Wednesday, July 30, 2008

Mana Pakej Rangsangan Ekonomi?

Rata-rata semua rakyat kini sedar tentang keadaan ekonomi dunia yang semakin tenat. Saban hari kita di ingatkan tentang kenaikan harga minyak yang tinggi, peningkatan di dalam kos pengeluaran, kadar upah yang tidak sejajar dengan kenaikan harga barangan, penutupan operasi syarikat, kes sub-prima di US yang turut sama memberi kesan kepada ekonomi dunia dan sebagainya lagi.

Malahan, ramai pakar ekonomi yang menyatakan bahawa ekonomi US sudah lama malap dan turut sama membawa ekonomi dunia merudum kerana kebergantungan yang keterlaluan terhadap US Dollar dan juga pergerakan FDI dari negara berkenaan. Negara berkenaan sebenarnya telah muflis, namun masih terus bertahan atas faktor keluasan negara berkenaan dan juga bilangan penduduk yang tinggi serta lambakan Dollar seluruh dunia yang masih menyokong pergerakan ekonomi walaupun pada kadar yang amat sedikit dan perlahan.

Sehubungan dengan ini, pakar ekonomi telah lama meramalkan ekonomi dunia akan merudum selaras dengan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat. Tanda-tanda ke arah itu telah pun timbul seperti kejatuhan harga saham di pasaran-pasaran saham dunia akibat tidak adanya sokongan belian daripada pelabur-pelabur besar Amerika Syarikat dan sekutu baratnya yang dulunya merajai bursa-bursa saham dunia. Kadar inflasi juga meningkat dengan tinggi di setiap negara khususnya negara-negara membangun lanjutan daripada peningkatan kos operasi dan kadar permintaan yang menurun.

Ini tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara kita. Pakar-pakar meramalkan kemelesetan ekonomi negara (dan juga dunia) akan menjadi semakin teruk menjelang tahun 2009. Ketika itu, kita tidak lagi boleh mengharapkan negara-negara luar khususnya rakan dagangan tradisi kita untuk menyokong perkembangan ekonomi domestik. Mereka juga akan sibuk dengan usaha untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing daripada kemelesetan teruk yang melanda eonomi dunia.

Kita bukanlah tidak pernah mengalami masalah ini sebelum ini. Tahun 1997 ketika matawang negara dan juga negara-negara jiran di serang oleh penyangak matawang sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara, kita telah berjaya mengatasinya dalam masa yang singkat melalui program "Pakej Rangsangan Ekonomi" yang menyuntik pelbagai aktiviti bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta memastikan kecairan ringgit di pasaran. Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu mengkaji kesesuaian aktiviti ekonomi dari segala sudut dan mewujudkan pelbagai program pembangunan di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.

Berbeza dengan teori barat yang memberhentikan segala aktiviti ekonomi di dalam suasana kemelesetan, Malaysia (ketika itu) merancakkan lagi aktiviti pembangunan seperti pembinaan infrastruktur baru, bangunan baru, sekolah baru dan sebagainya. Program ini yang dinamakan program Pakej Rangsangan Ekonomi berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru serta memastikan kecairan ringgit di pasaran yang menggembirakan semua. Hasilnya, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang berjaya melalui suasanan kemelesan ekonomi dunia tahun 1997 - 1999 dengan jayanya.

Namun sebaliknya sekarang ini, kita masih belum melihat satu perancangan yang jelas untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda kita. Kepimpinan negara hanya sekadar ber retorik tentang suasana yang sedang kita hadapi sekarang ini dengan mengingatkan kita untuk "mengubah cara hidup". Sejauh mana kita boleh berubah bergantung kepada keupayaan masing-masing untuk merancang semula aktiviti ekonomi individu.

Apa yang perlu dalam keadaan sekarang ini bukan mengubah cara hidup kita. Kita perlu segera merancang untuk memastikan ekonomi negara terus aktif dalam suasana kemelesetan. Ini memerlukan pengumuman polisi serta aktiviti untuk menggerakkan ekonomi yang diterajui oleh Kerajaan pusat. C-bOk berpendapat kita perlu memperkenalkan semula Pakej Rangsangan Ekonomi yang mampu mewujudkan kerja-kerja pembangunan baru yang boleh membawa kecairan ringgit di pasaran. Ianya perlu diterajui oleh orang yang arif tentangnya seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad (mantan Perdana Menteri) dan juga Tun Daim Zainuddin (mantan Menteri Kewangan)

Malangnya, C-bOk rasa belum ada yang sedar terhadap keperluan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi ini. Kita lebih banyak berpolitik daripada berfikir. C-bOk harap kepimpinan kita segara bertindak sebelum terlewat.

Layan Diri di Stesen Minyak

Konsep layan diri di semua stesen minyak telah diperkenalkan di Lembah kelang sejak tahun 1997 dahulu. Langkah ini diperkenalkan untuk mengatasi masalah kehadiran tenaga kerja dari luar yang semakin meningkat dan menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Namun di sebalik penguatkuasaan peraturan ini, kita melihat masih ramai pekerja-pekerja asing yang mendominasi ruang kerja dan kounter bayaran di stesen-stesen minyak di seluruh negara khususnya di Lembah Kelang. Apabila stesen-stesen baru di buka, pasti warga Bangladesh dan Myanmar akan menjadi cashier dan pump attendant. Masalahnya mereka ini cuma tahu beberapa patah perkataan sahaja seperti "penuh", "diesel", "petrol" dan "cuci cermin". C-bOk pernah bercakap macam ayam dan itek apabila pekerja baru dari Bangladesh yang tak tahu maksud "penuh".

Di sebalik peraturan sedia ada berkenaan dengan larangan menggunakan tenaga kerja luar untuk perkhidmatan di stesen-stesen minyak, kita melihat sebaliknya. Mengapa perkara ini berlaku adalah jelas: Tidak ada penguatkuasaan ke atas peraturan yang telah ditetapkan!

Kini, Persatuan Pengedar Minyak Malaysia (PDAM) akan melaksanakan sendiri larangan penggunaan tenaga kerja asing di stesen-stesen minyak mereka berkuatkuasa hari Jumaat ini 1 Ogos 2008 kerana menyedari pergantungan berterusan terhadap tenaga kerja asing meningkatkan kos operasi mereka. Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan. Adakah kita akan melihat stesen minyak kita bebas daripada kebergantungan yang ketara terhadap tenaga kerja asing? Dan adakah kita akan melihat penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap peraturan ini oleh pihak berkuasa?

Friday, July 25, 2008

Pertemuan Dua A (Abdullah & Ahmad)


Abdullah Badawi dan Ahmad Said bertemu. Dua-dua tersenyum manja.

Monday, July 21, 2008

Ke Bangladesh

C-bOk menulis dari Regional Lounge KLIA. Sedang duduk-duduk dengan Chef Ismail (Towkey Restoran Rebung / Celebrity Chef). Kami akan ke Dhaka, Bangladesh untuk menyertai program Halal Malaysia Week di Sheraton Dhaka.

Program akan bermula pada 23 - 27 Julai 2008. Sebanyak 70 buah syarikat Malaysia akan menyertai program ini. Insyaallah, C-bOk akan menulis dari Dhaka sekiranya ada perkara-perkara yang menarik.

Sunday, July 20, 2008

DNA

Masa di sekolah dahulu, C-bOk diajar bahawa DNA adalah umpama cap jari manusia. Setiap individu mempunyai DNAnya yang unik dan tersendiri. Malahan kita boleh mendapat pelbagai maklumat hanya dengan mengkaji DNA setiap individu.

Kini kajian terhadap objek pra-sejarah juga menggunakan teknologi DNA. Antaranya kajian DNA mummy di Mesir berjaya mengaitkan pelbagai maklumat terhadap tokoh-tokoh Firaun zaman dahulu kala. Berdasarkan kepada kajian sains, DNA seseorang bukan sahaja unik, ianya juga umpama kad pengenalan setiap individu dan akan kekal selama-lamanya.

Jadi C-bOk agak hairan dengan kes Anwar Ibrahim ni. 10 tahun dahulu, DNA dia sudah diambil. Pihak berkuasa pasti sudah mempunyai rekod. Kenapa sekarang ni sibuk nak ambil DNA dia sekali lagi? Sampaikan semua orang bercakap pasal DNA Anwar Ibrahim. Terkini, PM pun sudah bercakap pasal DNA ini dan menggesa Anwar untuk memberikan DNA beliau.

Apa sudah jadi dengan DNA Anwar yang dahulu? Kenapa perlu buang masa dan main politik bercakap tentang DNA yang sudah ada dalam simpanan pihak berkuasa?

E200 MBZ Untuk Exco Trengganu

Kerajaan negeri Trengganu membelanjakan kira-kira RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes E200 yang baru untuk kegunaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive.

Apa pun alasan yang diberikan dan walau bagaimana banyak sekali pun duit yang Trengganu ada, ini bukanlah satu keputusan yang bijak. Ini bukanlah masanya untuk bergaya dengan kereta baru import ketika rakyat sedang berhadapan dengan harga minyak yang meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.

Ketika rakyat disarankan untuk menukar gaya hidup, pemimpin membuat keputusan untuk menukar kereta? Menteri Besar yang berjaya "melawan" Perdana Menteri selepas PRU ke 12 dahulu dengan menerima perlantikan untuk menjadi MB walaupun PM telah melantik orang lain, kini sekali lagi menunjukkan kekuatan dengan melanggar polisi Kerajaan Pusat untuk mengutamakan barangan buatan tempatan. Penggunaan kereta jenama tempatan sebagai kereta rasmi Kerajaan telah diterima pakai oleh Kerajaan pusat dan diiikuti oleh semua Kerajaan negeri termasuklah Trengganu sebelum ini.

Langkah Kerajaan Negeri Trengganu ini, walaupun dengan apa alasan sekali pun jelas tidak meletakkan kepentingan rakyat di dalam membuat keputusan. Ianya samalah seperti keputusan Kerajaan negeri Selangor sebelum ini yang membina banglow mewah untuk Exco Kerajaan negeri walaupun menerima tentangan sehingga Kerajaan negeri berkenaan di jatuhkan di dalam PRU ke 12 dahulu.

Apa tindakan Perdana Menteri di dalam hal ini?

Monday, July 14, 2008

Sesak di KL. Sebab Anwar Ibrahim?

Beberapa hari lepas kita sesak di jalan raya. Bermula pada hari Sabtu dan mencapai klimaksnya pada hari Isnin apabila semua jalan yang mengarah ke Kuala Lumpur sesak teruk.

Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis KL mengakui kesesakan ini dan meminta maaf kepada semua pengguna jalanraya kerana kesesakan yang tidak dapat dielakkan ini.

Semua ini berlaku kerana Anwar Ibrahim (?). Berdasarkan kepada maklumat risikan pihak polis terdapat cadangan untuk mengadakan perhimpunan haram secara besar-besaran di Parlimen pada hari Isnin. Pihak polis pasti memetik sumber-sumber risikan yang sahih ketika membuat keputusan untuk membuat sekatan jalanraya di seluruh Lembah Kelang. Betul atau tidak tidak dapat dipastikan sebab itu adalah sumber polis. Kita tak boleh nak verify (Akta Rahsia Rasmi)

Namun apa yang C-bOk kurang senang ialah kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat hanya kerana:
  1. Anwar Ibrahim bercadang nak membuat perhimpunan. Betul atau tidak itu belakang kira. Namun apabila ada kaitan dengan Anwar Ibrahim sahaja seluruh jentera digerakkan sehingga macam nak perang. Kalau Anwar Ibrahim buka mulut tiap-tiap hari cakap nak buat perhimpunan adakah kita akan berhadapan dengan sekatan jalan raya setiap hari juga? Penat la kita macam ni. C-bOk rasa macam ada orang yang "over-react" dalam hal ini. Tak boleh Anwar Ibrahim buka mulut sikit....
  2. Yang si Anwar Ibrahim ni pun satu hal. Kalau sudah bersedia nak tubuhkan Kerajaan dan betul mempunyai sokongan daripada mana-mana pihak, apa tunggu lagi? Kenapa perlu membuat perhimpunan dan menyusahkan rakyat? Ingat semua rakyat suka ke? C-bOk tak suka dengan cara berhimpun, cara asak mengasak, cara acah mengacah, cara saman menyaman. Kalau dah ready, umum sahajalah penubuhan Kerajaan. Janganlah mengheret dan menyusahkan rakyat;
  3. Polis pulak kenapa la buat sekatan di lebuhraya yang sesak seperti Lebuhraya Persekutuan? Kenapa la buat sekatan di waktu puncak (waktu orang nak pergi kerja)? Kenapa la buat sekatan jalan 15 lorong jadi selorong? Tak ada cara lain ke? Atau ada motif lain? Tak kesian ke dengan konstabel tu yang kena berhujan berpanas siang malam sebab mengikut arahan?

