Wednesday, June 18, 2008

Gaji Dua Bulan Belum Muktamad?

Selepas bos beliau membuat pengumuman bahawa gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata "gaji 2 kali belum muktamad". Beliau berkata perkara ini akan dibawa untuk dibincangkan oleh Kabinet.

C-bOk rasa memang elok juga perkara ini dibincangkan oleh kabinet sebab ada banyak rungutan khususnya kesan kepada keupayaan setiap individu untuk menyusun semula sistem kewangan mereka. C-bOk kurang pasti samada pengumuman yang dibuat oleh PM tempohari telah dibincangkan oleh kabinet atau tidak. Sekiranya kabinet sudah membincangkannya, maka keputusan itu kurang bijak kerana banyak bangkangan serta hujah yang bernas menentang cadangan tersebut. Sekiranya ianya tidak dibincangkan oleh kabinet dan dibuat oleh individu sahaja - maka keputusan individu itu tidak bijak.

Namun, C-bOk rasa "terganggu" dengan tindakan Kerajaan yang membuat pengumuman perkara-perkara penting seperti ini tanpa penelitian yang mendalam. Kenapa pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri tanpa satu kajian yang menyeluruh dan juga rundingan dengan pihak pekerja sendiri? CUEPACS yang mewakili golongan pekerja kakitangan Kerajaan telah menyuarakan rasa kecewa mereka kerana tiada perundingan dengan mereka berkaitan dengan keputusan sepenting ini. Kakitangan Kerajaan juga rata-rata ramai yang "kurang bersetuju". Bagaimana pula dengan kos perlaksanaan sistem ini? Tidakkah pembayaran 2 kali berkenaan memerlukan pengubahsuaian kepada sistem kewangan setiap Kementerian dan Jabatan? Berapa kosnya? Adakah justifikasinya memadai?

Apa sudah jadi dengan mekanisma membuat keputusan Kerajaan? Bukankah satu masa dahulu kita mempunyai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang ditubuhkan semasa kita menghadapi krisis kewangan tahun 1997? MTEN dianggotai oleh pakar-pakar dari pelbagai sektor yang duduk sama-sama membincangkan cara-cara terbaik untuk menghadapi masalah kewangan yang memporak perandakan ekonomi negara ketika itu.

Setahu C-bOk MTEN tidak dibubarkan. Kenapa MTEN tidak diaktifkan semula dan mekanisma perundingan MTEN ini digunakan semula untuk kita sama-sama berbincang dan mencari alternatif-alternatif yang mampu membantu kita untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi sekarang akibat daripada kenaikan harga minyak global.

Salah satu daripada unit penting di dalam MTEN tempohari yang sewajarnya diaktifkan semula ialah unit komunikasi yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang telah dikaji dan sesuai untuk dikeluarkan. Setiap kenyataan ketika itu membantu untuk mengukuhkan keadaan. Bukan macam sekarang ini di mana semua orang yang berkuasa hendak membuat kenyataan. Akibatnya kekeliruan. Sekejap ok. Sekejap tak ok.

C-bOk menyeru Kerajaan untuk mengaktifkan semula MTEN dan menyerahkan keputusan untuk membuat keputusan-keputusan penting berkaitan dengan ekonomi negara dibuat oleh pakar-pakar secara perundingan di dalam MTEN.

No comments: