Friday, February 09, 2007

Janji

"Pilihanraya boleh tunggu".

Itulah kenyataan Pak Lah apabila ditanya oleh pemberita berkaitan dengan kemungkinan untuk mengadakan pilihanraya dalam masa yang terdekat ini. Sebaliknya Pak Lah menekankan bahawa beliau berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat di dalam pilihanraya terdahulu.

Eloklah tu. Mungkin Pak Lah kena menyenaraikan semula janji-janji yang dibuat dahulu dan kita boleh menyemak satu persatu kedudukan setiap janji-janji tersebut. Yang pastinya semasa pilihanraya dahulu tidak ada janji untuk menaikkan harga minyak dan harga tol. Jadi kedua-dua perkara ini tidak boleh diambil kira walaupun ianya telah di sempurnakan dengan berkesan (perfect) oleh Kerajaan pimpinan beliau.

Thursday, February 08, 2007

Aura JUTAWAN

Aura JUTAWAN.

Inilah C-bOk bersama dengan jutawan UPTREND dan juga ahli 00001 Saudara M. Nor Azmi.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan perniagaan UPTREND pasti mengetahui sedikit sebanyak susah senang Sdra. M. Nor Azmi di dalam memperkenalkan perniagaan UPTREND ketika orang tidak tahu apa itu perniagaan e-dagang. Namun itu adalah cerita dua tahun yang lalu. Hari ini beliau seorang jutawan selepas hanya dua tahun tidak jemu-jemu mempromosikan perniagaan e-dagang ini. Di manakah anda dua tahun dari sekarang? Adakah anda akan terus meratapi nasib anda atau bergaul dengan orang-orang yang berjaya.

C-bOk menanam azam untuk menurut jejak langkah mereka-mereka yang telah berjaya ini. Mereka yang satu masa dahulu juga macam C-bOK, malah ada yang lebih teruk lagi. Dengan keadaan C-bOk yang masih mempunyai kudrat, sahabat dan keupayaan untuk bercakap, pastinya tidaklah susah sangat untuk berjaya seperti mereka.

Untuk berjaya tidak susah. Yang susah ialah untuk mengubah sikap. Sikap berkaitan dengan minda kita. Hari ini kita banyak memperkatakan pelbagai masalah yang melanda diri kita. Kita marah dengan pelbagai "kenaikan" kos yang berlaku di negara kita ini. Kita kutuk orang-orang yang membuat keputusan kenaikan-kenaikan tersebut seperti kenaikan harga minyak, tol, ayam, sayur dan sebagainya lagi. Memang kenaikan-kenaikan tersebut tidak adil bagi kita, namun apa yang kita lakukan untuk mengatasi masalah demi masalah yang melanda kita ini?

Yang pastinya, cakap-cakap kita belum tentu mampu untuk mengubah setiap keputusan yang dibuat oleh pemerintah, tetapi tindakan kita dalam mengubah nasib kita sendiri pasti akan membuahkan kejayaan dan memberi harapan baru kepada diri kita sendiri. C-bOk mengambil keputusan untuk menyertai perniagaan e-dagang UPTREND ini untuk mengubah nasib C-bOK sendiri dan membuat persediaan menghadapi masa depan yang nampak kurang jelas, khususnya dari segi kos sara hidup di negara ini.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai C-bOk bolehlah menghubungi C-bOk di:

Email: zainalkaya@yahoo.com.my
HP: 6-012-3022 897
Blog: http://zainalkaya.blogspot.com
Web: http://zainalkaya.ui2u.com

Anda pasti tidak akan menyesal.

Menjana Pendapatan Lumayan Dengan Uptrend

Sudah lama C-bOk tidak update blog ini. Antara sebabnya ialah C-bOk agak sibuk dengan kerja. Bagi yang mengenali C-bOk pasti tahu bahawa C-bOk agak aktif dengan perniagaan MLM sehingga menjadi stokis di Sungai Buloh. Memang, C-bOk "flying high" sebagai stokis.

Namun langit tidak selalunya cerah, perniagaan C-bOk sebagai stokis sebuah syarikat MLM kecundang di tengah jalan akibat masalah yang diluar jangkaan apabila wujudnya beberapa kenyataan negatif di dalam akhbar tabloid harian daripada pengguna dan orang yang tidak bertanggungjawab sehingga menggugat jualan syarikat. C-bOk sebagai stokis turut merasa kesannya apabila jualan harian semakin menurun dan pelanggan semakin menghilang. Akhirnya C-bOk mengambil keputusan untuk menutup stokis bagi mengelakkan kerugian yang berterusan pada bulan Oktober 2006.

Hampir 4 bulan juga C-bOk bertapa mencari kesilapan di dalam perniagaan terdahulu. C-bOk juga mendaftar dengan beberapa buah syarikat lain untuk memulakan perniagaan baru. Namun, tidak bergerak sebagaimana yang dirancangkan. Tetapi C-bOk dapat merasakan satu aura yang lain dengan syarikat yang terbaru ini.


Bermula dengan membaca satu artikel di dalam sebuah akhbar tempatan berkaitan dengan perniagaan e-dagang, C-bOK rasa sangat berkobar-kobar untuk meninjau dengan lebih lanjut lagi peluang ini. Kebetulan pula, sebuah blog iaitu Mahaguru58 yang sering C-bOk ikuti turut mencanangkan peluang perniagaan e-dagang ini di laman blognya.

Setelah membuat carian di internet dan juga ke ibu pejabat syarikat ini untuk meninjau sendiri kedudukan syarikat, C-bOk mengambil keputusan untuk menghubungi Mahaguru58 dan menyatakan hasrat untuk menyertai beliau di dalam perniagaan e-dagang UPTREND.

Satu temujanji di atur dan kami bertemu di ibu pejabat Uptrend Network Sdn. Bhd. di Menara Choy Fook On, Petaling Jaya. Dan pada jam 11.00 malam, 7 Februari 2007, C-bOk secara rasmi menjadi usahawan e-dagang uptrend dengan nama perniagaan ZAINALKAYA. Kenapa ZAINALKAYA? Ya, C-bOk mahu jadi kaya. Matlamat C-bOk mahu mencapai kejayaan sebagai usahawan e-dagang dalam masa 1 tahun daripada hari ini.

Sesiapa yang berminat untuk bersama-sama C-bOk di dalam perniagaan ini bolehlah menghubungi C-bOk di 012-3022897 ataupun di email: zainalkaya@yahoo.com.my.

Tuesday, July 11, 2006

Peluang Perniagaan

Kepada pembaca/pengikut blog C-bOk ini, sukacita C-bOk menjemput anda untuk membaca blog Jom Buat Duit di sini. Blog ini adalah salah satu blog C-bOk khusus untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk menjalankan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat.

Sesungguhnya perniagaan mampu menjana rezeki yang melimpah-ruah kepada sesiapa yang berusaha ke arahnya. Al-Quran sendiri ada menyatakan bahawa 9/10 rezeki itu adalah daripada cabang perniagaan. Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan rezeki yang lumayan, usahakan lah sebuah perniagaan. Namun untuk mengusahakan sebuah perniagaan bukanlah mudah khususnya perniagaan dalam bentuk konvensional. Kini ada alternatif kepada anda yang kekurangan modal tetapi mempunyai semangat waja untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

Jom buat duit!! Jangan buat alasan....

Thursday, March 09, 2006

Rumah Untuk DiJual

Ini adalah rumah C-bOk di Templer Saujana. Semi-D dengan keluasan tanah 35 x 75. Rumah ini setinggi 2 1/2 tingkat, empat bilik tidur, empat bilik air, 1 stor, garage untuk 2 kereta dan terletak betul-betul di hadapan Taman Rimba Templer. Berdasarkan kepada pelan perancangan di kawasan ini, jalan dari Selayang ke Rawang akan dibesarkan kepada 6 lorong (sudah pun bermula), pembinaan sekolah dan juga pusat membeli belah. Taman Templer Saujana ini juga agak ekslusif memandangkan hanya rumah Semi-D dan juga banglow yang dibenarkan di bina di kawasan ini, menjadikan kawasan ini bernilai tinggi.

Ianya terletak di dalam kawasan Taman Rimba Templer di mana pokok-pokok yang menghijau di persekitaran kawasan ini telahpun di gazetkan sebagai taman rimba kekal. Dijamin tidak ada pembangunan. C-bOk juga difahamkan satu penghadang bunyi akan dibina bagi memisahkan jalanraya dan juga kawasan perumahan ini sebaik sahaja kerja-kerja pembesarna jalan siap dalam tahun 2007 kelak.

Selain daripada Taman Rimba Templer, berhampiran dengan kawasan ini ada stesyen minyak Shell, Petronas, Esso, Mobil dan Caltex, Pasar Borong Selayang, Pejabat Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, MRR2, Lebuhraya DUKE dan lain-lain lagi. Pendek kata, terdapat banyak kemudahan di persekitarannya.

C-bOk bercadang untuk menjual rumah ini yang masih belum didiami lagi oleh kerana C-bOk telah membeli sebuah rumah lagi di Paya Jaras, Sungai Buluh. Harga jualan hanya RM370,000.00 sahaja. Harga ini boleh dirundingkan sekiranya ada yang berminat. Untuk sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan agen C-bOk: Encik Poon Jovi (012) 382-6960.  Posted by Picasa

Wednesday, March 08, 2006

Tiada Kenaikan Kadar Tol

Dato' Seri S. Sammy Vellu mengumumkan semalam bahawa tiada kenaikan kadar tol untuk tahun ini, walaupun sebelum ini beliau pernah menggambarkan bahawa Kerajaan akan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM460 juta ringgit kepada PLUS jika tidak ada kenaikan di antara tahun 2005 - 2007.

C-bOk ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato' Seri Sammy Vellu atas pengumuman beliau itu. Nampaknya beliau amat perihatin dengan masalah rakyat yang dilanda dengan pelbagai beban kenaikan sejak akhir-akhir ini. (Sejak 2 tahun yang lepas...) Pengumuman beliau sememangnya melegakan. Baik sungguh hati beliau dan menampakkan kesungguhan Kementerian beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ada tiga kemungkinan atau kebetulan dengan masa pengumuman ini dibuat.

Pertamanya, Dato' Seri Sammy Vellu baharu sahaja menang tanpa bertanding untuk terus menerajui MIC. Kemenangan untuk tempoh 3 tahun lagi ini pasti akan menjamin kedudukan beliau sebagai ketua parti utama untuk rakyat India dan seterusnya kekal dalam Kabinet. Keduanya, kalau tidak silap C-bOk, hari ini (8 March 2006) adalah hari jadi beiau yang ke-70. Selamat hari jadi Dato' Seri. Ketiganya, Dato' Seri Sammy Vellu dan Kerajaan mengambil kesempatan daripada keadaan tidak tenteram rakyat sekarang ini akibat daripada kenaikan harga minyak dengan membuat pengumuman yang lunak untuk didengar.

Walaubagaimanapun, C-bOk rasa tak senang hati. Kenapa sekejap boleh, sekejap tak boleh. Dahulu, beliau juga yang bermati-matian mempertahankan bahawa kenaikan itu perlu. Tak boleh tidak! Walaupun rakyat memberikan pelbagai pandangan dan saranan untuk mengelakkan kenaikan, tol tetap naik. Sekiranya tidak naik, seolah-olah akan berlaku huru hara yang tidak dapat dielakkan. Rakyat dimaklumkan bahawa kenaikan itu perlu. Kalau tak naik, kerajaan kena buat itu dan ini.

Sekarang ini kenapa boleh pulak Kerajaan tidak menaikkan tol? Bermakna Kerajaan boleh menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan tol. Walaupun pada bulan Mei 2005 tahun lalu, Menteri ini jugalah yang berkata perlunya kenaikan kepada kadar tol.

PLUS sebenarnya tidak perlu kepada kenaikan ini. Baru-baru ini PLUS mengumumkan keuntungan melebihi RM1 billion. Ini satu keuntungan yang besar. Dengan kadar sedia ada sekarang ini dan peningkatan kepada pemilikan kereta, PLUS dijangka akan terus mencatatkan keuntungan.

Jadi, pengumuman yang sesungguhnya ditunggu-tunggu oleh rakyat - "Tiada kenaikan tol", mengundang pertanyaan:

  1. Sama ada kenaikan terdahulu (dan juga dimasa hadapan) itu perlu dan wajar untuk dikuatkuasakan?
  2. Adakah Kerajaan sememangnya mempunyai kuasa untuk menahan atau menangguhkan sebarang kenaikan? Pengumuman terbaru ini menunjukkan Kerajaan mempunyai kuasa itu. Kenapa kuasa ini tidak digunakan di tahun-tahun yang lalu?
  3. Adakah PLUS benar-benar perlu dengan kenaikan kadar tol dan kewajaran terhadap kenaikan yang diluluskan sebelum ini memandangkan PLUS mencatatkan keuntungan yang banyak sehingga melebihi RM1 billion?

Terima kasih Dato' Seri kerana pengumuman berkenaan, namun adalah menjadi harapan C-bOk supaya keuntungan PLUS yang berterusan diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Tuesday, March 07, 2006

Datuk Bandar Shah Alam Kena Tukar?

C-bOk mendapat khabar bahawa Datuk Bandar Shah Alam, Yang Berbahagia Datuk Ramli bin Mahmud bakal ditukarkan dalam masa yang terdekat ini. Pertukaran beliau (sekiranya benar) pada masa Shah Alam menghadapi beberapa masalah seperti banjir yan melanda di TTDI Jaya baru-baru ini dan pembangunan tidak terkawal di beberapa kawasan pinggiran Shah Alam rasanya satu keputusan yang kurang tepat. Datuk Ramli nampak tegas di dalam pentadbiran beliau di Bandaraya Shah Alam. Beliau mengamalkan sistem pentadbiran telus dan tidak kalut dengan campur tangan politik.

Apa-apa pun, C-bOk berharap sebarang keputusan yang dibuat di MBSA atau pun di mana-mana juga di Selangor ini dibuat dengan bijak.

Wednesday, March 01, 2006

Beban Kenaikan Harga Minyak

Sejak diumumkan semalam, rata-rata masyarakat banyak mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak yang tinggi sehingga 30 sen bagi setiap liter. Walaupun akhbar arus perdana menyiarkan pandangan yang seimbang daripada banyak pihak, namun motif penyiaran adalah untuk "menghalalkan" kenaikan tersebut. Pandangan berbentuk analisa dan juga perbandingan dibuat dengan matlamat untuk menunjukkan kenaikan itu "tak ada apa-apa" pun. Seolah-olah, kenaikan itu satu berita gembira untuk kita semua.

Masalahnya, adakah pembuat dasar faham dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa-biasa? Mereka yang bekerja dan bergaji kecil tetapi berkeluarga besar. Sekiranya mereka berkeluarga kecil sekali pun adakah tidak ada kesan langsung atau tidak langsung kepada mereka? Rakyat biasa-biasa yang bayar sendiri duit tol, tak ada driver, tak ada elaun keraian sehingga berbelas ribu macam orang-orang besar di atas.

Sebenarnya, kenaikan kali ini sememangnya begitu membebankan. Kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat. Walaupun Kerajaan melalui KPDN-HEP telah memberi "amaran keras" kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga, sejauhmanakah Kementerian ini mampu untuk memantau keadaan? Selama ini pun dengan pelbagai amaran keras yang dibuat dan diumumkan, Kementerian ini masih gagal untuk mengatasi banyak masalah kenaikan harga, masalah cetak rompak, masalah kegagalan mematuhi peraturan yang remeh-temeh dan sebagainya.

Jadi, bagi rakyat jelata macam C-bOk, amaran keras itu hanyalah retorik semata-mata yang perlu dibuat dan diumumkan macam robot apabila kenaikan berlaku. Di masa hadapan apabila kenaikan berlaku lagi, amaran keras yang sama akan dikeluarkan. Tetapi harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat.

Kenaikan harga minyak ini akan meningkatkan kadar perbelanjaan mengurus rakyat dan juga Kerajaan sendiri. Peningkatan ini tanpa diimbangi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagaian aktiviti ekonomi dan merancakkan pembangunan akan melahirkan rakyat yang "marah", "dendam" dan "menyampah". Ini tidak baik kepada kesejahteraan negara dan juga kestabilan politik yang telah kita kecapi sejak sekian lama.

Kesan ketara yang "instant" terhadap kenaikan kali ini jelas apabila kita duduk-duduk di kedai kopi sambil minum teh tarik. Rata-rata ramai yang telah menunjukkan rasa "marah", "dendam" dan "menyampah" seperti yang C-bOk nyatakan di atas. Apakah ini yang Kerajaan mahukan daripada rakyat?

