Monday, October 18, 2004

Masalahnya....

Pak Lah mempertahankan beliau, tetapi kemudian di dalam satu kenyataan di Seberang Jaya, Pulau Pinang, Pak Lah nampak tak senang dengan pelbagai masalah yang timbul yang melibatkan projek-projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya. Pak Lah melahirkan kekuatiran beliau terhadap masalah-masalah ini yang mungkin akan memberi imej buruk kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Kekuatiran itu sememangnya berasas. Masalah-masalah yang timbul ini hanya melibatkan satu Kementerian sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa Menteri berkenaan, Datuk Seri Sammy Vellu ada membuat kenyataan berkaitan dengan masalah-masalah yang berlaku. Malahan, Datuk Seri Sammy Vellu juga adalah seorang yang aktif turun padang bagi meninjau masalah-masalah yang berlaku dan mencari jalan-jalan untuk mengatasi masalah-masalah berkenaan. Apabila ada sahaja masalah, beliau akan segera turun padang meninjau masalah-masalah yang berlaku dan nampak 'hands-on' dalam mencari penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

Walaubagaimanapun, orang ramai, media dan ahli politik masih mempersoalkan pendekatan yang diambil oleh Kementerian ini di dalam menangani masalah-masalah yang timbul. Ahli-ahli politik dan pihak media yang membangkitkan isu ini bukan calang-calang. Mereka terdiri daripada ahli politik dan media arus perdana. Saban hari ada sahaja hujah yang dikemukakan dan persoalan yang dibangkitkan. Kemuncak kepada hujah-hujah ini ialah apabila beberapa orang Ahli Parlimen kanan menuntut perletakan jawatan Datuk Seri Sammy Vellu bagi mengambil tanggungjawab terhadap masalah yang timbul.

Memandangkan isu ini terus dibangkitkan walaupun ada penjelasan yang dibuat, tentu ada sesuatu yang tak kena. Pada pandangan saya ada dua senario yang wajar dilihat oleh semua pihak yang terbabit:

(i) Penjelasan yang dibuat oleh Menteri berkenaan tidak lengkap dan menimbulkan banyak persoalan. Kenyataan yang dibuat nampak seolah-olah untuk mempertahankan sesuatu (kontraktor?) dan tidak memberi penjelasan kepada permasalahan yang berlaku;

(ii) Ahli-ahli politik serta media perdana berkenaan tidak faham dengan penjelasan yang diberikan.

Apa-apa pun, kalau dilihat kepada kedua-dua senario di atas, nampak jelas kedua-duanya wujud - samada penjelasan itu sebenarnya tidak lengkap ataupun mereka yang bertanya tidak faham dengan penjelasan yang diberikan. Adakah kerana bahasa Malaysia yang digunakan oleh Datuk Seri Sammy Vellu sedikit cacat dengan nahunya yang tidak betul atau mereka ni saja-saja buat tak faham? Masing-masing fikirkanlah…..

No comments: