Sunday, July 13, 2008

Pemimpin (Bawahan) UMNO Cuma Ikut Sahaja?

C-bOk adalah ahli UMNO. Tetapi C-bOk cumalah seorang ahli biasa sahaja. C-bOk tidak aktif kerana dahulu bekerja dengan Kerajaan dan ada arahan yang tidak membolehkan C-bOk aktif di dalam politik.

Kini C-bOk tidak lagi terikat dengan General Order (G.O) Kerajaan, tetapi masih lagi tidak aktif kerana sibuk dengan pelbagai tugas harian. Dalam masa yang sama, C-bOk tidak pernah mendapat jemputan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan walaupun membayar yuran keahlian setiap tahun.

Mungkin kerana C-bOk di KL sedangkan mesyuarat di kampong diadakan pada masa C-bOk mungkin sibuk dengan pelbagai kegiatan harian. Mungkin juga kepimpinan parti di kampong tidak mahu orang profesional turut sama di dalam menggerakkan aktiviti kerana orang profesonal seperti C-bOk ni banyak cakap. Mungkin ada yang rasa tergugat.

Sebagai ahli UMNO biasa, C-bOk juga prihatin dengan perkembangan di dalam parti yang selama 50 tahun menjadi tulang belakang politik negara dan meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu di negara ini. Atas sebab prihatin, C-bOk banyak memberikan pandangan di dalam blog ini dan juga di dalam blog rakan-rakan blogger yang lain. Pandangan C-bOk mungkin berbentuk kritikan, tetapi matlamatnya untuk memberikan pandangan yang C-bOk rasa perlu diambil tahu oleh kepimpinan politik khususnya kepimpinan UMNO.

Lantaran dari ini juga C-bOk terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap sikap ahli-ahli UMNO di dalam menentukan kepimpinan parti dan hala tuju parti. Pada pandangan C-bOk sebahagian besar daripada kepimpinan parti seolah-olah sudah lelah dan tidak mempunyai pemikiran yang tersendiri. Apa yang dikatakan oleh pucuk pimpinan itulah yang akan diulang-ulang sedangkan parti sudah nazak dan asakan semakin hebat. Walaupun sebahagian daripada kepimpinan ini mempunyai pandangan-pandangan tersendiri yang C-bOk rasa mampu untuk menyelamatkan parti serta kepimpinan Melayu di negara ini, tetapi apabila sampai kepada masa untuk mereka membuat kenyataan rasmi - mereka akan membuat kenyataan yang membelakangkan prinsip mereka sendiri. Seolah-olah dua alam.

Apabila sudah acap kali perkara ini berlaku, C-bOk sedar bahawa sebahagian besar daripada mereka meletakkan kepentingan diri melebihi kesinambungan kepimpinan Melayu di negara ini. Masing-masing hendak melepaskan diri sendiri. Masing-masing kini mempunyai kuasa dan pangkat yang diberikan oleh kepimpinan yang lemah itu untuk mengekalkan kuasa.

Kebetulan pula C-bOk terjumpa dengan lukisan kartun seperti di atas ini. Apabila C-bOk meneliti lakaran kartun ini, jelaslah itulah yang berlaku sekarang. Budaya cium tangan dan cium buntut. Budaya yang sanggup mengenepikan prinsip semata-mata hendak mengekalkan apa yang mereka perolehi dan akan perolehi secara peribadi dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada di dalam hiraki kepimpinan politik baik di peringkat pusat, bahagian mahu pun cawangan. Malahan di peringkat blok rumah pangsa sekali pun.

Budaya ini jika berterusan akan menghancurkan satu-satu bangsa.

2 comments:

Anonymous said...

"Mungkin kerana C-bOk di KL sedangkan mesyuarat di kampong diadakan pada masa C-bOk mungkin sibuk dengan pelbagai kegiatan harian. Mungkin juga kepimpinan parti di kampong tidak mahu orang profesional turut sama di dalam menggerakkan aktiviti kerana orang profesonal seperti C-bOk ni banyak cakap. Mungkin ada yang rasa tergugat."

Ini sama seperti yang saya alami. Yuran bayar kat kampung (Muar) tapi tak pernah dipanggil mesyuarat kerana kita tinggal kat Selangor. Bila kita balik kampung, orang UMNO pandang sendeng. Politik kampung pun dahsyat juga.

Unknown said...

mana ada orang bayar yuran keahlian umno..semuanya dibayar olih ketua bahagian/cawangan/tauke/kontraktor...
betul ke bayar yuran ni???