Tidak adakah cara lain untuk menampung kenaikan harga minyak ini? Apa kata sekiranya aktiviti ekonomi dirancakkan dengan program pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan di zaman Tun Mahathir dahulu? Bukankah dengan aktiviti pembangunan yang pesat akan meningkatkan aliran mata wang di pasaran yang mewujudkan peluang pekerjaan, kenaikan gaji yang kompetitif dan juga meningkatkan pendapatan Kerajaan melalui pelbagai kutipan cukai? Kutipan cukai ini kemudiannya boleh digunakan untuk menampung kesan kenaikan minyak dunia. Secara tidak langsung rakyat tidak dibebankan.

C-bOk berharap kita tidak dikejutkan lagi dengan pengumuman-pengumuman tidak enak seperti ini lagi. Namun harapan ini mungkin hanya sehingga ke akhir tahun ini sahaja (31 Disember 2006) kerana kenyatataan yang sama pernah dikeluarkan sebelum ini. Tidak ada jaminan apabila tahun baru (2007) menjelma. Namun, kepimpinann mempunyai pilihan untuk menilai pelbagai alternatif. Adakah akan ada idea kreatif untuk menyerap kenaikan itu dengan cara lain atau naikkan sahaja harga minyak untuk ditampung oleh rakyat. Kalau itu pilihan kepimpinan, kita amat rugi.....

Tuesday, February 28, 2006

Rayuan Kepada Pak Lah & Najib

 

Semalam (27 Feb. 2006) Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersidang. Seperti biasa hal ehwal kebajikan orang Melayu dibincangkan di dalam Majlis ini. (Rasanyalah.....)

Namun berita yang menjadi tajuk utama ialah soal kedudukan pangkat atau jawatan ahli-ahli UMNO yang tinggi-tinggi sahaja yang dibincangkan. Boleh dikatakan kesemua akhbar memberikan penumpuan kepada isu Dato' Zaid Ibrahim yang tidak lagi layak untuk memegang jawatan selepas tempoh pergantungannya tamat. Mengikut kata Pak Lah, semua ahli-ahli MT bersetuju tanpa ada sebarang suara yang membantah.

So..., apakah kepentingan keputusan ini kepada rakyat? Mereka yang biasa-biasa sahaja. Mereka yang tidak ada driver dan tak ada outrider polis? C-bOk mempersoalkan ini, oleh kerana pada hari yang sama, Kerajaan melalui pejabat Perdana Menteri membuat pengumuman tentang kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen berkuatkuasa serta merta. Ramai yang terkejut kerana pengumuman dibuat secara mengejut. Orang yang duduk di Shah Alam, khususnya di TTDI Jaya lagilah terkejut sebab dah la kena banjir sampai musnah harta benda dengan kerugian berpuluh ribu setiap seorang. Tiba-tiba diumumkan pula kenaikan harga minyak.

Di manakah pemimpin saya yang sewajarnya memperjuangkan nasib masyarakat yang biasa-biasa. Kami terkejut dengan pengumuman tiba-tiba yang mendadak ini. Kenaikan ini yang bukan kali yang pertama dalam tempoh dua tahun kepimpinan Pak Lah dan Najib benar-benar merungsingkan.

Apakah hala tuju kita? Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat? Apakah persediaan yang dirancang untuk rakyat bagi menghadapi kenaikan harga minyak ini yang pastinya akan memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lain? Tanpa menyediakan rakyat dengan ketahanan mental dan juga peluang-peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka, negara bakal menghadapi masalah. Masalah ini boleh menjadi kronik sekiranya tidak ditangani dengan segera.

C-bOk merayu kepada Pak Lah dan juga Najib yang menjadi gandingan kepimpinan utama negara untuk segera memacu pentadbiran negara. C-bOk melihat kepimpinan sedia ada agak perlahan dan terlalu banyak retorik sahaja. Hala tuju yang jelas masih kabur. Kita bercakap pasal Wawasan 2020, tetapi ianya nampak tergugat tanpa adanya aktiviti ekonomi dan pembangunan yang jelas dan nyata.

