Link:- Kenyataan Sammy Vellu Berkaitan Projek Bermasalah
Datuk Seri S. Sammy Vellu, Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa PM berpuashati dengan laporan yang dibentangkan oleh beliau berkaitan dengan projek-projek bermasalah yang dibangkitkan.
Soal PM puas hati atau tidak itu adalah satu perkara lain. Perdana Menteri dan juga Menteri Kerja Raya tidak menggunakan lebuhraya MRR2, LPT dan lain-lain kemudahan yang menghadapi masalah ini selain daripada membuat lawatan sekali-sekala ketika isu memuncak. Itupun lawatan dibuat dengan layanan VIP dan dibuat bukan ketika waktu puncak. Pengguna yang menggunakan kemudahan ini setiap hari tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan layanan VIP atau memilih-milih masa untuk menggunakannya. Setiap pagi dan petang perlu melaluinya untuk ke tempat kerja atau lain-lain tugas/destinasi yang telah ditetapkan.
Soalnya, apa yang perlu dipertimbangkan disini ialah samada pembayar cukai dan pengguna kemudahan-kemudahan ini berpuashati atau tidak dengan penjelasan yang dibuat dan juga cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah ini dengan kadar secepat mungkin. Penjelasan berbentuk retorik seperti 'kita akan siasat', 'kita akan ambil tindakan' dan lain-lain yang seumpamanya tidak sesuai lagi untuk masyarakat berilmu dan berfikir.
Dalam masa yang sama, nampak seolah-olah Kementerian Kerja Raya masih cuba untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain selain daripada Kementerian itu sendiri. Antaranya kenyataan berkaitan dengan pelantikan Perangsang Internasional Sdn. Bhd. untuk membina bangunan MATRADE dibuat oleh Kementerian Kewangan. Begitu juga dengan tender-tender lain yang 'diluluskan' oleh Kementerian Kewangan. Dari kenyataan ini nampak bahawa kesalahan itu kini terletak di tangan Kementerian Kewangan. Kementerian ini diterajui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak dinafikan bahawa semua perlantikan dan pemberian kontrak melibatkan Kementerian Kewangan. Walaubagaimanapun, Kementerian dan Jabatan berkaitan juga duduk di dalam jawatankuasa yang sama dan mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membuat penilaian sebelum lantikan dibuat.
Sepatutnya, sesiapa juga yang melantik atau dilantik, Kementerian Kerja Raya sebagai Kementerian bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan perlu mempunyai suara di dalam membuat keputusan dan setelah perlantikan dibuat, perlu mempunyai kuasa untuk memantau. Sekiranya ada unsur-unsur penentangan di dalam hal-hal pemantauan dan proses perlantikan ini, kita perlu tahu kenapa perkara ini berlaku. Mungkin minit mesyuarat perlantikan yang berkenaan perlu dilihat semula untuk menentukan samada satu perbincangan yang benar-benar bernas telah dibuat sebelum satu-satu perlantikan itu dibuat.
Dalam hal ini, Kementerian Kewangan juga wajar membuat kenyataan berkaitan dengan pendirian mereka terhadap masalah yang dibangkitkan. Kesalahan sekarang ini seolah-olah diletakkan di tangan Kementerian Kewangan. Ahli-Ahli Parlimen yang sebelum ini garang membangkitkan isu ini sehingga menuntut perletakan jawatan Menteri Kerja Raya perlu memantau perkara ini. Sekiranya benar Kementerian Kewangan bersalah, ianya perlu dipertanggungjawabkan juga.
Apa yang berlaku sekarang ini samalah perumpamaannya seperti polis menjalankan kerja-kerja memadam api sedangkan kerja-kerja berkenaan sepatutnya dilakukan oleh bomba. Maknanya orang lain buat kerja orang lain.
Wednesday, October 20, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Nampaknya si Samy kini juga dah pandai bermain tai-chi. Masalah yang semamangnya (dan pada asalnya) berpunca daripada dia kini telah ditolak ke peha orang lain.. Samy oh Samy .. So what next?
Post a Comment