Bagi C-bOk, semua aktor di dalam hal ini berlakun sahaja lebih. Baik Anwar Ibrahim mahupun pihak berkepentingan di dalam Kerajaan. Mereka cuba menggunakan rakyat untuk mengalihkan apa juga isu yang sedang mereka sendiri hadapi.

C-bOk sudah bosan. Rakyat lagi la bosan. Politik brutal tahap gaban. All of you should go to %&##.

Sunday, July 13, 2008

Pemimpin (Bawahan) UMNO Cuma Ikut Sahaja?

C-bOk adalah ahli UMNO. Tetapi C-bOk cumalah seorang ahli biasa sahaja. C-bOk tidak aktif kerana dahulu bekerja dengan Kerajaan dan ada arahan yang tidak membolehkan C-bOk aktif di dalam politik.

Kini C-bOk tidak lagi terikat dengan General Order (G.O) Kerajaan, tetapi masih lagi tidak aktif kerana sibuk dengan pelbagai tugas harian. Dalam masa yang sama, C-bOk tidak pernah mendapat jemputan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan walaupun membayar yuran keahlian setiap tahun.

Mungkin kerana C-bOk di KL sedangkan mesyuarat di kampong diadakan pada masa C-bOk mungkin sibuk dengan pelbagai kegiatan harian. Mungkin juga kepimpinan parti di kampong tidak mahu orang profesional turut sama di dalam menggerakkan aktiviti kerana orang profesonal seperti C-bOk ni banyak cakap. Mungkin ada yang rasa tergugat.

Sebagai ahli UMNO biasa, C-bOk juga prihatin dengan perkembangan di dalam parti yang selama 50 tahun menjadi tulang belakang politik negara dan meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu di negara ini. Atas sebab prihatin, C-bOk banyak memberikan pandangan di dalam blog ini dan juga di dalam blog rakan-rakan blogger yang lain. Pandangan C-bOk mungkin berbentuk kritikan, tetapi matlamatnya untuk memberikan pandangan yang C-bOk rasa perlu diambil tahu oleh kepimpinan politik khususnya kepimpinan UMNO.

Lantaran dari ini juga C-bOk terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap sikap ahli-ahli UMNO di dalam menentukan kepimpinan parti dan hala tuju parti. Pada pandangan C-bOk sebahagian besar daripada kepimpinan parti seolah-olah sudah lelah dan tidak mempunyai pemikiran yang tersendiri. Apa yang dikatakan oleh pucuk pimpinan itulah yang akan diulang-ulang sedangkan parti sudah nazak dan asakan semakin hebat. Walaupun sebahagian daripada kepimpinan ini mempunyai pandangan-pandangan tersendiri yang C-bOk rasa mampu untuk menyelamatkan parti serta kepimpinan Melayu di negara ini, tetapi apabila sampai kepada masa untuk mereka membuat kenyataan rasmi - mereka akan membuat kenyataan yang membelakangkan prinsip mereka sendiri. Seolah-olah dua alam.

Apabila sudah acap kali perkara ini berlaku, C-bOk sedar bahawa sebahagian besar daripada mereka meletakkan kepentingan diri melebihi kesinambungan kepimpinan Melayu di negara ini. Masing-masing hendak melepaskan diri sendiri. Masing-masing kini mempunyai kuasa dan pangkat yang diberikan oleh kepimpinan yang lemah itu untuk mengekalkan kuasa.

Kebetulan pula C-bOk terjumpa dengan lukisan kartun seperti di atas ini. Apabila C-bOk meneliti lakaran kartun ini, jelaslah itulah yang berlaku sekarang. Budaya cium tangan dan cium buntut. Budaya yang sanggup mengenepikan prinsip semata-mata hendak mengekalkan apa yang mereka perolehi dan akan perolehi secara peribadi dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada di dalam hiraki kepimpinan politik baik di peringkat pusat, bahagian mahu pun cawangan. Malahan di peringkat blok rumah pangsa sekali pun.

Budaya ini jika berterusan akan menghancurkan satu-satu bangsa.

Friday, July 11, 2008

Mampukah Pak Lah Mengawal UMNO/BN?

Semalam C-bOk menulis tentang peralihan kuasa kepimpinan UMNO daripada Pak Lah kepada timbalannya (tidak semestinya Najib) yang telah ditetapkan pada Jun 2010. Tarikh yang ditetapkan itu adalah 2 tahun dari sekarang ataupun bersamaan dengan 24 bulan. Banyak perkara yang boleh berlaku dalam masa satu hari, inikan pula 2 tahun.

Malaysia telah melalui zaman-zaman yang kurang tenteram sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keyakinan terhadap kepimpinan UMNO/negara semakin menipis. Ramai yang beranggapan kegagalan UMNO/BN mempertahankan majoriti 2/3nya adalah kerana Pak Lah. Kegagalan ekonomi negara berkembang dengan lancar juga adalah atas faktor yang sama. Ada hujah yang mengatakan ini adalah kerana pucuk pimpinan sedang membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Namun rakyat tidak dapat menerima hujah-hujah lemah seperti ini kerana kita sudah berada di landasan yang betul dahulu namun kepimpinan membuat keputusan untuk menukar arah. Bermula semula dari "0".

Perancangan dahulu yang pernah menyatukan kita seperti "Wawasan 2020" kini entah ke mana. Tidak pernah disebut dan tidak lagi menjadi wadah perjuangan kita. Suasana politik pula kucar kacir dengan kepimpinan (baik kepimpinan kerajaan mahu pun kepimpinan pembangkang) menghabiskan masa dengan mempertahankan diri daripada serangan terhadap maslaah peribadi mereka. Dengan masalah-masalah ini sejauh manakah mereka menghabiskan masa untuk merancangkan kebajikan rakyat dan negara?

Kucar kacir politik ini semakin keterlaluan. Tidak keterlaluan jika C-bOk katakan bahawa di negara ini mungkinlah keamanan masih ada. Namun kawalan sudah semakin longgar. Soalnya sekarang dengan prestasi sebelum ini yang menjadi cakap-cakap ramai, mampukah Pak Lah mengawal UMNO dan BN untuk tempoh 24 bulan lagi? Kerana sekiranya kawalan semakin hilang, kucar kacir kita nanti. Semoga kita tidak akan terjerumus ke arah itu.

Thursday, July 10, 2008

Pak Lah Akan Bersara Pada Jun 2010?

Akhbar online The Malaysian Insider hari ini menerbitkan satu artikel berkaitan dengan rancangan Pak Lah untuk bersara dan menyerahkan jawatannya kepada Timbalannya pada Jun 2010. Dalam reaksi segera Tun Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri berpendapat, pengganti Pak Lah kelak bukanlah Datuk Seri Najib Tun Razak. Kemungkinannya seorang lain yang lebih setia kepada Pak Lah.

June 2010...., tu kira-kira 24 bulan dari sekarang atau pun 2 tahun lagi. Perancangan ini (sekiranya benar) akan memberi beberapa implikasi kepada senario politik megara.

Kemungkinan pertama ialah ahli-ahli UMNO akan menerima rancangan ini dan mengekalkan Pak Lah sebagai Presiden UMNO ketika perhimpunan agong UMNO hujung tahun ini. Pengekalan sebagai Persiden UMNO akan memastikan Pak Lah terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Kemungkinan kedua ialah, rasa tidak puas hati di dalam UMNO akan semakin merebak. UMNO akan terus terumbang ambing kerana kepimpinan yang lemah. Perbalahan dan tikam belakang akan semakin ketara. Sekiranya ini terus berlaku, kedudukan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional dan parti yang mewakili Melayu akan tergugat.

Kemungkinan ketiga pula ialah kesan kepada kestabilan politik negara dan juga ekonomi. Rata-rata penolakan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU ke 12 tempohari sehingga BN kehilangan majoroti 2/3 adalah kerana Pak Lah. Dengan mengekalkan Pak Lah sebagai Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun lagi akan meletakkan BN di dalam keadaan yang tidak selesa.