Pak Lah dan Dato' Najib. C-bOk merayu agar segeralah "memacu" negara dengan aktiviti ekonomi supaya pengumuman-pengumuman seperti kenaikan minyak ini tidak "mengganggu" keyakinan rakyat. Posted by Picasa

Monday, February 27, 2006

Mawi Bintang Paling Popular

 

Tahniah!

Mawi terus mengekalkan keunggulannya sebagai Bintang Paling Popular di Malaysia apabila menerima anugerah berkenaan dari Berita Harian yang menganjurkan Anugerah Bintang Paling Popular 2005. Kemenangan ini bermaksud Mawi adalah lebih popular daripada bintang-bintang popular yang lain. Inilah yang dinamakan rezeki dan rezeki beliau begitu melimpah ruah sejak menjadi Juara Akademi Fantasia 3.

Sebagai juara beliau mendapat sebuah kereta, set barangan kemas dan sebagainya. Semoga Mawi terus kekal dengan imejnya yang bersih dan berdisiplin.

Wooorld... Posted by Picasa

Sunday, February 26, 2006

Old Friend...

Out of the blue..., seorang rakan lama.., seorang Dato' dan juga bekas Duta menghubungi C-bOk melalui email dan mengingatkan C-bOk tentang blog ini. Memang sudah lama C-bOk tak update blog ini. Sepanjang tempoh menghilangkan diri itu berbagai perkara sudah berlaku di negara ini. Kabinet telah dirombak (ataupun telah diisi & di tukar....), minyak sudah naik beberapa sen dan mungkin akan naik lagi (bulan March...?), surat khabar sudah kena gantung, Menteri dan Editor surat khabar bergaduh, Shah Alam banjir besar (sebuah kawasan penting di negeri maju pertama di Malaysia), heboh-heboh tentang BigFoot di Johor, peneroka Felda Sendayan sudah jadi jutawan dan banyak lagilah.

Okeylah, C-bOk akan cuba update blog ini dengan lebih kerap. Harap-harap ada idea untuk menulis semula.

Friday, January 27, 2006

Selamat Tahun Baru Cina

Ya, memang lama C-bOk tak mengemaskini blog ini. C-bOk memang benar-benar sibuk sejak kebelakangan ini. Ada macam-macam kerja yang nak diselesaikan. Walaubagaimanapun, harap-harap tahun 2006 ini dan khususnya tahun Anjing ini C-bOk akan mempunyai sedikit masa untuk mengemaskini blog ini dengan isu-isu yang berkaitan dengan kita semua. Insyaallah.

Kepada semua, C-bOk ucapkan selamat menyambut tahun baru Cina dan selamat bercuti.

Wednesday, September 28, 2005

Denggi di Tahap Kritikal


Kawasan Wabak Denggi Posted by Picasa

Wabak denggi di negara ini telah mencapai tahap kritikal dengan lebih 752 kes dilaporkan mingu lepas. Jumlah kematian sehingga kini juga telah melebihi angka kematian sepanjang tahun lalu. Sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil segera, angka yang dilaporkan pasti akan mencecah 1,000 kes. Apabila angka ini dicapai maka negara akan menghadapi satu epidemik yang serious.

Sekarang ini bukan masanya untuk meletakkan tanggungjawab mengatasi masalah ini kepada orang lain. Sekarang ini adalah masa untuk kita semua mengambil langkah-langkah perlu yang drastik bagi memastikan kes denggi ini tidak berlanjutan. Kita semua perlu memastikan persekitaran kita bersih dan bebas daripada nyamuk denggi. Pastikan semua takungan air tidak membiak larva-larva aedis yang menyebabkan demam denggi. Anjurkan program gotong royong di kawasan anda untuk sama-sama membersihkan persekitaran. Sekiranya boleh anjurkan setiap hujung minggu selama beberapa minggu ini. Di samping dapat membersihkan kawasan, dapat juga kita merapatkan perhubungan dan juga beriadah untuk menyihatkan badan.

Pihak berkuasa pula, inilah masanya untuk menguatkuasanya undang-undang. Kita ada undang-undang yang cukup seperti denda dan juga penjara bagi sesiapa yang tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membenteras pembiakan nyamuk aedis.

Rafidah Aziz: Apa Dah Jadi?


