Friday, October 22, 2004

Datuk Lagi

Link:- Pahang Nak Beri Lebih Datuk Dari Melaka

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam kenyataannya semalam berkata:

``Kalau Melaka boleh keluarkan 84 (pingat), takkan Pahang tidak boleh (beri) dua kali ganda, tetapi kalau tidak dua kali ganda pun, saya ingat lebih sedikit daripada Melaka,''

Kenyataan ini nampaknya menunjukkan semangat juang dan berlumba-lumba yang begitu kuat di dalam hati beliau. Pahang tidak boleh ketinggalan. Melaka mesti dikalahkan. Kalau Melaka boleh keluarkan 84 anugerah bergelar Datuk, Pahang juga mampu untuk mengeluarkan lebih banyak anugerah bergelar Datuk. Kalau benar sebagaimana di kata oleh Datuk Seri Adnan Yaakob, jumlah dua kali ganda itu bersamaan dengan 168 orang. Ramainya Datuk....

Dengan kenyataan seperti ini, jangan salahkan masyarakat apabila penerima anugerah tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Pengurniaan anugerah bergelar Datuk nampak tersasar daripada matlamat asalnya iaitu 'pengiktirafan'. Kenyataan sebegini menunjukkan keinginan berlumba dan melawan. Macam budak-budak. "Kalau kau boleh, aku lagi boleh".

Keperihatinan Dato' Seri Utama Rais Yatim terhadap nilai dan kewajaran penganugerahan ini memang berasas. Apabila terlalu ramai yang menjadi Datuk, nilai terhadap anugerah itu sudah tidak ada lagi. Apabila sudah tidak ada nilai, penghormatan yang sepatutnya diberikan kepada penerima anugerah itu sudah tidak ada lagi. kalau adapun mungkin tidak ikhlas.

Ironinya, ketika Melaka memberi anugerah tempohari, Menteri Besar Pahang turut dinobatkan sebagai salah seorang penerima. Adakah, Ketua Menteri Melaka akan mendapat anugerah yang sama daripada Pahang?

No comments: