Hari ini, hujan lebat di Kuala Lumpur. Dari pagi hingga ke tengahari suasana masih muram dan cuaca agak kelam.
Ada yang berkata hujan pagi tadi adalah hujan rahmat kerana merestui perhimpungan keramat orang-orang Melayu di PWTC. Tidak kurang juga yang mengatakan hujan pagi tadi adalah hujan bala.
Apa-apa pun, hujan yang tiba menyejukkan cuaca yang agak panas sejak beberapa hari yang lalu.
Namun begitu, hujan atau tidak, perhimpunan Agong UMNO yang bermula hari ini adalah penting kepada survival politik orang Melayu di negara ini. Di sebalik kemeriahan perhimpunan terpenting orang Melayu negara ini, parti UMNO akan memilih pemimpin-pemimpin mereka yang samada kita suka atau tidak akan menjadi pemimpin negara ini. Dengan kata lain, siapa sahaja yang dipilih, kelak akan dilantik ke pelbagai jawatan eksekutif kepimpinan negara.
Oleh itu, siapa yang dipilih oleh kira-kira 2,000 ++ orang perwakilan dalam minggu ini adalah penting untuk menentukan hala tuju kepimpinan Melayu di negara ini. Menentukan samada UMNO dan juga BN masih relevan atau tidak untuk menerajui kepimpinan negara. Menentukan samada perwakilan faham atau tidak dengan mesej yang disampaikan oleh rakyat pada PRU ke 12 pada 8 March 2008!
C-bOk amat berharap perwakilan yang akan menentukan perkara ini membuat pilihan yang bijak. Pilihlah berdasarkan kepada kelayakan serta merit setiap calun. Bukannya kepada ketebalan poket masing-masing.
Banyak sudah diperbahaskan tentang wujudnya politik wang [baca: RASUAH] di dalam pemilihan kepimpinan kali ini. Semua orang daripada mantan Presiden, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, MT sehinggalah ke ahli paling sengkek dan juga bukan ahli berkata-kata tentangnya. Nama tokoh disebut, nama bukan tokoh juga di sebut. Ada yang telah diambil tindakan dan tidak kurang juga yang disiasat.
Bersalah atau tidak, soalnya pemimpin perlulah sentiasa nampak bersih. "Pemimpin bukan sahaja perlu bersih, tetapi perlu nampak bersih". Maknanya sekiranya ada kiasan yang mengaitkan mana-mana calun, lebih-lebih lagi yang telah melalui proses siasatan, menunjukkan pemimpin itu sewajarnya di ragui keperibadian mereka. Ingat! Pemimpin perlu "nampak" bersih. "Kalau tidak ada angin tak kan pokok bergoyang".
Dalam keadaan di mana orang Melayu kini terdedah dengan serangan dari setiap sudut, soal relevan dan juga kesinambungan kepimpinan orang-orang Melayu di negara ini wajar diletakkan sebagai keutamaan para perwakilan. Tidak ada gunanya kita meletakkan calun yang tebal poket, namun kita kalah di PRU ke 13 nanti dan sekali gus menjadikan kita sebagai bangsa merempat di negara sendiri.
Kita perlu ingat, 50 tahun UMNO menjadi tunggak di negara ini tanpa sebarang masalah, namun akibat kelemahan kepimpinan dan disemai pula dengan kerakusan jakun-jakun politik muda yang berkiblatkan kuasa dan wang, kita lemah sejak 4/5 tahun yang lalu.
Adakah kita harus terus mewajarkan perkara ini? Adakah kita mahu melihat tragedi kepada kepimpinan Melayu di negara ini? Tidakkah kita mahu menjadi kuat semula sebagaimana kuatnya bangsa Melayu semasa 22 tahun di pimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad?
C-bOk tidak rela kita dijajah semula. Di jajah oleh mereka yang rakuskan kuasa dan wang. Mereka yang bersedia untuk menolak kita ke tepi di negara kita sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang dan hampir-hampir berlaku di Perak apabila tanah kita diagih-agihkan kepada orang lain sewenang-wenangnya oleh boneka bangsat. Mereka umpama kaduk naik junjung kerana kita lemah, bukan kerana mereka kuat.
Oleh itu, perwakilan yang bersidang di PWTC perlulah memastikan mereka membuat pilihan yang tepat. Pilihlah yang berwibawa dan amanah. Berikan barisan kepimpinan yang kuat untuk menyokong Datuk Sri Najib Tun Razak mengemudi negara ini.
Tolak terus mereka yang rasuah dan nampak rasuah!
Tuesday, March 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment