Thursday, May 30, 2013

Bahasa Kebangsaan: Bahasa Malaysia

1.  C-bOk sedikit terganggu dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong-Zong) yang mempersoalkan perlantikan dua menteri Kabinet daripada kaum Cina iaitu Senator Datuk Paul Low Seng Kwan dan Datuk Mary Yap Kain Ching atas alasan kedua-dua mereka tidak fasih berbahasa Mandarin.

2.  Atas alasan ini, Dong Zong berpendapat kedua-dua mereka tidak dapat mewakili kaum Cina dengan efektif kerana tidak fasih berbahasa Mandarin.  Dong Zong berkata kedua-dua mereka hanya menamatkan sekolah Cina separuh jalan sahaja.

3.  Untuk rekod, Datuk Paul Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Datuk Mary Yap pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 di dalam kabinet pasca PRU13.

4.  Apa yang C-bOk rasa terganggu ialah, keperluan untuk fasih di dalam bahasa Mandarin dijadikan syarat oleh Dong Zong sebelum seseorang dilantik ke dalam Kabinet.  Sejak bila perkara ini perlu dijadikan syarat?

5.  Bahasa Kebangsaan di negara ini ialah Bahasa Malaysia dan ianya sudah termaktub di dalam perlembagaan.  Adalah menjadi syarat dan kebanggaan kepada rakyat negara ini untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

6.  Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memahami dan menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan bukannya bahasa Mandarin. 

7.  Jadi, sekiranya Dong Zong merasakan mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab, maka perkara ini tidak sewajarnya timbul.

8.  Dong Zong perlu keluar daripada kepompong ciptaan mereka sendiri dan tidak mempersoalkan perkara yang sudah menjadi asas perlembagaan negara bernama Malaysia ini.

No comments: