Satu sekolah untuk semua?
Oleh AZNAN BAKAR
KEMPEN Satu Sekolah Untuk Semua merupakan perkembangan terbaru di kalangan komuniti blogger negara ini dalam usaha melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu pada masa depan.
Sepintas lalu ia mungkin dilihat sebagai imaginasi kumpulan tertentu di alam siber atau sekadar warna-warni dunia blogger. Namun rasional di sebalik kempen ini perlu dilihat dan diteliti.
Setiap penduduk negara ini yang mendakwa mereka rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia, perlu duduk dan berfikir sejenak mengenai apa bentuk generasi masa depan negara ini.
Selain dilihat selari dengan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh kepimpinan baru Datuk Seri Najib Tun Razak, idea Satu Sekolah Untuk Semua yang dicetuskan oleh blogger Kijang Mas melalui laman blog Demi Negara perlu diambil kisah oleh semua orang.
Tambahan pula kempen ini semakin mendapat sambutan di kalangan pengunjungpengunjung alam siber termasuk sokongan terhadap usaha mengumpulkan tanda tangan dan sokongan untuk menyerahkannya kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, penting sangatkah atau besar sangatkah pengaruh dunia blog ini hingga sampai mahu mencampuri urusan sistem pendidikan negara?
Namun ini bukan soal kecil atau besar tetapi sama ada ia signifikan atau tidak. Aspek yang perlu dilihat ialah jika idea ini dilaksanakan, adakah ia menjanjikan masa depan negara yang lebih baik?
Lagi pula, ia yang bermula dengan sekadar cetusan minda kini telah berkembang menjadi satu kempen untuk melihat Malaysia mempunyai satu sistem pendidikan yang dapat membantu ke arah pembentukan masyarakat Malaysia sebenar.
Walaupun selepas lebih 50 tahun merdeka, perpaduan kaum di negara ini kelihatan mantap (atau didakwa mantap), namun ia tidak boleh dipandang ringan.
Bibit-bibit perpecahan di kalangan kaum sedikit sebanyak jelas kelihatan dan ia juga tidak boleh dipandang sebelah mata.
Idea Satu Sekolah Untuk Semua ini tercetus ekoran lahirnya rasa bimbang sikap antinegara yang semakin berleluasa.
Lebih buruk lagi golongan ini memanipulasi kebebasan Internet untuk mencabar asas dan prinsip Perlembagaan termasuk secara terbuka mempamerkan sentimen perkauman selain tanpa segan silu mempertikaikan lambang negara.
Ini merupakan kebimbangan terhadap bentuk masyarakat negara pada masa depan serta sistem pendidikan negara yang dilihat sebagai gagal untuk merapatkan jurang yang berlaku ini.
Prinsip "di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung" nampaknya tidak mampu dipraktikkan kerana setiap kaum di negara telah diasingkan melalui sistem pendidikan yang berbeza sejak di usia kanak-kanak.
Sebab itu, satu formula perlu dicari untuk merapatkan kembali yang renggang dan mengawal isu perkauman daripada terus merebak dan menjadi kritikal.
Oleh itu, masyarakat blogger ini merasakan Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali berikhtiar menzahirkan suatu bangsa Malaysia yang teguh bersatu dan diikat dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama.
Dari situ akan lahir masyarakat yang bersatu daripada segi pemikiran, mempunyai tahap patriotisme tinggi dan menghormati Perlembagaan negara.
Titik permulaan yang dikenal pasti dalam membentuk bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pendidikan negara.
Atas kesedaran itulah, kempen Satu Sekolah Untuk Semua dilancar supaya sistem pendidikan dijadikan wadah utama dalam menanam nilai bangsa Malaysia di kalangan generasi muda terutama golongan kanak-kanak.
Kempen ini mungkin akan dilihat oleh beberapa pihak secara emosional kerana ia secara nyata menentang kewujudan sekolah vernakular.
Untuk itu kajian perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana sekolah jenis kebangsaan ini dapat membantu kepada perpaduan.
Jika ia hanya menyumbang kepada polarisasi maka apa salahnya jika kehadirannya dikaji semula ke arah merealisasikan impian 1Malaysia, satu bangsa dan satu negara.
Dalam sebuah negara, bahasa kebangsaan merupakan alat terpenting untuk menyatupadukan rakyatnya.
Tempat paling sesuai untuk memastikan setiap rakyat dapat berinteraksi menggunakan bahasa kebangsaan ialah sekolah.
Sebab itu dalam Perlembagaan secara jelas dinyatakan bahawa bahasa Malaysia adalah wajib untuk segala urusan rasmi.
Dalam hal ini, sistem pendidikan adalah urusan rasmi. Jadi bahasa kebangsaan perlu digunakan pakai sebagai bahasa pengantar di semua sekolah.
Ketepikan emosi seketika dan tanya diri kita secara jujur adakah wajar tiga bahasa digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah? Sedangkan kita mempunyai bahasa kebangsaan yang diakui sebagai lambang perpaduan.
Ini bukan bermakna jika bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar yang lain akan diketepikan.
Perkara 152 Perlembagaan jelas menyatakan pengajaran bahasa lain selain bahasa kebangsaan dibenarkan.
Sebab itu melalui kempen tersebut Kementerian Pelajaran terutamanya diminta mengkaji sistem sedia ada kerana bangsa Malaysia yang bersatu padu seperti diimpikan oleh semua orang tidak mungkin dapat direalisasikan daripada persekitaran seperti ini.
Lagi pula ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan selain menyimpang dari matlamat utama Rukunegara - mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat.
Atas fakta dan hasrat untuk melahirkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama, maka kempen ini digerakkan.
Mungkin apa yang disasarkan melalui kempen siber ini sukar untuk dicapai. Tetapi diharapkan sekurang-kurangnya ia dapat membuka mata setiap rakyat negara ini mengenai perlunya negara mempunyai satu sistem pendidikan untuk semua.
Ini tidak bermakna semua sekolah vernakular dihapuskan sama sekali. Melalui idea Satu Sekolah Untuk Semua itu, sekolah jenis kebangsaan akan diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan. Peruntukan secukupnya akan diberikan untuk menyediakan pembelajaran bahasa ibunda.
Melalui kempen yang digerakkan melalui dunia siber ini satu kajian semula disyorkan terhadap sistem pendidikan kebangsaan supaya ia benar-benar berfungsi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Ia termasuk mengkaji semula Akta Pendidikan 1996 yang didakwa tidak sejajar dengan matlamat mewujudkan bangsa Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Walaupun kempen ini bermula sebagai suara blog namun ia tetap mempunyai asas.
Sikap perkauman dan berpuak-puak yang begitu nyata di alam Internet perlu diberi perhatian serius. Jika tidak ditangani dengan bijak dari sekarang kemungkinan ia akan membesar menjadi barah yang parah.
Salah satu cara yang difikir oleh sekumpulan komuniti blogger dalam usaha merapatkan jurang perbezaan yang semakin membimbangkan ini ialah mewujudkan satu sekolah untuk semua. Ini wajar difikirkan oleh semua.
2 comments:
Di mana dikatakan menang-menang kalau sekolah Cina dan sekolah Tamil ada. Tetapi sekolah Melayu tiada, sekolah orang Asli pun tiada. Sekolah Kadazandusun pun tiada. Jadi, satu sekolah yang melangkaui kaum adalah terbaik untuk negara, yakni sekolah kebangsaan. Hapuskan sekolah jenis kebangsaan memang patut disokong.
Teruskan kempen sebegini terus-terusan. Syabas para bloger negara. Teruskan usaha memperkasa negara di persada dunia.
Post a Comment