1. Enam (6) Pertubuhan Melayu semalam meluluskan resolusi menuntut Kerajaan untuk mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD);
2. Langkah ini penting untuk menjamin kesinambungan pembangunan usahawan Bumiputra yang masih lagi merangkak-rangkak untuk membina kejayaan dari segi ekonomi ummah dan bangsa;
3. Tuntutan ini ada kewajarannya, bukan sahaja dari segi usaha untuk memayungi pembangunan keusahawanan di kalangan Bumiputra, tetapi juga dari segi memudahkan penyelarasan di dalam menyalurkan bantuan serta sokongan Kerajaan ke atas program-program yang berkaitan dengan pembangunan usahawan;
4. Langkah mewujudkan semula MeCD atau apa-apa jabatan/Kementerian yang menjalankan peranan yang sama pasti akan memudahkan proses membuat keputusan dan juga menyeragamkan aktiviti yang boleh dibuat oleh sebuah Kementerian yang diketuai oleh seorang Menteri, seorang Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawainya yang mempunyai 1 KPI, 1 objektif serta 1 hala tuju;
5. Pastinya langkah ini lebih baik daripada cara sekarang di mana program pembangunan usahawan dilaksanakan oleh 8 Kementerian yang berbeza yang mempunyai 8 orang Menteri, 8 orang KSU dan setiap mereka mempunyai KPI yang berbeza serta corak pemikiran yang amat berbeza. Ini tidak diambil kira pula masalah pokok Kementerian yang mengganggu penumpuan kepada program pembangunan usahawan. Contohnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini sibuk dengan masalah gula dan subsidi minyak. Manakala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula sibuk dengan usaha untuk menyelaras serta menyeragamkan idnustri pertanian itu sendiri yang begitu besar masalah dan lingkupan operasinya. Dengan masalah-masalah pokok Kementerian yang begitu besar sebegini, bila masa agenda pembangunan usahawan hendak dijadikan keutamaan Kementerian-Kementerian ini?;
6. Pastinya sebuah Kementerian atau Jabatan yang khusus untuk pembangunan usahawan adalah lebih baik daripada 8 Kementerian yang berbeza hala tuju;
7. Sekiranya soal keutamaan kaum/bangsa menjadi persoalan di dalam membuka semula MeCD, wujudkan sahaja MeCD dengan perkhdimatannya yang dibuka kepada semua bangsa/rakyat di negara ini. Ianya pasti boleh membantu pembangunan usahawan di negara ini dan pastinya lebih baik daripada memecah-mecahkan program pembangunan usahawan kepada 8 Kementerian yang berbeza;
8. Rasanya permintaan ini bukanlah satu permintaan yang sukar untuk dikaji dan dipertimbangkan.
Wednesday, January 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment