Wednesday, August 31, 2011

Merdeka

Hari ini di samping meneruskan sambutan 2 Syawal, kita juga menyambut kemerdekaan negara yang ke 54. Sudah 54 tahun kita merdeka hasil dari susah payah nenek moyang kita dahulu di dalam menuntut kemerdekaan. Sudah 54 tahun juga kita hidup di dalam keadaan aman dan bersenang lenang.

Sewajarnya kita bermuhasabah diri untuk menilai betapa besarnya nikmat kemerdekaan kepada kita. Semua yang kita mahukan boleh dilakukan di negara ini hatta untuk berlaku kurang ajar sekali pun kepada para ulul umri. Namun bukan itu yang sepatutnya menjadi objektif hidup kita. Ada agenda lebih besar iaitu membangunkan negara untuk anak dan cucu cicit kita.

Selamat menyambut kemerdekaan ke-54.

Tuesday, August 30, 2011

Petanda Bagus Ni

Nombor tidak pernah menipu. Peningkatan aliran masuk FDI (Foreign Direct Investment) ke dalam negara sebanyak 76% bagi setengah tahun pertama ini adalah satu petanda bagus. Dengan saingan yang semakin hebat dari negara-negara jiran kita khususnya Thailand, Vietnam dan Singapura, Malaysia berjaya mencatatkan sejumlah RM21.3 billion pelaburan langsung asing ke dalam negara.

Walaupun ada yang mempersoalkannya (termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir) tentang kesan langsung FDI kepada golongan pertengahan dan bawahan, saya yakin sebarang aliran masuk wang ke dalam negara pasti akan memakmurkan negara ini dengan penciptaan peluang pekerjaan baru, keperluan kepada barangan asas, perkhidmatan kemahiran dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung, kitaran ekonomi dapat bergerak dengan kehadiran pelaburan-pelaburan langsung asing ini.

Pastinya setiap seorang daripada kita tidak mendapat duit sebakul apabila masuknya pelaburan langsung asing ini. Kita mendapat manfaat secara tidak langsung dari segi jangka panjang. Jadi janganlah kita melatah apabila ada orang yang mempersoalkan "apa yang kita (dia?) dapat daripada FDI ini?"

Biarkan sahaja mereka itu....

Friday, July 29, 2011

Selamat Berpuasa

Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadhan "Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal berikut:


  • tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua-dua orang tuanya (jika masih ada)


  • tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri


  • tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya


  • Maka Rasulullah punmengatakan Amin sebanyak 3 kali. Bayangkan.., yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasulullah dan para sahabat dan dilakukan pada hari Jumaat.

    Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya adalah salah dan silap saya samada secara sengaja atau tidak sengaja. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh khusyuk dan diberkaiti hendaknya.

    Thursday, July 28, 2011

    Selamat Berjuang Harimau Malaya

    Malam ini adalah malam penentuan. Selamat berjuang diucapkan kepada semua kesebelasan utama Harimau Malaya. Jangan gentar. Bukan tidak pernah kita mengalahkan Singapura.

    Sudah banyak kali kita mengalahkan mereka. Untuk mencatatkan kemenangan sekali lagi bukanlah sukar. Dengan sokongan padu 90,000 orang di dalam stadium dan 27 juta lagi di seluruh pelusuk tanah air, kita pasti akan berjaya malam ini.

    Tuesday, February 15, 2011

    Cadangan Pembinaan Masjid di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh

    Sempena sambutan Maulidur Rasul 2011 ini, sukacita saya ingin menjemput rakan-rakan pembaca blog ini yang beragama Islam untuk menderma kepada cadangan projek pembinaan sebuah masjid di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

    Walaupun pembangunan di Bukit Rahman Putra ini telah menjangkau usia lebih daripada 10 tahun, namun masih belum mempunyai sebuah masjid untuk kegunaan penduduk yang beragama Islam menjalankan amal ibadat dan aktiviti kemasyarakatan Islam yang berkaitan. Buat masa ini, penduduk Islam di sini menumpang masjid Bandar Baru Sungai Buloh dan juga Matang Pagar untuk aktiviti-aktiviti keagamaan.

    Sekiranya, ada yang berminat untuk menderma, silalah melawat blog ini untuk mendapatkan maklumat lanjut dan cara-cara untuk menderma.

    Terima kasih.

    Salam Maulidur Rasul

    Selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua rakan-rakan dan pembaca blog ini yang beragama Islam

    Monday, January 03, 2011

    Drama Di Selangor Semakin Hangat

    Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid mengumumkan untuk memanggil sidang khas tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Menteri Besar melantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

    Berdasarkan kepada amalan sekarang, kuasa untuk melantik ketiga-tiga jawatan kanan ini adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaras dengan konsep pengasingan kuasa di antara istana, politik dan pentadbiran.

    Namun, Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid mahukan kuasa melantik ketiga-tiga pegawai kanan ini dibuat melalui kuasa politik (MB).

    Lantak kamu lah Tan Sri. Yang jelasnya dengan perkembangan terbaru ini bermakna tidak ada salahnya perlantikan yang dibuat oleh SPA sebelum ini. Ianya dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor walaupun konon-kononnya mengikut cakap-cakap orang politik kerajaan Selangor telah berlaku perlanggaran perlembagaan, tidak ikut peraturan dan sebagainya lagi.

    Sebenarnya yang berlaku ialah Menteri Besar dan kuncu-kuncunya tidak bersetuju dengan tokoh yang dilantik dan mahukan individu lain menjawat jawatan berkenaan. Dan untuk melangsungkan hasrat beliau, maka drama dilanjutkan dengan memanggil sidang DUN untuk meminda Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri (UUTN).

    Masalahnya sekarang ialah sedarkah MB bahawa beliau tidak mempunyai majoriti dua per tiga yang diperlukan untuk meminda UUTN? C-bOk yakin beliau tahu. Jadi apakah strategi politik yang cuba di capai oleh Tan Sri Khalid? Tanpa SUK, operasi Kerajaan Negeri akan lumpuh. Lumpuhnya jentera pentadbiran Kerajaan bermakna akan membantutkan sistem penyampaian di negeri Selangor.

    Adakah ini yang kita inginkan daripada Kerajaan ini?

    Drama Di Selangor

    Perlantikan SUK Selangor di bawah biang kuasa siapa sebenarnya? Di bawah bidang kuasa orang politik atau di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)?

    Sekiranya kita memahami amalan pengasingan kuasa antara politik dan pentadbiran awam, maka kita akan melihat isu ini dengan pandangan terbuka. Namun sebaliknya sekiranya kita melihat perlantikan kakitangan Kerajaan dari sudut politik, maka bukan saja perlantikan SUK akan dijadikan isu, perlantikan tukang cuci jamban juga akan dijadikan isu besar oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

    Sebagai rakyat yang bermastautin di Selangor, C-bOk harap kemelut yang tidak perlu berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru tidak diperbesar-besarkan oleh orang-orang politik yang memimpin Kerajaan Negeri Selangor sekarang sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat.

    Jelas kuasa untuk melantik SUK sebagai kakitangan Kerajaan adalah dibawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), sebuah badan yang bertanggungjawab kepada DYMM YDP Agong. Ini adalah selaras dengan konsep "seperation of powers" yang diamalkan sejak merdeka.

    Jadi janganlah menyusahkan rakyat dengan isu yang remeh temeh seperti ini.

    Menyampah!

    Monday, December 06, 2010

    Maal Hijrah

    Lama sungguh tidak berblog. Agak sibuk dengan beberapa tugas rasmi yang menyukarkan C-bOk untuk menulis.

    Di kesempatan ini C-bOk ingin megucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada semua Musliman dan Muslimat. Semoga tahun yang baru akan memberi lebih kejayaan kepada Muslimin dan Muslimat semuanya.

    Insyaallah.

    Wednesday, September 15, 2010

    Usaha Melemahkan Orang Melayu?


    Berapa kerat orang dalam UMNO yang menentang PERKASA? Yang riuh rendah cuma 3 orang sahaja la nampaknya setakat ini iaitu Tengku Adnan, Nazri Aziz dan KJ. Adakah kenyataan 3 orang ini sudah cukup untuk menggambarkan itu adalah pendirian keseluruhan ahli UMNO/orang Melayu terhadap PERKASA

    C-bOk harap kita tidak cepat melatah dengan cakap-cakap politik 3 orang politikus bengkrap idea ini. Kalau kita sendiri tidak mempertahankan bangsa dan agama kita, siapa lagi yang nak membantu kita? Hindraf ke atau 3 orang tu? Janganlah kerana politik kita menggadaikan bangsa dan maruah kita. Jangan kita terperdaya dengan usaha halus untuk melemahkan kesatuan jitu di kalangan kita.

    Wednesday, August 18, 2010

    Kaduk Naik Junjung?

    Keterbukaan di dalam menyuarakan pendapat di dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan. Sekiranya kita mula mempersoalkan hak orang lain kerana hendak menjadi hero di mata kaum kita, maka disitulah bermula titik perpecahan.

    Malangnya itulah yang berlaku sekarang ini di Malaysia. Ada orang yang semakin galak mempersoalkan hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan negara sehingga mengenepikan persefahaman sebelum ini yang telah melahirkan sebuah negara yang aman damai selama 50 tahun lamanya.

    C-bOk malas nak cakap panjang-panjang, tetapi C-bOk berkongsi pandangan dengan Saudara Yazid Othman di dalam catatan terkininya di sini.

    Sunday, August 01, 2010

    Jangan Pinda AUKU

    Jangan pinda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) hanya kerana semata-mata hendak membenarkan pensyarah dan pelajar berpolitik. Cadangan yang dibangkitkan oleh beberapa orang ahli politik bengkrap itu sungguh tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan meletakkan masa depan anak-anak kita dan negara terkebelakang dari segi prioriti kesejahteraan pembangunan negara.

    Anak-anak kita dan guru-guru mereka (pensyarah) sepatutnya menumpukan sepenuh masa mereka kepada usaha untuk melengkapkan diri dengan pelajaran dan ilmu pengetahuan. Hanya pelajaran yang sempurna dan lengkap yang akan menjamin masa depan kita.

    Sekiranya mereka hendak berpolitik, maka eloklah menyertai mana-mana parti politik dan tinggalkan dunia pembelajaran dan pendidikan. Politik tidak menjamin masa depan. Hanya pelajaran yang sempurna boleh menjamin masa depan kita semua.

    Ingat! Kalau berpolitik dan jadi menteri sekali pun, kuasa di tangan hanya kekal 5 tahun. Sedangkan pelajaran membekalkan kita dengan kuasa pengetahuan semumur hidup.

    Tuesday, July 06, 2010

    Bancian 2010

    Kerja-kerja "Banci Penduduk dan Perumahan 2010" bermula hari ini. Berikan kerjasama anda.

    Friday, July 02, 2010

    Layak! Tapi Tidak Daftar Sebagai Pengundi

    Ramainya Melayu tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka layak berbuat demikian. Kenapa ya? Apa yang parti politik Melayu buat? Mereka sibuk berpolitik sahaja ka?

    Sunday, June 20, 2010

    Chua Jui Meng: A Sore Loser!

    Chua Jui Meng (CJM) kata dia tak kisah dengan penarikan balik pingat kebesaran oleh Sultan Johor.

    Tetapi dalam kisah tak kisah tu, sempat juga dia berpolitik atau mengaitkan politik di dalam penarikan balik pingat berkenaan. Dalam masa yang sama menyindir dan mempertikaikan kedaulatan Sultan Johor. Mungkin dia lupa bahawa dia sebenarnya orang politik sejak kononnya jadi "pejuang rakyat" selepas menyertai PKR sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata yang membawa maksud Sultan tidak boleh berfikir sendiri.

    Monday, June 07, 2010

    Gula Memang Tak Ada! Apa KPDNKK Buat?

    Hujung minggu lepas C-bOk dan isteri melilau satu Taman Selasih, Giant Batu Caves, Tesco Extra Batu Caves dan satu Taman Bandar Baru Sungai Buloh. Cari gula. Tak ada! Elek! Last-last dapat kat kedai tersorok yang unexpected. Gula ada kat kedai itu sebab mungkin tak ramai orang datang. Ketika kita sibuk cari gula, Menteri KPDNKK kata tak ada masalah bekalan gula.

    Hari ini semasa lunch, C-bOk pergi ke kedai Ani Sup Utara Medan MARA Kuala Lumpur. Sup ada tetapi air yang ada cuma ais kosong, air suam atau air yang berasaskan susu. Air lain seperti sirap, air buah dan air-air lain yang menggunakan gula TAK ADA. Sebabnya kerana GULA TAK ADA.

    Apa ni? Ini sudah masalah serious. Sehingga orang berniaga pun sudah tidak ada gula.
    Apa yang dibuat oleh KPDNKK? Ataupun lebih tepat lagi, apa yang Menteri KPDNKK buat? Takkan masalah gula pun tak boleh settle? Kita ada Raja Gula (Robert Kuok) di negara ini. Raja Gula ini juga adalah antara orang terkaya di Malaysia/Asia. Tapi masalah bekalan gula tak boleh settle?

    Menteri dan KPDNKK! Anda kena lebih proaktif untuk menyelesaikan masalah ini. Janganlah makan gaji buta dan buat kenyataan yang tidak berpijak dibumi nyata. Hakikatnya "gula tidak ada di pasaran". So, what are you going to do?

    Thursday, June 03, 2010

    Presiden CUEPACS Dakwa 41% Kakitangan Kerajaan Rasuah

    Ketika Presiden CEUPACS, Tuan Haji Omar Osman mendakwa 5% daripada 1.2 juta kakitangan Kerajaan memalsukan cuti sakit baru-baru ini, C-bOk terdetik untuk bertanya "apa justifikasi serta asas penilaian yang dibuat" oleh beliau untuk mengesahkan angka yang beliau umumkan itu? Dakwaaan itu merupakan satu tuduhan bahawa 60,000 kakitangan Kerajaan mengemukakan cuti sakit palsu. Itu satu tuduhan yang sungguh serious. Namun kerana sibuk dengan tugasan dan aktiviti harian, pertanyaan tu hanya tinggal pertanyaan.

    Semalam, Tuan Haji Omar Osman membuat satu lagi dakwaan. "41% kakitangan Kerajaan terlibat dengan rasuah". Ini sudah betul-betul serious! Sebagai seorang yang pernah bekerja dengan agensi Kerajaan dan kini dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kenyataan daripada seorang yang mewakili golongan pekerja bertaraf Presiden CEUPACS itu benar-benar serious. Implikasi kepada kenyataan itu tidak terhadap kepada sekadar "kenyataan" sahaja.

    Implikasinya ialah 492,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam terlibat dengan rasuah. Sekali lagi C-bOk berkata-kata, bagaimana Tuan Haji Omar mendapat angka ini dan apa justifikasi penilaian yang dibuat? Adakah beliau bertanya- seorang-demi seorang daripada 1.2 juta kakitangan Kerajaan berkenaan sama mereka menerima rasuah atau tidak dengan jawapan A (Ya) atau B (Tidak)?

    Kesannya kepada negara begitu berat. Sekiranya kenyataan beliau benar, rangking tahap integriti negara kita boleh jatuh. Pelabur luar yang memerhatikan tahap integiti negara kita boleh mengubah keputusan untuk mengalihkan pelaburan yang dirancang ke negara lain yang lebih baik tahap integriti mereka sekiranya mereka mengambil serious dengan kenyataan yang dibuat oleh Tuan Haji Omar ini.

    Dalam masa yang sama, tuduhan itu begitu berat sekali terhadap kakitangan Kerajaan yang selama ini membanting tulang setiap hari untuk membangun dan memajukan negara. Mereka yang setiap hari ikhlas menjalankan tanggungjawab mereka. Keikhlasan mereka itu kini dipandang serong oleh masyarakat hanya kerana satu kenyataan "pukul rata" yang dibuat oleh Presiden CEUPACS ini.

    Kenyataan beliau perlu diperbetulkan ataupun disokong dengan bukti. Beliau perlu berhati-hati membuat kenyataan yang sensitif seperti ini. Beliau perlu mengemukakan bukti sekiranya benar dan perlu melapurkan kepada SPRM sekiranya ada bukti yang menunjukkan 41% @ 492,000 kakitangan Kerajaan terlibat dengan rasuah. Kesemua mereka ini perlu dipenjarakan sekiranya benar mereka terlibat.

    Sekiranya beliau gagal berbuat begitu, kenyataan beliau hanyalah kenyataan orang yang mempunyai cita-cita samada hendak menjadi glamour atau pun mahu menonjolkan diri bagi tujuan yang hanya beliau sendiri tahu.

    Sebenarnya C-bOk kesal dengan kenyataan pukul rata yang dibuat oleh seorang yang bertaraf Presiden mewakili golongan pekerja/kakitangan Kerajaan [pemimpin pembangkang pun tidak membuat tuduhan seperti ini terhadap kakitangan Kerajaan]

    Friday, May 28, 2010

    Masjid: Pilihan Anda?

    Semalam Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz mengatakan Kerajaan Negeri Kelantan sengaja tidak membina masjid di Kelantan kerana mahukan rakyat membina sendiri masjid-masjid di seluruh Kelantan atas alasan "rakyat perlu membeli pahala".

    C-bOk sedikit terkedu dengan alasan yang dibuat oleh Nik Aziz ini. Nak tergelak pun ada, kecewa dan sedih pun ada. Tetapi yang lebihnya adalah sedih dengan kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz ini. Tak tahu lah sama ada kenyataan itu benar-benar menggambarkan polisi Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS ataupun sebenarnya ada masalah lain yang tidak membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan membina masjid. Contohnya tidak ada duit, tidak ada kemahiran ataupun tidak ada perancangan.

    Sebetulnya, apabila kita memilih Kerajaan, kita mengamanahkan Kerajaan itu untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, projek ekonomi dan projek-projek lain untuk rakyat. Kerajaan yang dipilih perlu mengutip cukai/zakat dan seterusnya menggunakan kutipan itu untuk membangunkan negeri/negara dengan cara melaksanakan projek-projek untuk masyarakat. Membina masjid adalah salah satu daripadanya.

    Jadi apabila Nik Aziz memberi alasan "mahu rakyat membina sendiri" masjid di Kelantan, C-bOk jadi gundah gulana. Betul ke apa Nik Aziz cakap ini ataupun meneruskan cara gedebe beliau dengan mengeluarkan kenyataan mengikut sesedap rasa. Apabila sebelum ini Nik Aziz pernah membuat kenyataan seperti "boleh berkawan dengan Setan", "Nabi berpolitik di Masjid", "Doa pecah perut" dan sebagainya lagi..., barulah "make senses". Kenyataannya tidak boleh dipakai sangat.

    Namun dalam meneliti kepimpinan seperti ini, kita sebagai individu dan pengundi yang mengundi satu-satu Kerajaan untuk memimpin kita..., apakah yang kita mahukan?

    Yang pastinya kalau kita menyelam kaum Cina di negara ini, mereka tahu apa yang mereka mahu. Mereka akan meminta dari satu pihak dan berkawan baik dengan satu pihak yang lain. Yang pentingnya mereka dapat apa yang mereka mahukan dan mengekalkan apa yang mereka sudah ada.

    Bagi kita, adakah cukup dengan apa yang ada? Dan apabila kita memeilih pemimpin untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab pembangunan yang boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan kejayaan ummah..., kita diarahkan untuk "membina sendiri masjid". Sekiranya kita menerima keadaan ini, maka kita sentiasa aka kalah dengan orang lain. Orang lain meminta-minta dan memastikan apa yang diminta DAPAT! Bila kita (Melayu/Islam) meminta kepada pemimpin kita, kita diminta "bina sendiri".

    Berkaitan dengan ini, dengan melihat dari sudut politik, sekiranya kita diberi DUA PILIHAN iatu satu pihak yang mampu menyediakan infrasruktur yang cukup untuk kita seperti masjid, jalanraya, jambatan dll untuk memajukan ummah, keluarga dan diri kita BERBANDING dengan satu pihak lagi yang suruh kita "bina sendiri"...., mana satukah pilihan kita?

    Wednesday, May 26, 2010

    MIC: Nak Keluar? Nak Kaji?

    Kemelut MIC, parti kaum India terbesar di Malaysia ini tidak habis-habis lagi.

    Pengurusan krisis mereka memang hancur. Ketika kita sepatutnya mengendalikan krisis dengan cara berhemah dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis tersebut, MIC mencipta krisis demi krisis untuk "menyelamatkan" tengkuk individu di dalam parti itu. Malangnya ketika mencipta krisis-krisis baru itu, MIC secara tidak sengaja (atau sengaja?) menyentuh rakan-rakannya di dalam Barisan Nasional dengan cara yang sungguh tidak berhemah. Kata-kata yang keluar dari mulut pemimpinnya menyentuh semangat setiakawan dan adakalanya sensitiviti kaum di mainkan atas alasan yang hanya mereka sendiri tahu.

    Soal pokok yang menjadi punca kepada segala permasalahan tidak dinilai dengan sebaiknya, sebalik pemimpin-pemimpin di dalam parti ini mencari dan mencipta pelbagai isu baru untuk kekal relevan. Namun, tanpa di sedari mereka sebenarnya berlegar-legar di sebalik masalah mereka untuk "menegakkan benang yang basah" sedangkan benang yang basah tidak boleh menegak.

    Terkini ialah kenyataan daripada Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang mahu mengkaji kedudukan MIC di dalam gabungan Barisan Nasional sebagai reaksi kepada Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang digerakkan oleh V. Mugilan, bekas Timbalan Ketua Pemuda yang dipecat oleh Presiden MIC kerana mengkritik secara terbuka Presiden tersebut.

    UMNO sekali lagi dikaitkan dengan Gerakan Anti Samy, mengulang apa yang disebut oleh anak Sammy Velu, Vell Paari (dilantik ke dalam CWC MIC oleh Presiden MIC yang juga bapa beliau) hanya kerana majlis pelancaranya akan diadakan di PWTC pada penhujung minggu ini. Sebenarnya pun, sejak dahulu lagi, apa sahaja aktiviti besar anjuran MIC, selalunya akan diadakan di PWTC.

    Jadi soal V. Mugilan mengadakan program beliau di PWTC tidak bermakna UMNO menyokong GAS, sebaliknya T. Mohan perlu mempunyai keupayaan untuk menganalisa sebab musabab pemilihan lokasi berkenaan yang dibuat oleh V. Mugilan tanpa melibatkan rasa prejudis atau mahu menjadi jagoan di mata orang tertentu (Samy?)

    Jadi, apabila kenyataan Vell Paari dan kini T. Mohan mendapat reaksi yang menyeluruh dari ahli-ahli UMNO dan orang Melayu, mereka sepatutnya mengkaji kematangan diri di dalam berpolitik. Pemimpin perlu menunjukkan keupayaan untuk membuat analisa kritikal yang menyeluruh terhadap isu yang mereka hadapi dan bukannya memberi reaksi keanakan terhadap isu-isu yang menyentuh kepimpinan mereka kerana sekiranya MIC nak kaji dan nak keluar dari Barisan Nasional, ianya tidak memberi kesan kepada gabungan BN kerana banyak lagi parti kaum India yang bersedia untuk mengambil alih tempat MIC seperti IPF, PPP dan HINDRAF yang wujud hanya satu sebab iaitu S.A.M.Y!

    Namun, mampukah MIC kekal relevan sekiranya mereka keluar dari BN apabila ADUN dan Ahli Parlimen yang mereka ada, berada di dalam jawatan mereka kerana undi UMNO?

    Tuesday, May 25, 2010

    Gerakan Anti Samy Vellu: UNDI anda DIPERLUKAN!

    Kemelut di dalam MIC semakin menggelegak apabila laman web rasmi untuk Gerakan Anti Sammy Vellu di lancarkan. Setakat hari ini ketika blog ini ditulis, sebanyak 93% telah mengundi supaya Presiden MIC itu meletakkan jawatan berbanding dengan 7% yang mahukan beliau mengekalkan jawatan.

    Anak Sammy Vellu, Vell Parri yang dilantik ke dalam CWC oleh Sammy Vellu sendiri memburukkan keadaan apabila cuba mengaitkan UMNO di dalam kemelut MIC dengan menuduh UMNO sebagai penyebab kepada masalah-masalah di dalam UMNO. Tuduhan beliau itu adalah satu penghinaan kepada ahli-ahli UMNO, khususnya orang Melayu. Mana mungkin UMNO jadi penyebab, apabila yang melucutkan keahlian ahli-ahli (Lebih 100,000 orang menurut Dato' Subramaniam) yang tidak sebulu dengan Presiden adalah Sammy Vellu sendiri. Inilah punca sebenar kemelut di dalam MIC (Tiada demokrasi. Ahli di sekat bersuara)

    Ketika UMNO dan lain-lain gabungan BN sedang berusaha untuk membuat perubahan demi perubahan supaya sesuai dengan suasana politik semasa yang semakin kompleks dan mencabar sesuai dengan peredaran zaman, Vell Parri membuat kenyataan yang mengguriskan hati rakan-rakan di dalam gabungan BN. Kenyataan anak Sammy Vellu ini celupar, kurang ajar, semberono dan tidak berpijak di alam nyata.

    Sekiranya ada sesiapa yang mahu MENGUNDI sama ada Sammy Vellu perlu kekal atau melepaskan jawatan Presiden MIC, silalah klik di sini.