Thursday, July 10, 2008

Pak Lah Akan Bersara Pada Jun 2010?

Akhbar online The Malaysian Insider hari ini menerbitkan satu artikel berkaitan dengan rancangan Pak Lah untuk bersara dan menyerahkan jawatannya kepada Timbalannya pada Jun 2010. Dalam reaksi segera Tun Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri berpendapat, pengganti Pak Lah kelak bukanlah Datuk Seri Najib Tun Razak. Kemungkinannya seorang lain yang lebih setia kepada Pak Lah.

June 2010...., tu kira-kira 24 bulan dari sekarang atau pun 2 tahun lagi. Perancangan ini (sekiranya benar) akan memberi beberapa implikasi kepada senario politik megara.

Kemungkinan pertama ialah ahli-ahli UMNO akan menerima rancangan ini dan mengekalkan Pak Lah sebagai Presiden UMNO ketika perhimpunan agong UMNO hujung tahun ini. Pengekalan sebagai Persiden UMNO akan memastikan Pak Lah terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Kemungkinan kedua ialah, rasa tidak puas hati di dalam UMNO akan semakin merebak. UMNO akan terus terumbang ambing kerana kepimpinan yang lemah. Perbalahan dan tikam belakang akan semakin ketara. Sekiranya ini terus berlaku, kedudukan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional dan parti yang mewakili Melayu akan tergugat.

Kemungkinan ketiga pula ialah kesan kepada kestabilan politik negara dan juga ekonomi. Rata-rata penolakan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional dalam PRU ke 12 tempohari sehingga BN kehilangan majoroti 2/3 adalah kerana Pak Lah. Dengan mengekalkan Pak Lah sebagai Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun lagi akan meletakkan BN di dalam keadaan yang tidak selesa.

Parti pembangkang akan terus menggunakan pelbagai kelemahan kawalan ke atas Kerajaan dan ekonomi negara sebagai senjata utama mereka untuk mengasak Kerajaan. Ini akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara di mana para pelabur akan mengambil sikap berhati-hati dan menangguhkan sebarang keputusan untuk pelaburan baru. Perluasan aktiviti juga akan ditangguhkan sehingga mereka melihat Kerajaan yang benar-benar mempunyai kuasa dan kawalan ke atas sistem politik dan ekonomi negara. Ini akan menjadikan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang rendah yang akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, BN sebagai Kerajaan yang dipilih melalui PRU ke 12 juga sentiasa berada dalam keadaan di hujung tanduk dengan pelbagai ancaman seperti cadangan undi tidak percaya kepada PM (Terkini: Ketua Pembangkang di Parlimen, Datin Sri Wan Azizah wan Ismail telah memfailkan notis usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri), serangan yang agresif terhadap kepimpinan, asakan terhadap pelbagai projek-projek Kerajaan di peringkat perancangan (Parlimen) dan juga perlaksanaan dan sebagainya lagi.

Ini tidak lagi mengambil kira kepercayaan kepimpinan parti-parti komponen terhadap pucuk pimpinan tertinggi BN yang dari segi sejarahnya di pimpin oleh orang Melayu dari UMNO. Adakah cadangan Pak Lah ini akan merubah suasana politik negara kepada lebih baik ataupun ianya akan meletakkan kedudukan orang Melayu lebih tergugat? Sejauhmana pula kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu UMNO di dalam memastikan kesinambungan kepimpinan Melayu di negara ini? Adakah mereka akan mengambil jalan mudah atau memilih satu jalan penuh berliku?

Ini satu perkembangan yang menarik untuk di perhatikan. Soalnya pula, boleh percaya atau tidak kepada perancangan ini berikutan dengan banyaknya keputusan-keputusan serta tindakan sebelum ini yang berbentuk cakap lain, buat lain?

1 comment:

Anonymous said...

saya memilih kemungkinan ke-3

din