Parti pembangkang akan terus menggunakan pelbagai kelemahan kawalan ke atas Kerajaan dan ekonomi negara sebagai senjata utama mereka untuk mengasak Kerajaan. Ini akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara di mana para pelabur akan mengambil sikap berhati-hati dan menangguhkan sebarang keputusan untuk pelaburan baru. Perluasan aktiviti juga akan ditangguhkan sehingga mereka melihat Kerajaan yang benar-benar mempunyai kuasa dan kawalan ke atas sistem politik dan ekonomi negara. Ini akan menjadikan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang rendah yang akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, BN sebagai Kerajaan yang dipilih melalui PRU ke 12 juga sentiasa berada dalam keadaan di hujung tanduk dengan pelbagai ancaman seperti cadangan undi tidak percaya kepada PM (Terkini: Ketua Pembangkang di Parlimen, Datin Sri Wan Azizah wan Ismail telah memfailkan notis usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri), serangan yang agresif terhadap kepimpinan, asakan terhadap pelbagai projek-projek Kerajaan di peringkat perancangan (Parlimen) dan juga perlaksanaan dan sebagainya lagi.

Ini tidak lagi mengambil kira kepercayaan kepimpinan parti-parti komponen terhadap pucuk pimpinan tertinggi BN yang dari segi sejarahnya di pimpin oleh orang Melayu dari UMNO. Adakah cadangan Pak Lah ini akan merubah suasana politik negara kepada lebih baik ataupun ianya akan meletakkan kedudukan orang Melayu lebih tergugat? Sejauhmana pula kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu UMNO di dalam memastikan kesinambungan kepimpinan Melayu di negara ini? Adakah mereka akan mengambil jalan mudah atau memilih satu jalan penuh berliku?

Ini satu perkembangan yang menarik untuk di perhatikan. Soalnya pula, boleh percaya atau tidak kepada perancangan ini berikutan dengan banyaknya keputusan-keputusan serta tindakan sebelum ini yang berbentuk cakap lain, buat lain?

Selamat Hari Jadi Tun

Selamat Hari Jadi yang ke 83 Tun. Semoga terus sihat, panjang umur dan murah rezeki. Semoga pemikiran tun terus bernas dan tuntas di dalam memberikan pandangan-pandangan yang membina. Jaga kesihatan dan kurangkan tekanan.

Sekiranya saya ada mempunyai sekelumit kuasa, insyaallah saya akan membuat pengumuman di dalam media utama tentang hari jadi Tun hari ini. Sekiranya saya mempunyai sekelumit kuasa dan memimpin Kerajaan, mungkin juga Kerajaan akan ada buat sedikit kenduri pulut kuning dan doa selamat. Hanya pada hari-hari seperti ini lah kita dapat bersama dan bertemu muka dengan kawan-kawan lama dan ingat-mengingati di antara satu sama lain. Hanya pada hari istimewa seperti inilah baru kita boleh mengimbau segala sejarah hidup kita kerana sesuai dengan harinya.

Tetapi saya tidak ada kuasa itu dan malangnya orang yang mempunyai kuasa tidak beminat untuk mengambil kesempatan ini untuk mengenang kembali seorang negarawan ulung seperti Tun. Mungkin terlupa atau sengaja buat-buat lupa. Dahulu, hari-hari seperti ini ramai yang menunggu-nunggu sebab nak ambil kesempatan nak cium tangan Tun. Tetapi sekarang dia orang cium tangan orang lain.....

Monday, July 07, 2008

Utter Disgust!

Menyampah. Sudah terlalu brutal. Sudah lupa dunia dan akhirat. Fitnah menjadi-jadi. Kerja yang menjadi tanggungjawab mereka tidak dilakukan. Asyik berbalah macam budak-budak. Itulah realiti politik kita hari ini. Politik orang-orang Melayu yang menggelar diri mereka pemimpin dan memperjuangkan ketuanan melayu.

No. 1 pula terus bercakap, bercakap, bercakap, bercakap. Keamanan mungkin ada, tetapi kawalan sudah tiada.

Ramai yang sudah menyampah.

Marina Mahathir: I think I'll go on strike
Wong Chun Wai: Sick, tired and fed-up
Ibrahim Yahya: Meluat, menyampah dan sampah

Malaysia would be better without all of them!

Thursday, July 03, 2008

Mesej Untuk Semua

Kartun ini lebih bijak "berfikir" daripada sebahagian ahli politik negara kita. C-bOk berharap ahli-ahli politik negara kita khususnya YB Zulkifli Nordin (sorrylah YB sebab you buat pengakuan dalam blog you yang you dan parti you bersekongkol dengan unit risikan negara jiran) dan rakan-rakannya dalam PKR menilai semula penglibatan anasir asing dalam kareer politik mereka.

Bagi C-bOk, sekiranya mereka nak tonggeng terbalik dengan kerjaya politik mereka silakan lah. Tetapi jangan bawa mana-mana anasir luar ke dalam negara ini. Ini tanah air ku. Ini tempat tumpah darah ku. Tanah air ini warisan ku untuk anak cicit ku kelak. Bukan untuk dijual beli dengan anasir luar.

Mereka mungkin bermulut manis tetapi punggung bergelumang dengan taik. Mesti ada niat lain apabila mereka menyokong mana-mana parti politik negara luar. Lebih-lebih lagi parti itu di pihak yang membangkang. Takkan YB-YB semua tidak tahu strategi Yahudi di seluruh dunia. Berpolitiklah dengan matang. Gunakan kekuatan sendiri. Janganlah bergantung dengan negara luar. Nanti terhutang budi, tergadai body.

Wednesday, July 02, 2008

Unit Risikan Negara Jiran di Dalam Politik Negara Kita? Apa Motifnya?

C-bOk merasa sungguh kecewa dan geram apabila membaca catatan di blog YB Zulkifli Nordin dari Kulim Bandar Bharu. Beberapa hari C-bOk menyimpan perasaan itu sehinggalah C-bOk dapat membuat ulasan hari ini kerana sudah tidak tahan lagi dengan karenah parti-parti politik negara kita - baik dari Kerajaan yang memerintah mahupun pakatan pembangkang.

Berdasarkan kepada catatan YB Zulkifli sendiri, mereka mendapat maklumat daripada Unit Perisikan Negara Jiran tentang cubaan untuk membunuh DSAI.

Walaupun apa juga bentuk cubaan untuk membuat jenayah (seperti membunuh), ianya tetap salah. Namun wujud persoalan yang sungguh kompleks di sini. Bukan berkaitan dengan kesahihan maklumat tersebut, tetapi penglibatan Unit Risikan Negara Jiran di dalam politik negara kita. Soalnya ialah:


  1. Negara jiran yang mana? Singapore, Thailand, Indonesia, Brunei, etc?

  2. Adakah unit risikan negara jiran itu bekerja untuk parti politik di Malaysia?

  3. Atau.., parti politik Malaysia kini bekerja untuk unit risikan negara jiran? Parti politik yang mana?

  4. Apa perlunya penglibatan negara jiran secara aktif di dalam politik negara kita?

  5. Sekiranya ada, apakah persefahaman yang ada di antara parti politik yang terlibat dengan unit risikan negara jiran berkenaan? Cukup ke dengan bersalam-salaman sahaja atau ada apa-apa pertimbangan lain?

Blogger Rocky Bru juga mempunyai pandangan dan melahirkan persoalan yang sama di dalam blog beliau melalui catatan pada 1 Julai 2008 bertajuk "Who's the friendly neighbour?"

Di satu sudut kita (rakyat) di asak dengan kenyataan dari parti dan orang politik tertentu bahawa usaha untuk membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (Johor) dengan membawa pelaburan asing ke negara kita ini wajar di tentang kerana mengundang orang luar ke kawasan berkenaan, dalam masa yang sama ada parti politik atau individu tertentu bersekongkol pula dengan unit risikan negara jiran untuk kepentingan politik mereka.

C-bOk melihat banyak kemungkinan yang tidak elok dan membahayakan kententeraman serta kesejahteraan ekonomi negara kita sekiranya unit risikan negara jiran berkenaan mempunyai motif-motif tertentu untuk memporak perandakan negara ini melalui usaha membuat onar dan mengadu domba sesama kita. Sekiranya itu motif unit risikan negara jiran berkenaan, maka mereka telah membuat kerja yang berjaya kerana sejak akhir-akhir ini, politik negara kucar kacir. Kepimpinan bertelagah sesama sendiri. Orang Melayu sudah tidak bersatu malahan bermati-matian untuk menegakkan idealogi sendiri.

C-bOk menyeru YB Zulkifli meneliti semula penglibatan unit risikan negara jiran ini dengan parti yang YB wakili. Bagi C-bOk, apa yang penting ialah kesejahteraan negara kita sendiri. Apa-apa juga kepentingan lain eloklah kita ketepikan.

Jangan nanti cucu cicit kita menyumpah seranah kepimpinan Melayu hari ini (tak kiralah dari pakatan kerajaan ataupun pakatan rakyat) kerana terlalu taksub dengan politik sehingga negara dan maruah kita tergadai.