Rafidah Aziz Posted by Picasa

Kes Dato' Seri Rafidah ni masih tak habis-habis lagi. Kesnya bukan lagi dibincangkan di kedai kopi tapi sudah dibincangkan di Parlimen. Kedua-dua pihak pro Kerajaan dan pembangkang sama-sama menghentam ketidakhadiran beliau di Parlimen dan juga kegagalan untuk memberikan jawapan yang memuaskan semua pihak tentang AP.

Hari ini ianya akan dibincangkan pula di mesyuarat Kabinet.

Apa-apa pun, C-bOk berpendapat beliau adalah salah seorang menteri yang berkaliber di zaman kemuncaknya. Banyak sumbangan beliau kepada ekonomi negara sejak lebih 20 tahun yang lalu. Sumbangan beliau ini tidak boleh dinafikan. Lihat sahaja di mana kita berada sekarang dan pastinya kita tidak boleh menolak begitu sahaja jasa-jasa yang telah beliau sumbangkan kepada negara.

Namun, masalah yang berbangkit sekarang ini agak serious jugak. Masyarakat dan rakan-rakan seangkatan dengannya mempersoalkan banyak perkara tentang beliau sejak akhir-akhir ini. Langkah terbaik adalah untuk beliau sendiri "memperbetulkan" keadaan ini dengan segera.

C-bOk harap kita tidak terus-terusan membuang masa dengan masalah ini. Ringkasnya jangan berterusan dengan "politik" baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan. Kita sudah tidak punya banyak masa....

Tuesday, September 27, 2005

Wabak Denggi

Negara kita sedang diserang wabak denggi. Kematian demi kematian di laporkan setiap hari. Manakala kes-kes baru baru yang dilaporkan pula naik dengan mendadak. Kes-kes ini pula di laporkan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

C-bOk menyeru semua agar mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kebersihan di sekitar rumah. Pastikan tidak ada air yang bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aides, potong rumput yang panjang dan bersihkan segala sampah sarap.

Hanya apabila kita berada dalam lingkungan kebersihan barulah penyakit akan menjauhi kita.

Monday, September 26, 2005

Saman Malu Halil

Semalam dalam akhbar Utusan Malaysia (24hb. September 2005), Ketua Pengarah Kastam, Tan Sri Halil membuat kenyataan bahawa dia akan membuat saman malu terhadap pihak media yang membuat kenyataan palsu dan berniat jahat berkaitan dengan perbelanjaan RM5 juta sempena dengan persaraan beliau.

C-bOk berpendapat ini adalah tindakan yang paling patut dan sesuai. Isu ini yang disiarkan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris benar-benar memeranjatkan ramai orang dan akibatnya lebih seminggu rakyat Malaysia ni tak ada cerita lain. MASA banyak di HABISKAN dengan bercerita pasal ini.

Eloklah di saman RM5 juta sesiapa sahaja yang menimbulkan fitnah ini supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Saturday, September 24, 2005

Umur Pembantu Rumah

Baru-baru ini terpampang berita di akhbar The Star seorang pembantu rumah BERUMUR 19 TAHUN di selamatkan daripada di dera di Johor Bharu oleh Kedutaan Indonesia.

Persoalan yang timbul sekarang ni ialah bagaimana seorang kanak-kanak yang berumur 19 tahun dibenarkan masuk ke negara ini oleh Imigresen Malaysia?

Saya bertanya kerana saya pernah mengemukakan permohonan untuk mengambil pembantu rumah yang berumur 20 tahun namun ditolak oleh Imigresen. Peraturan hanya membenarkan mereka yang berumur 25 tahun ke atas untuk bekerja sebagai Pembantu Rumah. Saya seterusnya telah mengambil seorang pembantu rumah yang berumur 36 tahun. Alhamdulillah dia bekerja dengan bagus.

Tetapi saya masih musykil dengan kejadian ini. Apabila pembantu rumah ini masuk ke negara ini dia perlu melalui imigresen. Sekali tengok sahaja kita sudah tahu bahawa pembantu rumah ini masih di bawah umur. Kanak-kanak lagi!!

Bagaimana dia boleh masuk? Siapa yang meluluskannya? Siapa pegawai imigresen di kaunter yang menyemak dan membenarkan kanak-kanak ini masuk?

