
Di sebalik pengumuman Kabinet baru Datuk Seri Najib yang telah dikecilkan semalam yang pada dasarnya diterima positif, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah
dibubarkan. Kementerian ini yang dilahirkan di era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad begitu
sinonim dengan pembangunan usahawan di negara ini khususnya usahawan Bumiputra. Dengan mewujudkan sebuah Kementerian yang di ketuai oleh seorang Menteri bagi membangunkan ekonomi Bumiputra adalah satu pengiktirafan kepada usaha serta desakan untuk memberi perhatian kepada penyusunan ekonomi negara supaya penduduk Bumiputra berdiri sama tinggi dan duduk sama rata dengan bukan Bumiputra yang telah menguasai ekonomi negara sejak sekian lama.
Realitinya, MeCD adalah penggerak utama pembangunan ekonomi Bumiputra melalui pelbagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti MARA, Maktab Kerjasama Malaysia, TEKUN, PNS, UDA, Bank Rakyat, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di seluruh Malaysia.
Di bawah setiap agensi ini pula terdapat banyak inisiatif seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMARA, IKM, pinjaman perniagaan, skim latihan, pembangunan koperasi, pusat rekabentuk, Gerak Usahawan, SDSI, Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) dan sebagainya lagi. Melalui inisiatif-inisiatif inilah ekonomi Bumiputra mula berkembang sedikit demi sedikit walaupun masih jauh daripada kekuatan ekonomi bukan Bumiputra.
Pendek kata, MeCD adalah antara Kementerian yang menyumbang dengan agresif kepada ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan. Usahanya melahirkan usahawan-usahawan baru dan memupuk kekuatan usahawan sedia ada adalah amat penting kepada negara dan usahawan Bumiputra. Rata-rata golongan Bumiputra di negara ini melihat kepada MeCD sebagai tempat mereka bergantung apabila hendak memulakan perniagaan dan memantapkan operasi fasa pertama usaha-usaha niaga yang mereka lakukan sebelum mereka bersedia dengan cabaran yang lebih hebat di pasaran terbuka dan global.
Sehubungan dengan ini, apabila MeCD di bubarkan, C-bOk rasa amat kecewa. Usaha untuk memartabatkan ekonomi Bumiputra kini seolah-olah tidak lagi jadi satu agenda penting kepada kabinet baru dengan pembubaran kementerian ini. Kesannya kepada ekonomi Bumiputra dan ekonomi negara pasti besar. Manakan tidak, segala aktiviti yang dirancang dengan skala besar oleh MeCD sebelum ini kini akan dipecah-pecahkan kepada Kementerian-Kementerian lain pula yang pada pandangan C-bOk tidak berorientasikan kepada pembangunan ekonomi Bumiputra.
Sebagai contohnya, meletakkan MARA dan TEKUN di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. Walaupun inisiatif MARA da TEKUN masih akan diteruskan tetapi, objektif Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bukan kepada pembangunan usahawan. Sehingga catatan ini ditulis, masih belum jelas lagi di manakan agensi-agensi penting MeCD seperti SKM, PNS, SME Bank dan lain-lain akan di letakkan. Begitu juga dengan status aktiviti sedia ada seperti Gerak Usahawan, 4PU dan sebagainya lagi.
C-bOk tidak dapat tidak mentafsirkan pembubaran ini adalah mungkin selari dengan matlamat 1 Malaysia DSN. Objektif 1 Malaysia adalah kesamarataan peluang kepada semua rakyat di negara ini.
Masalahnya Bumiputra masih jauh ketinggalan di negara ini dari segi ekonomi. Ketika kita baru hendak bertatih, tiba-tiba ianya dihentikan. Jadi, tindakan memberhentikan inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputra melalui MeCD ketika kita baru hendak bermula dan dalam keadaan krisis ekonomi global ini, C-bOk rasa kurang bijak dan pasti akan memberi kesan kepada persepsi masyaraka.
Namun hati C-bOk juga berkata-kata tentang kemungkinan adanya
"tekanan" pihak tertentu untuk membubarkan Kementerian ini yang telah berjaya membantu pembangunan usahawan Bumiputra. Pelbagai aktiviti terancang yang sedang dan akan dilaksanakan mengundang banyak perasaan "iri hati" golongan tertentu. Mungkin kah ada yang tidak suka dengan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini?
Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan ekonomi Bumiputra masih lagi satu perjalanan yang jauh. C-bOk berharap Datuk Seri Najib menjelaskan dengan segera komitmen beliau dan Kerajaan pimpinan beliau di dalam usaha-usaha pembangunan ekonomi Bumiputra. Begitu juga dengan persatuan serta dewan perdagangan Bumiputra di negara ini perlu mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan untuk memastikan ekonomi Bumiputra tidak terus ketinggalan.
Namun C-bOk berharap DSN mengkaji semula keputusan ini dan mempertimbangkan semula untuk
mengekalkan MeCD dan peranannya di dalam membangunkan ekonomi Bumiputra melalui pelbagai agensi di bawahnya.