Rata-rata semua rakyat kini sedar tentang keadaan ekonomi dunia yang semakin tenat. Saban hari kita di ingatkan tentang kenaikan harga minyak yang tinggi, peningkatan di dalam kos pengeluaran, kadar upah yang tidak sejajar dengan kenaikan harga barangan, penutupan operasi syarikat, kes sub-prima di US yang turut sama memberi kesan kepada ekonomi dunia dan sebagainya lagi.
Malahan, ramai pakar ekonomi yang menyatakan bahawa ekonomi US sudah lama malap dan turut sama membawa ekonomi dunia merudum kerana kebergantungan yang keterlaluan terhadap US Dollar dan juga pergerakan FDI dari negara berkenaan. Negara berkenaan sebenarnya telah muflis, namun masih terus bertahan atas faktor keluasan negara berkenaan dan juga bilangan penduduk yang tinggi serta lambakan Dollar seluruh dunia yang masih menyokong pergerakan ekonomi walaupun pada kadar yang amat sedikit dan perlahan.
Sehubungan dengan ini, pakar ekonomi telah lama meramalkan ekonomi dunia akan merudum selaras dengan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat. Tanda-tanda ke arah itu telah pun timbul seperti kejatuhan harga saham di pasaran-pasaran saham dunia akibat tidak adanya sokongan belian daripada pelabur-pelabur besar Amerika Syarikat dan sekutu baratnya yang dulunya merajai bursa-bursa saham dunia. Kadar inflasi juga meningkat dengan tinggi di setiap negara khususnya negara-negara membangun lanjutan daripada peningkatan kos operasi dan kadar permintaan yang menurun.
Ini tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara kita. Pakar-pakar meramalkan kemelesetan ekonomi negara (dan juga dunia) akan menjadi semakin teruk menjelang tahun 2009. Ketika itu, kita tidak lagi boleh mengharapkan negara-negara luar khususnya rakan dagangan tradisi kita untuk menyokong perkembangan ekonomi domestik. Mereka juga akan sibuk dengan usaha untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing daripada kemelesetan teruk yang melanda eonomi dunia.
Kita bukanlah tidak pernah mengalami masalah ini sebelum ini. Tahun 1997 ketika matawang negara dan juga negara-negara jiran di serang oleh penyangak matawang sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara, kita telah berjaya mengatasinya dalam masa yang singkat melalui program "Pakej Rangsangan Ekonomi" yang menyuntik pelbagai aktiviti bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta memastikan kecairan ringgit di pasaran. Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu mengkaji kesesuaian aktiviti ekonomi dari segala sudut dan mewujudkan pelbagai program pembangunan di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.
Berbeza dengan teori barat yang memberhentikan segala aktiviti ekonomi di dalam suasana kemelesetan, Malaysia (ketika itu) merancakkan lagi aktiviti pembangunan seperti pembinaan infrastruktur baru, bangunan baru, sekolah baru dan sebagainya. Program ini yang dinamakan program Pakej Rangsangan Ekonomi berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru serta memastikan kecairan ringgit di pasaran yang menggembirakan semua. Hasilnya, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang berjaya melalui suasanan kemelesan ekonomi dunia tahun 1997 - 1999 dengan jayanya.
Namun sebaliknya sekarang ini, kita masih belum melihat satu perancangan yang jelas untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda kita. Kepimpinan negara hanya sekadar ber retorik tentang suasana yang sedang kita hadapi sekarang ini dengan mengingatkan kita untuk "mengubah cara hidup". Sejauh mana kita boleh berubah bergantung kepada keupayaan masing-masing untuk merancang semula aktiviti ekonomi individu.
Apa yang perlu dalam keadaan sekarang ini bukan mengubah cara hidup kita. Kita perlu segera merancang untuk memastikan ekonomi negara terus aktif dalam suasana kemelesetan. Ini memerlukan pengumuman polisi serta aktiviti untuk menggerakkan ekonomi yang diterajui oleh Kerajaan pusat. C-bOk berpendapat kita perlu memperkenalkan semula Pakej Rangsangan Ekonomi yang mampu mewujudkan kerja-kerja pembangunan baru yang boleh membawa kecairan ringgit di pasaran. Ianya perlu diterajui oleh orang yang arif tentangnya seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad (mantan Perdana Menteri) dan juga Tun Daim Zainuddin (mantan Menteri Kewangan)
Malangnya, C-bOk rasa belum ada yang sedar terhadap keperluan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi ini. Kita lebih banyak berpolitik daripada berfikir. C-bOk harap kepimpinan kita segara bertindak sebelum terlewat.
Wednesday, July 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Saya amat tertarik dengan penjelasan awal C-Bok mengenai Amerika dan lambakan dollar yang kini menjadi matawang utama bagi transaksi impot dan ekspot serta aktiviti perniagaan di antara negara. Mungkin kita lupa akan saranan Mantan PM kita, Tun Dr Mahathir agar menggunakan matawang dinar sebagai urusniaga khususnya dikalangan negara-negara Islam. Rasanya idea ini perlu digerakkan semula dalam menjamin ekonomi negara Islam tetap teguh. Adalah diharapkan cadangan dari Tun itu perlu kita kaji dengan lebih serius. Mungkin ia boleh menyelamat ekonomi seluruh negara Islam. Wallahualam...
Post a Comment