Kalau imigresen benar-benar hendak mengikut peraturan di dalam hal ini, perkara ini perlu diselidik. Kalau tidak, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan peraturan sedia ada dan orang-orang yang diamanahkan untuk menguatkuasakan peraturan ini.

Ketua Pengarah Kastam Tak Bersalah?

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Yaacub membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Ketua Pengarah Kastam dan lain-lain pegawai kanan Kastam bahawa kesemua tuduhan ke atas Kastam iaitu:

  1. Perbelanjaan RM5 juta untuk majlis persaraan;
  2. Pegawai Kastam memboikot kutipan cukai; dan
  3. Negara kerugian RM7 juta sejak kes ini dibangkitkan.

Adalah TIDAK BETUL!!!!.

Jadi, apa yang mula-mulanya dilaporkan oleh New Straits Times baru-baru ini dan diikuti oleh media cetak dan elektronik berkaitan dengan perkara ini tak betullah sebenarnya.

Apa yang berlaku ni? Di manakah etika kewartawanan apabila laporan sebesar ini tidak diselidik dan disahkan dahulu sebelum ianya menjadi bahan berita di muka hadapan? Setelah Tan Sri Ketua Pengarah berkenaan dibersihkan, apa pula tindakan media-media ini dengan beliau?

Tak ada sessi minta maaf ke macam Tan Sri Ketua Pengarah kena dengan YAB Timbalan Perdana Menteri?

Salah Tuhan?

Selepas Kathrina, Taufan Rita pula yang akan melanda Amerika Syarikat dalam masa beberapa jam sahaja lagi. Walaupun, taufan itu masih dalam perjalanan ke Texas dan Lousiana, berjuta-juta penduduk di kedua-dua negeri ini telah pun di arahkan berpindah meninggalkan rumah dan harta benda mereka.

Persiapan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat nampaknya lebih teratur kali ini berbanding dengan serangan Taufan Kathrina baru-baru ini. Namun, apa yang kalut ialah persiapan mental dan fizikal Presiden Amerika Syarikat sendiri dalam menghadapi kekalutan ini. Beliau banyak menyalahkan orang lain dalam pelbagai masalah yang timbul semasa serangan Kathrina. Semua orang tak betul kecuali beliau. Sedangkan yang pastinya beliau memang tak betul kerana asyik menyerang negara orang sahaja sehingga terlupa dan terlalai untuk melihat kebajikan penduduk di negara sendiri.

Kini, dengan Taufan Rita dijangka akan melanda Texas pada bila-bila masa sahaja Presiden Bush membuat kenyataan yang menyalahkan Tuhan kerana membenarkan taufan melanda negaranya. Soalnya Tuhan mana yang beliau maksudkan? Benarkah beliau tahu adanya Tuhan? Sudah gilakah beliau kerana dengan angkuhnya menyalahkan Tuhan apabila negaranya di musnahkan?

Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Tragedi 9/11 berlaku? Adakah Tuhan juga yang bersalah apabila Bush sendiri membuat keputusan untuk menyerang dan memusnahkan Afghanistan dan Iraq?

Kalau macam tu senanglah kita. Apabila tragedi melanda, salahkan Tuhan. Marahkan Tuhan. Macamlah kita ni lebih besar dari Tuhan.

Apa-apapun, tentu ada yang tersirat di sebalik serangan ribut taufan yang berturut-turut ke atas Amerika Syarikat dan di negeri di mana Presidennya berasal pula. Walaupun, bencana ini membawa banyak kedukaan kepada rakyat Amerika yang tidak bersalah, namun di sebalik segala kejadian ini kita perlu ingat bahawa Tuhan itu maha berkuasa.

Saturday, June 11, 2005

Portal Komuniti Bukit Rahman Putra

Penduduk di Bukit Rahman Putra (BRP) dan kawasan sekitarnya kini boleh berbangga dengan portal komuniti mereka sendiri. Portal komuniti ini boleh dicapai di sini. Portal ini masih baru, namun segala sesuatu perlu bermula dengan langkah pertama. Dengan sokongan semua khususnya dari kalangan penduduk di kawasan Bukit Rahman Putra, pastinya portal ini mampu menyaingi portal komuniti lain seperti portal komuniti Subang Jaya. Tahniah kepada mereka yang berusaha untuk menjayakan portal BRP ini.