Friday, May 02, 2008

Siaran Langsung Sidang Parlimen: Boleh ke Tak Boleh?

Update:
Kabinet yang bermesyuarat pada hari Jumaat, 2 Mei 2008 memutuskan untuk meneruskan siaran langsung sidang Parlimen di RTM.

Catatan Asal:
Ketika catatan ini ditulis, mungkin Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik sedang membentangkan cadangan untuk membatalkan siaran langsung sidang Parlimen berikutan dengan perangai beberapa orang Ahli Parlimen yang menjadikan sidang berkenaan macam pasar beberapa hari lepas.

Perdana Menteri juga mempunyai pandangan dan anggapan yang sama iaitu siaran langsung berkenaan patut dihentikan kerana perangai jelik ahli-ahli Parlimen tersebut.

C-bOk berpendapat sebaliknya. Siaran tersebut sepatutnya diteruskan. Malahan, RTM sewajarnya menyediakan satu rangkaian khas untuk sidang Parlimen dan menyiarkan persidangan tersebut secara terus menerus setiap hari selagi sidang Parlimen berlangsung. Di samping siaran terus menerus berkenaan, perbincangan panel dan juga pandangan orang ramai boleh disiarkan terhadap isu-isu yang menyentuh hal ehwal masyarakat.

Apa perlunya Perdana Menteri dan Menteri Penerangan merasa risau dengan sikap ahli-ahli Parlimen (MP) berkenaan? Sekiranya MP-MP tersebut merasakan tindakan mereka menjerit, mencarut dan berperangai seperti monyet imej yang mereka hendak tontolkan kepada pengundi yang mengundi mereka, maka biarkanlah. Masyarakat sebagai pengundi berhak untuk tahu bagaimana prestasi MP mereka. Selama ini, masyarakat hanya nampak yang baik-baik sahaja terhadap imej MP mereka. Kalau balik kampong pijak semut pun tak mati.

Kini masyarakat berpeluang untuk menilai sendiri prestasi mereka baik MP Kerajaan mahupun pembangkang. C-bOK rasa masyarakat bukan bodoh. Masyarakat lebih bijak untuk membuat penilaian. Perdana Menteri dan Menteri Penerangan tidak perlu menjadi "moral guardian" dengan menentukan apa yang boleh dilihat dan tidak boleh dilihat.

C-bOk berpendapat dengan adanya siaran langsung, kita dapat melihat MP berkenaan boleh bercakap atau tidak, boleh berhujah atau tidak, hujah yang logik atau sekadar merapu, lembik atau tidak, tegas atau lemah, berperangai elok atau tidak, makan gaji buta atau menjalankan tugas sebagai MP dengan wajar dan sebagainya lagi.

Sehubungan dengan ini, C-bOk menyeru Kabinet untuk tidak memperkecil-kecilkan daya pemikiran rakyat dan cuba "menyelamatkan" rakan-rakan MP mereka daripada penilaian masyarakat terhadap prestasi mereka.



2 comments:

Norizan Sharif said...

Saudara Zainal,

Kita hidup zaman ICT. Kalau tak ada siaran langsung pun, rakyat masih ada cara lain untuk mengetahui apa yang berlaku di Parlimen. Tentunya lebih baik sekiranya kerajaan berterus-terang dan menyiarkan persidangan itu. Tambah masa, 30 minit tak mencukupi.

Wakmasnoor said...

Siaran langsung persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) adalah merupakan suatu fenomena baru kepada kebanyakkan orang. Dan sesuatu yang baru itu tentu akan mendapat sokongan ramai atas dasar ingin tahu.

Adalah penting pabila Dewan Rakyat dan siaran langsung dikaitkan, Rakyat melihatnya dari aspek kredibiliti Wakil Rakyat dan perkara yang dibangkit.

Apa yang berlaku di kaca TV itu nanti sudah pasti akan mempengaruhi persepsi ramai orang. Mereka dapat melihat sendiri wakil yang dipilih dan isu yang dibawa. Dan ini adalah suatu yang baik dan sihat bagi perkembangan minda Rakyat terhadap politik serta hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

Rakyat akan faham, mengapa Dewan Rakyat serta pemilihan wakil itu PENTING dan bukannya perkara yang boleh dibuat main2. Seperti pemilihan Gwo Burne Loh sebagai ahli Parlimen Kelana Jaya, yang sehari selepas persidangan Dewan membuat pengumuman bersedia mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada DSAI. Mungkin Burne belum bersedia dengan arena politik dan parlimen sedemikian. Atau mungkin Burne sendiri memang tidak berminat dengan politik. Yang mendapat kerugian adalah Rakyat dan penduduk Kelana Jaya itu sendiri.

Maka siaran langsung Dewan Rakyat wajar diteruskan bagi melihatkan kepada Rakyat, apa itu intergriti dan kredibiliti wakil2 Rakyat yang dipilih ke Parlimen.