Thursday, February 05, 2009

Hormati Titah Tuanku

Sultan Perak telah pun bertitah dan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak setelah baginda berpuashati bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi mempunyai suara majoriti di DUN.

Y.A.B. Nizar Jamaludin telah dititahkan untuk meletak jawatan bagi membuka ruang kepada Barisan Nasional untuk menubuhkan Kerajaan yang baru.

Sebelum ini C-bOk ada menulis tentang perkembangan di Perak berhubung dengan situasi ini. Walaupun cara pemindahan kuasa itu tidak berapa cantik, tetapi penubuhan Kerajaan baru di Perak adalah jauh lebih baik daripada mengekalkan Kerajaan yang ada. Rakyat Perak, khususnya orang Melayu/Bumiputra Perak sewajarnya bersyukur dengan perkembangan terkini ini kerana secara rasminya jatuh sebuah Kerajaan "boneka".

Runtuhnya Pakatan Rakyat di Perak adalah akibat perbuatan mereka sendiri dan resepi keruntuhan itu adalah resepi yang sama sebagaimana yang diwar-warkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat yang bercita-cita untuk mengambil alih Malaysia dengan menggunakan strategi yang sama. Cakap-cakap tentang perpindahan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional sebelum 16 September 2008 dahulu seolah-olah Pakatan Rakyat [dan sebahagian besar rakyat] menghalalkan mana-mana Ahli Parlimen BN yang hendak melompat. Malah, Pakatan Rakyat sempat meraikan dengan gahnya lompatan Datuk Nasarudin (ADUN Bota) ke PKR beberapa hari dahulu sebelum beliau membuat u-turn dan berhijrah semula ke Barisan Nasional.

Namun apabila senjata yang dihalalkan oleh Pakatan Rakyat itu memakan tuan, kini segala-galanya tidak lagi halal. Pakatan Rakyat nampak seolah-olah tidak boleh menerima bahawa mereka kini tidak lagi mempunyai kuasa di Perak. Titah Sultan di persoalkan dan dikatakan bahawa Nizar menyampaikan sembah derhaka kepada Sultan dan menolak titah supaya beliau meletak jawatan.

Dan sore loser pula mengamalkan tabiat lamanya dengan menggembeling amarah rakyat yang tidak tahu apa-apa dengan mengajak mereka berhimpun beramai-ramai (menderhaka kepada Sultan) dan berdemonstrasi sehinggakan Polis terpaksa mengeluarkan arahan supaya ianya tidak dilaksanakan atau tindakan tegas terpaksa diambil. Mereka merasakan demonstrasi adalah strategi hakiki tetapi rakyat sendiri menolaknya seperti sebahagian komen-komen yang dicatatkan di sini. Politik jalanan bukanlah penyelesaian kepada permasalahan yang kita hadapi.

Dalam masa yang sama dalam keadaan desperado, ada pula ada yang membuka ruang dan menggalakkan rakyat Perak menjadi kurang ajar dan derhaka kepada Sultan mereka melalui buku pelawat online DYMM Tuanku Sultan. Kalau dibaca satu persatu catatan yang dibuat, nampak sangat ramai yang tidak tahu adat dan menderhaka kepada Raja mereka sendiri. Malah tergamak melabelkan Sultan sendiri dengan perkataan-perkataan kurang ajar seperti di sini hanya kerana Sultan tidak berpihak kepada mereka.

Sultan hanya nampak bijak apabila menitahkan sesuatu yang mereka suka dan tidak bijak apabila menitahkan yang sebaliknya. Sedangkan sepatutnya rakyat tanpa mengira fahaman perlu memberikan ruang kepada Sultan untuk membuat keputusan yang terbaik dan Sultan Perak adalah antara Sultan terpelajar dan memahami undang-undang di negara ini memandangkan latarbelakang serta pendidikan beliau sebagai bekas Ketua Hakim Negara berbanding dengan pemimpin-pemimpin politik negara.

Itulah sebabnya mengapa mereka sendiri (Pakatan Rakyat) merujuk kepada Sultan apabila berlakunya ketidak tentuan dan sewajarnya mereka patuh kepada apa juga titah Sultan kerana Sultan mengambil masa semalam dan hari ini untuk membuat keputusan selepas berjumpa dengan Najib, Nizar serta ADUN-ADUN yang berkaitan. Sultan melaksanakan tanggungjawabnya melalui rundingan dan perbincangan.

Melihat kepada prestasi serta perangai Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat Perak ini (dan mungkin juga dari negeri-negeri lain), C-bOk berpendapat kita tidak boleh bergantung harapan dan masa depan dengan mereka. Sebelum berkuasa pelbagai janji-janji manis ditaburkan. Ketika berkuasa pula pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan apa juga kehendak mereka. Institusi yang terbina sebelum ini diporak perandakan seperti usaha membangunkan industri kereta nasional dipatahkan hanya kerana mereka berminat dengan kereta import sedangkan Proton adalah antara pelabur terbesar di Perak (dan Selangor).

Kita juga jangan lupa dengan tindakan menganugerahkan hak pemilikan tanah selama 999 tahun (selagi ada langit dan bumi) kepada pihak-pihak tertentu sejak memerintah Perak yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam masa yang sama C-bOk berharap Kerajaan BN yang bakal ditubuhkan di Perak dan juga Kerajaan BN sedia ada di negeri-negeri lain dan juga pusat mengambil ikhtibar daripada apa yang berlaku ini. Mempunyai kuasa dan mandat untuk memerintah adalah satu perkara, tetapi untuk memastikan mandat itu seimbang dengan hak rakyat adalah perkara satu perkara lain.

Daulat Tuanku Sultan Perak!

Tahniah kepada BN Negeri Perak.

3 comments:

Anonymous said...

ooiii bhaii....sultan adil sultan disembah! sultan zalim sultan disanggah! kalu sultan yg sorg ni idup zaman laksamana bentan, dah lama mangkat dijulang!!! hak ptuiihh..sultan konon!boleh blah!

Zainal A. Kasim said...

Saudara Anon 6.16:

Itu lah silapnya saudara dan yang seangkatan dengan saudara. Sultan hanya betul apabila mengikut cakap dan kehendak saudara. Kalau tidak ikut cakap saudara ianya dikira salah.

NIZAM MAT SAARI said...

Salam,

Saya juga tidak suka BN naik! Cuma satu yang saya tak suka pulak dengan PR sekarang kerana mengingkari TITAH SULTAN.

Ya, Sultan bukanlah Tuhan, tetapi itulah simbol yang kita letakkan ketaatan, simbol kestabilan dan pemutus dalam menentukan kestabilan.

Woi, Sultan Perak tu bukan calang-calang orang dalam perundangan negara, dia bekas Ketua Hakim Negara.

Kalau Sultan pun kita dah tak hormat, kita hormat siapa? Diri sendiri pun kita dah tak hormat sebab PR sanggup menggadaikan maruah sendiri dan memukul canang bahawa melompat parti itu halal.

Ahh, usahlah cakap pasal HAK RAKYAT sekarang ini, kerana semasa PR di atas, tak kisah pun pasal HAK RAKYAT.

Masa Nasarudin masuk PKR, tak timbul pun soal HAK RAKYAT!

Sebab itulah ALLAH HUKUM kalian. Itu pun tak sedar lagi!

Nak main politik, mainlah dengan IKHLAS, TAWADUK DAN PENUH KEINSAFAN DAN TANGGUNGJAWAB.

Apakah nilai keimanan dan ketaqwaan Tuan-tuan dalam PR?

NIZAM MAT SAARI
http://nizammatsaari.com/blog
http://nizammatsaari.blogspot.com