Tuesday, June 03, 2008

Minyak Akan Naik Harga (Lagi)

C-bOk rasa Menteri yang paling popular hari ini ialah Datuk Shahrir Samad, Menteri KPDN-HEP. Kenyataan beliau tentang minyak yang dijangka naik pada bulan Ogos ini mendapat liputan semua media cetak, media elektronik dan juga online.

Sebahagian daripada kita mungkin tidak terasa apa-apa sebab sejak 4 tahun yang lalu, kenaikan harga minyak dan barangan bukanlah sesuatu yang asing. Sebaliknya ianya menjadi perkara yang biasa-biasa dan boleh dikatakan menjadi aktiviti mingguan atau bulanan di Malaysia.

Minyak naik, tepung naik, gula naik, tambang bas naik, tambang teksi naik, teh tarik naik, roti canai naik dan macam-macam lagi yang naik. Yang turun cuma indeks Bursa KL.

Berbalik kepada kemungkinan harga minyak akan naik menjelang Ogos ini, pastinya ianya sesuatu yang sukar untuk di pertahankan lagi. Harga minyak dunia sememangnya naik setiap hari. Dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia pasti kita juga merasakan tempiasnya. Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kerajaan, peningkatan harga minyak turut melibatkan peningkatan di dalam kadar subsidi yang diberikan kepada pengguna minyak. Kalau tak silap C-bOk Kerajaan membelanjakan kira-kira RM 56 billion setahun untuk subsidi minyak sahaja. Malangnya, subsidi minyak berkenaan dinikmati oleh orang yang bukan sepatutnya.

Sehubungan dengan ini cadangan untuk menstruktur semula subsidi minyak adalah baik dan kena pada masanya. Subsidi berkenaan sewajarnya diberikan kepada yang layak sahaja.

Namun begitu, C-bOk berharap cadangan untuk menstruktur semula subsidi minyak ini tidak akan membuat keputusan bagi menaikkan harga minyak semata-mata. Memanglah ianya akan menyelesaikan satu masalah, tetapi ia akan menimbulkan banyak masalah-masalah lain yang lebih mencengkam kehidupan masyarakat. Berdasarkan kepada sejarah di negara ini apabila harga minyak naik, maka harga barangan dan perkhidmatan juga turut naik. Kadang-kadang kenaikan itu lebih tinggi daripada peratusan kenaikan harga minyak itu sendiri.

Yang menjadi masalahnya ialah walaupun menaikkan harga sesuka hati itu satu kesalahan, namun penguatkuasaan masih belum berjaya membenteras masalah ini secara total. Akibatnya rakyat terpaksa menerima sahaja kenaikan harga ini dengan berat. Walaupun lapuran dibuat, tetapi keupayaan penguatkuasaan masih terhad. Akibatnya kenaikan harga, walaupun ditentang dan menyalahi undang-undang, ianya tetap berlaku.

Oleh itu, C-bOk berharap ada satu mekanisma yang benar-benar berkesan untuk mengatasi masalah sampingan yang bakal berlaku apabila harga minyak benar-benar naik nanti. Apakah mekanisma itu wajarlah kita semua sama-sama memikirkannya khususnya Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk memikirkan hal-hal ini.

Mungkin juga Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad wajar dipanggil untuk memberikan pandangan beliau. Tun pernah menyatakan bahawa ada mekanisma yang boleh diguna pakai untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak pada satu ketika dahulu. Sewajarnya pandangan dan cadangan beliau diminta untuk kita sama-sama mengatasi masalah ini.

1 comment:

muststopthis said...

Salam,

Ini kali pertama saya melayari laman blog saudara. Memang betul, tetapi tahukah anda bahawa 'IPP' sedang menikmati harga gas semulajadi lebih kurang RM24 di bawah paras harga pasaran?
Jika kerajaan memang ikhlas untuk menolong menjimat wang, tidak patutkah kerajaan mengenakan harga yang sepatutnya keatas IPP juga?