boleh masuk? Siapa yang meluluskannya? Siapa pegawai imigresen di kaunter yang menyemak dan membenarkan kanak-kanak ini masuk?

Kalau imigresen benar-benar hendak mengikut peraturan di dalam hal ini, perkara ini perlu diselidik. Kalau tidak, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan peraturan sedia ada dan orang-orang yang diamanahkan untuk menguatkuasakan peraturan ini.

Ketua Pengarah Kastam Tak Bersalah?

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Yaacub membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Ketua Pengarah Kastam dan lain-lain pegawai kanan Kastam bahawa kesemua tuduhan ke atas Kastam iaitu:

  1. Perbelanjaan RM5 juta untuk majlis persaraan;
  2. Pegawai Kastam memboikot kutipan cukai; dan
  3. Negara kerugian RM7 juta sejak kes ini dibangkitkan.

Adalah TIDAK BETUL!!!!.

Jadi, apa yang mula-mulanya dilaporkan oleh New Straits Times baru-baru ini dan diikuti oleh media cetak dan elektronik berkaitan dengan perkara ini tak betullah sebenarnya.

Apa yang berlaku ni? Di manakah etika kewartawanan apabila laporan sebesar ini tidak diselidik dan disahkan dahulu sebelum ianya menjadi bahan berita di muka hadapan? Setelah Tan Sri Ketua Pengarah berkenaan dibersihkan, apa pula tindakan media-media ini dengan beliau?

Tak ada sessi minta maaf ke macam Tan Sri Ketua Pengarah kena dengan YAB Timbalan Perdana Menteri?

Salah Tuhan?

Selepas Kathrina, Taufan Rita pula yang akan melanda Amerika Syarikat dalam masa beberapa jam sahaja lagi. Walaupun, taufan itu masih dalam perjalanan ke Texas dan Lousiana, berjuta-juta penduduk di kedua-dua negeri ini telah pun di arahkan berpindah meninggalkan rumah dan harta benda mereka.

Persiapan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat nampaknya lebih teratur kali ini berbanding dengan serangan Taufan Kathrina baru-baru ini. Namun, apa yang kalut ialah persiapan mental dan fizikal Presiden Amerika Syarikat sendiri dalam menghadapi kekalutan ini. Beliau banyak menyalahkan orang lain dalam pelbagai masalah yang timbul semasa serangan Kathrina. Semua orang tak betul kecuali beliau. Sedangkan yang pastinya beliau memang tak betul kerana asyik menyerang negara orang sahaja sehingga terlupa dan terlalai untuk melihat kebajikan penduduk di negara sendiri.

Kini, dengan Taufan Rita dijangka akan melanda Texas pada bila-bila masa sahaja Presiden Bush membuat kenyataan yang menyalahkan Tuhan kerana membenarkan taufan melanda negaranya. Soalnya Tuhan mana yang beliau maksudkan? Benarkah beliau tahu adanya Tuhan? Sudah gilakah beliau kerana dengan angkuhnya menyalahkan Tuhan apabila negaranya di musnahkan?

Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Tragedi 9/11 berlaku? Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Bush sendiri membuat keputusan untuk menyerang dan memusnahkan Afghanistan dan Iraq?

Kalau macam tu senanglah kita. Apabila tragedi melanda, salahkan Tuhan. Marahkan Tuhan. Macamlah kita ni lebih besar dari Tuhan.

Apa-apapun, tentu ada yang tersirat di sebalik serangan ribut taufan yang berturut-turut ke atas Amerika Syarikat dan di negeri di mana Presidennya berasal pula. Walaupun, bencana ini membawa banyak kedukaan kepada rakyat Amerika yang tidak bersalah, namun di sebalik segala kejadian ini kita perlu ingat bahawa Tuhan itu maha berkuasa.